Tuesday, July 3, 2012

Bersangka Baiklah Kepada Allah SWT Di Atas Ujian Dan Dugaan Yang Kalian Hadapi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : "...boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." 
(Surah an-Nisa' ayat 19)

Ayat  diatas menjelaskan bahawa setiap sesuatu yang berlaku di dunia ini terdapat hikmah dan kebaikan yang banyak yang mana manusia sendiri tidak mengetahui kebaikannya tetapi Allah SWT Maha Mengetahui.

Suatu kebaikan pada masa hadapan yang belum terjadi, tetapi hati menjadi tenang ketika berhadapan dengan kesempitan dan kesukaran. Maka harapan adalah satu kekuatan yang mendorong mencapai kejayaan, manakala lawannya adalah putus asa yang melahirkan kekecewaan dan kegagalan. Di sebalik kesukaran dan kesempitan ada harapan kebaikan yang tidak ketahui oleh manusia.

Ingatlah manusia boleh merancang untuk membuat sesuatu kebaikan, berusaha untuk mencari pasangan hidup yang sesuai dan bercita-cita untuk membena mahligai bahagia tetapi tidak semua berjaya apa yang dihajatkan ... ada yang terpaksa berpisah ditengah jalan.

Sahabat yang dimuliakan,
Dalam menjalani kehidupan dunia sebagai manusia pastinya telah, pernah, dan akan berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian, cabaran, masalah, kesusahan, atau kegagalan. Itulah hakikat manusia yang hidupnya pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran.

Bahkan Allah SWT  sendiri menjelaskan hal ini melalui firmanNya dalam AlQuran:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya : "Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
(Surah al-Mukminun ayat 115).

Dan dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman :

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ.

Maksudnya : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

Berdasarkan ayat di atas dapat difahami hakikat kehidupan dunia ini adalah sebagai ujian, ia bertujuan untuk menilai diri seseorang samada baik atau sebaliknya.

Apabila kita menyedari inilah hakikat kehidupan, maka kita tidak seharusnya berputus asa atau kecewa apabila kita menerima kegagalan atau tidak dapat mencapai apa yang kita inginkan walaupan kita telah berusaha.

Pegangan akidah menetapkan bahawa Allah SWT  sahaja yang berkuasa untuk menentukan sesuatu perkara sedangkan manusia hanya berusaha. Penetapan kejayaan bukan ditangan manusia, kerana sekiranya kejayaan itu ditangan manusia sudah pasti tidak ada orang yang gagal didunia.

Ujian yang dihadapi berbeza antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Ada yang diuji dengan kegagalan dalam sesuatu perkara, ada yang diuji dengan penindasan dan masalah, ada yang diuji dengan kebaikan, kekayaan, kemiskinan dan bahkan ada juga yang diuji dengan kesalahan, dosa-dosa, ada yang diuji dengan putus cinta (baru mula mengenali di antara satu sama lain), putus tali pertunangan (pasangannya berubah hati kerana ada orang lain) dan bercerai kerana tidak ada lagi persefahaman dan telah hilang rasa kasih sayang dan sebagainya.

Allah SWT melarang kita dari berputus asa. Allah  SWT menyatakan dengan jelas dalam Al-Quran bahawa sifat putus asa bukanlah sifat seorang  muslim. Seorang muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara. 

Allah SWT telah menjelaskan hal ini dalam menceritakan kisah Nabi Yaakub a.s. dan anak-anaknya:

يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya : "Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya. Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari Rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”. (Surah Yusuf ayat 87).

Sahabat yang dihormati,
Jika kalian menhadapi dugaan dan ujian berat ini pujuklah hati kalian bahawasanya setiap kesusahan dan kedukaan itu ada kebaikan dan hikmah yang banyak.

1. Allah SWT hendak mengantikan kehilangan atau kegagalan kalian mendapatkan sesuatu yang dihajatkan itu dengan yang lebih baik daripadanya. Kebaikan ini merupakan kebaikan dunia dan akhirat.

2. Berkemugkinan besar jika kalian mendapat apa yang kalian usahakan atau hidup bersama dengan pasangan yang terputus itu,  dia akan menjauhkan kalian daripada agama dan menjadikan kalian hidup teraniaya dan menderita. Oleh kerana Allah SWT kasih dan sayang pada kalian maka digagalkan-Nya di pertengan jalan. Dan akan digantikan-Nya dengan yang lebih baik.

Cuba kalian renungkan di balik kisah Nabi Khaidir a.s. bersama dengan Nabi Musa  a.s. bagaimana Nabi Khaidir membunuh seorang  anak kecil di tengah jalan kerana Allah SWT mewahyukan kepada baginda bahawa anak kecil ini akan menjadi kafir dan akan mengkafirkan kedua ibu bapanya sedangkan kedua ibu bapanya adalah orang mukmin. Untuk menyelamatkan akidah kedua ibu bapanya daripada dirosakkan oleh anaknya sendiri maka Allah SWT mewahyukan baginda untuk membunuh anak kecil ini.

3. Bersangka baiklah dengan Allah SWT kerana setiap sesuatu peristiwa yang berlaku dimuka bumi ini adalah satu perancangan Allah SWT untuk kebaikan para hamba-Nya sendiri. Kadangkala amal soleh dan amal ibadah yang kita lakukan tidak mampu hendak menaikan "makam" kita disisi Allah SWT dan tidak cukup kelayakan untuk memasuki syurga Allah SWT. Maka dengan ujian ini kalian bersabar dan reda maka Allah SWT akan memberi kan ganjaran pahala yang besar dan menghapuskan dosa-dosa kalian insya Allah kalian berkelayakan untuk memasuki syurga-Nya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita banyak beristighfar dan reda dengan qada dan qadar Allah SWT. Bersangka baik dan berfikiran positif dan sentiasa bertawakal dan berusaha dengan gigih apa sahaja urusan yang kita rancangkan. Jika berjaya banyakkan bersyukur dan jika gagal banyakkan bersabar dan tenang menghadapi putaran hidup yang sentiasa berubah dari masa ke masa.


No comments: