Wednesday, November 7, 2012

Tidak Ada Paksaan Dalam Beragama.



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah ayat 256)

Apakah tafsiran ayat di atas yang mengatakan tidak ada paksaan dalam beragama?

Rasulullah SAW datang ke Madinah berhijrah daripada Mekkah untuk mencari tempat yang subur dalam dakwah baginda menyebarkan Islam dan mengajak manusia supay kembali beriman kepada Allah SWT. Baginda telah membina Daulah Islamiah Madinah dan membuat perjanjian dengan penduduk kota tersebut atau yang lebih dikenal dengan Piagam Madinah.

Salah satu perkara yang menjadi persetujuan dalam piagam tersebut adalah kebebasan beragama bagi masing-masing individu. Tidak pernah Rasulullah SAW memaksa penduduk Madinah yang beragama Yahudi pada ketika itu untuk memeluk Islam. Bahkan yang terjadi baginda memerintahkan para sahabatnya untuk menghormati hak-hak mereka apalagi sebagai jiran tetangga.

Bahkan semasa perang pun, Islam melarang kaum muslimin untuk memaksa mereka agar memeluk agama Islam. Kepada mereka yang menjadi musuh, Islam memberikan tiga pilihan. Tiga perkara tersebut selalu baginda sampaikan kepada ketua tentera yang akan menuju ke medan Jihad.

Baginda memberi nasihat kepada mereka:

Pertama. Serulah musuh kalian untuk memeluk Islam, jika mereka menerima maka janganlah kalian memerangi mereka.

Kedua : Jika mereka menolak untuk masuk Islam, mintalah kepada mereka untuk membayar jizyah sebagai jaminan bagi keselamatan mereka. Jika mereka mahu menerima hal tersebut, maka tahanlah diri kalian dan janganlah memerangi mereka.

Ketiga : Jika mereka menolak untuk membayar jizyah, maka perangilah mereka.

Seorang muslim harus meyakini dengan sepenuh hati bahawa agama Islam adalah agama yang paling benar dan yang paling diredai oleh Allah SWT sebagaimana telah ditegaskan dalam Al-Quran, firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya agama yang diredai di sisi Allah hanyalah Islam” (Surah Ali Imran ayat 19)

Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran ayat 85)

Akan tetapi keyakinan tersebut tidak boleh menjadi alasan seorang muslim untuk memaksa orang yang memeluk agama lain untuk masuk Islam. Islam sangat menghargai toleransi beragama yang diwujudkan dengan kebebasan setiap orang untuk mempercayai dan menjalankan agama masing-masing.Berdakwah kepada mereka digalakan dengan membawa akhlak yang mulia kerana taufik dan hidayah itu adalah hak Allah SWT.

Oleh kerana itu, ketika terjadi penaklukan kota al-Alqsa pada masa Khalifah Umar bin Khattab r.a. beliau tidak memerintahkan para tenteranya untuk mengusir kaum Nasrani dari negeri tersebut, justru khalifah tersebut memberikan kebebasan kepada mereka untuk menjalankan ajaran agama mereka. Oleh sebab itu, tidak ada pertentangan antara dua ayat tersebut.

Kerana ayat dalam surat Ali Imran menjelaskan tentang kebenaran agama Islam dan kewajiban setiap muslim untuk meyakininya. Sedangkan ayat dalam surat al-Baqarah menjelaskan tentang sikap kita terhadap orang yang memiliki kepercayaan yang berbeda dengan kita.

Sahabat yang dimuliakan,
Walau bagimana pun tidak ada paksaan dalam beragama tetapi Islam amat tegas menjaga akidah umat Islam supaya tidak murtad atau dimurtadkan oleh agama lain. Terdapat hukum hudud iaitu hukum bunuh bagi sesiapa yang cuba murtad setelah mereka masuk Islam (setelah diberi peluang untuk bertaubat).

Murtad adalah bermaksud berpaling dari agama Islam kepada agama kufur samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang membawa kepada kufur samada secara persendaan, engkar atau iktiqad.

Murtad adalah satu perbuatan yang paling keji dan hina . Paling dikutuk oleh Allah SWT kerana sesiapa yang murtad akan mendapat balasan neraka Jahanam mereka kekal di dalamnya.

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "..Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya."
(Surah Al-Baqarah ayat 217)

Hukum asal bagi orang yang murtad ialah dibunuh. Ini berdasarkan kepada hujah dan dalil hadis Nabi SAW. yang bermaksud, "Sesiapa yang menukar agamanya (murtad) maka bunuhlah dia." (Hadis Riwayat Bukhari).

Hukum bunuh ini wajib dikenakan kepada semua penjenayah murtad samaada lelaki ataupun perempuan, tua ataupun muda tanpa sebarang perbedzaan. Sebelum hukuman dijalankan mereka yang murtad masih diberi peluang beberapa hari untuk bertaubat dan kembali kepada akidah dan ajaran Islam.

Sahabat yang dikasihi,
Oleh itu umat Islam perlulah memahami sesungguhnya kebebasan dalam Islam ada hadnya bukan boleh menukar agama seperti menukar baju. Untuk mengatasi supaya gejala murtad (riddah) tidak berlaku dikalangan umat Islam, semua pihak perlulah menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiah. Kerja-kerja amar makruf nahi mugkar perlulah berterusan dan tidak perlu bermusim. Ibu bapa, Jabatan Agama, JAKIM, PERKIM, Jemaah Islam, NGO Islam, Persatuan Islam dan Pendakwah Bebas perlulah bekerjasama membenteras gejala sosial dan gejala murtad berlaku dikalangan umat Islam.

Setiap pemimpin Islam perlu berhati-hati dalam memberi komen atau pandangan mengenai "kebebasan beragama" supaya tidak dikelirukan atau dimanipulasikan oleh orang-orang fasik atau akbar arus perdana yang suka menabur fitnah dan cuba memesongkan fakta dan ucapan seseorang demi kepentingan pihak tertentu.

Kenapa kita perlu kepada dakwah dan tarbiah berterusan dan setiap individu muslim bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja mulia ini ? Ini adalah kerana suasana sekarang ini cukup merbahaya kerana terlalu banyak faktor-faktor yang boleh merosakkan iman dan akidah seseorang.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu semua pemimpin umat Islam janganlah membiarkan sesiapa sahaja dikalangan orang bukan Islam yang cuba merendahkan hukum-hukum Islam dan mengambil sikap membisu kerana kepentingan politik semata-mata. Perlu diingat semua kalian akan ditanya nanti di akhirat apa yang telah kalian lakukan ketika Islam dihina dan diperlekehkan oleh orang kafir yang membenci terhadap hukum-hukum Allah SWT.Sekurang-kurangnya kalian bangun berdemontrasi aman untuk meyatakan kemarahan kalian sebagai umat Islam yang bermaruah.


No comments: