Sunday, June 24, 2012

Hayati Tiga Sifat Ahli Syurga Dan Jauhi Lima Sifat Ahli Neraka

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Iyadh bin Himar... r.a, bahawa sesungguhnya didalam khutbahnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Ahli syurga ada 3 golongan, iaitu para penguasa yang menggunakan kekuasaannya untuk keadilan dan kebenaran, seseorang yang penyayang dan lembut hatinya kepada siapa saja dan orang muslim yang menjaga diri dari kemaksiatan. Sedangkan ahli neraka ada lima golongan iaitu: orang lemah yang tidak peduli sesamanya, para pengkhianat, penipu yang memperdaya keluarga dan harta orang lain, kikir dan pendusta, serta orang yang berakhlak tercela” (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas Nabi SAW ada menyatakan bahawa terdapat :

Tiga golongan ahli syurga iaitu :

1. Penguasa yang menggunakan kekuasaannya untuk keadilan dan kebenaran.

2. Seorang penyayang dan lembut hatinya kepada siapa saja.

3. Orang muslim yang menjaga diri dari kemaksiatan.

Lima golongan ahli neraka iaitu :

1. Orang lemah yang tidak peduli sesamanya.

2. Para pegkhianat, penipu yang memperdaya keluarga dan harta orang lain.

3. Kikir (kedekut).

4. Pendusta.

5. Orang yang berakhlak tercela.

Huraiannya :

Tiga golongan ahli syurga iaitu :

1. Penguasa yang menggunakan kekuasaannya untuk keadilan dan kebenaran.

Penguasa/ ketua negara yang menjalankan pemerentahan dengan adil dan saksama memberi hak kepada rakyat tidak berlaku pilih kasih, tidak mengambil rasuah atau penyelewengan akan mendapat rahmat Allah SWT dan dengan mudah akan dapat memasuki syurga Allah SWT. Dalam hadis yang lain baginda ada menyatakan bahawa salah satu daripada 7 golongan yang akan mendapat lindungan Arasy di hari akhirat nanti adalah seorang pemimpin yang adil dalam pemerentahannya.

Sabda Nabi SAW, maksudnya; “Dua golongan dalam umatku, apabila mereka baik, maka baiklah seluruh manusia dan apabila mereka rosak, maka seluruh umat turut menjadi rosak. Mereka ialah para umara’ (pemimpin) dan ahli feqh (ulama)” (Hadis Riwayat Ibnu Abdil Bar dan Abu Naim).

Pemimpin yang adil dalam Islam adalah pemimpin yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan syariat Allah SWT dan hukum-hukum yang terdapat di dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.Pemimpin yang mengutamakan ajaran Islam dalam setiap keputusan yang dibuat dan beliau cukup takut melanggar hukum-hukum Allah SWT.

2. Seorang penyayang dan lembut hatinya kepada siapa saja.

Sesiapa yang memiliki sifat penyayang dan lemah lembut adalah sifat Nabi SAW. Baginda cukup penyayang dan berlemah lembut kepada ahli keluarga. khadam baginda , para sahabat dan kepada umatnya.

Pernah baginda bersabda maksudnya : "Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya." Prihatin, sabar dan tawaduknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:“Sesiapa yang dikurniakan sifat lemah lembut nescaya ia akan memperolehi kebaikan dalam semua hal.” (Hadis Riwayat Muslim)

Mukmin yang memiliki hati yang lembut tidak mudah marah dan tidak suka menghina orang lain baik dalam percakapan dan perbuatannya. Mudah diajak berbincang dan suka memudahkan urusan orang lain.

3. Orang muslim yang menjaga diri dari kemaksiatan.

Seorang muslim yang beriman dan bertakwa akan memiliki sifat malu untuk melakukan maksiat dan sentiasa berhati-hati tidak terjerumus kelembah maksiat dan dosa.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan rasa takut dan malu kepada Allah yang benar dalam sabda Baginda bermaksud: “Malulah kepada Allah dengan benar. Kami pun menyahut: “Wahai Rasulullah, Alhamdulillah kami memiliki rasa malu. Baginda menjawab: “Bukan itu, tetapi rasa malu kepada Allah yang benar adalah dengan menjaga kepala dan isinya (fikirannya), perut dan sekitarnya serta ingat kematian dan kehancuran. Siapa yang menginginkan akhirat, nescaya meninggalkan perhiasan dunia. Siapa yang berbuat demikian, maka telah malu kepada Allah dengan benar. (Hadis riwayat al-Baihaqi).

Mukmin adalah orang yang takut kepada dosa. Daripada Abdullah bin Mas’ud , Nabi sallallahu alaihi wasalam bersabda (maksudnya):

“Sesungguhnya mukmin melihat dosanya seolah-olah dia sedang berada di kaki bukit dan dia takut bukit itu akan runtuh menghempap dirinya. Dan sesungguhnya fajir (orang jahat) melihat dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, lalu dia menepis-nepisnya.” (Hasid Riwayat at-Tirmizi dan Ahmad)

Mukmin akan sentiasa menghisab dirinya. Dia takut kepada dosa walaupun kecil kerana mungkin dosa yang kecil akan memusnahkan pahalanya yang besar. Sejak dahulu para salaf yang soleh berpesan: “Jangan engkau lihat kepada kecilnya dosa, tetapi lihatlah kepada siapa engkau derhaka!”

Sesungguhnya dosa dan maksiat akan meninggalkan kesan yang sangat buruk, memudaratkan diri lahir dan batin, sama ada di dunia mahupun akhirat.

Lima golongan ahli neraka iaitu :

1. Orang lemah yang tidak peduli sesamanya.

Orang yang lemah adalah mereka yang jahil (tidak ada ilmu) dan tidak mahu pula menuntut ilmu. Dari kejahilannya dia melakukankan maksiat dan melanggar peraturan dalam agama. Mereka bersama kumpulan mereka yang jahil sedangkan tidak ada inisiatif untuk melakukan perubahan dan kembali kepangkal jalan. Orang yang jahil seperti ini tidak akan terlepas daripada soalan di akhirat nanti kenapa dia enggan menuntut ilmu.

Salah satu golongan yang lemah ini adalah mereka yang tidak mahu berhijrah.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Surah an-Nisaa' ayat 97)

2. Para pegkhianat, penipu yang memperdaya keluarga dan harta orang lain.

Golongan pengkhianat ini hina di dunia dan hina di akhirat. Mereka disebut dalam hadis Rasulullah SAW sebagai pembawa bendera khianat di Padang Mahsyar kelak dan akan dikenali sebagai pengkhianat. Betapa hidupnya tercela di akhirat bahkan semenjak di dunia ini lagi. Mereka ini duduk didalam kelambu perjuangan tetapi akhirnya sanggup berpindah dan merempat hina ditepi rumah musuh dengan menadah tempurung mengharapkan kepentingan duniawi.

Amaran Allah SWT kepada mereka yang suka mengambil harta orang tanpa kerelaannya . Firman-Nya yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu." (Surah an-Nisaa' ayat 29)

Daripada Abdullah bin Umar ra yang berkata yang bermaksud : “Sesiapa yang mengambil tanah orang lain tanpa hak walaupun sedikit maka dia pasti akan ditenggelamkan dengannya di hari kiamat sehingga ke tujuh lapis bumi.” (Hadis Riwayat Bukhari)

3. Kikir (kedekut).

Rasulullah SAW telah memberikan peringatan tentang bahaya sifat kikir itu, sebagaimana dalam hadis yang ertinya, “Jauhilah olehmu sifat kikir, sebab kikir itulah yang menyebabkan kerusakan orang-orang sebelum kamu. Kikir pula yang membawa mereka suka menumpahkan darah sesamanya serta menghalalkan segala apa yang dilarangkan kepada mereka.”

Dari sahabat Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam telah bersabda, "Jauhillah tujuh kehancuran yang dapat menimpa kalian." Lalu (sahabat) bertanya, "Apakah itu wahai Rasulullah?’"Lalu beliau menjawab, "Menyekutukan Allah, kikir (kedekut) , membunuh jiwa yang diharamkan Allah, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh zina wanita mukminat yang suci.” (Hadis Riwayat an-Nasa`i)

4. Pendusta.

Surah al-Maa’uun memaparkan perilaku manusia dalam kehidupan sosial yang dikategorikan sebagai pendusta agama. Mereka memiliki kebiasaan mengherdik anak yatim dan tidak memberi makanan kepada fakir miskin. Perilaku seperti ini merupakan cerminan sikap takbur dalam diri sendiri. Mereka menganggap anak yatim serta fakir miskin sebagai anggota masyarakat yang rendah dan hina.

Surah al-Maa’uun juga memperlihatkan perilaku manusia dalam beribadah yang dikategorikan pendusta agama. Mereka melalaikan solat, dalam erti melaksanakan solat tanpa keikhlasan dan kekhusyukan, atau tidak menunaikan solat dengan benar.

Solat mereka tidak lebih daripada ucapan lisan serta gerakan badan yang telah terbentuk sedemikian rupa tanpa penghayatan makna serta hikmah setiap ucapan dan gerakan yang mereka lakukan.

Dalam surah al-Maa’uun juga disebutkan bahawa orang yang berbuat riak akan dibalas oleh Allah SWT . Riak ialah melakukan suatu amal perbuatan untuk mencari pujian yang ia anggap ibadah itu. Allah SWT sendiri mengancam mereka yang berbuat riak dengan seksaan yang berat di neraka.

Pendusta agama adalah mereka yang tidak mengambil Islam sebagai satu cara hidup dan mengatakan bahawa hukum Islam tidak sesuai dijalankan dalam masyarakat majmuk. Pendusta agama juga adalah mereka yang cuba mentafsirkan Islam mengikut hawa nafsunya bukan mengikut kaedah yang dibenarkan syarak semata-mata untuk mendapat habuan dunia. Termasuk seseorang menjadi pendusta apabila dia membuat fitnah dan mereka cipta gambar dan vedio fitnah semata-mata untuk mengaibkan seseorang.

Seorang pendusta adalah seorang yang selalu berbohong, mungkir janji dan tidak amanah terhadap tugas yang dipikulnya. Suka bersumpah palsu dan menjadi saksi palsu dan menuduh seseorang tanpa saksi yang adil.

5. Orang yang berakhlak tercela.

Akhlak tercela (sifat mazmumah), iaitu segala tingkah laku yang tercela atau akhlak yang jahat, dan hal tersebut sangat di benci oleh Allah SWT. Terdapat sifat-sifat akhlak tercela iaitu kufur, riya’, nifaq, syirik dan sombong.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita sama-sama beramal dengan sifat dan amalan ahli syurga dan menjauhi sifat dan akhlak ahli neraka. Walaupun di dunia ini kita tidak boleh tahu siapa di antara yang akan masuk syurga dan neraka tetapi kita boleh lihat ciri-ciri dan peribadi ahli syurga dan neraka.

Jika seorang mukmin itu kekal dengan sifat-sifat ahli syurga dan sentiasa bertaubat dan berdoa kepada Allah SWT supaya memberi kekuatan untuk istiqamah diatas jalan yang lurus insya Allah hajatnya untuk memasuki syurag akan dikabulkan oleh Allah SWT. Sebaliknya pula jika seseorang sentiasa kekal dengan sifat-sifat ahli neraka dan tidak mahu bertaubat dan hidup dipenuhi maksiat dan dosa dikhuatiri dia akan mendapat su'ul khatimah diakhir hayatnya. Oleh itu berhati-hatilah kalian dan berwaspadalah kerana saat bertemu Allah SWT akan datang bila-bila tanpa kita sedari. Jangan ditangguh-tangguh untuk taubat dan beramal soleh.






1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz,
Apakah surah yang selalu diamalkan Nabi Muhammad saw setiap hari?Bila kita berhajat sesuatu,dan kita baca surah Yaasin mengikut kaedah ulama2 membaca iaitu seperti pada ayat2 tertentu kita baca doa2 tertentu itu bidaah kerana Nabi Muhammad tak pernah melakukannya?
Saya sedang menjadikan rutin membaca surah yaasin setiap hari waktu asar,tetapi adakah ada surah lain yg boleh saya amalkan ?Utk pengetahuan Ustaz saya membaca Al-Quran setiap malam tetapi yaasin saya baca hanya waktu asar,adakah surah lain yg elok saya amalkan membaca contohnya selepas subuh ke?
minta pendapat ustaz.

terimakasih.