Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Suatu hari, Rasulullah SAW sedang duduk di masjid dikelilingi para sahabat. Beginda sedang mengajarkan ayat-ayat al-Quran. Tiba-tiba Rasulullah SAW. berhenti sejenak dan berkata,”Akan hadir diantara kalian seorang calon penghuni syurga”. Para sahabat pun bertanya-tanya dalam hati, siapakah orang istimewa yang dimaksud Rasulullah ini?. Dengan rasa berdebar-debar mereka menunggu kedatangan orang tersebut. Semua mata memandang ke arah pintu.
Tidak berapa lama kemudian, seorang lelaki melenggang masuk masjid. Para sahabat hairan, inikah orang yang dimaksud Rasulullah? Dia tak lebih dari seorang lelaki dari kaum ansar (orang kebanyakan). Dia tidak termasuk di antara sahabat utama. Dia juga bukan dari golongan tokoh Quraisy. Bahkan, tidak banyak yang mengenalnya. Pun, sejauh ini tak terdengar keistimewaan dia.
Ternyata, kejadian ini berulang sampai tiga kali pada hari-hari selanjutnya. Tiap kali Rasulullah berkata akan hadir di antara kalian seorang calon penghuni syurga, lelaki tersebutlah yang kemudian muncul.
Maka para sahabat pun menjadi yakin, bahawa memang lelaki itulah yang dimaksud Rasulullah. Mereka juga menjadi semakin kehairanan, amalan istimewa apakah yang dimiliki lelaki ini hingga Rasulullah menjelaskan bahawa dia adalah sebagai calon penghuni syurga?
Akhirnya, para sahabat pun sepakat mengutus salah seorang di antara mereka untuk mengamati kehidupan harian lelaki ini. Maka pada suatu hari, sahabat yang diutus ini menyatakan keinginannya untuk bermalam di rumah lelaki tersebut. Lelaki tersebut iaitu calon penghuni syurga mempersilakannya.
Selama tinggal di rumah lelaki tersebut, sahabat terus-menerus mengikuti kegiatan lelaki calon penghuni syurga. Saat lelaki tersebut makan, sahabat ikut makan. Saat lelaki tersebut mengerjakan pekerjaan rumah, sahabat menunggui. Tapi ternyata seluruh kegiatannya biasa saja. “Oh, mungkin ibadah malam harinya sangat khusyuk” fikirnya. Tapi ketika malam tiba, lelaki tersebut bersikap biasa saja. Dia mengerjakan ibadah wajib sebagaimana biasa. Dia membaca al-Quran dan mengerjakan ibadah sunnah, namun tidak banyak. Ketika tiba waktunya tidur, dia pun tidur dan baru bangun ketika azan subuh berkumandang.
Sungguh, sahabat hairan, sebab ia tidak jua menemukan sesuatu yang istimewa dari lelaki ini. Tiga malam sahabat bersama calon penghuni syurga, tetapi semua tetap seperti biasa sahaja.
Akhirnya, sahabat itu pun pun berterus terang akan maksudnya bermalam. Dia bercerita tentang pernyataan Rasulullah SAW. Kemudian dia bertanya,“Wahai sahabatku, sesungguhnya amalan istimewa apakah yang kau lakukan sehingga kau disebut salah satu calon penghuni syurga oleh Rasulullah? Tolong beritahu aku agar aku dapat mencontohimu”.
Lelaki itu menjawab,” Wahai sahabat, seperti yang kau lihat dalam kehidupan sehari-hariku. Aku adalah seorang muslim biasa dengan amalan biasa pula. Namun ada satu kebiasaanku yang boleh kuberitahukan padamu. Setiap menjelang tidur, aku berusaha membersihkan hatiku. Kumaafkan orang-orang yang menyakitiku dan buang semua iri, dengki, dendam dan perasaaan buruk kepada semua saudaraku sesama muslim. Hingga aku tidur dengan tenang dan hati bersih serta ikhlas. Barangkali itulah yang menyebabkan Rasulullah SAW. menyatakan demikian.”
Mendengar penjelasan itu, wajah sahabat menjadi berseri-seri. “Terima kasih sahabatku atas hikmah yang kau berikan. Aku akan memberitahu para sahabat mengenai hal ini”. Sahabat pun meminta izin untuk pulang dengan membawa pelajaran yang sangat berharga.
Sahabat yang dimuliakan,
Al-Quran dalam surah al-Hujuraat ayat 12 dengan jelas menghuraikan persoalan fitnah. Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani".
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Ini membawa maksud bahawa seseorang yang beriman itu perlu sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata hanya kepada perkara-perkara yang memberi kebaikan.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Datuk Dr Fadzilah Kamsah berkata : "Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata. Katakan didalam hati: "Ya Allah, cuci otak aku, cuci hatiku. Esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif." Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya . Katanya lagi : "Bermaaf-maafan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan."
Sahabat yang dikasihi,
Bagaimana kita hendak bersihkan hati-hati kita supaya sentiasa berbaik sangka sesama suami-isteri, sahabat-sahabat seperjuangan, rakan sekerja, saudara-mara, jiran tetangga dan saudara muslim yang lain? Nampak seperti mudah tetapi hakikat sebenarnya agak sukar hati kita hendak berbaik sangka. Puncanya adalah kerana mungkin kita pernah di anianya oleh rakan rapat kita menyebabkan kita sudah tidak yakin lagi kepada sesiapa dalam hidup kita. Mungkin ramai orang suka mengambil kesempatan di atas sikap baik sangka kita terhadap mereka.
Walaupun pengalaman kita pernah di anianya sekali pun kita tidak boleh simpan buruk sangka kepada seseorang kerana hati yang sentiasa bersarang sifat negatif dan buruk sangka sebenarnya kita tidak bebas dan masih bersarang sifat mazmumah dalam hati kita, akibatnya nur kebenaran, keberkatan, taufik dan hidayah daripada Allah SWT sukar masuk ke dalam hati kita. Itu sebabnya kenapa seorang sahabat Ansar yang tidak dikenali dikalangan sahabat Rasulullah SAW telah terjamin syurga untuknya kerana beliau memiliki kekuatan dan kemuliaan hati iaitu hati yang tidak pernah berhasad dengki, buruk sangka dan rasa iri hati.
Rasulullah SAW menyatakan ramai ahli syurga adalah terdiri daripada orang miskin yang bersyukur dan hati yang mereka besih daripada hasad dengki, iri hati dan buruk sangka.
Ramai ahli neraka adalah wanita kerana wanita tidak bersyukur kepada nikmat rezeki daripada suaminya dan sentiasa suka mengumpat, mengadu domba dan berhasad dengki dan buruk sangka.
Oleh itu kita perlu berhati-hati supaya amal soleh dan kebaikan kita tidak terhapus disebabkan kita sentaiasa berburuk sangka dan terpengaruh dengan seseorang yang menumpat , mendedahkan aib seseorang dan membuat fitnah. Dan latihlah hati kita supaya sentiasa dapat dijauh daripada buruk sangka dan hasad dengki kerana jika hati kita masih kotor dengan sifat-sifat mazmumah ianya menyukarkan kita untuk menjadi calun ahli syurga. Wauallahualam.
No comments:
Post a Comment