Friday, July 13, 2012

Hayatilah Lima Ciri-ciri Orang Bertakwa Untuk Mendapat Kejayaan Di Dunia Dan Akhirat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT telah menggambarkan di dalam al-Quran tentang lima ciri-ciri orang yang bertakwa. 

FirmanNya yang bermaksud : “Iaitu mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, yang mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dan mereka yang beriman dengan Kitab al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka meyakini akan adanya (kehidupan) akhirat, Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan.” (Surah al-Baqarah ayat 2-5)

Berdasarkan ayat di atas terdapat lima ciri-ciri orang bertakwa :

1. Mereka yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib.

2. Mendirikan solat.

3. Menafkahkan (sedekah/infak) sebahagian rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

4. Mereka yang beriman dengan kitab al-Quran dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya (Taurat , Zabur dan Injil)

5. Serta mereka meyakini akan adanya (kehidupan) akhirat.
  
Inilah lima ciri-ciri orang yang mendapat petunjuk daripada Allah SWT iaitu orang-orang yang bertakwa (orang yang mendapat kejayaan)

Sahabat yang dimuliakan,
Apakah kebaikan dan kelebihan orang yang bertakwa?

Kebaikannya orang yang bertakwa ketika di dunia akan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT , di doakan oleh para malaikat dan di sukai oleh manusia kerana akhlak dan keperbadiannya yang mulia.

Kebaikan di hari akhirat pula orang-orang yang bertakwa telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT.

Suatu kenikmatan yang besar kurniaan Allah SWT kepada orang-orang bertakwa adalah balasan syurga. Syurga yang dibangunkan hanya untuk orang-orang yang bertakwa, bukan yang lain. Tidak ada campuran antara penghuni-penghuninya. Ini khusus untuk orang-orang yang bertakwa semasa hidup di dunia, biarpun semasa berada di dunia mereka hidup bercampur dengan manusia-manusia yang ingkar. 

Walaupun mereka hidup dalam masyarakat majmuk namun mereka memegang erat sifat takwa. Mereka tidak mengharapkan keduniaan sahaja. Mereka hidup menuntut kebaikan di akhirat dan dengan sebab mereka pegang teguh akan takwa maka Allah melimpahkan rahmat dan menempatkan mereka di syurga.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertakwa: 'Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?' Mereka menjawab: 'Kebaikan' orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Nahl (16) ayat 30)

Segala sesuatu yang datang daripada Allah SWT untuk orang-orang yang bertakwa adalah hal-hal kebaikan. Tidak ada yang tidak baik. Mana ada tempat yang labih baik daripada syurga. Jadi mengapa jemu untuk memiliki takwa?

Allah berfirman SWT maksudnya :"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa  ditempatkan di dalam beberapa taman syurga (berada dalam taman-taman syurga) dan dekat dengan mata air-mata air yang mengalir. (Surah al-Hijr (15) ayat 45)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : "(Mereka dipersilakan oleh malaikat / dikatakan kepada mereka): "Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman". (Surah al-Hijr (15) ayat 46)

"Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam ( perasaan hasad dengki)  yang ada dalam hati mereka daripada sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas dipan masing-masing." 
(Surah al-Hijr (15)  ayat 47)

"Mereka tidak akan disentuh rasa lelah (susah payah) dalam syurga itu, dan mereka pula sekali-kali  tidak akan dikeluarkan daripadanya. (Surah al-Hijr (15) ayat 48)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita berlumba-lumba untuk menjadi orang yang bertakwa kerana banyak dugaan dan rintangannya hingga boleh melayakkan diri kita menjadi orang yang bertakwa. Orang yang bertakwa akan melaksanakan semua yang wajib dan meninggalkan semua yang haram dan syubahat. Dan berusaha untuk memperbanyakkan amalan sunat dan dia cukup berhati-hati di dunia ini supaya tidak tergelincir oleh tarikan hawa nafsu dan godaan syaitan.

No comments: