Wednesday, May 15, 2013

Menipu Dengan Mengambil Hak Orang Lain Haram Di Sisi Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah, 
Di dalam ajaran Islam , Islam cukup mengambil berat hak-hak orang lain supaya tidak ada sesiapa dikalangan umat Islam cuba mengambil hak-hak orang lain, walaupun hak tersebut dimiliki oleh orang bukan Islam. Allah SWT memberi ancaman kepada semua penipu, perampas dan "mencuri" hak orang lain tanpa hak dengan ancaman neraka dan seksaan yang berat di hari akhirat.

Perkara-perkara yang dilarang untuk diambil hak orang lain adalah seperti berikut :

Pertama : Tanah. (Pencabulan hak harta tidak wajar dibiarkan walaupun sedikit) :

Jika seseorang telah mengusahakan tanah terbiar berpuluh tahun dan memohon geran daripada kerajaan untuk mendapat geran kekal atau TOL tiba-tiba tanah tersebut diberikan kepada ahli keluarga atau kroni oleh Pegawai Daerah atau pihak berkuasa negeri maka perbuatan tersebut dikira sebagai merampas hak individu tersebut dan akan mendapat dosa besar kerana merampas hak orang lain. Di berikan geran hak milik kepada bukan pengusaha asal tanah tersebut.

Islam amat mementingkan amalan yang ikhlas, jujur, tidak menipu, tidak rasuah dan tidak mengambil hak orang lain. Walaupun darisegi zahirnya tanah tersebut telah ditukar kepada nama seseorang (jika dibawa ke mahkamah akan kalah dalam perbicaraan) tetapi di sisi Allah SWT pegawai terbabit atau pihak berkuasa negeri akan bertanggungjawab kerana menafikan hak sebenar kepada pemilik tanah tersebut.

Dari Said bin Zaid r.a. katanya : "Rasulullah SAW. bersabda :"Sesiapa yang mengambil tanah orang lain sejengkal dengan cara yang zalim(tidak sah), maka akan dikalungkan oleh Allah di hari kiamat dengan tujuh lapisbumi." (Hadis sahih riwayat Muslim)
Oleh yang demikian, apabila sudah terbukti jelas dan nyata, seseorang melakukan kezaliman, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk membela dan memperjuangkan hak. Keutamaan mestilah diberikan dalam usaha menentang kezaliman dan membela hak. 


Kedua : Perbicaraan tidak adil di mahkamah hakim berpihak kepada pihak berkepentingan sahaja.

Jika seseorang menang dalam perbicaraan kerana hakim bersikap berat sebelah dengan memutuskan sesuatu keputusan bukan berdasarkan fakta dan bahan bukti tetapi lebih kepada andaian-andaian dan alasan yang tidak munasabah, maka keputusan tersebut mengundang kemurkaan Allah SWT. 

Hakim perlu bersikap adil dan tidak perlu memandang kepada siapa hukuman patut dijatuhkan, tidak kira samaada dia seorang pemimpin masyarakat atau pun rakyat biasa.

Firman Allah SWT maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maaidah ayat 8)
Allah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk selalu menegakkan kebenaran dan berlaku adil.

Menjadi seorang hakim wajib berlaku adil dan tidak boleh langsung berat sebelah atau bias untuk memutuskan seseorang bersalah atau tidak. Kerana semua bukti-bukti perlu di ambil kira samaada daripada pihak pendakwa atau pembela , kerana kegagalan seorang hakim berlaku adil sebenarnya dia menyedikan tempat duduknya di dalam neraka Jahanam.

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Hakim terdiri dari tiga golongan. Dua golongan hakim masuk neraka dan segolongan hakim lagi masuk syurga. Yang masuk syurga ialah yang mengetahui kebenaran hukum dan mengadili dengan hukum tersebut. Bila seorang hakim mengetahui yang hak tapi tidak mengadili dengan hukum tersebut, bahkan bertindak zalim dalam memutuskan perkara, maka dia masuk neraka. Yang segolongan lagi hakim yang bodoh, yang tidak mengetahui yang hak dan memutuskan perkara berdasarkan kebodohannya, maka dia juga masuk neraka. (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ath-Thahawi)


Sabda Nabi SAW maksudnya : " Lidah seorang hakim berada di antara dua bara api sehingga dia menuju syurga atau neraka. (Hadis Riwayat  Abu Na’im dan Ad-Dailami)

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim*,maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu), kamu tidak mendapat pertolongan" (Surah Huud (11) ayat 113) 

*Tafsir Pimpinan al-Rahman: Iaitu janganlah kamu wahai orang Islam bersahabat, atau bekerjasama, atau bersubahat atau pun menyetujui perbuatan orang yang melakukan kezaliman dalam segala bentuknya; lebih-lebih lagi orang yang menjadi musuh Islam dan umat Islam.

Ketiga : Berlaku penipuan semasa daftar pemilih, penipuan semasa pengundian dan juga semasa ketika kiraan undi di dalam pilihanraya. (memberi kad pengenalan biru kepada warga negara asing  tanpa melalui prosedur yang betul adalah satu jenayah kepada negara)

Semua parti politik dan rakyat jelata berhak untuk bertanding atau menjadi calun di dalam pilihanraya. Menang atau kalah perkara kedua yang penting perjalanan pilihanraya mesti telus , jujur dan amanah. Pilihanraya mestilah bersih tidak boleh ada pendaftar pemilih yang meragukan, dan tidak boleh ada pengundi luar atau warga asing yang diberikan kad pengenalan sebagai warganegara.untuk mengundi di dalam pilhanraya. Tidak boleh ada sabotaj dan provokasi kepada semua calun yang bertanding.

Dalam Islam jika seseorang atau organisasi yang diberi amanah untuk menjalankan tugas menyelia pilihanraya WAJIB  berlaku jujur dan amanah dan tidak boleh merampas hak orang lain dengan cara penipuan. Jika badan ini gagal melaksanakan amanah ini sebenarnya dia menempah untuk menjadi muflis di hari akhirat.


Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Jika penipuan berlaku, calun yang kalah diistiharkan menang sebenarnya dia telah merampas jawatan orang lain secara haram , mendapat elaun dan peruntukan yang  haram . Jika pilihanraya berikutnya dijalankan selepas lima tahun maka selama itulah sumbernya dan rezekinya daripada sumber yang haram dan tidak akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Mereka yang terlibat untuk mendapat dosa dan makan daripada sumber yang haram adalah golongan yang terlibat secara langsung termasuk calun yang bertanding, ketua mereka dan agensi yang merancang penipuan tersebut. Penyokong juga akan mendapat sahamnya kerana bersubahat dalam penipuan tersebut.

Ramai manusia berfikiran singkat dan sanggup menjual akhiratnya dengan harga dunia yang sedikit. Bukankah hidup di dunia ini hanya sementara kenapakah manusia sanggup mendapat kutukan daripada Allah SWT disebabkan jenayah pilihanraya yang dilakukannya.? Adakah habuan yang diperolehi dapat menepis bala yang akan datang?

Sahabat yang dimuliakan,
Sebarang usaha yang boleh mendatangkan dosa besar hendaklah  dihentikan. Alasan dan dakwaan yang tidak berasas dan memberi peluang kepada penzalim untuk terus untuk berkuasa dan menindas adalah tertolak. 


Sesiapa yang mengambil hak orang lain di akhirat nanti pahala solat, puasa dan zakatnya akan digunakan untuk membayar hak atau milik orang lain yang dirampas secara penipuan. Jika pahalanya tidak cukup dosa orang yang dizalimai akan diberikan kepada yang membuat fitnah dan orang yang melakuakn penipuan.

Jika kalian telah melakukan penyelewengan seperti perkara di atas perlulah bertaubat dan kembalikan hak-hak yang  telah ambil secara haram (tipu)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Tiada seorang ( pemimpin )yang diamanahkan oleh Allah memimpin rakyatnya, kemudian ketika ia mati diadapati telah menipu rakyatnya (berlaku tidaka adil ), maka Allah pasti akan mengharamkan baginya syurganya.
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Rasulullah SAW  bersabda lagi dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim maksudnya: "Siapa yang ditugaskan oleh Allah dalam mengatur umat, lalu ia tidak menyelesaikan hajat atau menolak aduan ( tidak membantu ) orang yang di bawah pimpinannya, maka di akhirat kelak Allah akan menolak hajatnya."


No comments: