Sunday, July 8, 2012

Amalkan Baca Doa Keluar Rumah, Doa Naik Kenderaan , Doa Di Jauhi Musibah dan Doa Musafir Sebelum Memulakan Perjalanan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dalam akhbar Metro 8 Julai, 2012 melapurkan kemalangan maut di Marang Trengganu seorang pemandu lori Hamzah Ismail, 51 tahun terlanggar pokok rhu di Kilometer 33 Jalan Kuala Trenggaunu-Kuantan.


Orang ramai melihat lori yang dipandu oleh Mohd. Hamzah (gambar kecil) merempuh pokok rhu manakala di sebelahnya ialah lori yang melanggarnya dari belakang dalam kemalangan di Marang, Terengganu semalam.

MARANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang seronok menunggu kepulangan datuknya terpaksa menjadi saksi warga tua itu terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan nyawanya di Kilometer 33, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Pulau Kerengga di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 10.45, pagi itu, Farah Syazira Mohd. Norham Shamsuddin sedang dipangku oleh neneknya, Normah Abdul Razak, 49, ketika menunggu kepulangan Mohd. Hamzah Ismail (gambar kecil), 51, daripada mengambil bekalan buah tembikai untuk dijual di gerainya di situ.

Sahabat yang dimuliakan,
Setiap peristiwa berlaku dimuka bumi ini telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sebagai hamba Allah SWT kita hanya mampu berdoa, berusaha dengan berhati-hati dan bertawakal kepada Allah SWT.

Kemalangan maut dinegara kita berlaku setiap hari berada di dalam keadaan serius dan membimbangkan. Usaha-usaha pihak yang berwajib menjalankan  kempen untuk mendisplinkan pemandu jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya tidak berkesan. Saman dikeluarkan kepada pemandu laju semakin meningkat setiap hari terutama diwaktu perayaan. Sikap mementingkan diri sendiri  inilah yang telah membahayakan pengguna jalan raya yang lain yang terpaksa menjadi mangsa kerana kelalaian dan mengikut hawa nafsu.

Islam cukup prihatin dan memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang bertindak mengikut hawa nafsunya (memandu laju) dan tidak menjaga keselamatan orang lain ketika memandu, jika kerana keangkuhannya berlaku kemalangan maut atau cedera parah dia akan dipertanggungjawabkan dan menanggung dosa kerana sikap tersebut. Tetapi jika dia cukup berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya dengan sebaik-baiknya jika berlaku juga kemalangan maka itu diluar kemapuannya dan itu adalah takdir Allah SWT.

Sahabat yang dimuliakan,
Ajal maut di tangan Allah SWT. Kita tak dapat menolak ketentuan Allah SWT tetapi jangan kita ketepikan ikhtiar dan usaha. Kita berdoa pada Allah SWT mohon keselamatan sebelum memulakan satu-satu perjalanan sebagai salah-satu ikhtiar kita sebelum kenderaan bergerak mengikut adab-adab tertentu di jalanraya. Selebihnya, kita hanya berserah dan bertawakkal pada Allah SWT.

Terdapat empat amalan perlu dilakukan oleh seorang mukmin untuk dijauhi kemalangan dan musibah (dengan izin Allah) iaitu :

1. Membaca doa keluar rumah.
2. Membaca doa naik kenderaan.
3. Membaca doa dijauhi musibah
4. Membaca doa untuk bermusafir.

Huraiannya :

1. Membaca doa keluar rumah :

Setiap keluar rumah hendaklah selalu membaca doa. Nabi SAW mengajarkan kita supaya menbaca doa ini :

بِسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ.

(Bismillahi tawakaltu ‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah)

Maksudnya : “Dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Nasai )

2. Membaca doa naik kenderaan :

Nabi SAW mengajar kepada kita apabila hendak mulakan perjalanan perlulah membaca doa naik kenderaan :


(Subhanalladzi sakhara lana hadza wama kunna lahu muqrinin wainna ila robbina lamunqalibun...)

Maksudnya : "Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!" (Surah az-Zukruf ayat 13-14)


3. Membaca doa di jauhi musibah.

Dari Abu Darda' r.a dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda maksudnya ; "Barangsiapa diwaktu pagi dan petang membaca ; 'Hasbiallahu lailahaillahu alaihitawakkaltu wahuwarabbul 'arsilazim' (Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal. dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung ' (Surah at-Taubah ayat 129), tujuh kali, maka Allah akan mencukupi apa yang diinginkan dari perkara dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Ibnu Asakil secara marfu').

Termasuk terhindar daripada musibah dan kemalangan atau di jauhi daripada gangguan sihir dan hasad dengki.

4. Membaca doa untuk bermusafir:

الله أَكْبَر ، الله أَكْبَر سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ ‏‏اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ‏ وَالتَّقْوَى وَمِنْ الْعَمَلِ مَا ‏ ‏تَرْضَى ، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا‏ سَفَرَنَا هَذَا‏ وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ ،‏ اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ‏ وَالْخَلِيفَةُ فِي‏ الأَهْلِ ‏،‏ اللَّهُمَّ‏ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ ‏ ‏وَعْثَاءِ‏ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ ‏ ‏الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالأَهْلِ

Maksudnya : “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah kami memohon kepadaMu kebaikan dan ketaqwaan pada perjalanan kami dan dengan amalan yang Engkau redhai, Ya Allah ringankanlah perjalanan kami dan pendekkanlah jaraknya, Ya Allah Engkaulah Teman dalam perjalanan, dan Ketua bagi ahli keluarga, Ya Allah aku memohon perlindunganMu dari kesulitan perjalanan, pandangan yang samar, dan dari kejahatan yang boleh menimpa kepada harta dan ahli keluarga ”

Sahabat yang dimuliakan,
Jika kalian beramal keempat-empat doa di atas sebelum kalian memulakan perjalanan samaada untuk ketempat kerja atau untuk bermusafir ke distinasi yang hendak dituju maka insya Allah kalian akan terpelihara daripada sebarang musibah atau kemalangan yang tidak di ingini.

Yakinilah dengan mengamalkan doa-doa tersebut di atas kalian akan disertai malaikat rahmat yang menjaga keselamatan kalian dengan izin Allah SWT.

Satu lagi amalan yang dapat menjauhkan daripada musibah adalah banyakkan bersedekah. Walaupun jumlahnya sedikit sekadar kemampuan kalian tetapi ianya mempergaruhi keselamatan diri kalian dan malaikat yang menjaga rezeki akan mendoakan keselamatan orang yang bersedekah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud :  “Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”  
(Hadis Riwayat al-Tirmidzi)

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualikum Ustaz.
Mohon share doa 2 ini semua di FB saya.
Terimakasih.

abubasyer said...

waalikumusalam, silakan nota ini boleh dikongsikan bersama. wasslam.