Saturday, May 26, 2012

Kenapa Islam Menolak Perjungan Asabiyyah?


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah bersifat syumul, lengkap dan sempurna. Islam ditanzilkan oleh Allah SWT adalah untuk semua bangsa di dunia ini. Walaupun Islam diturunkan dinegara arab dan bahasa al-Quran dan hadis adalah bahasa arab tetapi ini bukan bermakna Islam hanya mengutamakan bangsa arab sahaja .

Islam datang menyatukan semua bangsa, walaupun berlainan bahasa, perbezaan warna kulit dan keturunan. Islam tidak pernah mengagongkan satu-satu bangsa dan menganggap bahawa semua bangsa adalah sama kerana orang yang paling mulia dikalangan manusia di sisi Allah SWT adalah orang yang paling bertakwa kepada-Nya.

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al- Hujurat ayat 13)

Dalam hadis-hadis sahih terdapat larangan dari sikap asabiyyah dan mengajak kepada asabiyyah seperti asabiyyah perkauman yang sempit, berjuang di bawah panji perjuangan yang kabur, sekular, sesat dan bidah serta pilih kasih (disebut dalam hadis sebagai ‘asabiyyah ‘immiyyah dan qitlah jahiliyyah).

14 روايةً. م الإمارة 3440 حَدَّثَنَا هُرَيْمُ بْنُ عَبْدِ الْأَعْلَى حَدَّثَنَا الْمُعْتَمِرُ قَالَ سَمِعْتُ أَبِي يُحَدِّثُ عَنْ أَبِي مِجْلَزٍ عَنْ جُنْدَبِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الْبَجَلِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ((مَنْ قُتِلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَدْعُو عَصَبِيَّةً أَوْ يَنْصُرُ عَصَبِيَّةً فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ)). *

Al-Imam Muslim meriwayatkan dengan sanadnya dari Jundab ibn ‘Abdillah al-Bajali berkata bersabda Rasulullah SAW : “Sesiapa yang mati terbunuh di bawah bendera ‘immiyyah, mengajak kepada kepada ‘asabiyyah atau membantu ‘asabiyyah maka ia mati dalam jahiliyyah.” (Hadis Sahih Muslim, al-Imaarah, hadis 3440. (terdapat 14 riwayat tentang asabiyyah).

Dilarang segala bentuk ‘asabiyyah perkauman, kenegerian, bangsa, keluarga, kecuali kecintaan kepada agama Allah. Hanya bendera Islam yang diterima dan diizinkan, dilarang marah kerana kaum, negara, bangsa, keluaraga, kebendaan, ideologi, sistem selain Islam. Segala perjuangan, seruan, dan pergerakan jahiiyyah adalah haram kecuali perjuangan Islam.

Dalam riwayat Abu Dawud dinyatakan bahawa ‘asabiyyah ialah membantu kaum atau bangsa sendiri melakukan kezaliman iaitu syirik dan maksiat. (al-Sunan, al-Adab, hadis 4456.)

‘Asabiyyah juga sinonim dengan sifat pilih kasih dan berat sebelah dalam sesuatu perkara, memberikan hak kepada orang yang tidak berhak.

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam doa iftitah semasa solat sering kita baca doa maksudnya : "Segala Kebesaran dan Kepujian adalah untuk Allah sebanyak-banyaknya. Maha Suci Allah setiap pagi dan petang. Aku menghadapkan mukaku kepada (Tuhan) yang menjadikan langit dan bumi, dengan keadaan tunduk menyerah diri dan bukannya aku termasuk dalam golongan orang musyrik. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Semesta Alam. Tiada sekutu baginya kerana itu aku rela diperintah dan aku ini adalah termasuk golongan orang Islam."

Bukankah dalam doa ini kita serahkan diri kepada Allah SWT , hidup dan mati kita kerana Allah SWT dan memohon supaya kita termasuk dikalangan orang Islam? Kenapa dalam doa kita berjanji akan memperjuangkan Islam tetapi dalam kehidupan dan perjuangan ada dikalangan kita hidup semata-mata memperjuangkan bangsa dan mati untuk bangsa?

Walaupun bangsa arab adalah bangsa yang dominan tetapi Nabi SAW melarang sahabat-sahabatnya berjuang kerana bangsa, keturunan atau suku kaum.
 
Sabda Nabi SAW maksudnya :“Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi). 

Dalam hadis yang lain sabda Nabi SAW :

عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ قَالَ النَّبِيُّ r إِنَّ الْأَشْعَرِيِّينَ إِذَا أَرْمَلُوا فِي الْغَزْوِ أَوْ قَلَّ طَعَامُ عِيَالِهِمْ بِالْمَدِينَةِ جَمَعُوا مَا كَانَ عِنْدَهُمْ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ثُمَّ اقْتَسَمُوهُ بَيْنَهُمْ فِي إِنَاءٍ وَاحِدٍ بِالسَّوِيَّةِ فَهُمْ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُمْ

(Maksudnya) Daripada Abi Burdah, daripada Abi Musa, katanya: Sabda Nabi S.A.W.: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis di atas, walaupun Nabi SAW melarang asabiyyah tetapi baginda memuji sikap tolong menolong, bantu membantu serta perasaan mengambil berat antara satu sama lain. Baginda SAW memuji sikap yang ditunjukkan oleh kaum al-Asy`ariyin yang jamin menjamin kebajikan sesama mereka. Maksud “Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka” ialah menggambarkan redhanya Nabi SAW dengan tindakan mereka. Betapa yang mereka lakukan menepati ketaatan kepada Allah.

Tolong menolong sesama sendiri atau puak, atau bangsa atau kumpulan dalam daerah kebajikan dan takwa tidak dianggap sebagai perkauman yang sempit. Kata al-Syeikh Muhammad al-Mubarak ketika menghuraikan hadis di atas:

“Sesungguhnya Nabi SAW. memerangi `asabiyyah (perkauman) yang semata-mata disebabkan keturunan, lalu menggantikannya dengan ikatan akidah dan prinsip. Namun baginda menganggap kaum al-`As`ariyin sebahagian daripada baginda. Ini disebabkan prinsip yang sama iaitu jamin-menjamin dan bantu membantu dalam harta. Juga membahagikan harta sesama sendiri dalam hal darurat dan keperluan ."
(Muhammad al-Mubarak, Nizam al-Islam, mabadik wa qawa`id `ammah, m.s. 134, Dar al-Fikr, Beirut).

Ini kerana seseorang individu atau sesebuah organisasi kadang kala tidak dapat melaksanakan bantu membantu atau jamin-menjamin dalam kebajikan meliputi semua masyarakat. Maka sekurang-kurangnya hendaklah dibuat dalam batasan kelompok yang termampu.

Namun konsep kebajikan tidaklah boleh dihadkan hanya kepada sekelompoknya sahaja, jika ada ruang atau tuntutan maka ianya mesti diluaskan kepada kelompok lain yang juga memerlukan bantuan. Tidak boleh pula menolong sesama sendiri sehingga ada pihak yang terzalim atau menyempitkan maksud pertolongan sehingga tidak diberi pertolongan melainkan hanya kepada kaum atau kumpulan sendiri sahaja. Ini untuk mengelakkan sikap `asabiyyah yang menolong kaum atau kumpulan sendiri sekalipun atas nilai kezaliman.

Apabila ditanya Nabi SAW :

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُحِبَّ الرَّجُلُ قَوْمَهُ قَالَ لَا وَلَكِنْ مِنَ الْعَصَبِيَّةِ أَنْ يُعِينَ الرَّجُلُ قَوْمَهُ عَلَى الظُّلْم

Maksudnya : "Wahai Rasulullah! Apakah termasuk dalam `asabiyyah jika seseorang mencintai kaumnya?. Jawab baginda: Tidak! Tetapi `asabiyyah itu seseorang menolong kaumnya atas kezaliman."
(Hadis Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad dengan sanad yang sahih. Hadith ini dengan lafaz Ahmad)

Kalaulah tolong menolong sesama puak diizinkan dan dipuji oleh Rasululuh SAW demi kebajikan terutamanya ketika waktu susah dan terdesak, tentulah tolong-menolong sesama muslim dalam keadaan Islam dimusuh dan ditindas lebih dituntut. Bahkan tolong menolong, bantu membantu dan jamin-menjamin sesama muslim di dalam perkara makruf atau kebaikan adalah merupakan tuntutan al-ukhuwwah al-Islamiah (persaudaraan Islam). Seseorang muslim sentiasa berusaha membantu saudara muslimnya yang lain. Sabda Nabi SAW.:

عَنْ أَبِي مُوسَى عَنِ النَّبِيِّ rقَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sahabat yang dihormati,
Terdapat di dalam masyarakt kita suatu "jamaah" yang telah keluar dalam jamaah Islam telah berubah perjuangan daripada Islam kepada bangsa, dengan mota "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat"

Bukankah Islam datang untuk menyatupadukan semua bangsa kepada satu akidah, satu kepercayaan dan satu perjuangan? Bukankah bangsa yang tidak ada akidah akan sesat dan menyeleweng daripada landasan sebenar? Sepatutnya seruan berbunyi : Umat Islam sepakat, Islam akan berdaulat" kerana dalam masyakarat Malaysia terdapat Cina Muslim, India Muslim, Thai Muslim, Khadazan Muslim, Iban Muslim dan lain-lain bangsa yang menjadi muslim. Mereka semua adalah saudara-saudara kita seagama kenapa mesti fokus kepada satu-satu bangsa sahaja.?

Tren "jamaah" ini mula bersama-sama dan bersekongkol dengan kumpulan perjuangan asabiyyah dan sentiasa menyerang dan membuat fitnah kepada pergerakan Islam, parti Islam dan berdiam diri pula kepada golongan asabiyyah yang terang-terang mempertahankan kebatilan, memperlekehkan hukum hudud, menabur fitnah kepada jamaah yang ditinggalkannya dahulu.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya” (Hadis riwayat At-Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)

Paling mendukacitakan orang yang sanggup mencari aib orang lain adalah berpelajaran tinggi, pengajian Islam, pakar motivasi, bercakap untuk memperjuangkan Islam dan melayu dan mampu berpidato berapi-rapi mengajak hadirin berakhlak Islam dan memperjuangkan Islam. Mereka umpama "ketam mengajar anaknya berjalan betul".

Hakikat sebenarnya mereka sudah tertipu dengan kerja-kerja iblis laknatullah, mereka sudah dikuasai oleh nafsu amarah sehinggakan tidak ada pertimbangan yang waras dan soal dosa pahala di tolak tepi, yang penting bagi mereka rasa puas apabila kutukan, serang peribadi dan memperlekehkan para pendakwah dan ulama dapat dilepaskan kepada musuh mereka. Soal hendak menjadi muflis atau tidak dihari akhirat itu soal lain yang penting apa yang nafsu mereka hajatkan dapat dipenuhi. Sedangkan Nabi SAW bersabda. "Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim". (Hadis Riwayat Muslim)

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam baginda bersabda seorang Muslim adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain berasa aman daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka".
(Hadis Riwayat Nasaie)

Ingatlah pesan Nabi SAW bahawa golongan yang akan mendapar seksa yang dahsyat di hari akhirat adalah golongan ulama yang tahu hukum tetapi melanggarnya dengan memutuskan silaturahim sesama saudara Islam dan bersama-sama berjuang landasan yang salah dan redha dengan golongan asabiyyah .

Daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Harithah radiallahu anhuma berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “Akan didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat nanti lalu dilemparkan ke dalam api neraka sehingga terkeluarlah isi perutnya kemudian lalu ia berpusing (ditengah-tengah unggunan api neraka) seperti berpusingnya seekor kaldai di tempat penggilingan gandum. Para penghuni neraka terkejut melihat kejadian ini lalu mereka segera berhimpun di sekelilingnya sambil berkata kepadanya, Hai Fulan! Mengapa engkau jadi begini? Bukankah dahulu (sewaktu di dunia) engkau suka menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang mereka daripada kemungkaran?” Lalu orang itu menjawab, “Ya benar. Dahulunya saya suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan tetapi saya tidak melakukannya dan saya suka melarang orang lain daripada melakukan kemungkaran tetapi saya sendiri melakukannya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud pendakwah yang malang di sini ialah ia mengajar orang lain tetapi ia sendiri tidak beramal dengan ilmunya. Seorang pendakwah yang menyeru amal makruf nahi munkar mestilah terlebih dahulu mempraktikkannya sebelum menyeru kepada orang lain. Apabila ia mempraktikannya kemudian menyeru pula kepada orang lain maka pahalanya luar biasa berganda. Ini adalah kerana ia mendapat pahala amal ibadah atas amal yang dikerjakannya dan pahala dia mengajar kepada orang lain apabila orang lain mengerjakan apa yang diajarnya. Ia akan mendapat pahala yang sempurna dari setiap orang yang mempraktikkan ajarannya. Inilah yang dikatakan pahala yang luar biasa gandaannya. Sebab itulah apabila berdakwah maka ia perlu mempraktikkannya sekali. Jika tidak kesannya terhadap masyarakat sangat buruk kerana masyarakat mengambil teladan daripadanya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita tinggalkan perjuangan asabiyyah yang ditegah oleh Nabi SAW dan teruskan dan beristiqamahlah dengan perjuangan Islam. Mereka yg sudah terkeliru dan tergelincir daripada pejuangan asal maka bertaubatlah kepada Allah SWT dan kembailah kepada perjuangan yang sebenar, janganlah kalian akan disoal nanti di hari akhirat kerana "jenayah" yang telah kalian lakukan. Waullahualam.






No comments: