Thursday, November 8, 2012

Setiap Muslim Perlu Memahami Maqasid Syariah

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,Islam merupakan mesej Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia di serata dunia dan di setiap zaman. Berteraskan wahyu melalui dua sumber utamanya iaitu al- Quran dan al-sunah. Islam tetap unggul dan bertahan sepanjang zaman semenjak dari zaman awal kemunculannya sehingga kini. Ini semua kembali kepada tabiat Islam itu sendiri yang bersifat dinamik dan mempunyai objektif atau maqasid yang jelas dan bertepatan dengan hidup manusia sejagat.

Apakah maksud Maqasid Syariah?
Maqasid -        matlamat, tujuan, objektif, maksud.

Syariah   -        syariat Islam atau syariat Allah SWT.

Oleh yang demikian, Maqasid Syariah bermaksud tujuan atau objektif mengapa Allah/Syariah Islam menurunkan sesuatu hukum.

Maqasid merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu.Dalam konteks ini maqasid yang dimaksudkan ialah maqasid atau objektif yang diletakkan oleh syarak dalam mensyariatkan hukum. Antara istilah popular yang digunakan ialah Maqasid Syariah.

Di dalam Qanun Jinayah Syar'iyyah terdapat 4 jenis hukum iaitu hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Takzir adalah bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara:

1. Menjaga agama.

2. Menjaga nyawa.

3. Menjaga akal fikiran.

4. Menjaga keturunan.

5. Menjaga harta benda.

Huraiannya :

1. Menjaga agama:

Menjaga agama, iaitu menjaga akidah orang-orang Islam supaya tidak terpesong dari akidah yang sebenar dan tidak menjadi murtad. Orang yang murtad akan disuruh bertaubat terlebih dahulu dan sekiranya dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas mereka.

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: "Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia." (Hadis Riwayat Bukhari)

2. Menjaga nyawa :

Menjaga nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota tubuh badan seseorang dari dicederakan atu dirosakkan. Sesiapa yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman qisas atau diyat .

Firman Allah SWT. yang bermaksud: "Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah ayat 179)

3. Menjaga akal fikiran :

Menjaga akal fikiran iaitu memelihara akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman-minuman yang memabukkan. Mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat sebagaimana yang telah diriwayatkan .

Saaib bin Yazid r.a berkata : " Apabila peminum arak dibawakan kepada kami pada zaman Rasulullah SAW, zaman Pemerentahan Abu Bakar dan permulaan zaman Umar al-Khattab, kami memukulnya dengan tangan , kasut dan serban. Di akhir pemerentahan Umar, mereka dirotan sebanyak 40 kali. Sehinggalah perbuatan itu berlaku  semakin menjadi-jadi dan melampaui batas, lalu mereka dirotan sebanyak 80 kali." (Hadis Riwayat Bukhari : 6281).

4. Menjaga keturunan :

Menjaga keturunan  iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam.

Sabda Rasulullah SAW. dalam hadisnya yang diriwayatkan daripada `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud: "Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam." (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

5. Menjaga harta benda.

Menjaga harta benda iaitu memelihara harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan.

Firman Allah SWT. yang bermaksud: "Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Maidah ayat 38)

Firman Allah SWT. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar."
(Surah Al-Maidah ayat 33)

Sahabat yang dihormati,

Kita perlu memahami maqasid syariah dengan kefahaman yang betul dan meyakini bahawa setiap hukum hakam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya dimuka bumi adalah sebaik-baik peraturan. Tujuan Allah SWT menghalalkan sesuatu perkara dan mengharamkan sesuatu perkara adalah mengandungi sebab musabab yang munasabh dan sesuai dengan fikiran yang waras dan fitrah manusia.

Terlalu banyak penemuan sains dan kajian manusia di dapati bahawa setiap sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT mempunyai alasan yang konkrit dan bersesuaian dengan kesihatan dan jiwa manusia. Contoh daging khinzir diharamkan di sebabkan terdapat banyak keburukannya, penyelidikan barat menyatakan bahawa didalam daging Khinzir mengandungi cacing pita yang bahaya untuk diri manusia,  hikmah pengharaman daging khinzir kerana adanya cacing pita.

 Firman Allah SWT, dalam Al-Quran di antaranya:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang (yang ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah.” (Surah al-Baqarah ayat 173)

Firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ

Maksudnya : “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging hewan) yang disembelih atas nama selain Allah.” (Surah al-Maa’idah ayat 3)

Sahabat yang dikasihi,

Masyarakat kita telah banyak dikelirukan oleh mereka yang anti hukum hudud dengan mendakwa bahawa hudud boleh menyebabkan masyarakat kehilangan pekerjaan , pelancung luar tidak datang kenegara kita, akan berlaku huru hara dan sebagainya. 

Hakikat sebenarnya mereka yang befahaman sekular sosialis tidak pernah melihat kesan positif pelaksanaan hudud di Arab Saudi dimana kadar jenayah di Arab Saudi terlalu rendah berbanding dengan negara kita Malaysia yang mana kadar jenayah mencuri, pecah rumah, merompak, menyamun bersenjata, ragut berada diperingkat yang cukup serius dan amat membimbangkan. 

Tidak ada siapa pun boleh selamat daripada jenayah rompak dan ragut samaada rakyat biasa atau pun pemimpin masyarakat kerana pencuri dan penyamun merasa tangannya selamat walaupun merompak berjuta-juta ringgit. Jika dipenjara sekali pun mereka akan dapat makan dan minum dengan percuma dan bila tamat temoh tahanan mereka boleh mengulagi lagi tabiat buruk mengambil harta orang lain. Oleh itu semua umat Islam perlu yakin terhadap undang-undang Allah SWT kerana ianya bersangkut paut dengan persoalan akidan dan kepercayaan kepada kitab suci al-Quran nul karim.

 



No comments: