Wednesday, May 30, 2012

Jauhi Sifat Riak dan Sum'ah Supaya Amalan di Terima Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Riak dan sum'ah adalah dua sifat yang dibenci oleh Allah SWT. Jika terdapat kedua-dua sifat ini amalan seseorang itu terbatal dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Apa saja sifat yang boleh mendatangkan keburukan, kebinasaan atau kecelakaan dalam hidup seseorang, ia boleh dianggap sebagai penyakit. Perbuatan riak dan sum'ah dianggap satu daripada penyakit rohani dan Islam memandangnya sebagai wabak yang mengancam kemurnian akidah orang Islam. Di kalangan orang Islam riak masih wujud dalam kehidupan hari ini walaupun sifat dan perbuatan itu dibenci Allah SWT.

Riak berasal dari kata ru’yah yang ertinya melihat. Berlaku riak ertinya menampakkan amal soleh supaya dilihat manusia. Riak ada disebut dalam al-Quran,
antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang-orang yang memperlihatkan amalnya (yura’un) dan enggan membayar zakat.” (Surah al-Ma’un ayat 6-7)
 
Ulama Islam berpendapat riak adalah sifat yang tidak baik diamalkan oleh orang Islam. Dalam Islam, riak adalah sifat yang cukup keji kerana ia boleh membinasakan segala kebaikan yang pernah dilakukan selama ini dan merosakkan pahala amal soleh seseorang. Sifat riak sebenarnya boleh dihindari dengan memperkuat atau mempertingkatkan iman dan hati sentiasa takut akan azab dan seksa Allah di akhirat nanti.

Menurut Imam Al-Ghazali, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan kepada mereka hal-hal kebajikan. Sementara Imam Habib Abdullah Haddad pula berpendapat riak ialah menuntut kedudukan atau meminta dihormati daripada orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat. 

Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: “Maka celakalah (azab) bagi orang yang sembahyang, yang mereka itu lalai daripada sembahyangnya lagi mereka itu riak.” (Surah Al-Maun ayat 4-6).

Secara mudah kita simpulkan bahawa riak adalah perbuatan yang semata-mata untuk mengharapkan sanjungan, pujian atau penghormatan daripada orang lain. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak Islam yang sentiasa menyeru umatnya agar beramal atau melakukan perkara kebaikan dengan hati penuh keikhlasan dan mengharapkan keredaan Allah.

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dengan rasa angkuh dan (suka) mempamer (riak)
kepada manusia.” (Surah al-Anfal, ayat 47)

Sahabat yang dimuliakan,
Selain daripada riak satu lagi sifat yang dibenci oleh Allah SWT adalah sum'ah. Sum’ah berasal daripada kata samma’a yang ertinya memperdengarkan. Memperdengarkan amal kepada manusia ertinya menampakkan amal yang sebelumnya dirahsiakan.

Riak dan sum’ah menurut istilah adalah mempamerkan amal soleh kepada orang
dengan tujuan mendapatkan kehormatan. Jika seseorang beramal untuk dilihat manusia, itu namanya riak. Jika tidak dilihat manusia tetapi kemudian dia menceritakannya kepada mereka, itu namanya sum’ah.

Imam ‘Izzuddin ‘Abdissalam membezakan riak dan sum’ah. Beliau berkata:
“Riak adalah beramal kerana selain Allah SWT. Sum’ah adalah menyembunyikan amal
kerana Allah SWT, tetapi kemudian menceritakan amal itu kepada manusia.”

Di sini seolah-olahnya Imam ‘Izzuddin melihat semua riak adalah tercela, sedangkan sum’ah ada tercela dan ada yang terpuji. Sum’ah tercela apabila tujuan penceritaan amal itu demi penghormatan manusia dan sum’ah terpuji apabila tujuan penceritaan demi penghormatan Allah SWT dan reda-Nya.

Nampaknya pendapat Imam Izzuddin sesuai dengan nas syariat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak (pamer) kepada manusia.”
(Surah al-Baqarah, ayat 264)

Manakala Rasulullah SAW menyebut dalam hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud:
“Sesiapa memperdengarkan (amalnya), Allah SWT pun akan memperdengarkan
(keburukannya); sesiapa memperlihatkan (amalnya), Allah SWT akan memperlihatkan (keburukannya).”

Dalam hadis diriwayatkan Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya
yang paling aku bimbang atas kamu adalah syirik kecil. Para sahabat bertanya:
Wahai Rasulullah, apakah syirik kecil itu? Rasulullah SAW menjawab: Riak.”

Ada tiga faktor menyebabkan seseorang itu suka mempamer atau bersikap riak antaranya lingkungan keluarga ia membesar.

Pertama, ada kala seorang anak membesar dalam keluarga yang tradisinya suka mempamerkan atau riak sehingga anak itu juga mengikutinya.

Kedua, kerana bersahabat dengan kawan yang suka menunjuk-nunjuk lalu terpengaruh dengan peribadi kawannya.

Ketiga, tidak mengenal Allah SWT dengan baik.Kurangnya pengetahuan mengenai Allah SWT boleh menjadi penyebab seseorang suka bersikap suka mempamer.

Sahabat yang dikasihi,
Dalam hadis lain Rasulullah bersabda: “Suatu yang paling aku khuatirkan kamu ialah syirik kecil, lalu ditanya oleh sahabat, apakah syirik kecil itu ya Rasulullah? Kemudian baginda bersabda, itulah riak.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Untuk menjauhkan diri atau membersihkan hati daripada perbuatan riak dan sum'ah, kalian hendaklah mengamalkan sifat muraqabah. Muraqabah dapat memperlihatkan dan menghayati kepentingan dan hak Allah dengan memperhitungkan diri sendiri, berapa banyak kebaikan dan dosa yang telah dilakukan sebagai perbandingan supaya terus berhati-hati dalam setiap perbuatan dan apa jua tindakan yang akan dilakukan.

Bertaubat adalah jalan terbaik bagi mereka yang melakukan dosa atau yang terlanjur perbuatannya. Taubat dan istighfar amat dituntut ke atas setiap orang yang beriman.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka. Dan tiada siapa yang mengampuni dosa melainkan Allah dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran ayat 135).

Dalam surah lain Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah ayat 222).

No comments: