Wednesday, November 2, 2011

Taatlah Allah dan Rasul-Nya Untuk Mendapat Kejayaan Dunia dan Akhirat


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
 
Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wa Ta‘ala telah berulang kali memerintahkan umat Islam supaya mentaati-Nya dan mentaati Rasul-Nya, Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Mentaati Allah bermaksud mentaati al-Quran al-Karim manakala mentaati Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bermaksud mentaati sunnahnya yang membentuk hukum syariat. 

Terdapat 14 ayat-ayat dalam al-Quran meminta manusia supaya mentaati Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Jika manusia enggan maka azab dan seksa daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan ditimpakan-Nya keatas mereka.

Pertama : (Jangan berpaling.)

Firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala yang bermaksud : "Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (al-Quran yang mewajibkan taatnya). (Surah al-Anfal ayat 20)

Kedua : (Jika kamu orang beriman.)

Perintah ketaatan ini Allah Subhanahu Wa Ta‘ala kaitkan dengan sifat iman dan takwa seseorang kerana iman dan takwa tidak boleh berpisah daripada ketaatan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Firman-Nya yang bermaksud : "Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang yang beriman". (Surah al-Anfal ayat 1)

Ketiga :Taat pada Allah, Rasulullah dan Uli'l-Amri

Persoalan keimanan sekali lagi dihubung-kaitkan dengan ketaatan kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Uli'l-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."(Surah al-Nisa’ ayat 59)

Sunnah Rasulullah terbahagi kepada dua kategori iaitu :

Pertama ialah apa yang membentuk hukum syariat seperti solat, puasa, perlaksanaan hukum jenayah dan sebagainya. 

Kedua ialah apa yang tidak membentuk hukum syariat terdiri daripada tingkah laku kebiasaan baginda sebagai manusia biasa seperti cara makan, cara berjalan dan sebagainya. 

Sunnah kategori kedua ini tidak wajib hukumnya, hanya dianjurkan mengikutinya sebagai bukti kasih sayang kita kepada baginda yang merupakan sebaik-baik contoh teladan.
 
Dalam ayat di atas kita dapati Allah Subhanahu Wa Ta‘ala memerintahkan ketaatan kepada Ulil Amri juga, iaitu para ulama dan pemimpin negara. Akan tetapi perhatikanlah bahawa Allah tidak meletakkan perkataan ‘taat’ sebelum perkataan Ulil Amri sebagaimana Allah meletakkannya sebelum perkataan Allah dan Rasulullah. Ini tidak lain membawa maksud bahawa ketaatan kita kepada perintah Allah dan Rasul-Nya adalah mutlak manakala ketaatan kita kepada Ulil Amri hanya apabila mereka melakukan perkara-perkara yang selari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Keempat : (Mendapat balasan syurga)

Hanya dengan mentaati ajaran al-Quran dan al-Sunnah kita akan diberikan ganjaran syurga sebagaimana janji Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud : "Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar." (Surah al-Nisa’ ayat 13)

Kelima : (Di syurga bersama para Nabi, siddiqin, syuhada dan solihin)

Mereka yang taat kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah akan bergembira di dalam syurga bersama-sama para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Salihin sebagaimana keterangan ayat berikut:

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud : "Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang Siddiqiin, dan orang yang syahid, serta orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat). (Surah al-Nisa’ ayat 69)

Keenam :(Mendapat rahmat Allah)

Lebih dari itu hanya dengan mentaati ajaran al-Quran dan al-Sunnah kita dijanjikan Rahmat oleh Allah sebagaimana janji-Nya: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat." (Surah Ali-Imran ayat 132)

Ketujuh : (Allah akan mengampunkan dosa)

Dengan mengikuti dan mencontohi sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kita akan memperolehi keampunan daripada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala sebagaimana firman-Nya yang bermaksud : "Katakanlah (wahai Muhammad) : 'Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu '.” 
(Surah Ali Imran ayat 31)

Kelapan : (Mendapat hidayah dan petunjuk)

Dengan mentaati dan mengikuti sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kita juga dijanjikan hidayah petunjuk oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala: "Dan jika kamu taat kepadanya (Muhammad) nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk." (Surah al-Nur ayat 54)

Ke sembilan : (Mendapat kejayaan )

Dengan mentaati perintah al-Quran dan al-Sunnah dengan sebenar-benar taat dan ikhlas, seseorang muslim itu akan beroleh kejayaan dan kemenangan yang hakiki sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala melalui firman-Nya yang bermaksud : "Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: 'Kami dengar dan kami taat'; dan mereka itulah orang yang beroleh kejayaan. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, dan takut melanggar perintah Allah serta menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah maka merekalah orang yang beroleh kemenangan." (Surah al-Nur ayat 51-52)

Kesepuluh : (Tidak akan sesat)

Dalam memberikan perintah dan peringatan kepada umat Islam untuk mentaati-Nya dan Rasul-Nya, yakni al-Quran dan al-Sunnah, Allah ‘Azza Wa Jalla juga memberikan amaran serta ancaman keras kepada sesiapa yang enggan melakukan sedemikian. Antara amaran tersebut ialah firman-Nya yang bermaksud : "Dan tidaklah harus bagi orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata." 
(Surah al-Ahzab ayat 36)

Kesebelas : (Mengelakkan daripada amal soleh terbatal)

Allah ‘Azza wa Jalla juga mengingatkan umat Islam yang sengaja beramal dengan sesuatu yang tidak dianjurkan oleh al-Quran dan al-Sunnah bahawa amalan mereka itu akan menjadi batal. Amaran Allah dalam al-Quran:  "Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu! "
(Surah Muhammad ayat 33)

Kedua belas : (Di jauhi daripada bala bencana dan azab seksa)

Allah Subhanahu Wa Ta‘ala juga mengingatkan umat Islam yang mengingkari ajaran serta perintah Rasul-Nya dengan amaran:

"Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Muhammad), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya."(Surah al-Nur ayat 63)

Ketiga belas : (Mengelakan daripada seksa neraka Jahanam)

Amaran ini diteruskan kepada balasan api neraka kepada mereka yang tetap berdegil dan enggan bertaubat. Mereka ini dijanjikan Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang bermaksud : "Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan dia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang yang beriman, kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan  memasukkannya ke dalam Neraka Jahanam dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."(Surah al-Nisa’ ayat 115)

Demikianlah peritnya azab yang dijanjikan Allah kepada mereka yang enggan mentaati ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Yusuf al-Qaradhawi berkata: "Telah diketahui dengan pasti bahawa tidak ada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan Allah dan Rasul-Nya tidak mewajibkan kita mentaati orang-orang tertentu sekalipun memiliki ilmu yang luas."

Keempat belas : (Menjadikan Rasulullah sebagai hakim)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bermaksud :  "Maka demi Tuhanmu, mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau  (wahai Muhammad) hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah dihukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya." (Surah al-Nisa’ ayat 65)

Ayat ini menerangkan bahawa jika seorang muslim itu tidak menerima atau merasa berat dan tidak rela dengan apa yang dihakimi oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam urusan agama maka dia tidak disifatkan beriman.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita mentaati perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam kehidupan kita sehari-harian. Hayatilah 14 ayat-ayat al-Quran yang memerentahkan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya tanpa ragu-ragu untuk mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

No comments: