Saturday, July 7, 2012

Amalkan Solat Berjemaah Di Masjid Dan Membaca Doa Untuk Ke Masjid

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
 Sabda Rasulullah SAW :

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda: “Bila kamu melihat seseorang yang sentiasa berulang alik ke masjid, maka bersaksilah kepadanya dengan keimanan”. (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain)

Sesungguhnya orang mukmin akan berusaha untuk melaksanakan solat berjemaah di masjid kerana fadilat solat berjemaah adalah 27 kali lebih baik daripada solat bersendirian. Walaupun seorang yang solat bersendirian terlepas tanggungjawabnya menunaikan rukun Islam ke dua tetapi dia telah meninggalkan satu sunah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW iaitu solat berjemaah di masjid.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Solat berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian 27 kali ganda” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Apabila mendengar seruan azan untuk solat fardu maka terdapat doa yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk di amalkan untuk kita bersiap-siap ke masjid. Doa tersebut adalah seperti berikut :

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ فِيْ قَلْبِيْ نُوْرًا، وَفِيْ لِسَانِيْ نُوْرًا، وَفِيْ سَمْعِيْ نُوْرًا، وَفِيْ بَصَرِيْ نُوْرًا، وَمِنْ فَوْقِيْ نُوْرًا، وَمِنْ تَحْتِيْ نُوْرًا، وَعَنْ يَمِيْنِيْ نُوْرًا، وَعَنْ شَمَالِيْ نُوْرًا، وَمِنْ أَمَامِيْ نُوْرًا، وَمِنْ خَلْفِيْ نُوْرًا، وَاجْعَلْ فِيْ نَفْسِيْ نُوْرًا، وَأَعْظِمْ لِيْ نُوْرًا، وَعَظِّمْ لِيْ نُوْرًا، وَاجْعَلْ لِيْ نُوْرًا، وَاجْعَلْنِيْ نُوْرًا، اَللَّهُمَّ أَعْطِنِيْ نُوْرًا، وَاجْعَلْ فِيْ عَصَبِيْ نُوْرًا، وَفِيْ لَحْمِيْ نُوْرًا، وَفِيْ دَمِيْ نُوْرًا، وَفِيْ شَعْرِيْ نُوْرًا، وَفِيْ بَشَرِيْ نُوْرًا. [اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِيْ نُوْرًا فِيْ قَبْرِيْ … ونُوْرًا فِيْ عِظَامِيْ ] [وَزِدْنِيْ نُوْرًا، وَزِدْنِيْ نُوْرًا، وَزِدْنِيْ نُوْرًا]

Maksudnya : "Ya Allah ciptakanlah cahaya di hatiku, cahaya di lidahku, cahaya di pendengaranku, cahaya di penglihatanku, cahaya dari atasku, cahaya dari bawahku, cahaya di sebelah kananku, cahaya di sebelah kiriku, cahaya dari depanku, dan cahaya dari belakangku. Ciptakanlah cahaya dalam diriku, perbesarlah cahaya untukku, agungkanlah cahaya untukku, berilah cahaya untukku, dan jadikanlah aku sebagai cahaya. Ya Allah, berilah cahaya kepadaku, ciptakan cahaya pada urat sarafku, cahaya dalam dagingku, cahaya dalam darahku, cahaya di rambutku, dan cahaya di kulitku. Ya Allah, ciptakanlah cahaya untukku dalam kuburku … dan cahaya dalam tulangku. Tambahkanlah cahaya untukku, tambahkanlah cahaya untukku, tambahkanlah cahaya untukku" (Hadis Riwayat Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad no. 695)

Huraiannya :

Nabi SAW mengajarkan kepada kita bahawa apabila kita berniat untuk ke masjid untuk solat fardu maka berdoalah kepada Allah SWT supaya diri kita diliputi cahaya, bermula daripada hati kita (hati adalah raja punca segala kebaikan ) kemudian lidah kita (supaya lidah membaca al-Quran, menyampaikan ilmu dan mengajak kebaikan), pendengaran kita (supaya telinga banyak mendengar perkara baik, majlis ilmu dan bacaan al-Quran), penglihatan kita (supaya mata digunakan untuk melakukan ketaatan).

Kemudian kita memohon kepada Allah SWT memberikan cahaya kepada 6 dimensi (atas, bawah, kanan, kiri, depan dan belakang) kenapa perlu kepada 6 dimensi? Ini adalah kerana iblis berjanji di hadapan Allah SWT agar dia akan menggoda anak cucu Adam dalam semua arah. Oleh itu kita minta perlindungan Allah SWT daripada godaan dan hasutan iblis dan syaitan. Cahaya yang meliputi 6 dimensi akan menjadi penghadang dan pendinding daripada gelombang buruk yang dibawa oleh iblis dan syaitan.

Iblis telah berjanji akan menipu dan memperdaya manusia dari setiap penjuru hidup, dari depan ,dari belakang,  dari kanan, dan dari kiri.

Ini telah di nyatakan dalam Al Quran Surah Al A'raf Ayat 16-17 yang bermaksud, "Iblis berkata, oleh kerana engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) sesungguhnya aku akan bersungguh sungguh menghalang mereka (daripada)  jalan Mu yang lurus.Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka.(Sehingga) Engkau tidak akan dapati kebanyakkan mereka bersyukur".

Inilah janji iblis yang akan terus mensabotaj dan merosakkan manusia melalui hasutan dan gangguannya dengan apa cara sekalipun. Jiwa iblis penuh dengan hasad dengki dan dendam kesumat yang tiada had kepada Nabi Adam a.s. dan keturunannya. Dan sifat ini telah di warisi oleh syaitan-syaitan manusia pada hari ini untuk merancakkan lagi kerja iblis.Dan pada akhir zaman serangannya menjadi bertambah hebat, lebih cangih lagi di sokong dan di bantu oleh syaitan yang berupa orang-orang kafir, fasik dan munafik.

Kita mohon lagi supaya Allah SWT ciptakan cahaya dalam diri kita, urat saraf, daging, darah, rambut, kulit dan  setiap anggota dalam tubuh kita. Perlu diingat bahawa iblis boleh menggoda kita melalui saluran darah.  Akhir sekali kita memohon agar cahaya juga diberikan untuk kubur kita (di alam barzakh) dan cahaya dalam tulang kita.

Sahabat yang dimuliakan,
Doa ini nampak seperti biasa sahaja sehinggakan kita jarang mengamalkan doa ini. Jika kita kaji dengan teliti sesungguhnya doa ini lengkap dan sempurna. Memohon cahaya bermaksud kita memohon rahmat, kebaikan, ketenangan dan keberkatan. Semua malaikat yang mulia diciptakan oleh Allah SWT daripada cahaya.

Jika cahaya rahmat menguasai diri kita maka iblis dan syaitan tidak akan dapat menggoda dan menghasut kita untuk melakukan dosa dan maksiat. Cahaya orang mukmin ini juga akan menerangi ketika berada di alam barzakh dan di Padang Mahsyar kerana di kedua-dua tempat tersebut adalah tempat yang gelap gelita. Nabi SAW akan dapat mengenali umatnya di akhirat nanti apabila baginda melihat umatnya yang mukmin akan bercahaya seperti cahaya matahari atau cahaya bulan purnama.


Oleh itu marilah kita beramal dengan sunah dan ajaran Nabi SAW  dalam kehidupan kita setiap hari. Janganlah tinggalkan solat berjemaah di masjid atau disurau dan teruskan berdoa dengan doa di atas sumoga kita sentiasa di kurniakan cahaya rahmat dan cahaya ketenangan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.



No comments: