Tuesday, April 23, 2013

Soal Jawab Agama Siri 2 (Bab Aqiqah dan Kedudukan Wanita Dalam Islam)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Agama Siri 2 adalah menjelaskan persoalan mengenai ibadah aqiqah dan kedudukan wanita dalam Islam.

21.Soalan: Apakah pengertian ibadah Aqiqah?.  

Aqiqah pengertian dari segi bahasa ialah rambut dikepala kanak-kanak. Sementara pengertian aqiqah dari segi syara ialah binatang yang disembelih pada hari mencukur rambut bayi. 


Aqiqah adalah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh  Allah SWT  sebagaimana penjelasan Rasulullah SAW. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu  terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Hadis Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

22.Soalan: Apakah hukumnya melakukan ibadah aqiqah kerana saya baru sahaja dikurniakan seorang anak lelaki.

Hukum Aqiqah itu adalah sama dengan ibadah kurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali di nazarkan menjadi wajib.Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing.

Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah SAW. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Hadis Riwayat al-Tirmizi).

23. Soalan: Apakah yang perlu saya lakukan dengan daging aqiqah? Perlukah disedekahkan atau menjamu kepada tetamu?
 

Daging Aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. Tujuannya ialah untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai dan budi pekerti  anak yang diaqiqahkan. 

Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.

Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama keadaannya dengan korban.

24.Soalan: Apakah tertib semasa proses daging aqiqah dibahagi-bahagikan?

Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha katanya yang bermaksud : "Afdal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya." (Hadis riwayat al-Hakim)

25.Soalan: Apakah syarat-syarat sah dan perkara sunat aqiqah yang perlu saya patuhi?

Syarat sah aqiqah ialah berniat aqiqah ketika menyembelih. Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, biri-biri, kibas, lembu, kerbau dan unta.

Memenuhi syarat-syarat sembelihan. Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut Disembelih pada waktunya iaitu hari ketujuh selepas kelahiran.

Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur. Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan aqiqah adalah umur Biri-biri/ 1 tahun atau lebih, atau kambing 2 tahun atau lebih, atau lembu/kerbau 2 tahun atau lebih, atau unta 5 tahun atau lebih.

Kita hendaklah mengetahui juga sunat-sunat aqiqah iaitu hendaklah dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran, menyembelih ketika matahari sedang naik (pagi). mencukur rambut bayi selepas penyembelihan, memberi nama yang baik kepada bayi, berdoa ketika hendak menyembelih, daging dimasak manis. Tidak mematahkan sendi tulang binatang tersebut ketika dimasak dan yang terakhir daging aqiqah disunatkan buat jamuan atau kenduri .

26.Soalan: Apakah hikmah yang kita perolehi daripada melakukan ibadah aqiqah ini?
 

Terdapat beberapa hikmah yang boleh kita perolehi daripada melakukan ibadah ini antaranya ialah tanda kesyukuran diberikan kekuatan oleh Allah SWT. untuk menjalankan syariat Islam dan dianugerahkan anak dan menggalakkan amalan sedekah. Bukan itu sahaja malah dapat melepaskan penghalang pada bayi dalam memberi syafaat kepada orang tua mereka. Ibadah ini adalah sebagai mengikuti salah satu  sunnah Rasulullah SAW selain dapat mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat.

Ibadah ini juga boleh membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri dan sekaligus dapat memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan yang baik membiasakan berkorban bagi orang tua .

27.Soalan: Dari manakah batas aurat seorang wanita muslim dan kepada siapakah aurat ini boleh dihalalkan?

Batas aurat untuk wanita muslim adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ( 'dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan penutup'); dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak anak mereka, anak anak tiri mereka, saudara saudara mereka, anak bagi saudara saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara saudara mereka yang perempuan, perempuan perempuan islam atau hamba hamba mereka, orang gaji dari orang orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, kanak kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur ayat 31)

Berdasar ayat diatas wanita muslim hanya boleh membuka aurat kepada 11 golongan sahaja  sedangkan 5 golongan dibawah tidak boleh dibuka auratnya (walaupun terdiri daripada saudara maranya) iaitu suami kepada ibu saudara, sepupu lelaki, abang ipar (suami kepada kakaknya),  adik ipar (suami kepada adiknya) dan semua lelaki yang bukan mahramnya.

28.Soalan: Jika saya seorang wanita muslim, siapakah golongan yang bukan mahram saya?

Wanita muslim perlu juga mengambil perhatian mereka tidak boleh bersalaman dengan 5 golongan tersebut di atas (kerana mereka bukan mahramnya iaitu suami kepada ibu saudara, sepupu lelaki, abang ipar (suami kepada kakaknya),  adik ipar (suami kepada adiknya) dan semua lelaki yang bukan mahramnya.

Hanya dengan mahram sahaja boleh bersalaman. Kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat mereka dirumah kepada kaum keluarga yang bukan mahram dan suka bersalaman dengan mereka dengan tujuan menjaga hati mereka sedangkan bersalaman dengan bukan mahram haram hukumnya.

29.Soalan: Bilakah hukum wajib menutup aurat bagi wanita?

Wanita muslim diwajibkan menutup aurat adalah ketika mencapai usia akil baligh.Untuk wanita usia akil baligh adalah wanita yang berakal dan cukup umur dan telah datang haid. Proses haid bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadang kala seawal umur 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun dan sudah wajib menunaikan perintah Allah SWT. Permulaan haid banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan pemakanan.

30.Soalan: Apakah hukumnya jika saya memakai tudung tetapi memakai pakaian yang nipis dan tidak menutupi dada?

Setiap wanita muslim perlulah  memahami batas-batas aurat yang wajib ditutup kerana jika mereka tidak faham batas-batas tersebut maka mereka tidak menutup aurat walau pun nampak seolah-olah mereka sedang menutup aurat.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bunggul unta. Mereka tidak masuk syurga dan tidak mendapatkan wanginya syurga padahal wanginya boleh didapati dari jarak perjalanan sekian dan sekian.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Jenis-jenis pakaian wanita yang dikira tidak menutup aurat seperti kehendak agama adalah seperti berikut :
 

1. Pakaian yang dipakai terlalu nipis hingga menampakkan bayangan warna kulit.

2. Tudung yang dipakai terlalu nipis dan tidak menutup dada-dada mereka.

3. Baju dan seluar yang dipakai terlalu ketat hingga menampakkan bentuk badan dan peha mereka.

4. Tudung yang dipakai hanya membelit leher mereka dan tidak dilabukkan ke dada mereka.

5. Memakai tudung tetapi memakai baju kemeja T lengan pendik, hingga menampakkan lengan tangan mereka dan memakai seluar yang ketat. 


Perhatian : Pakaian yang sempurna adalah tudung yang labuh hingga menutup dada wanita kerana terdapat perhiasan yang perlu ditutup. Kedua-dua pergelangan tangan baju perlulah di butangkan atau dipinkan supaya tidak menampakkan kulit tangan. Elok memakai sarung lengan bila memakai baju kurung. Baju yang dipakai perlulah di labuhkan sedikit samaada jubah, maxi atau baju kurung. Jika hendak berseluar mestilah seluar yang longgar tidak menampakkan bentuk peha dan betis.

Firman Allah SWT yang bermaksud : ”Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, 'hendaklah mereka menutupkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka (memakai baju yang labuh dan longgar)'. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab ayat 59).

31.Soalan: Apakah kebaikan menjaga pergaulan dalam konteks Islam?
 

Jika semua wanita muslim yang telah sampai usia akhil baligh menutup auratnya, menjaga pergaulan dengan lelaki yang bukan mahram, tidak mendekati zina dan sentiasa menjaga adab-adab dan akhlak Islam maka masyarakat akan mempunyai suasana yang baik dan tidak mungkin berlaku gejala sosial dan melahirkan ramai anak-anak tidak sah taraf. Islam amat tegas dalam menjaga aurat dan kehormatan kaum wanita kerana wanita adalah aset penting untuk melahirkan keluarga muslim dan masyarakat Islam yang mampu mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT.  Tanpa ada wanita sebagai ibu dan isteri solehah tidak mungkin keluarga muslim, masyarakat Islam dan daulah Islamiah dapat dilahirkan dalam negara kita.

Oleh itu setiap lelaki mukmin  bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kaum wanita yang berada didalam tanggungannya (isteri-isteri, anak-anak perempuan, adik dan kakak dan ibu) sentiasa menutup auratnya dan berakhlak dengan akhlak Islam. Gunakan cara hikmah dan perkataan yang baik untuk menasihati mereka supaya mereka sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

32.Soalan: Apakah hukum seorang wanita muslimah mencukur kening,lebih lebih lagi apabila menjelang majlis perkahwinan?

Jumhur ulama berpendapat, hukum mencabut atau mencukur bulu kening adalah haram. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Allah melaknat wanita yang mencukur atau mencabut bulu kening atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya, wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Itu perbuatan mengubah ciptaan Allah". (Hadis Riwayat Muslim)

33.Soalan: Apakah hukum seorang wanita yang memakai minyak wangi apabila keluar rumah?

Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya .

Nabi SAW  bersabda maksudnya : "Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut)." (Hadis Sahih Riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)

34.Soalan: Apakah hukum seorang wanita bersolek untuk kelihatan cantik ke tempat kerja ataupun keluar berjalan? 


Kebanyakkan wanita sukar untuk meninggalkan bersolek (berbedak yang tebal), bergincu bibir dan bercelak apabila keluar rumah kerana sudah kebiasaan mengikut tren masyarakat. Sebenarnya wanita solehah tidak perlu terikut-ikut dengan amalan orang bukan Islam yang 'mewajibkan' bersolek dan bermake-up dengan tujuan supaya dipandang cantik, hakikat sebenarnya kecantikan seperti ini tidak perlu mengikut pandangan Islam. Memadailah dengan bedak yang tipis untuk menghilangkan kesan minyak dimuka. Jika wanita sentiasa berwuduk maka wajahnya akan nampak berseri tidak memerlukan "make up" yang berlebih-lebihan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Hendaklah kaum wanita tetap di rumah, dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku seperti orang-orang jahiliyah dahulu".(Surah al-Ahzab (59) ayat 33)

35.Soalan: Fesyen bertudung sekarang banyak yang menghasilkan selendang untuk menutup aurat. Apakah hukum memakai pakaian atau tudung yang nipis?

Asma binti Abu Bakar menemui Rasulullah SAW dengan memakai pakaian yang tipis.Asma’ binti Abu Bakar telah masuk ke tempat Rasulullah SAW  berada sedangkan dia memakai pakaian nipis. Rasulullah SAW  lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

36.Soalan: Adakah suara wanita aurat dan apakah hukum seorang wanita bercakap dengan nada yang berlenggok-lenggok atau manja?

Mendengar wanita berbicara atau bersuara, tidaklah termasuk hal yang terlarang dalam Islam. Kecuali bila suara wanita itu dalam bentuk suara yang mendayu-dayu, mendesah atau dibuat sedemikian rupa sehingga membangkitkan nafsu berahi lelaki yang mendengarnya (seperti menyanyi ). Tentu saja para ulama sepakat untuk mengharamkannya. Namun bila dalam bentuk pembicaraan biasa wanitasaja di mana hal itu jauh dari fitnah dan urusan berahi, para ulama sepakat mengatakan bahawa mendengar suaranya tidak diharamkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)." (Surah al-Ahzab ayat 32)

Walaupun ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri Nabi SAW tetapi pengajaran di dalam perintah Allah SWT ini boleh di amalkan untuk semua wanita-wanita yang beriman yang berhati-hati di dalam menjaga akhlak dan keperibadiannya.

37.Soalan: Apakah balasan seorang wanita memakai pakaian yang ketat dan jarang sehingga menampakkan susuk tubuhnya?
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barang siapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud , An Nasaii dan Ibnu Majah.)

38.Soalan: Adakah kaki wanita (dari tapak kaki hingga buku lali) di kira aurat. ?
Di zaman moden kini tidak ramai wanita yang mahu menutup aurat sepenuhnya seperti mana yang dilandaskan oleh syarak. Mungkin ada yang beranggapan kaki bukanlah suatu yang wajib ditutup kerana ia tidak mendatangkan syahwat kepada lelaki, namun tanggapan itu jelas salah. Ada juga yang mungkin tidak mengetahui bahawa pergelangan kaki adalah termasuk daripada aurat yang wajib ditutup oleh wanita. Zaman kini wanita beranggapan bahawa pergelangan kaki bukan lagi satu aurat walhal dalam Al-Quran telah jelas menyuruh wanita menutup aurat sepenuhnya moga dengan itu mereka akan dianggap wanita yang baik-baik dan tidak akan diganggu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”,(Surah Al-Ahzaab ,ayat 59)

39. Apakah amalan-amalan wanita yang boleh melayakkan mereka masuk syurga?
 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”  (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang beriman bahawa untuk memasuki syurga-Nya yang penuh kenikmatan adalah melalui empat syarat sahaja iaitu sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruah dirinya dan mentaati perintah suaminya.


Sedangkan seorang lelaki yang beriman dia kena melalui banyak halangan dan dugaan dan melaksanakan beberapa tanggung jawab kepada Allah SWT. terlebih dahulu barulah ia layak memasuki syurga Allah SWT melainkan para syuhada yang syahid di jalan Allah SWT.

40. Jika wanita solehah memasuki syurga bagaimana kedudukannya berbanding dengan bidadari bermata jeli?
 

Jika wanita di dunia layak untuk memasuki syurga maka dia akan menjadi ketua kepada bidadari bermata jeli dan mempunyai kedudukan yang mulia dan berwajah lebih jelita daripada para bidadari.

Daripada Umm Salamah, isteri Nabi SAW, katanya : Aku bertanya, "Ya Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari bermata jeli?

Baginda menjawab, "Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari seperti kelebihan apa yang nampak dari apa yang tidak terlihat."

Aku bertanya, "Mengapa wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari?"

Baginda menjawab, "Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas."

Mereka berkata : "Kami hidup abadi dan tidak mati. Kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali. Kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali. Kami reda dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya."

(Hadis Riwayat ath-Tabrani)


 Bersambung....

No comments: