Thursday, November 3, 2011

Sebab-sebab Doa Tidak di Makbulkan Oleh Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Doa adalah senjata orang mukmin. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Doa adalah senjata orang mukmin, tiang bagi agama dan cahaya dari langit." (Hadis riwayat Hakim)

Seorang hamba yang merendahkan dirinya dan bersifat tawaduk akan sentiasa berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT. Orang yang sombong dan merasakan dirinya serba cukup tidak mahu berdoa kepada Allah SWT dan dia hanya bergantung kepada hartanya, ilmunya, pangkatnya dan kekuasaannya yang dia miliki. Manusia seperti ini satu hari akan kecewa dan mengalami kegagalan kerana pergantungannya adalah suatu yang rapuh kerana menjauhkan dirinya daripada Allah SWT.

Terdapat 8 hikmah dan kebaikan berdoa kepada Allah SWT untuk menjadi panduan kita semua. Perkara-perkara adalah seperti berikut :

1) Doa adalah pelindung dan senjata kepada setiap orang mukmin dari godaan dan hasutan syaitan serta dari kejahatan manusia.

2) Allah SWT amat mengasihi dan menyukai akan hamba-hamba-Nya yang selalu berdoa dan meminta sesuatu kepada-Nya.

3) Dengan berdoa akan meningkatkan lagi ketakwaan dan kekuatan iman seseorang mukmin.

4) Dengan berdoa akan mententeramkan jiwa kita, menjadi penawar dan penenang kepada hati yang bersedih. Firman Allah, 'Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.' (Surah ar-Ra'du ayat 28)

5) Dengan berdoa Allah SWT akan menimbulkan pintu rahmat-Nya kepada manusia. Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Doa itu adalah anak kunci kepada pintu Rahmat."
(Hadis riwaya Ad-Dailami)

6) Doa merupakan penghubung di antara anak dengan ke dua ibu bapa sama ada yang masih hidup ataupu telah mati. Bagii ibu bapa yang telah meninggal dunia maka dari anak-anaknya yang soleh amatlah dinantikan untuk mendoakan kesejahteraan mereka di alam kubur. Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah semua amalannya melainkan tiga perkara iaitu, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang (sentiasa) mendoakannya."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

7) Berdoa adalah ubat penyembuh bagi segala penyakit yang ada pada diri manusia sama ada penyakit zahiriah mahupun penyakit batiniah.

8) Doa adalah penghubung dan pengikat tali persaudaraan dan kasih sayang di antara sesama mukmin. Bersabda Rasulullah SAW yang maksudnya : "Doa seseorang mukmin terhadap saudaranya (mukmin) secara diam-diam, pasti diperkenankan oleh Allah." (Hadis riwayat Muslim)


Sahabat yang dihormati,
Walaupun doa mempunyai banyak hikmah dan kebaikan tetapi kenapa doa-doa kita masih tidak dimakbulkan oleh Allah SWT?

Sebagai seorang mukmin yang sentiasa bermuhasabah diri perlulah kita mencari punca-puncanya supaya bila bertemu punca maka kita akan dapat memperbaikinya dan menjadikan doa kita makbul dan diterima oleh Allah SWT.

Terdapat satu kisah yang berlaku dizaman tabiin , seorang ulama sufi yang terkenal Ibrahim Adham memberi nasihat kepada umat Islam bahawa terdapat 10 perkara kenapa doa-doa merka  tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.

"Pada suatu masa Ibrahim Adham pernah di tanya kenapakah doa-doa mereka tidak di makbulkan oleh Allah SWT?
Ibrahim Adham menjawab terdapat 10 perkara kenapa doa-doa mereka tidak di makbulkan oleh Allah SWT :

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Kamu kata kenal Allah SWT tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya (tanggung jawab kamu kepadaNya)

2. Kamu membaca al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengan ajarannya.

3. Kamu kata kamu kasihkan Rasulullah SAW, tetapi kamu tidak beramal dengan sunnahnya.

4. Kamu kata syaitan itu musuh seterumu, tetapi kamulah karibnya dan patuh padanya.

5. Kamu berdoa untuk masuk ke syurga Allah SWT, tetapi kamu tidak beramal dengan amalan yang membawa kamu ke syurga.

6. Kamu berdoa minta di jauhkan dari api neraka, tetapi kamu beramal dengan amalan yang akan mencampakkan kamu ke neraka.

7. Kamu kata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya.

8. Kamu sibuk dengan keaiban saudaramu, tetapi kamu lupa dengan keaiban dirimu sendiri.

9. Kamu memakan nikmat Allah SWT, tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.

10. Kamu kuburkan saudaramu yang sudah mati, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.

Dengan itu maka taatlah akan Allah SWT,beramallah dengan Al-Quran, hidupkanlah amalan sunnah Rasulullah SAW, perangilah syaitan dengan penuh kesungguhan, berjalanlah di atas jalan menuju ke syurga, hindarilah dirimu dari masuk ke jalan ahli neraka.

Bersedialah untuk menghadapi maut, perbaikilah keaiban dirimu. Banyakkanlah meminta ampun (istighfar) dan bersyukur. Ingatlah kamu bahawa setiap diri di ikat oleh maut. Insya Allah, jika engkau demikian, maka doamu sentiasa di terima Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita beramal dengan 10 amalan yang dinyatakan oleh Ibrahim Adham kerana kesemua perkara tersebut adalah ajaran Islam yang sepatutnya kita beramal dan melaksanakannya dalam kehidupan kita. Jika kita istiqamah dengan Islam, melaksanakan semua perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya dan mematuhi sunah Rasulullah SAW dan menjaga hubungan kita sesama manusia  maka yakinlah insya Allah doa-doa kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT

No comments: