Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Isu hangat diperkatakan sekarang ini adalah isu hudud di Johor. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat telah mencadangkan pelaksanaan hudud di Johor.
Datuk Ayub Rahmat yang turut mengakui ada membangkitkan cadangan menjadikan Johor sebagai negeri pertama melaksanakan hukuman berkenaan. Datuk Ayub berkata, cadangan itu dibangkitkan pada 20 Jun lalu pada mesyuarat pertama penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-12 dan Sidang Dun pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, cadangan pelaksanaan hukum hudud sebenar yang dilaungkan olehnya itu boleh dimulakan dengan memberikan kefahaman berhubung hukuman berkenaan kepada semua masyarakat khususnya golongan bukan Islam.
Ramai pihak memberi komentar dan pandangan yang berbagai-bagai pandangan. Majoritinya bersetuju dengan cadangan tersebut tetapi ada pihak yang tidak bersetuju dan menentang saranan ini jika pihak bertanggungjawab di Johor cuba melaksanakannya.
Presiden MCA, Chuah Soi Lek menyifatkan Datuk Ayub Rahmat ' hilang akal' kerana mencadangkan hukum hudud dilaksanakan di Johor dan menegaskan MCA pasti akan menentang usaha terbabit.
Sebaliknya , kenyataan Ayub itu telah mendapat reaksi yang positif dari kalangan pimpinan PAS. Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat mengucapkan tahniah kepada Ayub sambil menyambut baik dan mengalu-alukan negeri Johor untuk merintis usaha itu sekiranya negeri berkenaan mampu berbuat demikian.
"Kelantan hadapi halangan (untuk laksana hudud) tapi jika Johor boleh buat dahulu, buatlah, silakan," katanya.
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam menyokong penuh cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Datuk Ayub Rahmat agar hukum hudud dilaksanakan di Johor, dan menggesa satu pelan induk berlandaskan hukum syariah perlu dirangka terlebih dahulu.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), En. Amidi Abdul Rahman berkata, pelaksanaan itu perlu diteliti supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada umat Islam.
“Kita bimbang masyarakat keliru dengan hukum hudud padahal ia merupakan sebahagian kecil daripada syariat Islam yang meliputi aspek kehidupan.
“Malah, kami ingin menyeru agar perkara ini dilihat secara objektif bukan dijadikan sebagai bahan untuk dipolitikkan ,” katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM), En. Nahar Mohd Nor pula berkata, pelaksanaan hudud perlu dirancang dan dinilai secara keseluruhan agar, tidak timbul isu hanya negeri tertentu sahaja melaksanakan hukum tersebut.
“Jika hudud tidak diselaraskan dengan baik, ia boleh menimbulkan fitnah kerana dilakukan tanpa persiapan rapi.
Dalam Islam tidak ada "hudud PAS"atau "hudud UMNO" yang ada hanyalah satu undang-undang sahaja iaitu undang-undang Allah SWT.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebenarnya sebagai seorang muslim kita wajb beriman, percaya dan yakin bahawa hukum-hukum Allah SWT yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW adalah hukum terbaik untuk manusia untuk dilaksanakan dalam kehidupan manusia. Hanya perlaksanaan dan penguatkuasaannya perlu berperingkat-peringkat dan dilaksanakan dengan penuh cermat dan teliti dan dimulakan dengan penerangan mengenai kebaikan undang-undang Allah SWT kepada rakyat jelata samaada orang Islam atau bukan Islam.
Umat Islam tidak boleh menghina, merendah-rendahkannya dan menganggap hukum tersebut sebagai zalim dan tidak sesuai dalam masyarakat moden hari ini. Kerana sikap merendah-rendahkan hukum-hukum Allah SWT boleh merosakkan akidah dan boleh jatuh kepada murtad. Komen dan pandangan perlulah cermat dan berhati-hati kerana persoalan ini adalah soal akidah.
Jika terdapat kekeliruan daripada golongan bukan Islam terhadap hukum hudud, maka umat Islam dan mereka yang cintakan agama perlu bangkit menjelaskan dan mempertahankannya secara hikmah bukannya cara kasar dan beremosi. Presiden MCA keharusnya menghormati hak umat Islam mempertahankan kepercayaannya . Jika beliau meminta agar umat Islam perlu menghormati agama yang beliau anuti beliau juga perlu tahu untuk menghormati agama orang lain.
Kenapa umat Islam sungguh sensitif jika hak mereka (urusan keduniaan) yang dijamin oleh perlembagaan dipertikaikan oleh bangsa lain dan mereka sanggup berdemontrasi dan membuat lapuran polis. Tetapi jika hak Allah SWT (hukum hudud) cuba dipertikaikan oleh orang lain mereka diam membisu 1000 bahasa.!!!Adakah hak manusia lebih mulia daripada hak Allah SWT?
Sahabat yang dimuliakan,
Cadangan yang di berikan oleh Datuk Ayub perlu disokong dan difikirkan bersama oleh kerajaan negeri Johor , kerajaan Pusat, para alim ulama, pakar undang-undang Islam, para mufti dan pertubuhan Islam (NGO Islam) bagaimana harus dimulakan untuk merealisasikan hukum hudud di negeri Johor Darul Takzim. Perlu ada rangka kerja, persediaan untuk menggubal dan meminda undang-undang syariah negeri (pindaan enakmen jenayah syariah) . Enakmen jenayah syariah ini perlu dilulusan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor dan di perkenankan oleh Sultan sebagai ketua agama.
Di harapkan cadangan yang baik ini dapat di realisasikan di negeri Johor sebagaimana Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Trengganu 1423H/2002M telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Trengganu.
Sahabat yang di kasihi,
Kita memberi sokongan kepada hukum hudud yang di cadangkan untuk dilaksanakan oleh negeri-negeri di semenanjung adalah kerana hukum tersebut adalah hukum Allah SWT yang telah lama ditinggalkan oleh umat Islam selepas kejatuhan Khilafah Islamiah Uthmaniah di Turki . Umat Islam telah dikelirukan oleh musuh-musuh Islam dengan menyatakan bahawa hukum hudud sudah ketinggalan zaman dan tidak sesuai, sehingga umat Islam sendiri menjadi juara yang menentangnya dan ada pula bekas pemimpin negara menyatakan hukum hudud tidak ada di dalam al-Quran. Kekeliruan inilah yang perlu diperbetulkan, dan tanggungjawab umat Islam yang faham tanggungjawab agama untuk menjelaskan kefarduannya dan cuba menghilangkan kekeliruan dan salah faham.
Kita faham dan akui apabila kita memahami kewajipan kepada perlaksanaannya ini bukanlah bermakna kita setuju hukum ini dilaksanakan terus tanpa kepada kajian yang mendalam atau tanpa penjelasan dan penerangannya kepada rakyat seluruhnya. Perlu difahami bahawa hukum hudud adalah sebahagian kecil daripada hukum-hukum Allah SWT yang lengkap dan sempurna, masih banyak ruang-ruang peraturan Islam lain yang perlu kita dahulukan dalam perlaksanaannya. Sebagai contoh penerapan nilai-nilai ahklak yang murni, pentadbiran yang jujur dan amanah, sifat berjimat cermat dan tidak boros, agihan kekayaan negara secara adil dan saksama, membina sifat jati diri dikalangan rakyat saling bekerjasama dan mengwujudkan perpaduan.
Pemerentah yang adil pula perlu memberi rawatan perubatan dan pendidikan percuma kepada rakyat, tidak mengswastakan bekalan air dan bekalan tenaga letrik, mengawal harga barang-barang keperluan dan membenteras amalan rasuah, kronism dan tidak membenarkan kekayaan negara dikuasai oleh ahli keluarga pemerentah.
Pemerentah yang adil pula perlu memberi rawatan perubatan dan pendidikan percuma kepada rakyat, tidak mengswastakan bekalan air dan bekalan tenaga letrik, mengawal harga barang-barang keperluan dan membenteras amalan rasuah, kronism dan tidak membenarkan kekayaan negara dikuasai oleh ahli keluarga pemerentah.
Oleh itu semua umat Islam perlu melihat cadangan hukum hudud di negeri Johor atau negeri-negeri lain secara positif dan tidak ada prajudis terhadap hukum-hukum Allah SWT.
No comments:
Post a Comment