Thursday, April 11, 2013

Tafsir Surah Ali -Imran Ayat 26

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT :

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (26)


Maksudnya : "Katakanlah: `Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu".(Surah Ali-Imran (3) ayat 26)

Huraiannya :

Dalam ayat ini Allah SWT menyuruh Nabi-Nya untuk menyatakan bahawa Allah lah Yang Maha Suci yang mempunyai kekuasaan tertinggi dan Maha Bijaksana dengan tindakan-Nya yang sempurna di dalam menyusun, mengurus, dan mentakbirkan segala perkara dan yang menegakkan neraca undang-undang umum di alam ini. Maka Allah lah yang memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya. 

Ada kalanya Allah SWT memberikan itu bersamaan dengan pangkat kenabian seperti keluarga Nabi Ibrahim a.s., keluarga Nabi Daud a.s.dan ada kalanya hanya memberikan pemerintahan saja menurut hukum kemasyarakatan iaitu dengan menyusun kabilah-kabilah dan bangsa-bangsa. Dan Allah juga yang mencabut pemerintahan dari orang-orang yang Dia kehendaki disebabkan mereka berpaling dari jalan yang lurus, jalan yang dapat memelihara pemerintahan, kerana meninggalkan keadilan, berlaku curang dalam pemerintahan. Demikianlah hal itu telah berlaku pula terhadap Bani Israil dan lain-lain bangsa disebabkan kezaliman dan kerosakan yang telah mereka lakukan dimuka bumi.

Allah SWT jualah yang memberi kekuasaan kepada orang yang Dia kehendaki, dan menghinakan orang yang Dia kehendaki. Orang yang diberi kekuasaan ialah orang yang didengar tutur katanya, banyak penolongnya menguasai jiwa manusia dengan menunjukkn contoh yang baik dan ilmunya yang berguna bagi manusia. serta mempunyai keluasan rezeki serta berbuat baik kepada segenap manusia.


Adapun orang yang mendapat kehinaan ialah orang yang rendah jiwanya dan merasa lemah membela kehormatan lagi tidak mampu menentang musuhnya yang menyerbu dan tidak bersatu padu padahal tidak ada satu kemuliaanpun dapat dicapai tanpa persatuan untuk menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman.


Apabila masyarakat telah bersatu dan berjalan menurut sunatullah, bererti mereka telah menyiapkan segala sesuatu untuk menghadapi segala kemungkinan. Banyak sedikitnya bilangan sesuatu umat tidaklah menjamin untuk mewujudkan kekuasaan dan menghimpun kekuatan. Orang-orang musyrik Mekah, orang-orang Yahudi dan orang-orang munafik Arab telah tertipu oleh banyaknya pengikut dibanding dengan pengikut Rasulullah SAW, padahal yang demikian itu tidak mendatangkan faedah bagi mereka sedikitpun. Sebagaimana firman Allah SWT :

يقولون لئن رجعنا إلى المدينة ليخرجن الأعز منها الأذل ولله العزة ولرسوله وللمؤمنين ولكن المنافقين لا يعلمون

Maksudnya : "Mereka berkata "Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, pastilah orang-orang yang kuat mengusir orang-orang yang lemah dari padanya. Padahal kekuatan itu hanyalah bagi Allah, bagi rasul-Nya dan bagi orang-orang mukmin. Tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui". (Surah Al-Munafiqun ayat 8)


Fakta-fakta sejarah menjadi bukti bahawa jumlah yang banyak saja tidaklah menunjukkan kekuatan. Lihatlah bangsa-bangsa timur, mereka berjumlah banyak tetapi dapat dikuasai oleh bangsa-bangsa barat yang berjumlah lebih sedikit disebabkan kelemaham mereka menguasai ilmu sains dan teknologi , perpecahan dan permusuhan yang terjadi di antara sesama mereka.


Dalam ayat ini Allah menerangkan pula bahwa segala kebajikan terletak ditangan-Nya baik kenabian, kekuasaan ataupun kekayaan. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT sendirilah yang memberikannya menurut kemauan-Nya. Tidak ada seorangpun yang memiliki kebajikan itu selain Allah SWT. Dalam ayat ini hanya disebutkan kebajikan saja sebenarnya segala yang buruk dan jahat juga ada di bawah kekuasaan Allah SWT. Hal ini difahami dari  Allah SWT sendiri di dalam al-Quran bahawa Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.


Dalam ayat ini disebutkan kebajikan saja kerana disesuaikan dengan keadaan. Keadaan yang mendorong orang-orang kafir menentang dan meremehkan dakwah Nabi Muhammad SAW  ialah kemiskinan baginda, kelemahan pengikut-pengikutnya serta kecilnya bilangan mereka. Maka oleh sebab itu Allah SWT menyuruh Nabi untuk berlindung kepada Yang memiliki segala kerajaan. Yang di tangan-Nya segala kekuasaan dan kemuliaan, Allah mengingatkan Rasulullah SAW bahawa seluruh kebaikan dan kekayaan ada di tangan-Nya. Maka tidak ada yang dapat menghalangi-Nya apabila Dia memberikan kemiskinan dan kekayaan kepada Nabi Nya atau kepada orang-orang yang mukmin yang dikehendaki Nya. Sebagaimana diterangkan oleh Allah dalam firman Nya:

ونريد أن نمن على الذين استضعفوا في الأرض ونجعلهم أئمة ونجعلهم الوارثين

Maksudnya : "Dan Kami hendak memberi karunia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi) (Surah Al-Qasas ayat 5)


Sahabat yang dimuliakan,

Sesungguhnya Allah lah yang memiliki pemerintahan yang Dia berikan kepada orang-orang yang telah dikehendaki-Nya. Allah SWT telah mengeluarkan seorang anak yatim dari bangsa Arab yang buta huruf. iaitu Muhammad SAW yang mampu mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada kemulian Islam dengan izin Allah SWT, menyiapkan mereka dengan kekuatan kemahuan untuk menjadi umat yang terkuat, yang dapat menghancurkan benteng masyarakat jahiliah Sementara itu orang-orang Yahudi (Bani Israil) bergelimang di dalam taqild. buta dan penindasan raja-raja atau para penguasa.
 

Allah SWT memberikan kekuasaan kepada orang-orang yang Dia kehendaki atau mencabut pemberian Nya itu dari orang-orang yang Dia kehendaki hanyalah berdasarkan sunah-sunah dan hukum-hukum Nya.

Segala urusan ada di tangan Allah. Tidak ada seorangpun yang dapat menilai dan memperkirakan perhitungannya. Dialah yang berkuasa mencabut kekuasan dari siapa yang dikehendaki Nya serta menghinakan Nya. Dan hanya Dia pulalah yang kuasa memberikan kekuasaan itu kepada suatu bangsa serta memuliakannya. Yang demikian ini, amat mudah bagi Allah.


Sahabat yang dikasihi,

Perlu diingatkan bahawa tidak ada sesiapa pun boleh mendakwah bahawa mereka akan tetap berkuasa walaupun telah memerentah negara setengah abad. Walau pun mereka menggunakan berbagai cara untuk menghalalkan tindakkannya iaitu dengan kaedah " matlamat menghalalkan cara". Sejarah dunia telah membuktikan bahawa setiap pemerentah zalim yang merampas hak rakyat , mengutamakan kroni atau ahli keluarga daripada rakyat jelata. Hidup bermewah-mewah dengan mengambil rasuah, pilih kasih dan berlaku ketirisan wang negara, maka golongan ini tidak mustahil akan digantikan dengan golongan yang lebih baik, telus dan amanah.

Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dan Dia mampu merubah sistem kehidupan di muka bumi. Bagaimana kekuasan Raja Nambrut dan Firaun yang menindas rakyatnya sendiri dan menentang para Rasul utusan Allah SWT akhirnya mereka tewas dan dihinakan oleh Allah SWT. Begitu juga pemerentah zalim abat ke 21 telah jatuh satu demi satu seperti di Mesir, Tunisia, Libya, Yaman dan akan tiba masanya di Syria kerana kezaliman yang amat dahsyat membunuh rakyatnya sendiri tanpa peri kemanusiaan.

Oleh itu perlulah kita insaf dan sedar bahawa hidup kita di dunia ini hanya sementara dan kehidupan  yang sebenarnya adalah di kampung akhirat maka berwaspadalah jangan sampai kalian tertipu dengan pujuk rayu dunia yang mempersonakan dan berhati-hatilah semasa memilih pemimpin kerana kalian akan disoal nanti di akhirat jika tersalah membuat pilihan . Wallahualam.

No comments: