Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Nabi
SAW bersabda yang bermaksud : “Orang mukmin bukan seorang pencela,
bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang
berkata kotor.” (Hadis Riwayat Ibnu Mas'ud)
Dalam hadis yang
lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukankah manusia terjerumus ke dalam
neraka kerana tidak dapat mengendalikan lidahnya?”. (Hadis Riwayat
Tirmidzi)
Seorang mukmin akan sentiasa menjaga akhlak dan adab
sopan dan kehidupannya. Akhlak dan kesopanan adalah pakaian seorang
mukmin sejati. Justeru, dalam kempen pilihan raya bukannya masa untuk
kita menanggalkan akhlak dan adab sopan.
Antara anggota badan
yang paling banyak digunakan dalam kempen pilihan raya adalah lidah
untuk tutur bicara. Calon dan penyokong parti akan menggunakan lidah
untuk berkempen dan menarik sokongan dan kepercayaan pengundi dengan
manifesto dan janji-janji yang akan ditunaikan sekiranya diberi peluang
untuk memenangi pilihanraya.
Menjanjikan sesuatu yang lebih
baik kepada rakyat tidak salah, malah itulah yang sewajarnya, tetapi
bukan janji-janji kosong yang tidak akan mampu ditunaikan. Ia juga bukan
medan untuk menghamburkan tutur bicara sesuka hati tanpa kawalan
sehingga menimbulkan bibit perpecahan serta kebencian sesama rakyat.
Lidah adalah nikmat kurniaan Allah dan sebaik-baik fungsi lidah ialah
digunakan untuk berzikir kepada Allah SWT atau melakukan kerja dakwah
iaitu menyeru manusia kepada kebaikan dan kebenaran seperti firman Allah
bermaksud: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang
menyeru kepada Allah (agama-Nya) serta beramal soleh serta berkata,
"saya salah seorang muslim." (Sural al-Fushilat, ayat 33)
Di
sebalik kebaikannya, lidah juga boleh membawa kebinasaan kepada
pemiliknya juga manusia lain. Medan pertuturan lidah tidak ada sempadan.
Jika baik penggunaannya, maka baiklah natijahnya, tetapi jika buruk
penggunaannya, maka buruklah natijahnya.
Justeru, keghairahan
berkempen tanpa mengawal tutur bicara boleh menyebabkan pelbagai
implikasi bukan saja kepada pemilik lidah, malah anggota masyarakat.
Disebabkan lidah yang tidak terkawal boleh membawa perpecahan, benci
membenci, permusuhan, fitnah memfitnah dan api perkauman.
Ketika berkempen (berceramah) lidah perlulah dikawal dengan
sebaik-baiknya kerana peribadi seorang mukmin tidak akan berkata perkara
dusta, memfitnah, berbohong atau menokok-tambah keaiban seseorang yang
tidak ada pada dirinya.
Paling buruk yang mungkin berlaku dalam
tempoh berkempen ialah kegagalan mengawal lidah daripada mengeluarkan
fitnah dan hasutan. Lidah kedua-dua pihak (parti) yang cabar mencabar
boleh menjadi panas dan akhirnya mencetuskan pertelingkahan atau
pergaduhan.
Ketika berceramah atau berkempen ramai calon atau
penyokong parti gagal mengawal perasaan lalu terhamburlah caci-maki dan
tuduh-menuduh.
Sebaiknya, mereka yang dicaci atau difitnah
mendiamkan diri daripada membalas cacian. Rasulullah SAW bersabda
bermaksud: "Diam itu adalah suatu hukum dan amat sedikit orang yang
melakukannya." (Hadis riwayat Abu Mansurad-Dailani daripada Ibn Umar)
Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah baiknya jika tempoh berkempen pilihan raya dihiasi dengan
akhlak mulia, tutur bicara beradab dan bersopan. Sentiasalah ingat pesan
Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang mengawal lidahnya daripada
memperkata kehormatan orang lain, maka Allah akan menutup kecelaannya."
Fitnah adalah perbuatan melempar tuduhan keburukan terhadap seseorang
tanpa bukti dan asas kukuh. Fitnah dan mengadu domba (namimah) biasanya
seiringan. Justeru, ia wajib dijauhi kerana kesannya amat buruk sekali.
Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah
menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu?" Sahabat
menjawab: "Belum!", lalu Nabi bersabda bermaksud: "Mereka yang berjalan
ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara
sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang
tidak bersalah." (Hadis riwayat Ahmad)
Oleh itu, jangan jadikan
kempen pilihan raya medan atau kesempatan untuk menabur fitnah. Semua
lisan keji itu dilarang dan dicela oleh agama. Kata-kata keji tidak
seharusnya keluar daripada lidah orang-orang mukmin. Berjanjilah kepada
rakyat sesuatu yang baik dan mampu dikotakan . Banyak tawaran yang boleh
diberikan iaitu menghapuskan rasuah , memansuhkan undang-undang zalim
(tangkapan tanpa bicara), kebebasan mahasiswa untuk menyuarakan
pandangan, kebebasan berdemontrasi cara aman, pendidkan percuma dan
rawatan perubatan secara percuma, menghapuskan tol dan memberi royalti
bagi negeri-negeri yang mempunyai sumber minyak dan lain-lain lagi dan
lebih baik daripada pemerentah sebelumnya.
Perlu diingat akhlak
seorang pemimpin Islam tidaklah sama dengan golongan lain kerana mereka
berkempen dengan menggunakan berbagai cara, fitnah dan mengaibkan musuh
politiknya dengan berpegang kepada kaedah "matlamat menghalalkan cara"
maksudnya biar pun cara itu haram bagi mereka itu masih boleh dilakukan
asalkan matlamat mereka tercapai.
Islam melarang kita menjadi
agen penyebaran fitnah, pastikan apa yang kita cakap itu berdasarkan
fakta yang betul. Periksa dahulu fakta, fahami dahulu suasana dan
keadaan, kenali masyarakat di hadapan kita sebelum kita menyampaikan
sesuatu perkara.
Sebagai peyokong dan pendokong parti yang
memperjuangkan Islam dan memperjuangkan keadilan dan menentang rasuah,
jentera parti harus menunjukkan akhlak yang baik sewaktu berhadapan
dengan masyarakat yang pelbagai latar belakang.
Dekati pengundi
dengan akhlak yang baik, dengan budaya timur yang menghormati satu sama
lain dan memahami kehendak satu sama lain.
Jentera parti mesti
memahami bahawa politik itu merupakan salah satu kaedah untuk mengajak
masyarakat ke arah kebaikan, bukan untuk mendapatkan kuasa memerintah
semata-mata.Kempen yang bersih dan tidak mengandungi caci-maki dan kutuk
mengutuk kepada calun lawan adalah akhlak yang terpuji dan merupakan
sifat orang mukmin yang bertanggungjawab dan mengajak rakyat untuk
melakukan kebaikan.
Jadikanlah kempen dan pertandingan dalam
pilihan raya umum ini merupakan peluang yang paling baik untuk kalian
melakukan perubahan dalam masyarakat dan mengubah pentadbiran negeri dan
seterusnya pusat yang sejak sekian lama menafikan keadilan dan hak-hak
rakyat yang patut diberikan.
Sahabat yang dikasihi,
Satu
peringatan yang perlu kalian pegang bahawa apabila kalian memulakan
sahaja kempen berceramah, ziarah rumah ke rumah dan menyebarkan risalah
manifesto kalian sedang berjihad dijalan Allah SWT untuk mendaulatkan
Islam dan keadilan yang dituntut Islam.
Ingatlah kalian sedang
diperhatikan oleh Allah SWT dan malaiakat pencatat amal sedia menulis
apa yg kalian lakukan. Kejayaan sesuatu perjuangan berhadapan musuh
adalah dengan izin dan pertolongan Allah SWT kerana akhlak dan tawakal
kalian kepada-Nya . Jika kalian berjuang dijalan Allah SWT tetapi kalian
melakukan maksiat dengan menyerang peribadi pihak lawan dengan
mengumpat, membuat fitnah, mengadu domba, mengaibkan orang lain dan
maki-hamun maka kalian akan mendapat kemurkaan Allah SWT. Tetapi jika
kalian menyerang dasar parti pihak lawan yang menyeleweng, rasuah,
zalim, mementingkan kroni , tidak mendaulatkan hukum Allah SWT yang
mereka lakukan secara umum maka ianya diharuskan.
Khalifah Umar
al-Khattab pernah menasihatkan tentera Islam bahawa yang lebih beliau
takut adalah maksiat tentera Islam daripada kekuatan musuh. Kekalahan
musuh adalah kerana maksiat mereka kepada Allah SWT. Jika tentera Islam
melakukan maksiat maka mereka tidak akan mendapat pertolongan Allah SWT.
Biar rakyat yang menilai dengan adil akan kerosakkan yang pernah
dilakukan oleh pihak lawan , Allah SWT sahaja yang akan membuka pintu
hati-hati mereka untuk memilih calun dan parti yang berwibawa, adil dan
sentiasa konsisten memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
Tonjolkan peribadi yang baik untuk kalian mengajak mereka ke arah
kebaikan. Sekali lagi di ingatkan, jangan menggunakan fitnah kerana
salah satu unsur yang menafikan kemenangan ialah apabila maksiat
dilakukan termasuklah melakukan fitnah.
Akhirkata marilah
sama-sama kita berdoa dan memohon rahmat dan pertolongan Allah SWT di
atas perjuangan yang mulia ini untuk meletakkan Islam ditempatnya yang
sebenarnya. Yakinlah jika kita ikhlas berjuang dengan niat semata-mata
mencari reda Allah SWT, insya Allah kemenangan akan berpihak kepada kita
biarpun mereka merancang dengan rancangan yang hebat kerana
sesungguhnya perancangan Allah SWT lebih baik dan lebih sempurna.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment