Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 3 meragkumi persoalan hutang , amalan sihir, tanggungjawab majikan, hukum faraid, hukum menyambut hari kekasih dan mustajab doa.
Cara Menuntut Hutang.
41.Soalan: Saya mempunyai sebuah kedai runcit di sebuah kampung yang mana penduduknya berpendapatan sederhana. Ramai pembeli yang sering membeli dan berhutang di kedai saya. Ada yang liat untuk membayar hutang. Apakah cara terbaik untuk menuntut hutang dari mereka?
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah SWT akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual, membeli dan menagih hutang" (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.).
Sifat orang mukmin yang akan mendapat rahmat Allah SWT apabila dia berlapang dada semasa dia berniaga menjual barang kepada pelanggannya. Tidak menipu timbangan dan jelas akad jual beli tidak ada unsur-unsur menipu pelanggannya. Begitu juga ketika dia membeli tidak cerewet dan mudah dan mesra semasa membeli jika dia meminta potongan harga adalah dengan harga yang berpatutan tidak menyakitkan hati penjual. Begitu juga sifat mukmin yang terpuji sentiasa berlapang dada semasa menuntut hutangnya dan masih memberi ruang masa jika orang yang berhutang masih belum mampu. Dia tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang berhutang dan sentiasa menjaga ukhwah dan silaturahim.
Jauhi Bomoh Dan Sihir Supaya Terhindar Daripada Syirik
42.Soalan: Pada zaman sekarang ramai orang lebih menggunakan bomoh dan amalan syirik untuk mengkehendaki sesuatu perkara dan menghancurkan orang lain. Apakah hukumnya bagi mereka yang mengamalkannya?
Islam melarang umatnya untuk melibatkan diri dengan sihir kerana sihir adalah amalan syaitan dan sesiapa yang melakukannya adalah akan mendapat dosa besar.Kebiasaannya di dalam masyarakat kita mempercayai dan menggunakan khidmat bomoh untuk menyihir kepada orang yang dibenci atau menggunakan khidmatnya untuk mendapat rawatan mengubati penyakit berpunca daripada gangguan sihir.
Islam melarang keras umatnya berjumpa bomoh untuk mengetahui perkara-pekara ghaib , tenung nasib, mencari-cari berita sesiapa yang mengenakan sihir keatasnya dan berubat dengannya maka solatnya tidak akan diterima oleh Allah SWT selama 40 hari. Sebenarnya jin dan syaitan akan menceritakan berita bohong kepada bomoh tersebut supaya berlaku perpecahan dikalangan ahli keluarga atau jiran tetangga.
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).
43.Soalan: Apakah hukum jika kita mengamalkan ilmu pengasih ataupun mandi bunga?
Bomoh yang menggunakan khidmat jin atau syaitan ini selain mengubati mereka yang sakit, ia juga menawarkan khidmat tanam susuk, serikan wajah, ilmu pengasih, pelaris perniagaan, pendinding diri (menggunakan bahan-bahan yang telah dipuja), mandi bunga, semahan darah ayam hitam atau kambing hitam (baru buka gelanggang silat atau rumah baru) dan berbagai-bagai amalan syirik yang amat dilarang keras oleh Nabi SAW.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib (menggunakan khidmat bomoh) adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.”(Surah al-Maidah, ayat 90)
44.Soalan: Apakah hukum jika kita mempelajari ilmu sihir dengan tujuan untuk keselamatan diri?
Islam melarang kita mempelajari ilmu sihir kerana ilmu sihir adalah amalan syaitan kerana segala kejadian luar biasa yang datang berpunca daripada sihir sebenarnya mempunyai kaitan dengan pertolongan daripada jin dan syaitan. Ilmu sihir boleh dipelajari melalui tukang sihir atau bomoh-bomoh. Mempelajari sihir boleh menjadikan seseorang syirik kepada Allah SWT. Sihir biasanya digunakan untuk mendatangkan mudharat kepada seseorang dengan bantuan jin dan syaitan tetapi kesemuanya adalah dengan izin Allah.
Ibnu Qudamah Al-Maqdisi mengatakan," Sihir adalah ikatan-ikatan, jampi-jampi, perkataan yang dilontarkan secara lisan maupun tulisan, atau melakukan sesuatu yang mempengaruhi badan, hati atau akal orang yang terkena sihir tanpa berinteraksi langsung dengannya. Sihir ini mempunyai hakikat, diantaranya ada yang boleh mematikan, membuat sakit, membuat seorang suami tidak dapat mencampuri isterinya atau memisahkan pasangan suami isteri, atau membuat salah satu pihak membenci lainnya atau membuat kedua belah pihak saling mencintainya"
Seharusnya kita menjauhi bomoh yang menggunakan khidmat jin atau syaitan, jika kita menghadapi sakit berpunca daripada gangguan makhluk halus maka jumpalah pakar perubatan Islam yang menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa dan jampi-jampi yang diambil daripada amalan Nabi SAW dan para sahabat. Dengan ini kita akan dapat menyelamatkan aqidah kita daripada terus terpesong oleh para bomoh yang mencari keuntungan dan kepentingan diri.
Majikan Mengabaikan Pembayaran Gaji (Upah) Pekerjanya
45.Soalan: Apakah hukum seorang majikan yang tidak membayar upah (gaji) kepada pekerjanya?
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:”Berikanlah upah kepada pengambil upah (orang yang bekerja) sebelum kering peluhnya” (Hadis Riwayat Ibn Majah).
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa sekiranya kita menjadi majikan dan mengambil seseorang bekerja dengan kita maka jangan diabaikan gaji atau upah yang sepatutnya diberikan kepadanya. Berdosa besar jika majikan menipu dengan tidak memberikan hak bayaran sepatutnya diberikannya. Nabi SAW menyuruh disegerakan upahnya iaitu sebelum kering peluhnya.
Dalam konteks hubungan majikan-pekerja pula Islam melihat bahawa pekerja itu bukanlah sebagai hamba kepada manusia lain untuk menghasilkan sesuatu pengeluaran kerana penghambaan hanya dikhususkan untuk Allah S.W.T. Oleh itu hendaklah ada keadilan antara majikan dan pekerja di mana gaji yang diberi hendaklah setimpal dengan kerja serta tanggungjawab yang dipikul oleh pekerja tersebut bahkan kalau perlu sebelum keringatnya kering kerana Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud: "Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) orang yang menjadi tanggungjawabnya.” .
46.Soalan: Apakah pula hukum jika majikan membayar gaji tidak setimpal dengan tugas yang dilakukan oleh pekerjanya?
Majikan akan mendapat dosa jika membayar gaji tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan kerana terdapat unsur-unsur penindasan. Tanpa upah yang sepadan, sudah tentu mereka akan membawa masalah dalam masyarakat kerana terpaksa hidup bergantung dengan ihsan orang lain yang sudah tentu akan mewujudkan ketidakstabilan dan penindasan dalam masyarakat.
Memenuhi keperluan ini adalah wajib dan pihak berkenaan khasnya pemerintah perlu memastikan keperluan asas manusia ini dapat dipenuhi dengan baik.Sebagai individu yang berkeluarga, dengan adanya gaji atau upah yang setimpal, maka mereka dapat memenuhi keperluan tempat tinggal, pakaian, pendidikan, makanan ahli keluarga di bawah tanggungan dengan baik termasuk ibu bapa yang tua yang tiada sumber pendapatan lagi. Ini akan memperkasakan lagi tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga.
Pembahagiaan Harta Pusaka Menurut Hukum Faraid
47.Soalan: Apakah dia hukum Faraid dan pembahagian harta pusaka dan tujuannya dalam konteks Islam?
Faraid ialah berasal daripada perkataan faradha (فرض), di dalam bahasa Arab yang bererti ketentuan atau kepastian. Jika yang dimaksudkan dengannya berkaitan dengan warisan atau harta pusaka, maka ertinya ialah bahagian yang telah ditetapkan mengikut hukum syarak untuk ahli waris.
Dengan itu, jika pengertian hukum dikaitkan dengan pengertian faraid, maka makna hukum faraid ialah ketetapan yang diberikan Allah tentang kedudukan harta yang ditinggalkan oleh si mati atau hukum yang diberikan Allah dalam menangani pemerosesan pembahagian harta warisan kepada yang berhak.
Pembahagian harta pusaka secara hukum Faraid bertujuan untuk memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan. Syarak telah menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta di dalam Islam. Ayat-ayat 7, 11, 12 dan 176 dalam surah al-Nisaa menggariskan panduan berkenaan waris-waris yang berhak dan juga bahagian-bahagian yang harus diperoleh setiap waris.
Merujuk kepada kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini yang telah menyatakan bahawa antara perkara yang perlu diselesaikan ke atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang-barang gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang ditinggalkan, harta sepencarian, wakaf, nazar, hibah yang telah sempurna rukunnya tetapi belum dipindah milik, perbelanjaan pengebumian, hutang dan wasiat.
Setelah diselesaikan perkara-perkara tersebut barulah baki harta itu dibahagikan menurut hukum faraid.Dalam kitab tersebut wasiat telah ditafsirkan sebagai pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberiannya sudah mati.
48.Soalan: Kepada siapakah pemberian wasiat tersebut harus diberikan?
Semua waris tidak berhak mendapatkan harta wasiat kerana mereka akan memperolehinya melalui pembahagian harta secara faraid setelah pemilik harta meninggal dunia.
Pemberian wasiat orang Islam boleh diberikan dengan kadar tidak melebihi 1/3 bahagian sahaja. Wasiat yang melebihi kadar 1/3 adalah tidak berkuatkuasa kecuali mendapat persetujuan ahli waris yang lain atau kadar tersebut mesti dikurangkan sehingga sekadar 1/3 sahaja. Hukum Syarak juga telah menetapkan bahawa penerima harta pusaka melalui wasiat ini adalah seseorang yang tidak disenaraikan sebagai ahli waris.
49.Soalan: Apakah perkara perkara yang perlu dilakukan terhadap harta pusaka yang ditinggalkan seseorang yang telah meninggal dunia mengikut hukum faraid?
Sebagaimana yang telah disebutkan bahawa hukum faraid hanya membicarakan harta pusaka yang ditinggalkan oleh orang yang meninggal, maka yang dikira sebagai harta pusaka ialah semua harta yang dimilikinya secara sah sehingga dia meninggal.Sebaik saja dia meninggal, semua harta peninggalannya sudah dikira sebagai hak milik para ahli warisnya.
Tetapi sebelum menjadi milik ahli waris secara sah dan sempurna, ada lima perkara yang perlu dilakukan, yakni harta waris akan diproses menerusi hukum faraid melalui cara berikut:
Pertama : Perkara yang mula sekali perlu (bahkan wajib) diperhatikan ialah tentang kedudukan harta waris itu sendiri daripada segi hak dan kaitannya dengan perkara-perkara lain seperti zakat, nazar, kaffarah, haji, gadaian, denda hukum, hutang kepada Allah dan sebagainya. Dengan demikian, jika zakatnya belum dikeluarkan, maka wajib dikeluarkan. Jika sebahagiannya juga ada diperuntukkan untuk nazar oleh si mati, maka wajib ditunaikan.
Jika antara harta itu terdapat gadaian juga wajib ia diasingkan. Jika ada hutang si mati kepada Allah, maka bayarlah hutang itu. Jika semasa hidupnya sudah wajib dia menunaikan haji, tetapi dia tidak pergi menunaikannya, maka wajib juga diasingkan untuk keperluan menghajikannya (upahkan haji untuknya), begitulah seterusnya
Kedua : Setelah cara pertama yang di atas dapat disempurnakan, maka baki harta itu diperuntukkan pula untuk perbelanjaan perlaksanaan fardu kifayahnya, seperti membeli kain kafan dan keperluan pengkebumiannya menurut yang selayaknya.
Ketiga : Kemudian bakinya yang masih ada dikeluarkan untuk melunaskan segala hutangnya kepada orang lain, iaitu hutang yang sabit mengikut pengakuannya semasa hidup atau yang sabit melalui bukti-bukti yang diperakui kerana hutang itu wajib dibayar bagi pihak si mati.
Keempat : Daripada baki harta itu lagi dibayarkan (diasingkan) pula untuk keperluan wasiatnya jika ada, iaitu tidak lebih daripada 1/3 (sepertiga) daripada baki harta yang ada setelah perkara-perkara di atas diselesaikan.Sekiranya dia mewasiatkan semua atau sebahagian hartanya, maka wasiat ini tidak diterima, tetapi cukup dikeluarkan 1/3 (sepertiga) sahaja untuk wasiatnya itu.
Kelima : Baki harta yang masih ada selepas empat perkara di atas dilakukan, maka itulah dia harta waris yang menjadi milik semua ahli waris yang berhak.Itulah juga harta yang dimaksudkan di dalam hukum faraid yang wajib dibahagi-bahagikan kepada semua ahli waris yang berhak, sesuai dengan kadar bahagian masing-masing. (Nihayah AI-Zain h. 281)
51.Soalan: Bolehkah kita menggunakan wang peninggalan si mati untuk perbelanjaan kenduri tahlilnya?
Telah menjadi amalan umat Islam bahawa apabila simati meninggal dunia maka waris akan membuat kenduri tahlil untuk mendoakan simati. Waris-waris perlu ingat bahawa sekiranya mereka bercadang mengadakan majlis tahlil perlulah menggunakan wang mereka sendiri dan jangan digunakan wang peninggalan simati kerana hak-hak yang wajib ditunaikan (5 perkara) di atas belum diselesaikan.Adalah jelas di sini waris- waris tidak boleh memakan harta simati sebelum di tunaikan hak-hak simati dan dibuat pembahagian dengan ahli-ahli waris yang lain secara faraid.
52.Soalan: Siapakah yang berhak kepada harta waris (si mati)
Orang yang berhak kepada harta waris hanyalah orang-orang yang disebut sebagai ahli waris yang terdiri daripada pihak lelaki dan perempuan, seperti berikut:
Daripada pihak lelaki: Anak lelaki, anak lelaki daripada anak lelaki (cucu), bapa, Datuk, Saudara lelaki seibu sebapa (saudara kandung), Saudara lelaki sebapa, Saudara lelaki seibu, anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa, anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa, Bapa saudara yang seibu sebapa dengan bapa, Bapa saudara yang sebapa dengan bapa, Anak lelaki daripada bapa saudara yang seibu sebapa, Anak lelaki daripada bapa saudara yang sebapa dengan bapa, suami, dan orang yang memerdekakan hamba sahaya (bekas tuannya).
Daripada pihak perempuan: Anak perempuan, Anak perempuan daripada anak lelaki, Ibu, Nenek perempuan daripada pihak ibu, Nenek perempuan daripada pihak bapa, Saudara perempuan seibu sebapa, Saudara perempuan sebapa, Saudara perempuan seibu, Isteri, dan perempuan yang memerdekakan hambanya.
53.Soalan: Apakah perlu sebagai orang islam untuk merancangkan wasiatnya?
Nabi SAW menggalakkan umatnya supaya membuat wasiat melalui sabdanya: "Tidak patut bagi seseorang muslim yang ingin berwasiat tidur selama dua malam, selagi ia tidak menulis wasiatnya disisinya".(Muttafaqun Alaihi)
Pengurusan harta sebagai bekalan kehidupan diakhirat mesti diurus dan dirancang semasa hidupnya lagi. Sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Baginda telah mengarahkan sahabat yang ingin pergi berperang agar mewasiatkan hartanya kepada orang lain. Ia bertujuan agar segala harta dan tanggungjawab yang akan ditinggalkan , sekiranya dia syahid di medan peperangan, dapat diurus dengan baik dan sempurna.
Sesungguhnya Islam telah menyusun,mengatur sistem dan kaedah terbaik bagi umatnya mengurus harta pusaka. antaranya adalah melalui kaedah wakaf, sedekah, hibah, faraid dan wasiat.
Wasiat hanya boleh dilaksanakan kepada selain daripada mereka yang layak mendapatkan bahagian harta mengikut hukum faraid. Wasiat dan hutang si mati hendaklah dijelaskan dahulu sebelum harta si mati dibahagikan mengikut faraid.Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam untuk membuat wasiat dan menuliskannya dan diserahkan kepada satu "badan pemegang amanah" yang akan di pertanggungjawabkan untuk membantu menyelesaikan harta pusaka menurut hukum faraid.
Haram Menyambut Hari Kekasih (Valentine's Day)
54.Soalan: Adakah hukum menyambut hari kekasih bagi meraikan kekasih sebagai orang yang tersayang kerana saya melihat ramai remaja kita pada zaman kini menyambutnya?
Tentang hukum menyambut Hari Kekasih (Valentine's day) , Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Kekasih (Valentine's day) tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”
Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan hari tersebut ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah S.W.T. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." ( Surah al-Israa’ ayat 32)
Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulama telah merumuskan bahawa sambutan Hari Kekasih (Valentine's day) adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.
Doa Yang Mustajab Di sisi Allah SWT.
55.Soalan: Apakah kelebihan doa seorang ibu?
Berdoa adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Seorang hamba yang merasa hina di sisi Tuhannya akan memanjatkan permohonan dan doa kehadrat Allah SWT. agar ditunaikan segala hajat yang diperlukannya. Ia merasa amat kerdil dan tidak ada pergantungan dan pengharapan yang lain melainkan ditujukan kepada yang Maha Esa.
Doa ibu bapa kepada anak-anaknya adalah yang terbaik. Allah SWT amat murka jika ada anak yang derhaka kepada ke dua ibu bapanya. Sehinggakan doa mereka dikabulkan terus di dunia ini lagi. Tidak payah menunggu seksaan dihari akhirat. Contoh sahabat Nabi SAW bernama Alaqamah kerana menyakiti hati ibunya dia tak boleh mengucap kalimah “Laa ilaaha illallaah”di saat kematiannya. Setelah ibunya memaafkannya barulah dia boleh mengucap kalimah syahadah.
Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Abu Daud)
56.Soalan: Adakah doa seseorang yang teraniaya akan dimakbulkan oleh Allah SWT?
Doa seorang yang di zalimi dan di anianya tidak ada hijab disisi Allah SWT samaada dia seorang muslim atau bukan muslim .
Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah." (Hadis Riwayat Ahmad - sanad hasan)
Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis Riwayat Hakim - sanad sahih)
Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim ,kerana itu janganlah menganiaya,jangan membiarkannya teraniaya dan janganlah menghinanya.Takwa tempatnya disini! Sambil baginda menunjuk ke dadanya sebanyak 3 kali. Alangkah besar dosanya menghina saudara sesama muslim,setiap muslim haram menumpahkan darah saudara sesama muslim. Haram merampas haratanya dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya” (Hadis Riwayat Muslim)
57.Soalan: Kenapakah doa seorang musafir dimakbulkan oleh Allah SWT.?
Seorang musalifir adalah seseorang yang keluar rumah dan kampung halamannya untuk menuju sesuatu distinasi. Tujuannya adalah murni semata-mata kerana Allah iaitu untuk :Menuntut ilmu : 2. Berdakwah, berjihad di jalan Allah dan membantu mangsa bencana alam.3. Menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai untuk merapatkan hubungan silaturahim dan menunaikan jemputan.4. Mencari nafkah untuk menyara ahli keluarga.
Allah SWT. memberi keistimewaan kepada hamba-Nya yang bermusafir hinggakan Allah SWT memberi kelonggaran boleh berbuka di waktu bulan Ramadan semasa ia musafir. Solat lima waktu juga diberi rukshah (kelonggaran) iaitu boleh dikerjakan dengan cara jamak dan qasar.
Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Abu Daud)
58.Soalan: Adakah doa orang yang berpuasa mustajab di sisi Allah SWT?
Doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa adalah mustajab di sisi Allah SWT. Allah SWT telah menjanjikan bahawa setiap doa oarng yang berpuasa akan dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan mengotakan janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang yang berdoa tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia.
Puasa adalah milik Allah SWT hanya Dia sahaja yang akan memberikan ganjaran pahalanya.
Kadang-kadang perancangan Allah SWT sama dengan perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia berbeza. Apa pun yang pasti doanya termakbul dan Allah memberi pilihan yang terbaik untuk manusia itu.
Dari Anas bin Malik r.a. bahawa dia berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya :“Tiga doa yang tidak ditolak ; doa orang tua terhadap anaknya ; doa orang yang sedang berpuasa dan doa seorang musafir”. (Hadis Riwayat Baihaqi. Disahihkan oelh Al-Albani dalam Silsilah Shahihah).
59.Soalan: Adakah kita mendoakan saudara kita yang jauh tanpa pengetahuannya termasuk di dalam doa yang mustajab di sisi Allah SWT?
Doa seorang muslim terhadap saudaranya daripada tempat yang jauh adalah salah satu doa yang mustajab. .Daripada Abu Darda’ bahawa dia berkata bahawasanya Nabi SAW. bersabda maksudnya :“Tidaklah seorang muslim berdoa untuk saudaranya yang tidak di hadapannya, melainkan maka malaikat yang ditugaskan kepadanya berkata : “Amin, dan bagimu seperti yang kau doakan”.(Hadis Riwayat Muslim).
Persahabatan yang terjalin di dalam alam maya seperti di blog dan facebook dan mereka saling mendoakan di antara satu sama lain adalah termasuk di dalam hadis di atas. Oleh itu banyakkan mendoakan saudara-saudaramu yang kamu kenali atau tidak kamu kenali.
60.Soalan: Adakah doa dari anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia akan diterima oleh Allah SWT?
Dari Abu Hurairah r.a. bersabda Rasulullah SAW. yang bermaksud :"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya."(Hadis Riwayat Muslim)
Untuk merealisasikan maksud hadis di atas, maka perlulah kita mendidik anak-anak kita lelaki dan perempuan supaya mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Ibu bapa perlu mengobankan sedikit wang untuk memberi pendidikan Islam kepada anak-anak mereka. Jika berkemapuan di dalam keluarga sekurang-kurangnya seorang daripada anak kita akan menjadi hafiz atau hafizah .
Bersambung....
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment