Tuesday, October 9, 2012

Sedekah Yang Ikhlas Akan Di Gandakan Sehingga Sepuluh Kali Ganda

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
 
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu amalan yang terbaik bagi setiap orang mukmin adalah bersedekah. Bersedekah dapat membersihkan hati daripada sifat kikir dan bakhil. Sedangkan bakhil adalah satu sifat yang dicela oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT  maksudnya : “Apa-apa yang kamu belanjakan daripada perkara yang baik, memberi sumbangan harta benda dengan tujuan dan nilai yang baik dimana kebaikan itu akan kembali kepada diri kamu. Dan apa-apa  yang kamu belanjakan kerana mencari keredaan Allah” (Surah al-Baqarah ayat 272)




Dalam sirah sahabat Rasulullah SAW terdapat satu kisah yang diceritakan oleh Ka'ab bin Akhbar mengenai Saidina Ali bin Abi Talib k.wj dengan buah delima.

Ketika Siti Fatimah az-Zahra, Puteri Rasulullah SAW, sekaligus isteri kepada Saidina Ali bin Abi Talib sakit, ia ditanya oleh Saidina Ali,  ” Wahai Fatimah, adakah engkau menginginkan sesuatu?”

“Wahai suamiku, aku ingin buah delima”, Jawabnya.

Saidina Ali termenung, sebab ia merasa tidak memiliki wang sedikitpun. Namun, ia segera berangkat dan berusaha untuk mencari wang satu dirham. Maka akhirnya Saidina Ali mendapatkan wang itu dan kemudian ia pergi ke pasar untuk membeli buah delima dan segera kembali pulang.

Namun di tengah perjalanan menuju rumahnya, tiba-tiba ia melihat seseorang yang tengah terbaring sakit di tepi jalan, maka Saidina Ali pun berhenti dan menghampirinya.

“Wahai orang tua, apa yang diingini oleh hatimu?”, tanya Saidina Ali.

“Wahai Ali, sudah lima hari aku terbaring sakit di tempat ini, banyak orang berlalu, namun tak ada seorang pun dari mereka yang mahu peduli kepadaku. Aku ingin sekali makan buah delima.” Jawab orang tua tersebut.

Mendengar jawabannya, Saidina Ali terdiam, sambil berkata dalam hati,

“Buah delima yang hanya satu buah ini, sengaja telah aku beli untuk isteriku, kalau aku berikan kepada orang ini, pasti Fatimah akan sedih. Namun jika tidak aku berikan ertinya aku tidak menepati firman Allah SWT yang bermaksud : “Terhadap si pengemis, engkau janganlah mengherdiknya. ” (Surah Al-Dhuha ayat 10).

Juga sabda Nabi SAW yang bermaksud, ” Janganlah sekali-kali engkau menolak pengemis, sekalipun ia di atas kenderaan”.

Oleh sebab isterinya juga menginginkan buah delima tersebut akhirnya buah tersebut dibahagi dua. Kini ada di tangannya hanya setengah dari buah delima untuk isterinya. Lalu beliau melanjutkan perjalanan kembali ke rumah. Tiba-tiba ada seorang lagi pengemis yang sangat kelaparan mengharapkan bantuan dari Saidina Ali. Rasa sayang yang tinggi terhadap sesama manusia, maka diberikanlah separuh lagi buah delima tersebut kepada pengemis itu.

Sampai di rumah Saidina Ali k.wj menceritakan peristiwa itu kepada isterinya, dan Siti Fatimah berkata kepadanya,

“Wahai suamiku, kenapa engkau bersedih, demi Allah yang maha Perkasa dan Maha Agung, ketika engkau memberikan buah delima kepada orang tua itu, maka puaslah hatiku dan lenyaplah keinginanku pada buah delima itu.”

Mendengar kenyataan isterinya itu Saidina Ali merasa sangat gembira.

Selanjutnya, di kamar Rasulullah SAW didatangi oleh Malaikat Jibril a.s yang memberitakan apa yang telah dilakukan oleh Saidina Ali, dan bersama  Jibril as terdapat  10 buah-buahan dari syurga sebagai pengganti buah yang telah diberikan oleh Saidina Ali kepada pengemis tadi. Nabi SAW memanggil salah seorang sahabatnya iaitu Salman al-Farisi (ada yang mengatakan bahawa lelaki itu ialah Abu Said al-Khudri r.a) agar menghantar buah-buahan ini kepada Saidina Ali dan putrinya Fatimah az-Zahra.

Tidak lama kemudian datanglah seorang tamu yang mengetuk pintu, lalu Saidina Ali berkata, “Siapakah tuan?”

“Aku Salman Al Farisi,” Jawab orang yang mengetuk pintu itu.

Setelah pintu dibuka, Saidina Ali melihat Salman membawa sebuah wadah tertutup, dan diletakkkan di depan Saidina Ali, lalu Saidina Ali bertanya,

“Dari manakah wadah ini wahai Salman ?”.

“Aku menghantarkannya untukmu dari Allah SWT melalui perantaraan Rasulullah SAW.” Jawabnya.

Setelah penutup wadah tersebut dibuka, terlihat di dalamnya ada sembilan buah delima. Saidina Ali terus berkata,

“Wahai Salman, jika ini memang untukku, pasti jumlahnya sepuluh”.

Lalu Saidina Ali r.a membacakan firman Allah SWT yang bermaksud : “Barangsiapa membuat satu amal kebaikan, maka pasti baginya sepuluh kali ganda amal balasannya”.      (Surah al-An’am ayat 160 )

Salman pun tertawa mendengarnya, sambil mengembalikan sebuah Delima yang ada ditangannya, seraya berkata, “Wahai Ali, demi Allah, aku hanya sekadar menguji sejauh mana keyakinanmu terhadap firman Allah yang engkau bacakan sebentar tadi.”

Sahabat yang dikasihi,
Begitulah besarnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT, setiap kebaikan dan sedekah yang kita lakukan semata-mata kerana Allah SWT akan diganjari sepuluh kali ganda dan boleh digandakan lagi sehingga tujuh ratus kali ganda.

Oleh itu kalian teruskanlah bersedekah dan jangan difikirkan akan kekurangan wang  kalian kerana sedekah yang dilakukan tidak akan berkurang kerana Allah SWT akan membuka pintu-pintu rezeki dijalan yang tidak di sangka-sangka di dunia ini. Di akhirat pula akan menanti pahala yang besar membantu mukmin yang sentiasa infakkan hartanya di jalan Allah SWT atau bersedekah kepada manusia yang memerlukan pertolongan.

No comments: