Tuesday, May 14, 2013

Soal Jawab Agama Siri 13 ( Mengenai Perselisihan Faham Umat Islam, Sifat Munafik, Hukum Hantar Jenazah, Istiqamah, Menuntut Ilmu, Mengambil Wuduk, Tayamum dan Lain-lain).)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 13 adalah memberi penjelasan mengenai perselisihan faham umat Islam, sifat munafik, hukum hantar jenazah, istiqamah, menuntut ilmu, mengambil wuduk, tayamum, kelebihan solat subuh dan solat isyak berjemaah, hukum dedahkan gambar lama di laman sosial dan lain-lain lagi.
 

241.Soalan: Jika terdapat perselisihan faham dan perteligkahan di antara saudara muslim apakah yang harus kita lakukan sebagai umat Islam yang cintakan keamanan dan perdamaian?

Seorang mukmin akan sentiasa berusaha untuk mendamaikan jika berlaku perselisihan dan persengkitaan di antara dua saudara muslim. Walau pun mungkin kita tidak mampu menyatukan mereka dengan satu pandangan tetapi sekurang-kurangnya kita mampu mendamaikan dan mengujudkan suasan yang lebih harmoni kerana prinsip yang perlu kita pegang, "Bekerjasama di dalam perkara yang dipersetujui dan bermaaf-maafan di dalam perkara yang di perselisihkan selagi perkara tersebut bukan menyentuh masalaah prinsip."



Masing-masing perlulah di ajak kembali kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.


Firman Allah SWT maksudnya : "Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya” (Surah An-Nisaa (4) ayat 59)

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Seorang mukmin terhadap mukmin yang lainnya seperti bangunan yang saling mengokohkan satu dengan yang lain.” (Hadis Riwayat Bukhari  dan Muslim).

Meski pun Rasulullah SAW berkali-kali mengingatkan umatnya tentang erti persaudaraan, namun tetap saja diantara kita saling menyakiti, saling merendahkan dan saling menjatuhkan satu sama lain.

Firman Allah SWT maksudnya  : “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (Surah  Al-Hujuraat ayat 10).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Perumpamaan mukmin dalam hal saling mencintai dan berkasih sayang adalah ibarat satu satu tubuh, apabila satu organnya merasa sakit, maka seluruh tubuhnya turut merasakan hal yang sama, sulit tidur dan merasakan demam.” (Hadis Riwayat Muslim).

242.Soalan: Bagaimanakah hendak mengetahui orang munafik pada masa kini?

Sifat munafik yang boleh kita kenal pada masa kini adalah mereka yang tidak menjalankan amanah dan sering melakukan penghianatan kepada tanggungjawab agama, bila bercakap seringkali berbohong dan berdusta, mungkir janji dan menipu. Undang-undang Allah SWT yang lengkap dan sempurna tidak ingin didaulat dan dilaksanakan. Malahan mereka mengatakan undang-undang Allah SWT tidak sesuai dengan zaman sekarang dan dalam masyarakat majmuk.

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Empat perkara barangsiapa berada didalamnya maka jadilah dia munafik yang tulin, dan barangsiapa ada padanya sesuatu sifat darinya maka akan ada padanya sifat nifak sehingga dia meninggalkannya.
Antaranya :1. Apabila diamanahkan kepadanya dia akan khianat. 2. Apabila berbicara atau bercakap dia akan berdusta. 3. Apabila berjanji dia akan mungkir janji. 4.Apabila mendakwa dia akan menipu".(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash r.a)

Ulama membahaskan kita tidak dapat mengenal orang munafik, secara jelas dan tidak boleh kita menuduh seseorang itu munafik, tetapi kita dapat mengetahui tanda-tanda orang munafik seperti di nyatakan di dalam hadis di atas.

243.Soalan: Adakah menghantar jenazah untuk dikebumikan hukumnya fardu kifayah?

Benar menghantar jenazah adalah fardu kifayah iaitu apabila ada dikalangan umat Islam menguruskannya maka orang lain akan terlepas daripada tanggungjawab tersebut.

Tetapi sebaik-baik mukmin adalah sentiasa melakukan kebaikan dan tidak akan membiarkan  amalan baik berjalan begitu sahaja kerana besar pahalanya di sisi Allah SWT apabila kita mengiringi jenazah hingga ke pengkebumian.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda (maksudnya) :“Barang siapa yang mengiringi jenazah orang Islam kerana iman dan mengharapkan pahala dari Allah, dan ia bersamanya sehingga jenazah itu disolatkan dan selesai dikebumikan, maka ia kembali mendapat pahala dua qirath yang masing-masing qirath seperti Gunung Uhud. Barang siapa yang menyembayangkannya (solat jenazah)  dan ia kembali sebelum dikebumikan maka ia kembali dengan satu qirath.”

244.Soalan : Apakah amalan yang paling di sukai oleh Allah SWT ?
 

Amalan yang paling di sukai oleh Allah Azza Wajalla dalam agama apabila ia melakukan amalan secara istiqamah iaitu berterusan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Merekalah ahli syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.” (Surah Al-Ahqaaf, ayat 13 dan 14)

Allah SWT menyukai amal ibadah dan amal soleh yang di lakukan sedikit tetapi berterusan dan istiqamah.

245. Soalan : Apakah kelebihan orang yang menuntut ilmu?
 

Banyak kelebihan orang yang menuntut ilmu yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis       Nabi  SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan." (Surah Al-Mujadalah ayat 11)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan." (Hadis Riwayat Abu ad-Darda' r.a)
 

Sabda Rasulullah SAW :

- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)

Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan lain-lain)

Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada rasul-Nya.

Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat.

246.Soalan: Adakah berdosa sekiranya seseorang menuntut ilmu agama tetapi tujuannya untuk mendapat habuan duniawi semata-mata?
 

Jika seseorang berhajat menuntut ilmu agama maka mestilah mengikut adab-adab yang telah ditetapkan oleh Islam. Adab menuntut ilmu hendaklah ikhlas dan diniatkan di dalam hati kerana Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada hari kiamat.”(Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak.”(Hadis Riwayat Abu Daud)

Orang berilmu perlulah melaksanakan ilmu yang dipelajarinya kemudian ilmu tersebut hendaklah disampaikan pula kepada orang lain. Jangan sembunyikan kebenaran untuk mencari keredhaan manusia walau pun orang tersebut pemimpin negara.

247.Soalan: Adakah orang jahil yang tidak mahu menuntut ilmu akan di tanya oleh Allah SWT di hari akhirat?
 

Orang jahil yang tidak berilmu jika dia melakukan dosa dan maksiat akan mendapat balasan di hari akhirat nanti, alasannya kerana dia jahil tidak akan diterima, kerana banyak masa yang dia miliki ketika di dunia kenapa tidak mahu menuntut ilmu?
 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”( Hadis Riwayat al-Bazzar)

Orang-orang yang berilmu akan pula dimudahkan jalannya ke syurga oleh Allah dan senantiasa didoakan oleh para malaikat, sedangkan orang jahil mudah tergelincir daripada landasan yang benar dan mudah dimasukkan ke dalam neraka.

248.Soalan:  Apakah fadilat dan kelebihan berwuduk dengan sempurna?

Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi SAW bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud :"Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya." (Hadis Riwayat Muslim )

Hadis ini berbicara tentang fadilat wuduk dan maqam orang yang berwuduk, serta bagaimana wuduk itu mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia disisi Allah. Wuduk yang dimaksudkan di sini bukan sekadar perlaksanaan secara formal akan gerakan-gerakan yang ada di dalamnya, akan tetapi sebuah kesempurnaan.

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : "Jika seorang hamba yang muslim atau mukmin berwuduk ketika ia basuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya semua kesalahan yang dilihat dengan kedua matanya bersama air atau bersama tetes air terakhir. Jika membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya semua kesalahan yang dilakukan tangannya bersama keluarnya air atau tetes terakhir air. Jika membasuh kedua kakinya, keluarlah semua kesalahan yang diperbuat kakinya bersama air atau tetes terakhir air, sampai ia selesai wuduk dalam keadaan bersih dari dosa." (Hadis Riwayat Muslim).



Sentiasa berwuduk adalah amalan dan sunah Nabi SAW .Orang mukmin akan sentiasa memperbaharui wuduk jika terbatal.


249. Soalan : Adakah terbatal wuduk jika ada keraguan dan apakah syarat-syarat sah wuduk?
 

Tidak perlu berwuduk kembali jika ada keraguan sehingga dia yakin telah terbatal kerana perbuatan itu sejajar dalam sepotong riwayat Mu'allaq:  ”Tidak wajib wuduk kecuali jika engkau mendapatkan baunya atau mendengar suaranya (kentut).”

 Terdapat 10 perkara syarat-syarat sah wuduk :

1. Islam. 2. Tamyiz / berakal. 3. Air mutlak yang suci lagi menyucikan. 4. Telah nyata dalam keadaan berhadas. 5. Tidak ada perkara yang membatalkan wuduk ketika mengerjakan wuduk. 6. Tidak terdapat penghalang pada anggota wuduk semasa berwuduk. 7. Meratakan air pada seluruh anggota wuduk yang wajib. 8. Mengetahui cara-cara berwuduk. 9. Dapat membezakan antara yang fardu dan yang sunat wuduk. 10. Melebihkan basuhan atau usapan pada anggota-anggota wuduk untuk mendapatkan kesempurnaan dalam berwuduk.

250.Soalan: Kenapa kita digalakkan melakukan amalan-amalan sunat?
 

Mengamalkan perbuatan perbuatan sunat sebagai bukti kita cinta pada Allah sepertimana kita dapat lihat kekasih Allah Nabi Muhammad SAW  walaupun dijanjikan syurga baginda tetap melakukan amalan-amalan sunat .Nabi SAW solat malam hingga bengkak-bengkak kaki baginda.

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk melakukan amalan-amalan sunat untuk menampung amalan fardu jika terdapat kekurangan. Orang mukmin yang mengamalkan amalan seperti yang disebutkan di dalam al-Quran dan hadis adalah mukmin yang beruntung kerana mereka dianugerahkan dengan pelbagai keistimewaan dan kelebihan di dunia dan di akhirat nanti kerana setiap amalan dapat ganjarannya.

Dari Abu Hurairah r.a  Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya amalan pertama akan dihisab pada seseorang hamba ialah solatnya. Jika solatnya baik maka sesungguhnya beliau telah berjaya dan selamat dan sekiranya solatnya rosak maka sesungguhnya rugi dan binasalah ia.

Sekiranya berlaku sesuatu kekurangan pada solat fardunya, maka Tuhan Pemelihara Azza wa Jalla akan berfirman (kepada para malaikat-Nya) : Lihatlah oleh kamu adakah hamba-Ku mempunyai ibadat tathowwu’ (sunat)?

Lalu solat fardunya itu disempurnakan dengan solat tathowwu’-nya itu. Kemudian seluruh amalan dihisab sedemikian juga.”  (Hadis Sahih Riwayat  At-Tirmidzi dan An-Nasa’i. Juga dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Al-Hakim dll dengan lafaz sedikit berbeza)
 

Penjelasan dan Pengajaran : 

1.  Ibadat tathowwu’ (sunat) adalah salah satu dari cabang amalan-amalan mandub (sunat). Antara contoh ibadat tathowwu’ seperti sedekah, puasa Isnin dan Khamis, solat sunat dan sunat muakkad. Dipanggil juga sunat tambahan atau nafilah. (Sila rujuk ilmu usul fiqh).

2. Mengenai kekurangan solat fardu, ulama mempunyai pelbagai pendapat. Antaranya, kekurangan kerana kurang khusyuk dalam solat, kekurangan bilangan solat fardu, kekurangan kesempurnaan solat dan lain-lain.

Jangan sesekali kita memandang remeh ibadah sunat. ‘Ibadah sunat adalah perkara yang apabila dikerjakan, mendapat pahala yang boleh menyelamat dari azab dan apabila ditinggalkan, akan mengalami kerugian yang besar.

Seperti amalan solat berjemaah. Sabda Nabi SAW maksudnya : “ Barang siapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah maka satu langkah akan menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal ini berlangsung pada saat berangkat mahupun pulang.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban).

251.Soalan: Kenapa orang sekarang tidak takut kepada Allah, tidak mengikut hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT malah bermegah megah dengan hal dunia?

Hidup kita di dunia ini hanyalah sementara sahaja sedangkan hidup kita yang kekal abadi adalah di hari akhirat. Mereka yang tidak takut kemurkaan Allah SWT dengan melakukan maksiat, bermegah-megah dengan harta dan engan melaksanakan hukum-hukum Allah SWT sebenarnya dia adalah orang yang sombong. Allah SWT benci dan murka kepada orang kaya tetapi sombong dengan kekayaannya dan bermegah-megahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, Bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).” 

(Surah al-Qashash ayat 78)

Allah SWT secara terang-terangan memberi amaran keras kepada manusia yang bermegah-megah dengan harta hingga menunjuk-nunjuk sebagai satu kebanggaan buat diri mereka. Amaran ini diulangi beberapa kali dengan jelas supaya manusia benar-benar mengingati-Nya dan tidak menjadikan harta sebagai sembahan. Allah SWT mengutuk dengan sekeras-kerasnya sikap ini sehingga Dia menjanjikan azab yang maha pedih buat manusia-manusia yang ingkar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! Demi sesungguhnya! kalaulah kamu mengetahui - (Apa yang kamu akan hadapi) - Dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (ingatlah) Demi sesungguhnya! - kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.” (Surah at-Takaatsur, ayat 1-6)

252. Soalan: Adakah kita berdosa jika kita sedekahkan wang ringgit kepada negara luar yang mengalami kesulitan sedangkan negara kita lebih ramai yang mengalami kesulitan?
 

Umat Islam adalah bersaudara tidak kira samaada di dalam negara kita sendiri atau pun negara luar. Jika saudara kita dinegara luar memerlukan bantuan segera kerana bencana alam, peperangan, penindasan oleh musuh-musuh Islam seperti di Palestin, Myanmar, Cina dan ditempat-tempat lain maka kita wajib membantunya atas dasar satu akidah dan satu agama (syariat Islam). Islam tidak boleh dipisahkan dengan sempadan geografi kerana setiap muslim itu bersaudara.

Tetapi jika kita dapati negara kita sendiri sedang mengalamai bencana seperti banjir, tanah runtuh,  lebih afdhal atau lebih baik bersedekah di negara kita, Rasulullah SAW berpesan yang lebih baik adalah keluarga kita, jiran kita, hujung kampung, negeri lain dan seterusnya. Islam mengajar kita bahawa yang memberi lebih baik dari yang menerima. Tangan yang diatas lebih baik dari tangan yang dibawah.

Rasulullah SAW dalam hadisnya ada menyatakan: ”Tangan yang diatas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Tangan yang diatas adalah pemberi dan tangan yang dibawah adalah penerima.” ( Hadis Riwayat Muslim )

253.Soalan: Bagaimanakah hendak mengambil wuduk jika ketiadaan air?

 
Jika ketiadaan air untuk mengambil wuduk maka diharuskan kita bertayamum.

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu Junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikma-tNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Maa’idah ayat 6)

254. Soalan : Apakah dia tayamum dan syarat-syarat di benarkan bertayamum?
 

Tayamum adalah pengganti wuduk atau mandi wajib yang tadinya seharusnya menggunakan air bersih digantikan dengan menggunakan tanah atau debu yang bersih. Yang boleh dijadikan alat tayamum adalah tanah suci yang ada debunya. Dilarang bertayamum dengan tanah berlumpur, bernajis atau berbingkah. Pasir halus, pecahan batu halus boleh dijadikan alat melakukan tayamum.

Orang yang melakukan tayamum lalu solat, apabila air sudah tersedia maka ia tidak wajib mengulang solatnya. Namun untuk menghilangkan hadas, harus tetap mengutamakan air daripada tayamum yang wajib hukumnya bila sudah tersedia.

Tayamum untuk hadas hanya bersifat sementara dan darurat hingga air sudah ada.

Sebab / Alasan Melakukan Tayamum :

 
- Dalam perjalanan jauh
- Jumlah air tidak mencukupi kerana jumlahnya sedikit
- Telah berusaha mencari air tapi tidak berjumpa
- Air yang ada suhu atau kedaannya mengundang kemudharatan
- Air yang ada hanya untuk minum
- Air berada di tempat yang jauh.
- Pada sumber air yang ada terdapat keadaan yang membahayakan diri
- Sakit dan tidak boleh terkena air

Syarat Sah Tayamum :

 
- Telah masuk waktu solat
- Memakai tanah berdebu yang bersih dari najis dan kotoran
- Memenuhi alasan atau sebab melakukan tayamum
- Sudah berupaya / berusaha mencari air namun tidak ketemu
- Tidak haid maupun nifas bagi wanita / perempuan
- Menghilangkan najis yang yang melekat pada tubuh

Sunat Ketika Melaksanakan Tayamum :

- Membaca basmalah
- Menghadap ke arah kiblat
- Membaca doa ketika selesai tayamum
- Medulukan kanan dari pada kiri
- Meniup debu yang ada di telapak tangan
- Menyilangkan jari- jari setelah menyapu tangan hingga siku.

Rukun Tayamum :

- Niat Tayamum.
- Menyapu muka dengan debu atau tanah.
- Menyapu kedua tangan dengan debu atau tanah hingga ke siku.

255. Soalan : Saya hendak tanya perempuan yang berada dalam keadaan (haid) boleh tak potong kuku dan rambut yang gugur perlu disimpan untuk mandi wajib nanti. atau boleh ditanam terus kuku dan rambut yang gugur?
 

Untuk menjawab persoalan ini di kemukakan jawapan Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya Ghiza' al-albab, 1/382).

Beliau berkata: "Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) sama ada hidup ataupun mati", malah Nabi memberitahu: "Buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam)."

Maka jelaslah bahawa dibenarkan, bahkan tidak dilarang untuk mencukur atau membuang apa-apa yang lebih daripada kebiasaannya yang tumbuh di tubuh kita.

Oleh kerana arahan Rasulullah tidak menunjukkan sebarang penangguhan cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi). Wallahualam

256. Soalan : Saya hendak tanya apakah keutamaan solat subuh dan isyak berjemaah?

Rasulullah SAW bersabda, ”Tidak ada solat yang lebih berat buat orang-orang munafik dari solat Isyak dan solat Subuh. Seandainya mereka tahu keutamaan keduanya, pastilah mereka akan mendatanginya meski dengan merangkak" 

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyak kebaikan dan keutamaan solat subuh dan isyak berjemaah : Orang yang sembahyang Subuh berjamaah seolah-olahnya dia sembahyang sunat seluruh malam dan orang yang sembahyang Isyak berjamaah seolah-olahnya dia menghidupkan separuh malam.

Sabda Rasulullah SAW.

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ
صحيح مسلم)

Maksudnya :" Sesiapa yang sembahyang Isyak pada satu jamaah seolah-olahnya dia sembahyang separuh malam, dan sesiapa yang sembahyang Subuh pada satu jamaah seolah-olahnya dia sembahyang seluruh malam." (Hadis Riwayat Muslim)

257. Soalan : Seseorang Isteri wajib taat kepada suami; suami tidak wajib taat kepada Isteri."... Minta ustaz hurai dan kupas maksud dan makna dan dalam hal bagaimana dan mencakupi bagaimana dan mencakupi perkara apa sebenarnya?

 Terdapat beberapa hadis mengenai kewajipan isteri mentaati suami : Taat isteri boleh dilihat dari hadis-hadis yang banyak diriwayatkan, seperti:

1. Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

2. Al-Imam Bazzar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa, bahawa taat kepada suami, dan mengakui hak-hak suami, sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran, tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka." (Hadis riwayat Al Imam Bazzar)

3. Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

258. Soalan : Saya hendak tanya biasanya perempuan termasuk saya kalau seminggu sebelum dan tengah datang bulan sentiasa hendak marah pada orang lain tanpa sebab. Boleh ustaz jelaskan bagaimana saya hendak mengatasi masaalah tersebut.
 

Orang mukmin sentiasa berlemah lembut, tidak mudah marah sentiasa mengawal emosi. Ingat marah itu datangnya daripada godaan syaitan, walaupun dalam keadaan uzur wanita boleh berzikir dan baca al-Matsurat supaya masa tak solat itu ada amalan-amalan zikir yang mengingati Allah SWT. Amalan-amalan yg boleh dilakukan beristighfar, berzikir, bersedekah, memberi salam semua amalan ini memberi kekuatan kepada diri kita untuk menangkis godaan dan hasutan syaitan. Bila terasa marah banyakkan beristighfar dan ingat Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat  mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia  berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW  lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Al Imam Al Hasan Al Bashri rahimahullah berkata: “Empat hal, barangsiapa yang mampu mengendalikannya maka Allah akan menjaga dari syaitan dan diharamkan dari neraka : iaitu seseorang mampu menguasai nafsunya ketika berkeinginan, cemas, syahwat dan marah.”

259. Soalan : Saya ingin bertanya apakah hukum seorang menantu yang selalu tidak puas hati dengan ayah dan emak mertuanya. Dia selalu berkata yang emak mertuanya itu "membela" dan macam-macam lagi kerana rumah mereka berdekatan, dia tak boleh lihat orang lain lebih sikit daripadanya.
 

Dalam ajaran Islam menjalani hubungan kekeluargaan dan membina ikatan silaturahim adalah sangat di tuntut sehingga Nabi SAW menyatakan tidak akan masuk syurga sesiapa yg memutuskan silaturahim. Perlu diingat anak menantu wajib menghormati kedua ibu bapa mertuanya. Berdosa besar jika membuat tuduhan tanpa bukti dan menimbulkan pergaduhan di antara ahli keluarga. Baginda melarang umatnya tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Sepatutnya anak menantu mengasihi ibu bapa mertuanya sama seperti dia mengasihi ibu bapanya sendiri.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bukan dari kalangan umatku yang sempurna, orang yang tidak mengasihi yang kecil dari kalangan kami dan tidak mengenal kemuliaan orang yang lebih tua di kalangan kami" (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Ciri-ciri ahli syurga itu hatinya bersih tidak ada buruk sangka, hasad dengki atau perasaan iri hati di atas kelebihan orang lain. Jiwanya sentiasa tenang dan suka membantu orang lain terutama ahli keluarga sendiri. Wallahulam.

260. Soalan : Sekarang saya sudah tutup aurat, tapi banyak gambar-gambar dahulu di facebook tak tutup aurat. Jika ditakdirkan saya mati dan saya tak hapuskan gambar-gambar tersebut adakah ianya akan bawa saya ke neraka? 


Jika kita dahulu tak tutup aurat dan sekarang sudah tutup aurat maka kita perlulah padamkan semua gambar-gambar lama samaada di facebook, blog , twiter dan lain-lain. Jika rakan-rakan ada menyimpannya suruh mereka padamkan. Jika kita sudah bertaubat dan tak mampu nak hapuskannya maka kita serahkan pada Allah SWT banyakkan beristighfar dan bersedekah. Allah SWT Maha Mengetahui hati-hati kita yang telah bertaubat dan ingin kembali mentaati perintah-perintah Allah SWT.

Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah Al-Baqarah ayat 222)


 Bersambung...

No comments: