Thursday, October 11, 2012

Mata Hati Yang Hidup Akan Dapat Bezakan Di Antara Yang Hak Dan Yang Batil

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
 
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami sediakan bagi Neraka Jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Surah al-A’raaf ayat 179).

Dalam ayat di atas Allah SWT meletakkan nilaian manusia sama taraf dengan haiwan bahkan lebih rendah lagi kerana manusia  membutakan matanya, memekakkan telinganya dan menutup pintu hatinya kerana tidak mahu menerima kebenaran yang datangnya daripada Allah SWT.

Mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Allah SWT. Inilah pandangan hidup yang paling jelas dan tepat. Bermula dengan pandangan yang tepat inilah kita boleh menjalani hidup dengan sebaik-baiknya.

Berdasarkan ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa manusia akan menjadi kufur dan tidak akan beriman apabila dia ada hati tetapi hatinya buta walaupun matanya tetap celek tidak buta dan telinganya tetap mendengar bukan pekak.

Sahabat yang dimuliakan,
Saidina Ali k.w. pernah berkata yang bermaksud: “Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), bila mati baru mereka terjaga (tersedar).”

Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya hanya apabila seseorang itu mati kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya.

Ketika itu barulah si mati dapat “melihat” hidup dengan jelas dan tepat. Ketika inilah tidak berguna lagi penyesalan kerana semuanya telah terlambat.

Setelah diri berada di alam barzakh (alam kubur), barulah manusia insaf apakah yang sebenarnya yang perlu dicari dan dimiliki dalam hidupnya ketika di dunia dahulu. Aneh, hanya apabila meninggal dunia, baru manusia menyedari tentang hakikat hidup di dunia. Seperti kata pepatah, “Setelah terantuk (mati), barulah dia tengadah (sedar).”

Apa yang dimaksudkan oleh Sayidina Ali dengan ‘terjaga’ (tersedar) tidaklah merujuk kepada mata di kepala, sebaliknya merujuk kepada mata di hati (di dalam dada). Ramai manusia yang hidup dengan mata hati yang tertutup. Bila mati baru mata hati itu terbuka. Mata hati inilah yang disebut dalam al-Quran sebagai yang ‘berada di dalam dada’.

Rupa-rupanya apa yang diburu semasa hidup di dunia hanyalah dosa, pangkat, kedudukan, kuasa, pengaruh dan kemegahan. Manusia sanggup melakukan perkara haram iaitu mengambil rasuah, riba, menipu dan menentang hukum-hukum Allah SWT. Manakala apa yang dihindarinya pula adalah amal soleh, amal ibadah, amal kebajikan dan pahala yang disediakan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan pada hari itu, diperlihatkan Neraka Jahanam ; dan pada hari itu ingatlah kalian akan tetapi tidak berguna lagi mengingati itu baginya. Dan dia berkata , "Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan amal soleh untuk hidupku ini. Maka pada hari itu tiada seorang pun yang menyeksa seperti seksaan-Nya dan tiada seorang pun yang mengikat seperti ikatan-Nya" (Surah al-Fajr ayat 23-26)

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam kehidupan ini terdapat empat pandangan manusia. Manusia akan memandang hanya menerusi empat pandangan sahaja. Empat pandangan tersebut adalah :

Pertama  : Pandangan mata (zahir)

Kedua      : Pandangan akal.

Ketiga      : Pandangan nafsu.

Keempat : Pandangan mata hati.

Huraiannya :

Pertama : Pandangan mata (zahir)

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj, ayat 46 maksudnya : “Sesungguhnya penglihatan (mata kasar) itu tidaklah buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada (mata hati).”

Pandangan mata, sifatnya selalu menipu. Contohnya, ketika cuaca panas jalan raya bertar dari jauh kita lihat seperti ada air hakikat sebenarnya bukan air tetapi ianya hanya bayangan fartamogana. Menerusi pandangan mata, kita melihat rel kereta api semakin jauh semakin menirus. Tetapi itu sebenarnya salah. Realitinya, rel itu tetap sama. Mata kita yang tertipu. Begitu juga kayu lurus yang dimasukkan separuh ke dalam air – kelihatan bengkok (sebenarnya ia tetap lurus). Bulan dilihat indah dari jauh tetapi kita tahu sebenarnya permukaan bulan penuh dengan lopak-lopak, lubang-lubang dan benjolan-benjolan yang tidak rata seolah-olah muka seorang yang berjerawat. Ya, begitulah, ramai manusia yang tertipu dengan pandangan mata.

Kedua : Pandangan Akal

Saidina Ali k.wj. pernah berkata : "Kalau sekiranya agama itu menggunakan logik akal, nescaya orang akan menyapu khauf dibahagian bawah (tapak kasut), bukan dibahagian atasnya."

Pandangan akal (fikiran) pula sifatnya boleh tersalah. Akal manusia terlalu terbatas tidak dapat menjangkau alam ghaib. Akal manusia apabila jauh daripada wahyu tidak akan mampu memikirkan apakah hala tuju hidup manusia yang sebenarnya. Darimana dia datang, apa tujuan dia dihidupkan dan kemana dia akan pergi setelah kematian?

Manusia yang sesat dan tidak merujuk kepada kitabullah dan sunnah Nabi-Nya akan mencari-cari darimana asal usul manusia, dan apa yang ditemui kononnya manusia berasal daripada beruk  seperti  teori Darwin. Jika benar apa yang dikatakan oleh Darwin sekarang ini tidak ada beruk-beruk dihutan kerana semuanya sudah bertukar menjadi manusia. Jelas akal manusia tidak akan mampu mencari hakikat kebenaran dimuka bumi ini jika tidak dipimpin oleh Rasu-rasul pilihan Allah SWT.

Apabila kita tanya pada akal dimana perginya roh setelah seseorang itu meninggal dunia?, nescaya akal akan terdiam kerana tidak akan mampu memberi jawapan kerana roh ini tidak nampak dan ianya bukan berbentuk fizikal.

Begitulah pandangan akal manusia yang saling salah menyalah antara satu sama lain. Penemuan orang terdahulu dibatalkan oleh kajian orang sekarang. Kajian orang sekarang dibatalkan pula oleh kajian orang akan datang. Akal bersifat terbatas, maka begitulah pandangannya, juga terbatas. Justeru, pandangan akal boleh tersalah.

Ketiga : Pandangan Nafsu

Pandangan ketiga ialah pandangan nafsu. Pandangan ini sifatnya melulu. Jika pandangan akal terbatas, nafsu pula selalu terbabas. Tidak ada yang dilihat oleh nafsu melainkan peluang dan ruang untuk melakukan kejahatannya. Sesuatu yang sudah cantik pada pandangan orang lain dipandang sebagai buruk dan keji kerana tidak mengikut selera nafsunya. Nafsu suka kepada kejahatan.

Nabi Musa a.s. pernah bertanya kepada Allah SWT. yang bermaksud : "Ya Rabbi, bagaimanakah saya akan mengetahui samaada seseorang itu Kamu cintai dan reda ataupun kamu benci dan murka?".

Jawab Allah SWT  yang bermaksud : "Bila sahaja Aku cinta dan reda kepada seseorang maka Aku permudahkan baginya untuk berzikir kepada-Ku dan Aku pelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang haram, sebaliknya bila Aku benci dan murka kepada seseorang maka akan Ku lalaikan ia daripada memperingati-Ku dan Aku biarkan ia dikuasai oleh hawa nafsunya supaya terjerumus melakukan perkara-perkara yang haram sehinggalah ia layak menerima seksaan dan balasan-Ku".

Keempat : Pandangan Mata Hati

Pandangan yang keempat ialah pandangan mata hati. Ini adalah pandangan yang paling tepat dan hakiki. Hati pada asalnya adalah bersih dan baik. Apa sahaja yang dilihatnya akan sentiasa memberi kebaikan dengan syarat kebersihan dan kesucian hati itu terjaga.

Rasulullah SAW  bersabda maksudnya : “Allah tidak menilai rupa lahir kamu tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kalau mata hati kita buta, kaki kita masih boleh berjalan tetapi hakikatnya kita lumpuh!! Orang yang celik mata hatinya, sedar tentang dari mana dia datang, untuk apa dia dijadikan dan ke mana dia akan pergi. Dia mendapat matlamat yang tepat dan jelas dalam hidupnya. Dalam fikiran, jiwa dan emosinya ada perjuangan untuk memperbaiki diri. Jika kita sedar, dalam hidup ini akan sentiasa berlaku perubahan.

Sahabat yang dihormati,
Adakah kita mempunyai hati yang hidup?

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut ‘Allah’, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah keimanannya, dan kepada Tuhan merekalah sahaja mereka bertawakal.” (Surah al-Anfal ayat 2)

Tanda hati yang hidup, ialah ia masih boleh bergetar dan teralun dengan zikrullah dan bacaan Al-Quran, ia akan bergetar untuk segala jenis kebaikan. Hati yang hidup akan terkesan apabila menerima teguran dan berasa tenang apabila menerima nasihat. Hati yang hidup akan peka terhadap kebesaran Ilahi dan takut akan kemurkaanNya. Hati yang hidup juga akan mendorang diri berasa lebih ringan untuk melakukan ibadah.

Pandangan mata hati yang hidup mampu membezakan antara yang hakiki dengan yang ilusi. Ia tidak seperti pandangan mata kasar yang sifatnya selalu menipu, pandangan akal yang sifatnya boleh tersalah dan pandangan nafsu yang sifatnya selalu melulu.

Mereka yang celik mata hati bukan setakat tahu tetapi sedar hakikat dirinya sebagai hamba Allah.Hamba Allah tidak akan bersifat seperti 'tuan', bersikap angkuh, tamak, pemarah, bangga diri dan sifat-sifat mazmumah yang lain.  Oleh itu tahu dan sedar adalah dua perkara yang berbeza. Tahu letaknya di akal, dengan memiliki ilmu dan maklumat. Manakala kesedaran letaknya di hati, dengan memiliki penghayatan dan hikmah.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jaga mata hati kita supaya bersih dan dijauhi daripada titik-titik hitam noda dan dosa. Apabila dosa dilakukan oleh anak Adam maka satu titik hitam akan melekat dihatinya, jika terlalu banyak dosa dilakukan maka hati tadi akan dipenuhi oleh selaput hitam yang mana selaput hitam inilah yang akan menjadi penghalang daripada hidayah Allah SWT sampai ke hati.

Oleh itu apabila  ada sahaja titik hitam di hati maka untuk membersihkannya banyakkan beristighfar dan berzikir kepada Allah SWT maka akan hilanglah titik hitam tersebut dan digantikan nur (cahaya) yang akan menerangi hati tersebut, inilah dipanggil mata hati yang bercahaya.

Dalam hadis Nabi SAW disebutkan : "Hati manusia itu ibarat sehelai kain putih yang apabila manusia itu berbuat dosa maka tercorenglah / ternodailah kain putih tersebut dengan satu titik noda kemudian jika sering berbuat dosa lambat-laun sehelai kain putih itu berubah menjadi kotor / hitam".

1 comment:

along said...

hati yang hidup, akan sentiasa terpandu dengan hidayah Allah... semoga kita sentiasa dlm redha Allah..^^