Sunday, May 27, 2012

Apakah Ciri-ciri Kumpulan Asabiyyah?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hadis Nabi SAW jelas menyatakan bahawa baginda melarang umatnya memperjuangkan asabiyyah kerana perjuangan asabiyyah adalah perjuangan jahiliyah mengutamakan suku bangsa melebihi kepentingan persaudaraan Islam.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang mati terbunuh di bawah bendera ‘immiyyah, mengajak kepada kepada ‘asabiyyah atau membantu ‘asabiyyah maka ia mati dalam jahiliyyah.” (Hadis Sahih Muslim, al-Imaarah, hadis 3440. (terdapat 14 riwayat tentang asabiyyah).

Berdasarkan hadis di atas apakah ciri-ciri suatu kumpulan itu  boleh di kategorikan sebagai asabiyyah supaya umat Islam diminta menjauhinya kerana Nabi SAW tidak mengaku sebagai umatnya. Jika baginda sendiri tidak mengaku sebagai umatnya maka perkara ini suatu dosa besar yang wajib dijauhi dan bukan perkara kecil boleh di ambil sambil lewa sahaja.

Terdapat tujuh ciri-ciri suatu kumpulan itu dikategorikan sebagai perjuangan asabiyyah .

Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Kumpulan tersebut meletakkan bangsanya sendiri sebagai asas perjuangan bukannya Islam sebagai asas perjuangan.

Memperjuangkan kebudayaannya, adat-istiadat tradisinya, pakaian tradisinya, kepercayaan kuno yang diwarisi datok nenek moyang, seni dan alat-alat muzik tradisi dan amalan-amalan tertentu yang tidak ada nas sahih daripada al-Quran dan sunah.

Kumpulan ini tetap mempertahankannya walaupun ada  diantara warisan tersebut samaada budaya, adat-istiadat, pakaian tradisi, kepercayaan datok nenek moyang tersebut bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. 

Kedua : Kumpulan tersebut mengutamakan bangsanya sendiri melebihi persaudaraan Islam.

Meletakkan bangsanya ditempat yang paling tinggi walaupun bangsanya melakukan kezaliman dan ketidak adilan kepada bangsa-bangsa lain. Menyatukan bangsanya atas asas  keturunan bukannya atas asas akidah dan menafikan hak persaudaraan Islam sedangkan keutamaan sepatutnya diberikan kepada saudara seakidah walaupun berlainan bangsa. Menganggap bangsa lain kelas ke dua walaupun mereka seorang muslim.

Ketiga : Kumpulan tersebut tidak berusaha bersungguh-sungguh mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT.

Kumpulan tersebut sering memperlekehkan hukum-hukum Allah SWT sering mencari alasan dan mengulangi dakwaan bahawa hukum hudud, qisas dan takzir yang terdapat di dalam al-Quran dan sunnah dan ijmak ulama sebagai tidak sesuai dengan masyarakat majmuk. Lebih reda mempertahankan undang-undang barat daripada memperkasakan undang-undang Islam . Jika ada dikalangan kumpulan lain yang cuba mencadangkan hukum hudud dalam masyarakat mereka akan menghalangnya dengan cara ugutan dan undang-undang.

Keempat : Kumpulan tersebut memiliki para pemimpin dan ahli-ahlinya tidak membawa syaksiah dan akhlak Islam seperti tidak menutup aurat, menggalakkan percampuran bebas lelaki dan wanita dan banyak memperomosi hiburan-hiburan yang bertentangan dengan syariat Islam.

Kelima : Kumpulan tersebut sukar menerima nasihat dan teguran daripada para ulama dan sering membuat tuduhan kepada ulama dan para pendakwah Islam sebagai pelampau, ekstrim, ketinggalan zaman dan menyekat dakwah tersebar di dalam masyarakat. Jika kumpulan tersebut mempunyai kuasa maka sebahagian ulama dan para pendakwah Islam yang menyatakan kebenaran akan ditangkap dan dipenjarakan tanpa didakwa dimahkamah.

Keenam : Kumpulan tersebut menggunakan kaedah "matlamat menghalalkan cara"

Kumpulan tersebut sentiasa menggunakan semua cara samaada halal atau haram untuk mencapai matlamatnya. Samaada cara menipu, ugutan, menyebarkan fitnah dan mendedahkan aib seseorang yang tidak disukainya. Kumpulan ini tidak kisah samaada dosa atau pahala yang penting mereka kekal dalam mempertahankan kuasa dan perjuangannya.

Kumpulan ini akan melindungi golongan elit dikalangan pemimpin mereka yang melakukan jenayah seperti rasuah, pecah amanah, skandal seks dan penipuan. Sedangkan golongan bawahan tidak terlepas daripada dakwaan dimahkamah. Perbezaan hukuman dimahkamah sebagai bukti tidak berlaku keadilan dalam pendakwaan kerana ada "tangan-tangan ghaib" dibalik keputusan tersebut.

Jelas berlaku pendakwan terpilih. Dalam Islam sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan tetap dihukum tidak kira samaada dia pemimpin atau rakyat biasa.

Ketujuh : Kumpulan tersebut berusaha mempertahankan sistem yang mereka bawa dan tidak boleh ditegur langsung . Mereka akan marah dan bertindak agrasif seperti kena histeria dengan mudah membuat demontrasi, membuat lapuran polis dan menyerang kumpulan lain dalam blog dan facebook dengan maki-hamun dan mengupah 'samseng' untuk memberi ugutan dan ancaman kepada mereka yang membuat teguran. Sedangkan mereka tidak bertindak langsung apabila ada kumpulan bukan Islam yang mempermain-mainkan hukum-hukum Allah SWT dan menghina hudud. Bagi kumpulan ini 'hak kami jangan diusik kalau hak orang lain tidak mengapa'.

Dalam Islam digalakkan kita saling nasihat menasihati dan bantu membantu sesama saudara Islam dan akan marah apabila sesiapa sahaja yang menghina Nabi SAW ataupun menghina hukum Islam.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika suatu kumpulan atau parti  dalam masyarakat kita atau masyarakat diseluruh dunia yang memiliki tujuh ciri atau salah satu daripada ciri-ciri di atas maka kumpulan tersebut termasuk dikalangan kumpulan yang mempejuangkan asabiyyah. Kumpulan seperti inilah yang sangat dilarang oleh Nabi SAW.

Dalam Islam sesiapa sahaja samaada kumpulan  atau individu perlulah mematuhi syariat Allah SWT dan meletakkan syariat Allah SWT ditempat yang paling tinggi sekali. Sedangkan dalam kumpulan asabiyyah mereka meletakkan peraturan kumpulannya ditempat yang paling tinggi tidak boleh diusih dan di tegur.

Perlu dijelaskan disini kumpulan asabiyyah ini bukannya tidak ada langsung kebaikan yang dibuat untuk masyarakat seperti membantu mangsa bencana alam, membantu fakir miskin memberi sumbangan untuk sekolah agama dan rumah anak yatim tetapi matlamat, perjungannya bukan untuk mendaulatkan Islam dan peraturannya.  Tujuan perjuangannya bukan kerana Allah SWT tetapi lebih kepada keduniaan dan kemegahan. Masing-masing berebut kuasa kerana dengan kekuasaan akan beroleh habuan dunia, pangkat dan kemasyhuran. Suka kepada pujian manusia dan bertindak mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri kita dimana kedudukan kita sekarang ini. Adakah kita sedang berada bersama-sama kumpulan asabiyyah atau kita berada bersama kumpulan Islam yang bermatlamatkan keredaan Allah SWT?. Perlu diingat kita akan dipersoalkan di hari akhirat nanti semua amal soleh, amal ibadah dan perjuangan yang kita sertai, jika benar jalan dan matlamatnya insya Allah kita akan terselamat tetapi jika tidak kita akan tanggung azab seksa yang amat dahsyat sekali kerana baginda tidak mengaku sebagai umatnya, nauzubillahiminzalik. Wauallhualam.






No comments: