Sunday, May 27, 2012

Hayati 10 Nasihat Sebagai Penyejuk Hati

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sebagai insan biasa hidup kita tidak sunyi daripada resah gelisah, hati tidak tenteram, menghadapi dugaan hidup yang mencabar dan gagal mendapat apa yang dihajatkan.

Sebagai seorang mukmin yang percaya kepada Qada dan Qadar dan reda dengan takdir Ilahi maka kalian perlu hadapi semua dengan berlapang dada dan bersabar kerana setiap kesabaran itu akan diberi ganjaran yang besar dan akan beroleh kebahagiaan dan kejayaan.

Untuk menghadapi kehidupan yang sukar ini terdapat 10 nasihat sebagai penyejuk hati semoga kita menjadi seorang mukmin yang diredai Allah SWT :

Pertama : Bayangkan Allah SWT mengampun kepada sesiapa yang memohon kemaafan daripadaNya. Allah SWT akan menerima taubat orang yang bertaubat. Allah SWT bersedia menerima siapa yang kembali ke pangkal jalan. Allah SWT seperti prasangka para hamba kepada-Nya.

Kedua : Berilah kasih sayang kepada orang yang lemah, tunaikanlah hajat kepada mereka yang berhajat dan rawatlah mereka. Jangan memendam kemarahan tetapi berilah kemaafan. Tutuplah aib orang lain supaya aibmu ditutup oleh Allah SWT.

Ketiga : Pandanglah pada Allah SWT dengan pandangan positif dan ingatlah Allah SWT sentiasa mendampingi diri kalian setiap masa. Ingatlah malaikat sentiasa memohon kempanan daripada Allah SWT untuk kalian. Syurga Ilahi sentiasa menunggu kedatangan kalian kesana.

Keempat : Sapulah titisan airmata dengan pandangan positif kepada Allah SWT, Hapuskan segala kekecewaan dengan membilang segala nikmat Allah SWT yang telah Allah SWT berikan pada kalian.

Kelima : Janganlah kalian berpandangan ” Dunia telah menyempurnakan hajat seseorang”, tidak ada manusia yang mendapat segala hajatnya dibumi ini dan tidak pernah ditimpa kesusahan. Kerana di dunia adalah tempat sementara dan di akhirat adalah tempat yang kekal abdi.

Keenam : Jadilah diri kaian seperti Pokok Mangga yang lebat dan manis buahnya dan rendang pokoknya, tidak menyakiti orang lain, walaupun ada yang membaling batu untuk mendapatkan buahnya, kalian tetap memberi kebaikan iaitu buah yang manis.

Ketujuh : Pernahkah kalian mendengar, kesedihan akan mengembalikan segala yang telah hilang, kekecewaan akan memperbetulkan kesalahan lalu,?

Jika demikian kenapa kalian harus bersedih dan kecewa ?

Kelapan : Jangan terlalu mengambil berat dugaan dan fitnah, tetapi pandanglah ketenteraman dan keselesaan serta kebaikannya.

Kesembilan : Padamkan api hasad dengki dalam jiwa kalian, siramilah hati kalian dengan kemaafan kepada semua mereka yang telah menyakiti kalian.

Kesepuluh : Mandi dari segala kekotoran,berwuduk, solat duha, bersedekah, memakai wangi-wangian, bersugi dan berdisiplin adalah penawar ke arah kejayaan kepada setiap hati yang kotor dan hati resah gelisah. Di ikuti dengan banyakkan beristighfar.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita hayati dan amalkan 10 nasihat di atas sebagai penyejuk hati untuk mengubati hati-hati yang sakit, tidak tenang dan sedang bersedih kerana kehilangan insan yang dikasihi. Ingatlah hidup di dunia ini hanya sementara dan akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.



No comments: