Thursday, November 3, 2011

Hidupkan Amal Ibadah dan Amal Soleh di Sepuluh Pertama Bulan Zulhijjah (1-10 Zulhijjah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita sekarang ini sedang berada di sepuluh hari pertama bulan Zulhijah (1-10 haribulan Zulhijah). Sepuluh hari pertama ini adalah hari yang penuh keberkatan.

Firman Allah SWT :

وَالْفَجْرِ. وَلَيَالٍ عَشْرٍ

“Demi waktu fajar; dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).” (Surah Al-Fajr (89) ayat 1-2)

Imam at-Tabari, ketika membentangkan ayat ini dalam tafsirnya berkata: “Firman-Nya, ‘dan malam yang sepuluh’ adalah malam sepuluh Zulhijjah, sebagaimana ijmak hujah daripada para ahli takwil tentangnya.” [At-Tabari; jilid 7, muka surat 514]

Ibnu Katsir telah menyokong pendapat ini dalam tafsirnya terhadap ayat ini dengan berkata: “Dan Malam Sepuluh yang dikehendaki dengannya adalah sepuluh Zulhijjah sebagaimana yang telah dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas, Ibnu az-Zubair, Mujahid dan lebih daripada seorang daripada golongan Salaf dan Khalaf.” [Ibnu Katsir; jilid 4, muka surat 535]

Daripada Jabir r.a., katanya: “Rasulullah SAW  telah bersabda: “Tiada hari yang lebih baik di sisi Allah dari hari-hari sepuluh Zulhijjah.” Jabir telah berkata: “Maka seorang lelaki telah berkata: “Wahai Rasulullah, ia (sepuluh Zulhijjah) lebih baik atau menyediakannya untuk berjihad di jalan Allah?” Rasulullah telah bersabda: “Ia (sepuluh Zulhijjah) lebih baik daripada menyediakannya untuk berjihad di jalan Allah.”
(Ibnu Hibban; jilid 9, hadis no. 3853, muka surat 164)

Sahabat yang dimuliakan,
Untuk meningkatkan iman dan takwa kita kepada Allah SWT maka kita perlulah meningkatkan amal ibadah dan amal soleh kita di dalam sepuluh hari pertama bulan Zulhijah ini dengan memperbanyakkan :

1. Memperbanyak mengingati dan menyebut nama Allah SWT, berdoa memohon kepada-Nya dan tilawah al-Quran :

Allah SWT  berfirman:

وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ

Maksudnya : "...serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu,” (Surah Al-Hajj (22) ayat 28)

2. Memperbanyak solat sunat (duha, witir, rawatib, taubat dan lain-lain)

Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah SAW  bersabda bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu.  Allah berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain." (Hadis riwayat at-Tirmizi).           

Nabi SAW  telah menyatakan galakan terhadap perbuatan ini secara lisan dan perbuatan sebagaimana yang dikuatkan oleh hadis ini:

روي عن ثوبان – رضي الله عنه – أنه قال: "سألت عن ذلك رسول الله – صلى الله عليه وسلم – فقال: عليك بكثرة السجود لله؛ فإنّك لا تسجد لله سجدةً إلا رفعك الله بها درجةً، وحطَّ عنك بها خطيئةً
[رواه مسلم؛ الحديث رقم 1093، ص 202]

Diriwayatkan daripada Thauban r.a., katanya: “Aku telah bertanya tentang perkara tersebut kepada Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: “Hendaklah engkau memperbanyak sujud kepada Allah kerana dengan setiap sujud engkau kepada Allah itu, Allah akan mengangkatkan untukmu satu darjat dan Allah akan menjauhkan darimu satu kesalahan.”
(Hadis Riwayat Ahmad; hadis no. 1093, muka surat 202)

3. Menyembelih binatang korban.

Kerana ia adalah ibadah yang disyariatkan, yang dengannya seorang muslim itu mendekatkan dirinya kepada Allah SWT pada Hari Sembelihan atau dalam tempoh Hari Tasyrik ketika dia menyembelih haiwan Qurban itu sama ada kambing atau lembu atau unta, kemudian dia makan sebahagian daripadanya dan memberi hadiah serta bersedekah. Dalam perkara ini terdapat banyak makna perbelanjaan, pengorbanan dan penebusan, selain meneladani hidayah Nabi SAW. yang diberkati.

Aisyah meriwayatkan, bahwa Nabi SAW bersabda : Tidak ada amal yang dilakukan oleh anak Adam pada hari nahr yang lebih dicintai Allah, selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan). Dan haiwan yang disembelih itu kelak di hari kiamat akan datang (menemui orang yang korban) lengkap dengan tanduk, kuku dan sepatu kakinya. Dan sesungguhnya darah akan diterima Allah  sebelum darah itu jatuh ke tanah. Kerana itu lakukanlah korban itu dengan seikhlas mungkin. (Hadis Riwayat Tirmidzi).

Dari hadis ini jelaslah bahawa haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan menjadi kendaraan ke syurga. Itulah kebaikan korban di akhirat. Sementara di dunia dapat memberikan dagingnya kepada orang-orang miskin dengan ini akan mendapat pahala sedekah. Kerana sasaran utama daging korban adalah untuk fakir miskin bukannya untuk orang kaya, bahkan yang berkorban pun boleh memakannya.

4. Memperbanyak sedekah dalam bentuk kebendaan dan maknawi.

Kerana padanya terdapat makna taqarrub kepada Allah s.w.t, mengharapkan ganjaran dan pahala daripada-Nya dengan cara membelanjakan, memberi dan ihsan kepada orang lain. Firman Allah SWT :

مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ وَلَهُ أَجْرٌ كَرِيمٌ

Maksudnya : “Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya? Dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar!” (Surah Al-Hadid (57) ayat 11)

Selain itu, dengannya juga jalinan hubungan kemasyarakatan dapat dikukuhkan melalui perhatian tentang keadaan para fakir, miskin, anak-anak yatim, orang-orang yang memerlukan dan memenuhi keperluan mereka. Bahkan pada sedekah itu juga terdapat ganjaran yang agung walaupun diberikan dalam bentuk maknawi, bukan dalam bentuk material.

Nabi SAW sabda maksudnya : “Setiap Muslim itu perlu bersedekah.”

Para sahabat bertanya: “Wahai Nabi Allah! Bagaimana pula bagi orang yang tidak mampu?”

Baginda bersabda: “Hendaklah dia bekerja dengan tangannya yang memberi manfaat untuk dirinya dan bersedekah dengannya.”

Para sahabat bertanya pula: “Jika dia masih tidak mampu?”

Baginda bersabda: “Hendaklah dia membantu orang yang memiliki keperluan yang mendesak.”

Para sahabat bertanya lagi: “Jika dia masih tidak mampu?”

Baginda bersabda: “Hendaklah dia melakukan yang makruf dan mencegah keburukan dan perbuatan itu adalah sedekah baginya.”
(Hadis Riwayat Bukhari; hadis no. 1445, muka surat 233)

5. Berpuasa sunat.

Kerana ia adalah sebaik-baik ibadah yang perlu dijaga oleh seorang muslim disebabkan  keagungan ganjarannya dan pahalanya yang berganda.

عن بعض أزواج النبي – صلى الله عليه وسلم – قالت: "كان رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يصوم تسعَ ذي الحجة، ويوم عاشوراء، وثلاثة أيامٍ من كُلِ شهر، أول اثنين من الشهر والخميس
[رواه أبو داود؛ الحديث رقم 2437، ص 370]

Beberapa isteri Nabi SAW  telah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW. akan berpuasa pada sembilan Zulhijjah, hari ‘Asyura, tiga hari dari setiap bulan, Isnin pertama setiap bulan dan Khamis.”
(Hadis Riwayat Abu Daud; hadis no. 2437, muka surat 370)

Bukan hanya ini sahaja... Selain puasa itu adalah antara ibadah yang dapat mendekatkan para hamba kepada Allah s.w.t. dan ganjarannya juga agung, terdapat juga ganjaran lain sebagaimana hadis berikut:

فقد روي عن أبي قتادة الأنصاري – رضي الله عنه – أن رسول الله – صلى الله عليه وسلم – سئل عن صوم يوم عرفة فقال: يُكفِّر السنة الماضية والباقية
[رواه مسلم؛ الحديث رقم 2747، ص 477]

Telah diriwayatkan daripada Abi Qatadah al-Ansari r.a. sesungguhnya Rasulullah SAW  telah ditanya tentang Puasa Hari ‘Arafah, lalu Baginda bersabda: “Ia menghapuskan (dosa) tahun yang lalu dan tahun yang selepasnya.”
(Hadis Riwayat Muslim; hadist no. 2747, muka surat 477)

6. Qiamullail.

Kerana ia adalah daripada ibadah-ibadah yang digalakkan Nabi SAW. untuk dijaga walaupun ia tidak wajib. Juga kerana ia adalah daripada jenis ibadah yang dilakukan pada masa-masa tertentu secara khusus, seperti pada malam-malam bulan Ramadan al-Mubarak, malam-malam hari-hari sepuluh dan lainnya. Qiamullail adalah daripada sifat ‘ibadurrahman yang Allah ceritakan tentang mereka dalam firmannya:

وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا

“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.” (Surah Al-Furqan (25) ayat  64)

Mereka menghabiskan malam mereka untuk menyembah Allah SAW dengan mengerjakan solat, bertahajjud, mengingat dan menyebut nama Allah, memohon keampunan dan berdoa kepada Allah, memohon kelebihannya dan memohon perlindungan daripada azab-Nya.

7. Taubat dan kembali kepada Allah

Kerana antara perkara yang disyariatkan pada hari-hari yang diberkati ini adalah agar manusia itu segera bertaubat yang benar dan memohon keampunan daripada Allah s.w.t, agar dihapuskan dosa-dosa dan kemaksiatan, bertaubat daripadanya seraya mengharapkan apa yang ada di sisi Allah dan merealisasikan firman Allah SWT :

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
(Surah An-Nur (24) ayat  31)

Taubat yang benar itu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan dan jaminan masuk syurga denga izin Allah SWT, kerana orang yang bertaubat daripada dosa itu seperti orang yang tiada dosa padanya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita pertingkatkan amal-amal ibadah dan amal soleh kita di sepuluh pertama bulan Zulhijah ini kerana besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Terutama puasa sunat pada 9 Zulhijah (Puasa Hari Arafah) pada tahun ini jatuh pada hari Sabtu 5 November 2011 kerana Hari Raya Aidil Adha jatuh pada hari Ahad 6 November 2011, kerana jika kita berpuasa dengan ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT maka dosa-dosa kita akan diampunkan oleh Allah SWT dua tahun lalu dan tahun yang akan datang.

Telah diriwayatkan daripada Abi Qatadah al-Ansari r.a. sesungguhnya Rasulullah SAW  telah ditanya tentang Puasa Hari ‘Arafah, lalu Baginda bersabda: “Ia menghapuskan (dosa) tahun yang lalu dan tahun yang selepasnya.”
(Hadis Riwayat Muslim; hadist no. 2747, muka surat 477)

Menerusi hadis yang lain daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datang." (Hadis Riwayat Muslim)

3 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum Ustaz,
Saya ingin berpuasa pada 9 Zulhijjah,tapi saya masih ada puasa wajib yang belum saya ganti.Jika saya berniat ganti puasa wajib,adakah pahala puasa sunat itu saya dapat juga?Ataupun perlukah saya hanya berniat puasa sunat?

abubasyer said...

waalikumusalam, puasa hari Arafah adalah khusus pada 9 Zulhijjah,maka laksankan lah puasa sunat ini semata-mata kerana Allah SWT kerana besar ganjarannya di sisi Allah SWT,jika ada puasa qada yg belum digantikan maka tunaikanlah diwaktu yg lain.tidak boleh ada 2 niat dlm satu ibadah. Jika nak tunaikan puasa qada niatkan puasa qada bukan puasa sunat hari arafah.dalam satu riwayat aisyah(isteri Nabi SAW) pernah tangguhkan puasa qada kerana nak tunaikan puasa 6 bulan syawal, oleh itu boleh ditangguhkan puasa qada untuk mencari fadilat puasa 9 zulhijjah (puasa hari arafah).waullahualam.

Anonymous said...

Terimaksaih Ustaz.