Monday, November 5, 2012

Carilah Jodoh Kalian Dengan Memilih Pasangan Yang Soleh Atau Solehah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Jodoh itu salah satu bentuk rezeki dan seperti rezeki yang lain, ia boleh diperolehi melalui jalan halal atau jalan haram, yang berbeza di antara keduanya adalah keberkahan dalam kehidupan dan sentiasa mendapat rahmat Allah SWT.

Untuk mencari pasangan yang soleh seorang wanita hendaklah memilih calon suaminya yang faham dan menjalankan perintah agama. Jangan terlalu mementingkan perkara yang bersifat kebendaan atau meterialistik, sebab harta, kecantikan, kedudukan dan pangkat tidak akan bertahan lama. Seandainya calon suami seorang yang soleh, Insya Allah rumahtangga akan bahagia dan diberkati Allah SWT.

Walaupun begitu mulailah dari diri sendiri, hiasi peribadi dengan akhlak yang mulia agar nanti kita akan dianugerahkan Allah pasangan yang mulia pula. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah An Nuur ayat 26 maksudnya: "Wanita-wanita yang buruk itu untuk lelaki yang buruk, dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk; sedangkan wanita-wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik".

Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan oleh orang yang memiliki akal sihat jelas dia lakukan atas dasar pilihannya sendiri sebagaimana firman Allah SWT maksudnya : "Maka barangsiapa menghendaki, maka dia mengambil jalan menuju Rabb-Nya" (Surah an-Naba ayat 39)

Dan firman Allah SWT maksudnya : "Sebagian dari kamu ada orang yang menghendaki dunia dan sebagian dari kamu ada orang yang menghendaki akhirat" (Surah Ali-Imran ayat 152)

Begitu juga lelaki apabila ingin menyunting seorang wanita untuk dijadikan isterinya maka utamakanlah agamanya atau kesolehahnya, kerana sesungguhnya wanita yang beragama , miskin dan kurang kecantikannya adalah lebih baik daripada wanita kaya, cantik tetapi buruk akhlaknya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah bersabda: "Wanita dinikahi karena empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung.” (Hadis Riwayat Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858))

Mengenai jodoh, rezeki dan maut merupakan takdir yang ditentukan Allah dalam diri seseorang. Sebagai seorang insan, kita dituntut supaya bersabar dan berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan seorang pasangan yang sesuai dan diberkati Allah. Jika terputus perhubungan sebelum proses perkahwinan berlaku maka janganlah cepat merasa putus asa dan kecewa dengan perkara yang telah terjadi, mungkin disebalik keputusan Allah itu ada hikmah yang sangat besar terkandung didalamnya sedangkan kita tidak mampu untuk menjangkaunya.

Jika kita bersabar, insya Allah pada suatu ketika nanti akan mendapat seorang pasangan yang baik dan soleh. Disamping itu jangan lupa berdoa kepada Allah setiap kali selesai solat lima waktu. Bermohon kepada-Nya agar dipertemukan dengan seorang pasangan yang soleh dan dapat membimbing keluarga ke arah jalan yang diredhai Allah SWT. Utamakan agama dalam memilih pasangan hidup daripada faktor-faktor lain seperti harta, pangkat dan sebagainya tanpa was-was. Hiasilah peribadi dengan akhlak yang mulia, bersopan santun serta menjalankan perintah agama. Hanya dengan keperiabdian yang luhur dan mulia disenangi dan disukai oleh orang lain.

Memang diakui jodoh dan pertemuan itu adalah di tangan Tuhan. Bagamanapun kata-kata ini tidak boleh difahami secara umum begini, sebaliknya ia memerlukan huraian yang jelas, kerana ia mempunyai hubungan erat dengan qada dan qadar Allah SWT. Seseorang perempuan yang tidak di sangka-sangka dipinang orang kemudian berkahwin dan perkahwinannya kekal sehingga ke anak cucu. Itulah yang dikatakan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Begitu juga seorang yang sudah lama bercinta dan berjanji untuk untuk berkahwin namun mereka gagal berkahwin, juga dikatakan sebagai jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan.

Bagaimanapun seseorang itu tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada kaedah ini. Jangan hendaknya kerana jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan maka mereka tidak berusaha untuk mencari jodoh, sebaliknya mengambil sikap menunggu sahaja. Ini jelas satu prinsip hidup yang bercanggah dengan ajaran Islam. Kita dikehendaki berusaha selaras dengan ajaran-ajaran Islam yang Maha Suci, tetapi kita juga hendaklah menyerahkan kejayaan usaha kita itu kepada Allah SW. Setelah berusaha tetapi jodoh tidak ditemui juga barulah boleh kita mengatakan jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan.

Dengan lain perkataan jodoh dan pertemuan yang berbentuk umum itu boleh diubah dengan usaha yang kita lakukan, kerana tidak tidak seorangpun yang dilahirkan sudah mengetahui jodoh dan pertemuannya. Sehubungan dengan usaha yang berterusan selaras dengan syariat mesti dilakukan. Sebolehnya diusahakan mendapatkan pasangan yang baik

Sahabat yang dimuliakan,
Islam melarang hidup membujang, iaitu tidak mahu berkahwin dengan maksud untuk tekun ibadah, menjauhkan diri dari kesenangan dunia dan menghindarkan diri dari kewajipan menjaga anak.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Benarkah kalian telah berkata begini dan begitu, sungguh demi Allah, sesungguhnya akulah yang paling takut dan takwa di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku juga tidur dan aku juga mengawini perempuan. Maka barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka ia tidak termasuk golonganku". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam Surah Al Maidah ayat 87 dijelaskan: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu dan janganlah kamu melewati batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".

Jadi orang yang suka hidup membujang bererti mengharamkan apa yang dihalalkan Allah bagi dirinya.

Hukum perkahwinan itu asalnya mubah, tetapi akan berubah menurut hukum yang lima menurut perubahan keadaan.

1. Wajib
Kahwin diwajibkan bagi orang yang telah mampu, yang akan menambahkan takwa dan dikhuatirkan akan berbuat zina. Kerana menjaga jiwa dan menyelamatkannya dari perbuatan haram adalah wajib. Kewajiban ini tidak akan dapat terlaksana kecuali dengan berkahwin.

2. Haram
Kahwin diharamkan bagi orang yang tahu bahawa dirinya tidak mampu melaksanakan hibup berumahtangga, melaksanakan kewajipan lahir seperti memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal dan kewajipan batin seperti menggauli isteri (berahi terhadap wanita)

3. Sunat
Kahwin disunatkan bagi orang yang sudah mampu, tetapi ia masih sanggup mengendalikan dirinya dari perbuatan haram, dalam hal ini maka kahwin lebih baik daripada membujang, kerana membujang tidak ada dalam syariat Islam.

4. Mubah
Iaitu bagi orang yang tidak ada halangan untuk kahwin dan dorongan untuk kahwin belum membahayakan dirinya, ia belum wajib kahwin dan tidak haram bila tidak kahwin. Jelaslah jika anda tidak ada keinginan untuk berkahwin kerana tidak ada nafsu terhadap wanita maka tidak berdosa, malah haram berkahwin jika tidak ada keupayaan untuk menggauli isteri.

Sahabat yang dihormati,
Terdapat beberapa amalan yang baik yang boleh diamalkan semoga dipermudahkan bertemu pasangan yang soleh atau solehah. Di harapkan pasangan tersebut bukan sahaja untuk kebaikan di dunia sahaja tetapi dia juga baik di hari akhirat iaitu yang akan bersama-sama di syurga.

1. Berdoa semoga dikurniakan zurait yang baik.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang- orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa." (Surah al-Furqan ayat 74)


Jika wanita berdoa : "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh suami yang soleh dan zuriat keturunan kami : perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah suami kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa."
 

2. Berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat dan dibebaskan daripada api neraka.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api Neraka.” (Surah al-Baqarah ayat 201)

3. Diantara wirid yang perlu diamalkan agar disayangi orang iaitu mengucapkan "Yaa Rahim" sebanyak 100 kali setiap hari, insya Allah hajat dan kasih sayang ditumbuhkan dalam hati.

4. Solat Istikharah.

Dari Jabir bin Abdullah r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengajarkan kami cara melakukan istikharah (memohon kepada Allah untuk menunjuki cara yang benar mengenai sesuatu kerja atau amalan), dalam segala hal sebagaimana baginda mengajar kami surah-surah dari Al-Quran.

Baginda SAW bersabda: Jikalau salah seorang daripada kamu berniat melakukan sesuatu pekerjaan, maka kerjakanlah dua rakaat solat sunat dan berdoa:

” Ya Allah, Aku meminta pilihan kepadaMu dengan pengetahuanMu dan aku memohon keputusan dengan kekuasaanMu dan aku memohon kepada-Mu dari keutamaanMu yang besar, sesungguhnya Engkau mampu sedangkan aku tidak mampu dan Engkau mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau mengetahui urusan-urusan yang ghaib.

Ya Allah, jikalau Engkau mengetahui bahawa 'urusan ini' baik bagiku dalam
(agamaku dan kehidupanku serta akhir urusanku, atau sebut buat masa kini dan akan datang) maka takdirkanlah bagiku dan mudahkanlah bagiku kemudian berkatilah aku di dalamnya.

 
Apabila Engkau mengetahui bahawa 'urusan ini' buruk bagiku (dalam agamaku, kehidupanku dan akhir urusanku, atau sebut buat masa kini dan akan datang) maka singkirkanlah ia daripadaku dan takdirkanlah kebaikan bagiku di mana pun jua kemudian jadikanlah aku redha dengannya."

5. Berdoa seperti di dalam Surah Qasas ayat 24.


surah qasas ayat 24

Maksudnya : "Wahai Tuhanku,sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.."

Ketika Nabi Musa a.s. berdoa dengan ayat ini,baginda adalah seorang yang fakir dan amat memerlukan pertolongan daripada Allah SWT pada ketika itu. Di dalam sejarah ada menceritakan selepas itu Nabi Musa telah mendapat perkerjaan dan berkahwin dengan salah seorang puteri kepada Nabi Shuib a.s. pada ketika dia berada dalam kesusahan. Allah SWT telah memudahkan urusan baginda. Oleh itu kita seharusnya berdoa dan meminta hanya kepada Allah dan biarlah keadaan dimana jiwa kita dalam keadaan yakin sepenuhnya kepada Allah SWT.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu marilah sama-sama kita hayati cara-cara yang dibenarkan oleh syarak ketika memilih atau mencari pasangan hidup supaya berbahagia di dunia dan akhirat.



No comments: