Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai seorang mukmin kita perlu membebaskan diri mereka daripada cengkaman jahiliah. Kita tidak boleh berkompromi dengan jahiliah yang kini menguasai segenap bidang dan tempat. Seorang mukmin perlulah berusaha untuk meruntuhkannya hingga ke akar umbi. Sesiapa yang meredai sistem kuffar adalah merupakan satu kekufuran.
Kita hendaklah berazam dan beriktiqad merubah diri mengikut Islam. InsyaAllah, seterusnya kita hendaklah berazam merubah masyarakat mengikut acuan Islam.
Hassan al Hudhaibi berpesan : “ Dirikanlah daulah Islam (negara Islam) dalam diri kamu, nescaya ia akan berdiri dalam negaramu. “
Sahabat yang dimuliakan,
Seorang mukmin akan berusaha bersungguh-sungguh dan bercita-cita untuk mengembalikan Sistem Wahyu yang selama ini diketepikan. Sistem Islam telah digantung daripada berfungsi dalam individu dan masyarakat. Oleh itu tugas kita semua adalah untuk mengangkat diri dan saudara-saudara lain melepasi batas sistem jahiliah kerana yakinlah bahawa Islam adalah milik Allah SWT, tinggi dan tidak layak bagi sistem lain mengatasinya.
Islam adalah amanah Allah SWT kepada manusia. Islam adalah amanah yang tidak mampu dipikul oleh makhluk lain. Amanah Kubra (besar) ini tentulah tidak dapat dilaksanakan seorang diri. Rijal Akidah (pemuda berakidah) mestilah berada dalam satu barisan tersusun sepertimana dituntut oleh Allah SWT dalam firmanNya, yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh“
(Surah Ash Shaff ayat 4)
Tuntutan ayat ini telah dilaksanakan oleh Rasulullah SWT selama 14 abad yang silam. Berpandukan petunjuk Allah SWT, baginda telah menyusun barisan para sahabat dalam rangka memerangi jahiliah yang berbentuk cara hidup.
Ketika mana Rasulullah SAW diutuskan, sistem hidup jahiliah memerintah seluruh dunia. Makkah tidak terkecuali daripada mengamalkan Sistem Jahiliah, iaitu mungkar terbesar. Sistem tersebut menolak Allah SWT sebagai Ilah dan rabb, penuh dengan kerosakan dan sentiasa mengeluarkan buah-buah kemungkaran.
Masyarakat Makkah, kecuali beberapa orang pilihan Allah SWT, pada ketika itu leka dan puas dengan sistem hidup ciptaan manusia yang hanya memuaskan hawa nafsu. Mereka yang dipilih Allah SWT, di bawah pimpinan RasulNya, bangun memikul amanah kubra dan menyelamatkan alam daripada kekuasaan jahiliyyah.
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung“
(Surah Ali ‘Imran ayat 104)
Setiap pendakwah perlu sedar bahawa pada hari ini mereka juga dikelilingi oleh jahiliah sebagai sistem hidup ciptaan manusia. Suatu sistem yang menolak Allah SWT sebagai Ilah dan Rabb. Inilah mungkar terbesar. Mereka perlu memahami hakikat ini agar tidak tertipu.
Kita mestilah membebaskan pemikiran dan hati daripada mungkar terbesar dan berada dalam Sistem Islam. Kita mesti keluar daripada kegelapan dan berada dalam cahaya, hanya dengan itu kita akan nampak dengan jelas akan kebenaran dan kebatilan.
Firman Allah SWT maksudnya :“Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka ; mereka kekal di dalamnya“ (Surah Al Baqarah ayat 257)
Kini, golongan jahiliah terlalu ramai. Golongan yang ramai menolak Islam sebagai satu sistem hidup di mana-mana sahaja. Bagi pendakwah, suara majoriti belum tentu berada di atas kebenaran atau menepati syara’, lebih-lebih lagi dalam keadaan ummah pimpinan taghut kini.
Rasulullah SAW beserta para sahabat baginda pilihan Allah telah memulakan dakwah ini dengan cara memerangi mungkar yang terbesar iaitu memerangi hakikat hidup yang sentiasa menolak Allah SWT sebagai Ilah dan Rabb, menolak Islam sebagai ad-Din yang mengatur kehidupan dan mengekalkan sistem hidup ciptaan manusia. Baginda mengajak manusia kepada ‘Takrir Uluhiyyah Allah SWT’ (menetapkan pengabdian kepada Allah SWT) agar benar-benar difahami dan menjiwai kehidupan manusia. Di atas keteguhan akidah ini, ditegakkan syariat Islam. Hal ini telah dijelaskan oleh Abdullah Ibn Umar r.a:
“Kami adalah satu kaum yang di datangkan iman sebelum al-Quran …”
Para sahabat di bawah pimpinan Rasulullah SAW dengan penuh tabah dan berani, tanpa takut dengan apa jua halangan dan rintangan, serta tanpa terpikat dengan apa jua janji duniawi telah memerangi mungkar terbesar itu. Akidah Tauhid Uluhiyyah Allah diistisyarkan dan perhambaan hanya sanya untukNya, iaitu Makruf Al Akbar.
Mereka bersyahadah bahawa Allah SWT sahajalah sebagai Penyusun dan Penggubal sistem hidup mereka. Mereka melaksanakan setiap perintan Allah SWT serta menjauhi laranganNya. Mereka menegakkan ummah atau ‘Usbah Muslimah dengan mebersihkan anggotanya daripada jahiliyyah. Maka tertegaklah syariat Allah SWT yang lengkap. Runtuhlah Ilah-Ilah yang berselerak di sekeliling mereka. Runtuhlah sistem jahiliah dan lenyaplah segala macam aktiviti jahiliah.
Sahabat yang dihormati,
Rasulullah SAW dalam seruannya, tidak menjanjikan sebarang harta atau pangkat kepada pengikut baginda kerana itu semua adalah milik Allah SWT. Allah SWT berikan kepada sesiapa yang disukaiNya. Para sahabat r.a. menerima Islam bukan kerana kepentingan duniawi bahkan mereka yakin apa yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW adalah benar. Mereka ingin berada di atas kebenaran itu. Mereka hanya mengharapkan matlamat jauh iaitu keredaan Allah SWT serta menemui Allah SWT dalam keadaan reda meredai.
Para sahabat r.a telah meninggalkan jahiliah dengan sedar. Mereka faham bahawa keputusan mereka akan mengakibatkan terancamnya keselamatan, kesenangan dan kedudukan mereka dalam masyarakat jahiliyyah yang mengamalkan mungkar terbesar.
Di tahap permulaan dakwah menentang Mungkar al-Akbar dan menegakkan Makruf al-Akbar, para sahabat atau anggota-anggota ummah pertama sanggup melaklui proses penyiksaan walaupun nyawa mereka diambil Allah SWT. Saidina Bilal Ibnu Rabbah r.a. diseksa di tengah-tengah padang pasir yang panas terik. Yathir dan Isterinya (Sumayah) telah dibunuh.
Peristiwa dan ujian demi ujian memantapkan ummah pertama dan membersihkan ummah daripada anggota-anggota yang ragu-ragu. Iman mereka semakin kuat dan nafsu mereka dikawal oleh iman yang mendalam itu. Mereka bersedia untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Mereka sanggup berhijrah dan meninggalkan kepentingan dalam masyarakat jahiliah kerana ingin mendaulatkan syariat Allah SWT bersama Rasulullah SAW. Maka tertegaklah Daulah Islamiah di Madinah dengan restu dan izin Allah SWT.
Daulah itu tercanai mengikut acuan Allah SWT . Daulah itu menghayati Islam sebagai ad-Din dan menjadi asas perkembangan Islam ke seluruh manusia sehingga ke akhir zaman. Ummah inilah model untuk para pendakwah dan seluruh orang Islam.
Sementara itu, segala kekuatan jahiliah terus berpadu tenaga dan bangkit untuk menghapuskan ummah ini. Mereka berazam untuk memadamkan cahaya Allah SWT tetapi Allah SWT menyempurnakan cahayaNya walaupun tidak disukai dan dibenci oleh orang-orang kafir.
Allah SWT mengingatkan orang-orang beriman dengan FirmanNya yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman , jagalah dirimu; tiadalah orang yang sesat itu akan memberi mudarat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk . Hanya kepada Allah kamu kembali semuanya. Maka Dia akan menerangkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.“(Surah Al Maa-idah ayat 105)
Setelah tertegak Daulah Islamiah, didapati para sahabat meneruskan dakwah dengan menyeru kepada kemakrufan dan mencegah daripada kemungkaran yang kecil dan ranting pula. Sebelum tertegaknya Makruf al-Akbar, mereka tidak mencurahkan tenaga mereka yang terhad kepada perkara-perkara kecil dan ranting. Apabila tersingkirnya Mungkar al-Akbar, maka mungkar-mungkar lain yang disifatkan sebagai buah-buah busuk hanya menanti masa untuk gurur.
Para sahabat r.a memahami benar-benar akan kaedah dakwah ini yang menuntut agar diselesaikan kedua- dua perkara asas (menegakkan Makruf al-Akbar dan meruntuhkan Mungkar al-Akbar). Contohnya ibadah haji pertama, di tahun ke tujuh hijrah dikerjakan tanpa menyentuh berhala-berhala yang terdapat di sekitar Kaabah.
Makruf al-Akbar adalah ibu kepada segala amal makruf. Makruf al-Akbar melahirkan segala kebaikan dalam praktik hidup individu dan jamaah. Makruf al-Akbar, Taqrir Uluhiyyah Allah SWT dengan Wa’islami (kesedaran) Islam) akan sentiasa memandu manusia untuk berada di atas landasan syara’.
Nyatalah kepada pendakwah, apabila mencegah sesuatu kemungkaran, mestilah bermula dengan mencegah kemungkaran paling besar iaitu menyingkirkan kekuasaan taghut dalam diri dan jamaah. Taghutlah yang memenjarakan hati manusia dan memperhambakannya kepada sesama manusia atau makhluk lain.
Apabila seseorang itu dapat membebaskan diri daripada belenggu taghut, maka tersingkirlah dirinya daripada ibu segala kemungkaran iaitu kemungkaran terbesar. Merdekalah dia dalam erti kata sebenar. Inilah hakikat kebebasan sebenar dalam Islam.
Sahabat yang dikasihi,
Sahabat Rasulullah SAW keluar menyeru dan mengajak manusia lain supaya mengagungkan Allah SWT semata-mata. Mereka bergaul dengan anggota masyarakat jahiliah dan menyeru kepada makruf terbesar dan mencegah mungkar terbesar. Mereka tidak melakukan sesuatu aktiviti bagi pihak taghut , tetapi mereka berkata, “ Marilah ikut kami!”.
Mereka sentiasa mengawasi pelawaan sistem taghut, meskipun pelawaan itu datang daripada kaum keluarga sendiri. Mereka terus berdakwah walaupun tanpa mendapat sebarang sdokongan simpati daripada sistem jahiliah yang ingin dihapuskan.
Kita semua tiada pilihan lain, kecuali mencontohi generasi awal yang ditarbiah oleh Rasulullah SAW. Dasar dan matlamat mereka suci. Jalan mereka masyru’ (menepati syara’) dan mengikut pimpinan Allah SWT. Jalan mereka tidak bercampur sedikit pun dengan asas-asas ciptaan manusia. Mereka menerima apa yang diperkenankan Allah SWT dan menolak apa yang dilarangNya. Mereka mendahulukan kehendak Allah SWT. Mereka berpegang kepada ke kaedah:
“Matlamat Tidak Dapat Membersihkan Jalan”
Tindak tanduk mereka mencerminkan pegangan hidup mereka. Mereka telah berjaya di sisi Allah SWT. Allah SWT reda dengan mereka dan merekapun meredai Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya“
(Surah An Nisaa’ ayat 65)
Inilah jalan hakiki yang diterangkan oleh Allah SWT dan diterjemahkan oleh Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat baginda. Menjadi sunnah Allah, jalan ini sememangnya sukar. Jalan yang ramai yang tidak menyukainya.
Allah SWT berfirman maksudnya : “Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu. Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta“ (Surah At Taubah ayat 42)
Jalan ini hanya sanggup disertai oleh orang yang yakin dan bersedia untuk menyediakan bekalan yang banyak.
Oleh itu kita semua perlulah sentiasa meneliti perjalanannya. Seandainya kalian tersilap meletakkan titik tolak dakwah ini maka akhirnya kalian akan menemui jalan buntu. Kalian akan mendapati masalah demi masalah yang remeh akan timbul dan tidak kunjung hilang. Masa dan tenaganya yang terhad terpaksa dicurahkan demi menyelesaikan masalah itu. Akibatnya kerjanya yang pokok tidak dapat dijalankan (atau setidak-tidaknya terbantut kerana tertumpu kepada masalah yang remeh.
Tanpa memahami titik tolak dakwah sebenar, kalian mungkin memulakan dakwahnya dengan menegakkan makruf yang kecil. Ini akan membuatkan kalian akan ketinggalan kerana makruf terbesar belum ditegakkan sementara mungkar terbesar terus hidup subur dan menguasai suasana. Pokok kemungkaran tidak terjejas. Yang gugur hanyalah buah-buah mungkar sahaja mengikut musim. Sepatutnya jika perkara kecil menghalang terlaksananya perkara utama, maka perkara kecil itu diketepikan buat seketika. Waullhualam
2 comments:
Very very true. Khilafah must be the first thing to be erected. semua mesti ikut sequence yg betul. Apa guna nya da'wah kpd benda lain, kalau tidak mula dari permulaan.... Abu basyer, you are right...
Terima kasih farihin fong di atas komen tuan. Jika mulakan dakwah dan tarbiah melalui mencegah mungkar al akbar dan menegakkan mungkar al-akbar maka kita telah mula suatu cara yg betul dan inilah sunnah dlm dakwah yg dimulakan oleh Rasulullah SAW.
Post a Comment