Sunday, March 11, 2012

Kenapa Penghuni Syurga Ramai Orang Miskin dan Penghuni Neraka Ramai Wanita?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Ibnu Abbas dan Imran bin Hussein r.a. bahawasanya Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud, “ Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada kalangan orang-orang yang fakir miskin. Dan aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya adalah terdiri daripada golongan wanita.”

Adakah kita tahu apakah yang berlaku kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. yang kita kasihi ketika berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj? Pada malam Israk dan Mikraj dengan izin dan rahmat kasih sayang Allah kepada Rasulullah SAW, telah diperlihatkan kepada badinda SAW. banyak perkara-perkara ghaib termasuk di antaranya keadaan di syurga dan keadaan di neraka. Baginda SAW melihat kebanyakan penghuni syurga itu adalah terdiri daripada kalangan orang yang fakir miskin. Ini disebabkan sewaktu mereka berada di dunia dahulu, mereka mempunyai banyak peluang untuk memperbanyakkan amal ibadat dan amal soleh kepada Allah. Begitu juga ahli neraka kebanyakannya adalah wanita kerana di dunia dahulu ramai yang derhaka kepada suamnya dan tidak dapat menjaga kehormatan dirinya. Inilah di antara mukjizat dan kelebihan yang dikurniakan Allah kepada kekasih-Nya, Rasulullah SAW  yang dapat mengetahui peristiwa yang akan datang di syurga maupun di neraka.

Tetapi malang sekali bagi mereka yang di dunia ini hanya mengejar kemewahan dunia sehingga tidak ada banyak masa untuk beribadat kepada Allah. Sesungguhnya orang mukmin itu bijak, mereka tidak akan sekali-kali tertipu dengan tipu daya kemewahan dan kesenangan di dunia yang sementara. Orang mukmin mempunyai matlamat hidup yang jelas, iaitu mereka ingin mencari keredan Allah SWT untuk mendapat kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Sahabat yang dimuliakan,
Hanya orang yang jahil, malang dan tidak bijak sahaja menjadikan dunia sebagai matlamat hidupnya. Bagi mereka kemewahan dan kesenangan yang dikecapi adalah segala-galanya. Mereka mengganggap kemewahan dan kesenangan yang dinikmati adalah kerana ilmu dan kebijaksanaan mereka, bukan disebabkan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Orang kaya banyak disibukkan dengan menghimpun harta dan menghabiskan masa mengejar kemewahan dunia sehingga mereka menyesal dikejutkan dengan kematian sebelum sempat berbuat amal ibadat dan bertaubat. Mereka akan menyesal di saat yang tidak berguna lagi penyesalan pada ketika itu.

Jesteru itu marilah sama-sama kita mencontohi kehidupan Rasulullah SAW  yang cukup sederhana dan menginsafkan kita. Kita boleh bayangkan atau tidak, seorang kekasih Allah, manusia yang paling dikasihi Allah ini boleh dikatakan sering berlapar dan kehausan, pakaian kain dan bajunya dari yang lama-lama serta benang pun kasar-kasar. Tempat tidur dihampar dengan tikar, bukan dengan hamparan permaidani hingga bantal tidurnya pun diperbuat daripada kulit kambing. Ini menunjukkan bahawa dunia ini adalah tempat yang hina dan segala kenikmatannya itu tiada suatu yang kekal, melainkan semuanya itu tipudaya semata-mata. Nabi SAW  sangat menghina dunia.

Apabila Rasulullah SAW melawat ke dalam neraka maka baginda SAW melihat kebanyakkan penghuninya adalah daripada kalangan wanita. Apakah kesalahan dan dosa yang mereka lakukan sehingga dikatakan menjadi penghuni paling ramai di neraka. Na’uzubillahiminzalik!!

Ini disebabkan ramai kaum wanita yang tidak menunaikan hak suami. Mereka tidak berterima kasih di atas pemberian suami dan tidak menjaga kehormatan diri ketika suami tidak ada di rumah. Mereka tidak menutup aurat daripada orang yang bukan muhram dan ramai pula di kalangan mereka keluar dari rumah dengan bermacam-macam perhiasan dan persolekan, memakai minyak wangi dan membiarkan bau wangi itu dicium oleh orang yang bukan mahramnya. Sedangkan dia berhadapan dengan suaminya dengan pakaian yang buruk dan badan yang berbau peluh. Inilah di antara sebab-sebab yang mengakibatkan ramai di kalangan wanita yang akan masuk neraka.

Abu Zar r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW  bersabda yang bermaksud, “Seorang wanita yang berkata kepada suaminya, ‘Semoga engkau mendapat kutukan Allah.’ Maka dia sendiri dikutuk oleh Allah dari atas langit yang ketujuh dan mengutuk pula segala ciptaan Allah kecuali dua jenis makhluk iaitu manusia dan jin.”

Kalau apa yang ada di bumi ini merupakan emas dan perak serta dibawa oleh seorang wanita ke rumah suaminya, kemudian pada suatu hari dia terlontar kata-kata angkuh, "Engkau ini siapa? Semua harta ini milikku dan engkau tidak punya harta apapun," Maka hapuslah semua kebaikannya walaupun banyak.

Marilah kita renungkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali k.j : “Saya bersama Fatimah berkunjung ke rumah Rasulullah dan kami temui baginda menangis. Kami bertanya kepada baginda, “Mengapa menangis wahai Rasulullah?” Beginda menjawab, ‘Pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat orang sedang mengalami berbagai penyiksaan. Maka bila teringatkan mereka aku menangis.’

Saya bertanya lagi, ‘Wahai Rasulullah apakah yang tuan lihat?’

Kata Rasulullah SAW :

'Wanita digantung dengan rambutnya kerana dia tidak menjaga rambutnya (ditutup) dikalangan lelaki bukan mahram.

Wanita digantung dengan lidahnya kerana dia menyakiti hati suaminya. Kemudian Nabi SAW bersabda yang bermaksud, ‘Tidak seorang wanita yang menyakiti hati suaminya melalui kata-katanya kecuali Allah akan melebarkan mulutnya kelak di hari kiamat selebar 70 zira’ kemudian akan mengikatnya di belakang lehernya.

Adapun wanita yang digantung dengan buah dadanya kerana dia menyusui anak orang lain tanpa izin suaminya.

Manakala wanita yang diikat kaki dan tangannya itu, kerana dia keluar rumah tanpa izin suaminya, tidak mandi wajib dari haidh dan nifas.’

Sambung Rasulullah lagi,

‘Adapun wanita yang memakan badannya sendiri kerana dia suka bersolek untuk dilihat lelaki lain serta suka membicarakan keaiban orang.

Adapun wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka kerana dia suka menonjolkan diri (ingin terkenal) supaya orang melihat perhiasannya dan setiap orang jatuh cinta kepadanya.

Adapun wanita yang kepalanya seperti babi dan badannya seperti keldai kerana suka mengadu-domba (batu api) serta berdusta.

Adapun wanita yang berbentuk seperti anjing, adalah kerana dia ahli fitnah serta suka memarahi suaminya.’

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu, wahai saudaraku sekelian, marilah sama-sama kita selamatkan kaum wanita kita dengan mengajak mereka untuk kembali mengambil Islam sebagai cara hidup. Hanya Islam agama yang diredai Allah. Ketahuilah wahai para suami sekelian, wanita itu akalnya senipis rambutnya. Dijadikan wanita itu daripada tulang rusuk yang bengkok, untuk luruskannya perlu kepada lelaki yang beriman kepada Allah. Dari itu didiklah mereka dengan tarbiyah Islamiah secara yang berhikmah.

Kasihanilah mereka, tanpa lelaki yang beriman tidak mungkin akan melahirkan wanita yang solehah.Jangan mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra seandainya diri kalian tidak sehebat Saidina Ali karamallahu wajhah.

Akal wanita senipis rambutnya, tebalkan dia dengan ilmu agama. Hatinya serapuh kaca, kuatkan dia dengan iman dan takwa kepada Allah. Perasaannya selembut sutera, hiasilah dengan akhlak mulia. Jangan jinakkan wanita dengan harta kerana nanti mereka akan semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan kerana nanti mereka akan menderita.

Kenalkan mereka dengan Zat Allah yang kekal, disitulah punca kekuatan dunia. Suburkan mereka dengan nikmat iman dan Islam kerana dari situlah nantinya mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rabb, Tuhan sekalian alam.

Bisikan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan kelemahan dan ianya bukan diskriminasi Allah, sebaliknya disitulah kasih sayang Allah. Tanpa iman, ilmu dan akhlak mereka tidak akan lurus, malah akan semakin bengkok. Itulah hakikatnya seandainya mereka tidak kenal Allah. Bila wanita menjadi derhaka pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara. Jinakkan diri mereka untuk mentaati Allah SWT.

1 comment:

Ashraf Aizzuddin said...

Assalamualaikum ustaz. Terima kasih atas pencerahan. Saya memang meminati & mengikut pencerahan2 ustaz di blog ini & telah banyak mempelajari ilmu2 Islam. Namun mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali k.j tersebut, saya ada membaca di blog Ustaz Abdul Kadir yang menjelaskan bahawa ianya adalah hadis palsu (http://bin-sahak.blogspot.com/2010/09/hadith-palsu-tentang-azab-wanita.html). Mungkin khilaf ini dapat dibincangkan dengan lebih lanjut.