Saturday, May 5, 2012

Kata-kata Nasihat Allahyarham al-Fadhil Ustaz Dato' Kaya Bakti Dahlan Mohd Zain.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-Marhum Ustaz Dato' Kaya Bakti Dahlan bin Mohd Zain adalah seorang pemimpin, guru, pendidik, murabbi dan seorang tokoh pendakwah yang gigih .

Ustaz Dahlan beroleh ijazah didalam bidang syariah dari Universiti Baghdad, Iraq. Beliau telah mendapat didikan Tarbiah Ikhwan Muslimin di Iraq semasa beliau menuntut di sana dibawah pimpinan Syeikh Muhammad Ahmad ar-Rashid atau Abu Ammar.

Beliau kembali ke tanahair dan mula aktif dilapangan Dakwah sejak diakhir tahun 1960an khususnya di dalam ABIM (ditubuhkan tahun 1972).

Mengimbau kembali zaman Kebangkitan Islam Haraki yang pertama pada tahun-tahun akhir 70 an dahulu. Manhaj amal Al-Marhum menekankan persoalan dan pembentukan akidah pada diri para pendakwah berupa pembersihan jiwa, penumpuan terhadap aqidah seperti di fasa Makkiyah dan penolakan total terhadap segala bentuk jahiliyah zaman moden ini begitu menonjol terutama pada akhir 70 an.

Al-Marhum adalah pengasas Pusat Pendidikan Maahad Tarbiah Islamiah (MATRI) terletak diTunjung Perlis bersama-sama sahabat seperjuangan Ustaz Omar Hi Salleh, Ustaz Abd Hadi Osman, Cikgu Mohd Abduh dan lain-lain lagi.
Maahad Tarbiyyah Al Islamiyyah atau singkatannya MATRI mula beroperasi pada tahun 1987. MATRI adalah sebuah sekolah agama rakyat, dibangunkan hasil usaha titik peluh dan sumbangan infaq orang ramai bermula dari sebuah bangunan kecil dan kini MATRI  mampu mendidik hampir 1000 orang pelajar yang terdiri dari pelajar Malaysia dan pelajar-pelajar dari luar negara spt. Aceh, Kemboja dan selatan Thailand. MATRI telah mengeluarkan ramai ustaz dan hafiz yang amat diperlukan samada dalam negara dan Negara Luar terutamanya Kemboja yang amat kekurangan ustaz sebagai pendakwah di sana. MATRI telah melahirkan ramai pelajar yang terpilih sebagai pelajar terbaik Malaysia bagi peperiksaan PMR, SPM & STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia). 

 

Diakhir hayatnya, Ustaz Dahlan adalah Mudir (Pengetua) Maahad Tarbiyah Islamiyah (MATRI).

Al-Marhum juga pengasas kepada Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia.(HALUAN Malaysia). HALUAN adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO Islam) yang aktif menyampaikan dakwah kepada para pelajar di sekolah, IPT dan masyarakat umum.
Al-Marhum Ustaz Dahlan dimasukkan ke hospital pada 8 Ogos 2010 , 2 hari sebelum bermula bulan puasa Ramadan kerana sesak nafas dipercayai kerana paru-paru berair. Al-Marhum sempat menjalani dialisis sebanyak 3 kali sebelum keadaan beliau merosot diikuti kegagalan buah pinggang, paru-paru berair dengan beberapa serangan jantung dan stroke  sebelum pihak keluarga mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah pada pagi Sabtu 18 Sept 2010. Kira-kira jam 9.55 pagi pada hari yang sama, Ustaz Dahlan menghembuskan nafasnya yang terakhir meninggalkan keluarga dan para pendakwah HALUAN yang giat bekerja demi Islam serta masyarakat yang dibimbing olehnya, khususnya melalui pusat pendidikan Maahad Tarbiyah Islamiyah (MATRI), Tunjung, Perlis.

Al-Marhum berpesan katanya : “Kita akan berasa sempit apabila memikirkan kitalah yang memulakan dan mengakhiri dakwah ini. Tetapi apabila kita memikirkan kita ini hanyalah satu mata daripada mata-mata rantai yang panjang, kita akan bergembira dan bersemangat untuk berjuang kerana kita tahu akan ada orang yang akan menyambung perjuangan kita. Orang itu tidak lain tidak bukan ialah generasi pemuda.” -- Al-Marhum Ustaz Dato' Kaya Bakti Dahlan bin Mohd Zain 

Bersama Murabbi

Bersama Murabbi

Doa :

"Ya Allah! Bagimu segala puji! Engkau cahaya langit dan bumi beserta isinya. Bagimu segala puji! Engkau Maha Benar; janjiMu benar, firmanMu benar, berjumpa denganMu benar, syurga itu benar, neraka itu benar, hari kiamat itu benar, para nabi itu benar, dan nabi Muhammad itu benar. Ya Allah! kepadaMu aku berserah diri, bertawakkal, aku beriman, aku kembali, denganMu aku memusuhi (musuhMu) dan kepadaMu aku mengadu. Ampunilah aku dari setiap dosa yang telah aku lakukan dan lalaikan, dari sesuatu aku sembunyi dan nampakkan. Engkaulah Dzat Yang Maha Terdahulu dan Terakhir"
(Hadis Riwayat Bukhari)

“TARBIYAH tanpa DAKWAH, takkan ke mana-mana, DAKWAH tanpa TARBIYAH,
sia-sia .”

No comments: