Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sahabat yang dirahmati Allah,
Pada malam Nisfu Syaaban (15 Syaaban) adalah salah satu malam yang mustajab doa. Umat Islam digalakkan pada malam Nisfu Syaaban banyakkan berdoa dan memohon keampunan disisi Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampuni semua hamba-hambaNya kecuali yang musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” (Hadis Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)
Hadis di atas merupakan hadis yang sahih dari Rasulullah SAW berkenaan fadhilat Nisfu Syaaban.
Berdasarkan hadis di atas hanya dua golongan manusia sahaja yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT iaitu :
Pertama : Orang yang syirik kepada Allah SWT.
Kedua : Orang yang bermusuhan iaitu yang memutuskan silaturahim.
Huraiannya :
Pertama : Orang yang syirik kepada Allah SWT.
Dosa yang paling besar disisi Allah SWT. adalah syirik kepada-Nya. Allah SWT. tidak akan ampunkan dosa mereka yang mati dalam keadaan syirik kepada-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah al-An'aam ayat 82)
Para sahabat Rasulullah SAW keberatan dengan ayat ini, dan bertanya kepada baginda, "Hai Rasulullah, siapa orang yang tidak menzalimi dirinya sendiri?". Maka, baginda menjawab, "Maksud ayat ini bukan begitu, tetapi maksudnya adalah syirik. Bukankah kalian mendengar nasihat Luqman kepad anaknya, "Wahai anakku, janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya perbuatannya ini adalah dosa (kezaliman) besar."
(Hadis Riwayat Muttafaq alaih).
Syirik besar (akbar) adalah menyekutukan Allah dengan yang lain. Misalnya dalam agama Kristian mengatakan bahawa Nabi Isa itu sebagai anak tuhan. Semua agama penyembah berhala, yang menjadikan patung-patung berhala sebagai perantaraan dengan Allah SWT. dan menganggap dewa-dewa mempunyai kuasa seperti Tuhan. Mempercayai dan meyakini bahawa jin-jin dan syaitan mempunyai kuasa yang boleh mudaratkan manusia dan meminta pertolongan kepadanya. Termasuk syirik besar (akbar) juga meyakini undang-undang ciptaan manusia lebih baik dan lebih adil daripada undang-undang ciptaan Allah SWT dan menganggap undang-undang ciptaan Allah SWT seperti hudud, qisas dan diat itu sudah ketingalan zaman dan tidak sesuai dalam masyarakat majmuk.
Sekiranya seseorang telah melakukan syirik maka perlulah dia kembali mengucapkan dua kalimah syahadah dan bertaubat nasuhah kepada Allah SWT barulah dosanya akan diampunkan oleh Allah SWT.
Kedua : Orang yang bermusuhan iaitu yang memutuskan silaturahim.
Perlu diingat bahawa kita tidak boleh memutuskan silaturahim kerana dengan memutuskan silaturahim itu boleh menyebabkan mendapat kutukan dan laknat Allah Subhanahu Wata'ala serta tidak akan dimasukkan ke dalam syurga, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
"Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim".
(Riwayat Al-Imam Muslim)
Adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaik-baiknya. Janganlah disebabkan masalah kecil dan remeh-temeh menyebabkan hubungan menjadi renggang atau retak. Perkara sebegini boleh menimbulkan ketegangan yang menyebabkan mereka bermasam muka, saling benci-membenci, fitnah-memfitnah dan akhirnya boleh memporak-perandakan hubungan silaturahim dalam berkeluarga dan bermasyarakat.
Termasuk di dalam perbuatan memutuskan silarurahim apabila sekumpulan anggota jemmah Islam keluar daripada jemaah dan membuat fitnah dan memecahbelahkan anggota jemaah sedia ada.
Begitulah juga dalam menghubungkan silaturahim ini Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah menyuruh seorang sahabat untuk tidak memutuskan hubungan silaturahim walaupun ia dizalimi atau disakiti oleh saudaranya itu, sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim : Bahawa seorang sahabat bertanya kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : "Sesungguhnya saya mempunyai keluarga dan saya menghubungkan silaturahim dengan mereka tetapi mereka memutuskannya dan saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya dan saya memaafkan mereka tetapi mereka berlaku zalim terhadap saya. Bolehkah saya buat sebagaimana yang mereka buat?"
Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : "Tidak boleh dan jika kamu buat yang demikian bererti kamu juga telah memutuskan silaturahim dengan mereka. Tetapi bersikap mulialah terhadap mereka dan teruskanlah menghubungkan silaturahim dengan mereka kerana sesungguhnya pertolongan Allah sentiasa bersama kamu selagi kamu berbuat yang demikian".
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Muhammad ayat 22-23 yang maksudnya :
"Kalau kamu tidak mematuhi perintah maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan, jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya".
Oleh itu sesiapa sahaja yang memutuskan silaturahim di malam Nisfu Syaaban doa-doanya tidak diterima oleh Allah SWT. Dari itu mana-mana perselisihan dan pergaduhan yang telah berlaku maka perlulah dipulihkan semula dan hubungkanlah balik silaturahim yang terputus tanda kita mengharapkan reda dan pertolongan Allah SWT.
Oleh itu sesiapa sahaja yang memutuskan silaturahim di malam Nisfu Syaaban doa-doanya tidak diterima oleh Allah SWT. Dari itu mana-mana perselisihan dan pergaduhan yang telah berlaku maka perlulah dipulihkan semula dan hubungkanlah balik silaturahim yang terputus tanda kita mengharapkan reda dan pertolongan Allah SWT.
Sahabat yang di muliakan,
Marilah sama-sama kita pergunakan kesempatan dimalam Nisfu Syaaban ini untuk kita bermunajat dan berdoa kepada Allah SWT semoga Dia mengkabulkan doa dan hajat kita untuk kebaikan di dunia dan akhirat.
Menyedut pendapat Imam asy-Syafiie dalam kitabnya al-Umm telah berkata: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: 'Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”
Mintalah kepada Allah SWT sebanyak-banyak-nya samaada yang bersangkutan perkara duniawi dan ukhrawi kerana Dia sahaja akan mengkabulkan doa-doa kita.
Menyedut pendapat Imam asy-Syafiie dalam kitabnya al-Umm telah berkata: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: 'Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”
Mintalah kepada Allah SWT sebanyak-banyak-nya samaada yang bersangkutan perkara duniawi dan ukhrawi kerana Dia sahaja akan mengkabulkan doa-doa kita.
No comments:
Post a Comment