Friday, May 17, 2013

Soal Jawab Agama Siri 14 (Politik Islam, Adab Menuntut Ilmu, Berbaik Sangka, Buruk Sangka, Fadilat Kalimah Hauqalah dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Agama Siri 14 adalah menjawab persoalan politik Islam, adab menuntut ilmu, berbaik sangka, buruk sangka, fadilat kalimah hauqalah, mencaci mayat, zakat, balasan tak bayar zakat, sedekah sumber yang haram, fardu haji , doa makan dan kebaikan dunia dan akhirat.

261.Soalan. Apakah yang dimaksudkan bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna dan apakah perbezaan di antara mereka yang menggunakan politik untuk agama berbanding dengan mereka yang menggunakan agama untuk politik? Jika terdapat perbezaan minta tolong diperjelaskan?

Islam adalah agama (ad-deen) yang lengkap dan sempurna yang meragkumi semua aspek kehidupan manusia. Dalam Islam terdapat bahagian akidah (tauhid) , ibadah, akhlak, pendidikan, kemasyarakatan, munakahad (kekeluargaan) , muamalat (ekonomi), siyasah (politik), perhubungan antara bangsa dan sebagainya.

Politik tidak boleh dipisahkan dengan ajaran Islam kerana politik adalah sebahagian daripada syariat Islam. Tertegaknya Daulah Islamamiah di Madinah menandakan bahawa perlaksanaan politik Islam telah dijalankan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda.

Menggunakan Politik Untuk Islam

Mereka yang menggunakan politik untuk Islam adalah mereka yang mengutamakan atau meletakkan Islam ditempat yang paling tinggi dan aktiviti politik itu hanya wasilah(jalan) untuk mendaulatkan Islam dan merealisasikan Islam dalam kehidupan. Berusaha untuk melaksanakan hukum hudud, qisas dan diyat sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Semua bentuk amalan dan perbuatan yang bertentangan dengan Islam akan ditinggalkan.

Semua urusan politik adalah urusan harian yang bersangkut paut dengan kehidupan masyarakat iaitu urusan perniagaan (jual beli) , kerja-kerja kebajikan, dakwah dan tarbiah, amar makruf nahi mungkar, bantu-membantu, ziarah menziarahi, sedekah, pembangunan fizikal,  membangunkan kemajuan sain dan teknoloji dan lain-lain semuanya dilakukan semata-mata mencari keredaan Allah SWT dan tidak bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri. Semasa menjalankan aktiviti-aktiviti sesama manusai tidak melakukan rasuah, menipu, pilih kasih, mengambil riba, tamak haloba, hasad dengki, tidak membuat fitnah dan tidak mendedahkan aib orang lain. Matlamatnya bersih dan jalan-jalan yang digunakan juga bersih.(yang dibenarkan oleh syarak). Jika menjadi pemimpin akan bersifat jujur dan amanah dan bersikap adil.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan(Kaffah), dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
(Surah Al-Baqarah ayat 208).

Allah SWT menghendaki agar hamba-Nya bila memilih Islam sebagai pedoman hidupnya jangan ambil setengah-setengah, tetapi harus di ambil sepenuhnya dengan keyakinan menjalankan syariat Islam sesuai denga perintah dan larangan-Nya.

Peribadi mereka yang menggunakan politik untuk Islam adalah peribadi mukmin yang sentiasa berada di jalan yang hak , berlemah lembut dan mudah memaafkan kesalahan orang lain.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidaklah seseorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menggunakan (Memperalatkan) Islam untuk politik
 

Mereka yang menggunakan Islam untuk politik adalah mereka yang memperalatkan agama demi kepentingan politik mereka. Politik diletakkan di atas sekali sedangkan Islam diletakkan dibawah. Jika politik mereka sesuai dengan Islam baru mereka ambil Islam tetapi jika bertentangan dengan Islam maka Islam mereka tinggalkan dan mereka tetap dengan pendirian mereka. Demi memertabatkan kuasa politik sanggup mengadaikan prinsip Islam.. Mereka akan menggunakan semua cara samaada halal atau haram untuk mencapai matlamat. Kaedah ini dipanggil, "matlamat menghalalkan cara".

Mereka sanggup membuat fitnah, dedahkan aib orang lain, menuduh zina atau liwath (mereka cipta vedio lucah), mengupah bloger-bloger dan media cetak untuk maki hamun, mengutuk, menghina, menimbulkan kebencian kaum, berbohong, menipu, manipulasi isu-isu, menyebarkan dakyah palsu melalui akhbar, television, media letronik dan mencipta akta-akta baru yang bertentangan dengan hak kebebasan yang dibenarkan oleh Islam.

Seruan mereka kepada asyabiah kaum bukan kepada penyatuan umat Islam sejagat. Mereka tidak berlaku adil kepada kaum lain dan sering menimbulkan ketegangan dan penghinaan. Sedangkan keadilan Islam meragkumi semua rakyat yang memerlukan keadilan dan pembelaan tidak kira samaada mereka orang Islam atau bukan Islam.
 

Firman Allah SWT :

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

Maksudnya: “Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain?”. (Surah Al-Baqarah ayat 85)
 

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maaidah ayat 8)

262. Soalan: Apakah adab-adab ketika menuntut ilmu?

Menuntut ilmu adalah satu amalan yang sangat dituntut. Terdapat hadis Nabi SAW yang menjelaskan adab-adab ketika menuntut ilmu semoga mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Daripada Abu Waqid al-Laitsi r.a berkata, "Rasulullah SAW  sedang duduk di masjid bersama orang ramai ketika menyampaikan ceramahnya, tiba-tiba datang tiga orang lelaki. Dua daripada mereka mendatangi Nabi SAW., sedang yang seorang lagi terus pergi begitu saja. Seorang daripada mereka mencari-cari ruang yang kosong dalam majlis itu, lalu dia duduk di situ. Dan yang seorang lagi terus duduk di belakang.

Setelah Rasulullah SAW. selesai memberikan pengajian, Baginda bersabda yang bermaksud, "Perhatikanlah, kuberitahukan kepada anda sekalian tentang orang yang bertiga itu. Seorang antaranya mencari tempat di sisi Allah, maka Allah melapangkan tempat baginya. Orang kedua malu-malu maka Allah malu pula padanya. Dan orang yang ketiga jelas berpaling , maka Allah berpaling pula daripadanya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

263.Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan bersangka baik (husnul zon) dengan Allah SWT  dan bersangka baik sesama manusia?

 Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Allah SWT. berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku."
(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaaan kamu berbaik sangka dengan Allah." (Hadis Riwayat Muslim)

Maksud bersangka baik dengan Allah ialah rasa takut dan harap yang saling bergandingan, ataupun rasa takut mengatasi rasa harap.

Ciri-ciri seorang hamba yang bersangka baik dengan Allah :

1. Apabila melakukan sebarang ibadah, dia bersangka baik bahawa Allah SWT akan menerima ibadahnya itu dan membalas dengan sebaik-baik ganjaran pahala.

2. Apabila berdoa dia tahu bahawa Allah SWT akan memakbulkan doanya.

3. Apabila dia berdosa, segera bertaubat dan bersangka baik bahawa Allah SWT akan menerima taubatnya dan mengampunkan dosanya.

4. Apabila ditimpa musibah, dia akan bersangka baik bahawa di sebalik ujian itu ada hikmahnya.

Bagaimana pula cara kita bersangka baik sesama manusia..?

1. Tidak menyebarkan keburukan saudara seIslam yang lain. Apabila mendapat berita daripada orang fasik untuk aibkan saudaranya dia siasat dahulu dan tidak akan mudah mempercayainya.

2. Nasihat-menasihati dan lengkap melengkapi andai ada kekurangan yang terserlah pada saudaranya.

3. Saling mendoakan kesejahteraan saudaranya tanpa diketahuinya.

4. Mudah memaafkan kesalahan saudaranya.

Secara mudahnya, berbaik sangka (husnul zon) ini sama maksudnya dengan berfikiran positif

Sikap berbaik sangka (husnul zon) adalah amalan yang dituntut Islam kerana perbuatan ini dapat mengelakkan dari menuduh orang lain berbuat keburukan yang secara tidak langsung jika tidak mempunyai bukti yang kukuh menjadikan kita pemfitnah.

Firman Allah SWT: yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka kerana sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa; dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain; dan janganlah ada diantara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujuraat, ayat 12)

264.Soalan: Apakah yang dimaksudkan buruk sangka (su'- ul zon)?

Buruk sangka (su'-ul zon) adalah salah satu daripada sifat-sifat mazmumah (buruk dan tercela). Manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk di dalam hati manusia. Apabila timbulnya buruk sangka, maka sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan seseorang itu timbul sehingga terbukalah kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu yang menyebabkan si pelaku itu berasa puas. Ia adalah suatu penyakit hati yang akan menyerang sesiapa sahaja. Hanya keimanan dan ketakwaan yang kukuh mampu mengatasi rasa buruk sangka dan mencari kesalahan orang lain ini.

Allah Ta’ala berfirman.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka, kerana sesungguhnya sebagian tindakan berprasangka adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain” (Surah Al-Hujurat ayat 12)

Dalam ayat ini terkandung perintah untuk menjauhi kebanyakan prasangka, kerana sebagian tindakan berprasangka ada yang merupakan perbuatan dosa. Dalam ayat ini juga terdapat larangan berbuat tajassus. Tajassus ialah mencari-cari kesalahan-kesalahan atau keburukan atau aib orang lain, yang biasanya merupakan kesan dari prasangka yang buruk.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda :

إِيَّا كُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيْثِ وَلاَ تَحَسَّسُوا وَلاَ تَجَسَّسُوا وَلاَ تَحَاسَدُوا وَلاَتَدَابَرُوا وَلاَتَبَاغَضُوا وَكُوْنُواعِبَادَاللَّهِ إحْوَانًا

Maksudnya : “Berhati-hatilah kalian dari tindakan berprasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Janganlah kalian saling mencari keburukan orang lain, saling inti-mengintip, saling mendengki, saling membelakangi, dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara” (Hadis Riwayat  Al-Bukhari no. 6064 dan Muslim no. 2563 )

Amirul Mukminin Umar bin Khathab berkata, “Janganlah engkau berprasangka terhadap perkataan yang keluar dari saudaramu yang mukmin kecuali dengan persangkaan yang baik. Dan hendaknya engkau selalu membawa perkataannya itu kepada prasangka-prasangka yang baik”

Sufyan bin Husain berkata, “Aku pernah menyebutkan keburukn seseorang di hadapan Iyas bin Mu’awiyyah. Beliaupun memandangi wajahku seraya berkata, “Apakah kamu pernah ikut memerangi bangsa Romawi?” Aku menjawab, “Tidak”. Beliau bertanya lagi, “Kalau memerangi bangsa Sind , Hind (India) atau Turki?” Aku juga menjawab, “Tidak”. Beliau berkata, “Apakah layak, bangsa Romawi, Sind, Hind dan Turki selamat dari keburuknmu sementara saudaramu yang muslim tidak selamat dari keburukanmu?” Setelah kejadian itu, aku tidak pernah mengulangi lagi berbuat seperti itu” ( Bidayah wa Nihayah, Ibnu Kathir (XIII/121)

Abu Hatim bin Hibban Al-Busti bekata: Orang yang berakal wajib mencari keselamatan untuk dirinya dengan meninggalkan perbuatan tajassus dan senantiasa sibuk memikirkan keburukan dirinya sendiri. Sesungguhnya orang yang sibuk memikirkan keburukan dirinya sendiri dan melupakan keburukan orang lain, maka hatinya akan tenteram dan tidak akan merasa gelisah. Setiap kali dia melihat keburukan yang ada pada dirinya, maka dia akan merasa hina tatkala melihat keburukan yang serupa ada pada saudaranya. Sementara orang yang senantiasa sibuk memperhatikan keburukan orang lain dan melupakan keburukannya sendiri, maka hatinya akan buta, badannya akan merasa letih dan akan sulit baginya meninggalkan keburukan dirinya”.[Raudhah Al-‘Uqala (hal.131)]

Beliau juga berkata,:“Tajassus adalah cabang dari kemunafikan, sebagaimana sebaliknya prasangka yang baik merupakan cabang dari keimanan. Orang yang berakal akan berprasangka baik kepada saudaranya, dan tidak mahu membuatnya sedih dan berduka. Sedangkan orang yang bodoh akan selalu berprasangka buruk kepada saudaranya dan tidak segan-segan berbuat jahat dan membuatnya menderita”.[Raudhah Al-‘Uqala (hal.133)]

265.Soalan: Apakah fadhilat membaca kalimah hauqalah iaitu  " La hawla wala quwwata illah billah"?

Rasulullah SAW bersabda : “Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”. (Hadis Riwayat Tabrani)

Hadis ini adalah riwayat at-Tabarani dalam al-Awsath dan al-Hakim yang berbunyi: “Man Qala La Haula wala Quwwata Illa Billahi Kana dawa’an min tis’atin wa tis’iina da’in, aisaruha al-Hammu” dan maksudnya adalah seperti di atas.

Intipati hadis tersebut adalah umat Islam digalakkan untuk tabah dan berusaha merawat penyakit asalkan mengikut peraturan agama. Penyakit yang dimaksudkan itu ada terkandung dalam beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW berdoa dengan doa: “Allahumma innii ‘auuzhu bika minal barashi wal junuuni wal-juzaami wa sayyi’il asqaam (yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit-penyakit yang berat).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitu juga hadis riwayat Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Allahuamma Inni a’uuzu bika minal hammi wal hazan, wa ‘auuzhubika minal ‘ajzhi wal kasal, wa’auuzhu bika minal Jubni wal-Bukhl, wa’uuzhubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal (yang bermaksud: “Ya Allah, saya berlindung kepada-Mu daripada penyakit gelisah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada pengecut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu daripada timbunan hutang dan penindasan orang.”

Apa yang penting pada hadis berkenaan ialah untuk menyatakan kelebihan dan manfaat besar kepada orang yang banyak menyebut ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’. Maksudnya tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT.

Ucapan itu dinamakan Hauqalah. Apabila kita ditimpa sesuatu yang kita tidak sukai, banyakkan menyebut hauqalah.  Imam a-Nawawi berkata: “La haula wa la quwwata illa billah”, itulah kalimah yang digunakan untuk menyerah diri dan menyatakan bahawa kita tidak mempunyai hak untuk memiliki sesuatu urusan. Ia kalimah yang menyatakan bahawa seseorang hamba tiada mempunyai daya upaya untuk menolak sesuatu kejahatan (kemudaratan) dan tiada mempunyai daya kekuatan untuk mendatangkan kebaikan kepada dirinya melainkan dengan kudrat iradat Allah SWT juga.

Dalam sebuah hadis menyebut daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku berjalan di belakang Rasulullah SAW, lalu Baginda berkata kepadaku: “Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku berkata: Mahu ya Rasulullah. Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa billah.”

Begitu juga hadis daripada Abu Musa, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan salah satu perbendaharaan dari perbendaharaan syurga? Saya menjawab: “Mahu ya Rasulullah. Kemudian baginda bersabda: La haula wala quwwata illa billah.”

Daripada Ibnu Mas’ud beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: " Wahai Muaz, adakah kamu tahu tafsir (maksud) La haula wala quwwata illa billah? Muaz menjawab: "Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui". Rasulullah SAW bersabda: "La haula (tiada daya) dari menghindari maksiat kepada Allah melainkan dengan kekuatan Allah, wala quwwata (tiada kekuatan) atas mentaati Allah melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Kemudian Rasulullah SAW menepuk bahu Muaz dan Baginda bersabda: “Demikianlah yang diberitahu oleh kekasihku Jibril daripada Tuhan.”

Sebenarnya apabila kita banyak menyebut Allah SWT atau berzikir mengingati-Nya sebanyak-banyaknya, ia mampu menjadi penyembuh, tetapi sekiranya kita banyak ingat kepada manusia ia boleh menjadi penyakit.

266.Soalan: Apakah itu istidraj?

Istidraj adalah pemberian Allah SWT kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredainya dan kejadian luar biasa yang diberikan kepada orang fasik yang mengaku mempunyai kelebihan luar biasa dengan mengemukakan pelbagai dalil untuk menguatkan kebohongannya.

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (derhaka) ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah.”

Firman Allah SWT maksudnya : "Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)." ( Surah al-An’aam ayat 44)

Ayat di atas memberi peringatan kepada kita agar jangan terpedaya dengan kurniaan yang terus menerus kita perolehi sedangkan kita terus juga tidak berbuat taat kepada Allah SWT, sebaliknya kita asyik dengan kemaksiatan. Sekiranya kurniaan itu turun melalui saluran istidraj, kesudahannya kita akan mengalami kejatuhan dan penderitaan yang amat sangat.

Allah SWT sentiasa mengirimkan peringatan untuk mengajak manusia kembali ke jalan-Nya. Biasanya peringatan yang datang itu membawa bersama-samanya kesusahan yang menekan jiwa manusia agar manusia insaf dan mahu kembali kepada Allah SWT dengan merendahkan diri.

Di dalam tempoh kemelaratan itu biasanya manusia menjadi insaf dan suka berbakti pada jalan Allah SWT. Kemudian Allah SWT gantikan kemelaratan dengan kesenangan sebagai ujian untuk mengasingkan yang benar-benar insaf daripada yang pura-pura. Bila kesenangan sudah dirasai kembali orang yang tidak teguh imannya akan kembali kepada kemaksiatan dan kemunkaran. Mereka memberi alasan bahawa kesenangan dan kesusahan adalah lumrah kehidupan sebagaimana yang pernah dirasai oleh nenek moyang mereka yang dahulu, bukan berkait dengan soal beriman atau tidak seseorang itu kepada Allah SWT. Mereka kembali lalai dalam arus kesenangan dunia. Ketika mereka sedang asyik leka itulah Tuhan datangkan kebinasaan kepada mereka.

267.Soalan: Adakah ada hadis mengenai larangan menyakiti dan mencaci mayat  dan duduk di atas kubur ?

Haram hukumnya kita menyakiti dan mencaci orang yang sudah meninggal.  Aisyah r.ha berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:"Janganlah kamu mencaci maki orang-orang yang telah meninggal dunia. Kerana sesungguhnya mereka telah sampai pada apa yang mereka dahulukan (amalkan baik atau buruk)".

Allah telah menetapkan bahawa mayat mempunyai kehormatan yang wajib dipelihara sebagaimana kehormatan orang hidup. Allah SWT telah menetapkan pula bahawa menganiaya mayat sama saja dosanya dengan menganiaya orang hidup.Sesungguhnya mayat mempunyai kehormatan sebagaimana orang hidup. Melanggar kehormatan dan menganiaya mayat adalah sama dengan melanggar kehormatan dan menganiaya orang hidup.

Dan sebagaimana tidak boleh menganiaya orang hidup dengan membedah perutnya, atau memenggal lehernya, atau mencongkel matanya, atau memecah tulangnya, maka begitu pula segala penganiayaan tersebut tidak boleh dilakukan terhadap mayat.

Sebagaimana haram menyakiti orang hidup dengan mencaci maki, memukul, atau melukainya, maka demikian pula segala perbuatan ini haram dilakukan terhadap mayat.

Diriwayatkan dari Aisyah Ummul Mukminin r.ha,  Rasulullah SAW bersabda : “Memecah tulang mayat itu sama dengan memecah tulang orang hidup”(Hadis Riwayat Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Hibban)

Imam Ahmad meriwayatkan dari ‘Amar bin Hazm Al-Anshari r.a, dia berkata, “Rasul pernah melihatku sedang bersandar pada sebuah kuburan. Maka baginda bersabda:
‘Janganlah kau menyakiti penghuni kuburan itu!”

Imam Muslim dan Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, dia berkata bahwa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sungguh jika seorang dari kalian duduk di atas bara api yang membakarnya, nescaya itu lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kuburan”

268.Soalan: Adakah zakat wajib dikeluarkan oleh orang Islam?

Islam meletakkan kewajipan untuk membayar zakat seperti zakat fitrah, zakat perniagaan, zakat harta (wang ringgit, emas, perak dan lain-lain)  mengikut syaratnya.

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam ketiga selepas solat yang wajib ditunaikan apabila cukup nisab dan tempuhnya. Kegagalan melaksanakan pembayaran zakat boleh mendatangkan dosa besar dan harta yang tidak dizakatkan akan menjadi bahan pembakar apa neraka di akhirat nanti.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat." ..(Surah al Baqarah, ayat 110)

Zakat termasuk salah satu kewajiban dalam Islam yang tidak boleh dipisahkan dengan solat, sampai Rasulullah bersabda maksudnya : “Tidak sempurna solat bagi seseorang yang tidak membayar zakat”.

Di samping itu Allah SWT. menyuruh umat Islam untuk  menafkahkan sebagian harta yang dicintainya sehingga boleh dikatakan kebajikan yang sempurna. 


Firman Allah SWT maksudnya : "Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu infakkan , tentang hal itu sungguh, Allah Maha Mengetahui. (Surah Ali Imran ayat 92).

269.soalan: Apakah balasan bagi orang Islam yang enggan mengeluarkan zakat?

 
Dosa besar bagi orang yang enggan mengeluarkan zakat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka berilah kabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) azab yang pedih, (ingatlah) pada hari ketika emas dan perak dipanaskan dalam neraka Jahanam, lalu dengan itu disetrika dahi, lambung, dan punggung mereka (seraya dikatakan) kepada mereka, "inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakan (akibat dari) apa yang kamu simpan itu." (Surah at-Taubah ayat 34 dan 35)

270.Soalan: Adakah boleh kita bersedekah jika wang itu di perolehi melalui sumber yang haram?

Wang yang diperolehi daripada sumber yang haram tidak boleh digunakan untuk bersedekah atau menunaikan haji kerana amal kebaikan tersebut tidak akan diterima oleh Allah SWT. Doa mereka yang memakan daripada hasil yang haram tidak alan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Ibnu Abbas r.a. mengemukakan sebuah hadis di mana baginda Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah mempunyai seorang malaikat di Baitul Maqdis, yang setiap malam berseru: Barang siapa memakan makanan yang haram, tidak akan diterima amalnya sedikit pun, baik yang sunnah mahupun yang wajib." (Hadis Riwayat Ad-Dailamy).

Dan sabda Rasulullah SAW : "Berapa banyak orang yang rambutnya kusut, pakaiannya berdebu, kerana telah melakukan perjalanan jauh, makanannya haram, pakaiannya haram dan hidup dari barang yang haram, ia mengangkat tangannya seraya berdoa: Oh Tuhan, Oh Tuhan! Bagaimana doanya boleh dikabulkan?" (Hadis Riwayat Muslim).

Dan sabda Rasulullah SAW. lagi : "Barangsiapa membeli sehelai baju dengan harga sepuluh dirham sedang di dalamnya ada satu dirham haram, maka Allah tidak menerima solatnya selama wang haram itu masih ada padanya." (Hadis Riwayat Ahmad).

Sabda Nabi SAW : "Barang siapa tidak peduli dari mana ia memperolehi harta, maka Allah pun tidak akan peduli dari pintu mana akan memasukkan ia ke neraka." (Hadis Riwayat Ad-Dailamy).

Dan sabda Nabi SAW  : "Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka nerakalah tempat yang layak baginya." (Hadis Riwayat At-Thurmudzi).

Dan sabda Nabi SAW : "Barang siapa memperolehi harta jalan yang haram, lalu dengan harta itu ia hubungkan tali silaturrahim atau disedekahkan atau dibelanjakan di jalan Allah, maka Allah akan mengumpulkan semuanya itu dan kemudian dilemparkannya ke dalam neraka." (Hadis Riwayat Abu Daud).

271.Soalan: Menunaikan haji adalah rukun Islam yang ke lima. Adakah menunaikan haji  jatuh hukum wajib ke atas orang yang tidak mampu?

Tidak jatuh hukum wajib ke atas orang yang tidak mampu menunaikan haji. Tetapi hendaklah seorang muslim itu hendaklah berusaha untuk menyempurnakan rukun Islam itu sehingga mencukupi perbelanjaan untuk menunaikan fardu haji. Akan tetapi wajib ke atas orang yang lebih berkemampuan, firman Allah SWT yang bermaksud, "Menunaikan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah,iaitu orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari,maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari semesta alam.” (Surah Ali-Imran ayat 97)

272.Soalan: Adakah menunaikan haji salah satu jihad?

Menunaikan haji dikira jihad pada masa perjalanannya seperti di dalam kapal terbang. Umar r.a berkata, "Pergilah dengan berkenderaan untuk mengerjakan ibadah haji sebab sesungguhnya haji itu adalah salah satu dari dua macam jihad.”

273.Soalan: Kaum hawa tidak diwajibkan berjihad kerana sifat mereka lemah. Bagaimana cara bagi kaum hawa mendapat ganjaran seperti orang berjihad?

Dalam satu kisah yang diceritakan oleh Aisyah Ummul Mukminin r.ha berkata, "Wahai         Rasulullah, kami melihat bahawa jihad itu seutama-utama amal, apakah kami tidak perlu berjihad?" Nabi SAW bersabda, "Tidak, bagi kalian jihad yang paling utama adalah haji mabrur.”

274.Soalan: Siapakah isteri Nabi Muhammad SAW yang pertama sekali menyusul bersamanya ke syurga?

Mengikut satu riwayat yang menyatakan, Aisyah r.ha berkata, "Sebahagian isteri nabi bertanya kepada nabi, siapakah yang pertama menyusul engkau? Baginda  menjawab, orang yang paling panjang tangan di antaramu. Lalu mereka mengambil buluh yang mereka gunakan untuk mengukur hasta mereka. Ternyata Saudahlah yang tangannya paling panjang. Kemudian kami mengetahui sesudah itu bahawa maksud tangannya panjang adalah sedekah. Memang Saudahlah yang akan menyusul baginda, dan ia senang bersedekah.”

275.Soalan: Apakah ganjaran orang yang menginfakkan hartanya dan orang yang tidak menginfakkan hartanya?

Banyak ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT pada hambanya. Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahwa Nabi  Muhammad SAW bersabda, "Tidak ada satu hari pun seorang hamba memasuki pagi harinya melainkan dua malaikat turun. Lalu, salah satu dari keduanya berdoa. "Ya Allah, berikanlah ganti pada kepada orang yang menginfakkan hartanya.” Malaikat yang lain lagi berdoa "Ya Allah berilah kehancuran kepada orang yang menahan infak.”

276.Soalan: Bagaimanakah sekiranya orang miskin ingin melakukan ibadah sedekah, sedangkan dia tidak mempunyai wang ringgit?

Rasulullah SAW. ada menyatakan dalam hadis-hadisnya bahawa sedekah itu boleh di bahagikan kepada tiga jenis iaitu sedekah dengan hati, lisan dan perbuatan.

Pertama sedekah dengan hati :

Niat yang ikhlas dalam apa jua pekerjaan.


Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama."
(Hadis Riwayat Tirmizi).

Nabi SAW  bersabda: ” Seorang hamba dihadapkan pada hari kiamat membawa hasanah sebesar bukit, lalu ada seruan;' Siapa yang pernah di aniaya oleh fulan boleh datang untuk dibayar'. Maka datanglah beberapa orang lalu mengambil bahagiannya sehingga tiada tinggal satu pun dari hasanah yang banyak itu, sehingga hamba itu menjadi bingung, lalu Tuhan berkata kepadanya: 'Untuk mu ada simpanan pada Ku yang tidak Aku perlihatkan kepada malaikat atau seorang pun dari makhluk Ku,' lalu ia bertanya:' Apakah itu'. Jawab Tuhan: Ia itu niatmu, yang kau selalu niat akan berbuat kebaikan, Aku tulis untuk mu berlipat ganda, tujuh puluh lipat ganda.' "

Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setakat lintasan hati kita untuk membuat kebaikan belum dikira mendapat pahala disisi Allah SAW. selagi kita tak merancang dan berazam dengan sungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Hadis diatas menjelaskan keazaman seseorang yang ingin bersedekah sekiranya ditakdirkan memiliki harta seperti orang kaya tersebut.

Kedua sedekah dengan lisan :

 
Berzikir seperti tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.


Sabda Nabi SAW. yang bermaksud, "Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah dan setiap takbir adalah sedekah..."
(Hadis Riwayat Muslim)


Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud, "Perkataan yang baik adalah sedekah."
(Hadis Riwayat Bukhari)


Antara ucapan yang baik yang dianggap sebagai sedekah adalah memberi salam, mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, berlemah lembut sewaktu bercakap dan tidak menguris hati orang lain.


Ketiga sedekah dengan perbuatan :

 
1. Senyuman, sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Senyuman kepada saudaramu adalah sedekah."
 

2. Solat : Solat adalah sedekah untuk diri sendiri. Berjalan ke masjid juga merupakan sedekah.
 

3. Puasa sunat : Puasa sunat adalah sedekah untuk diri sendiri.
 

4. Tidak mampu menunaikan haji dan umrah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Barangsiap yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti pahala haji. Barangsiapa yang keluar untuk solat Duha dan tidak keluar melainkan hanya untuk itu, pahalanya seperti pahala umrah."
(Hadis Riwayat Abu Daud).
 

5. Manusia mempunyai sebanyak 360 sendi dan sedekahnya ialah solat Duha dua rekaat setiap hari.
 

6. Membuang atau mengalihkan sesuatu yang menghalangi jalan.
 

7. Membersihkan masjid dan menjaga kebersihannya.
 

8. Menolong insan yang memerlukan dan mendamaikan antara dua orang.
 

9. Memberi tumpang seseorang atau barang-barang dengan kenderaan.
 

10. Menunjukkan jalan kepada orang yang sesat serta membantu orang buta.
 

11. Memberi minum kepada sesama makhluk tidak kira samaada manusia atau binatang.
 

12. Memberi pinjaman wang atau menangguhkan bayaran balik pinjaman sekiranya orang yang meminjam tidak mampu  membayar dalam tempoh yang sepatutnya dilunaskan hutang tersebut.
 

13. Mengajarkan ilmu.
 

14. Menanam apa jua pokok atau tanaman, kemudian dimakan oleh makhluk Allah..

Oleh itu janganlah bertangguh-tangguh untuk bersedekah, walau pun dengan sumbangan seringgit, dengan niat yang baik,  dengan kata-kata yang baik dan senyuman kerana sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam dari melaksanakan amalan sedekah ini.


277.Soalan: Jika kita bersedekah dengan ikhlas adakah Allah SWT akan menggandakan sedekah kita?

Dengan sifat Pemurah dan Penyayang Allah SWT sesuatu amalan itu boleh digandakan sehingga 700 kali ganda.

Firman Allah SWT maksudnya : “Bandingan derma orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai itu pula mempunyai seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas rahmat kurnia-Nya, lagi Meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya. ”
(Surah al-Baqarah ayat 261)

Membelanjakan harta ke jalan Allah disimpulkan sebagai sebarang perbelanjaan yang disumbangkan mengikut jalan yang disuruh oleh Allah SWT samada memberi bantuan kepada orang-orang yang memerlukan, beri nafkah kepada anak dan isteri, menunaikan haji, mengeluarkan zakat dan sebagainya. Ini semua mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda sehingga mencapai 700 kali ganda.

278.Soalan: Apakah bacaan yang dibaca untuk memasuki rumah dan doa sebelum menjamah makanan?

 
Sabda Nabi SAW  yang bermaksud : "Apabila seseorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut Allah (membaca Bismillaah) di kala masuk dan di kala makan, maka berkata syaitan : "Tiadalah peluang aku bermalam dengan kamu dan tiadalah pada makanan malam kamu." Dan apabila seorang masuk ke rumahnya , maka dia tidak menyebut Allah di kala memasukinya, maka berkata syaitan : "Aku akan bermalam dengan kamu."

Seterusnya apabila dia tidak menyebut Allah di kala makan, maka syaitan akan berkata : "Aku akan dapat bermalam dan makan malam (bersama kamu; kongsi makan)"

(Hadis Riwayat Muslim)

Nabi SAW telah bersabda kepada seorang kanak-kanak yang makan di samping baginda maksudnya : "Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah.."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Nabi SAW, yang maksudnya : "Allaahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar. maksudnya : Ya Allah, berkahilah rezeki  yang Engkau rezekikan kepada kami, dan peliharalah kami dari seksa neraka." (Hadis Riwayat Ibnu As-Sunni)

Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah satu doa yang diajar oleh Nabi SAW. bila hendak makan: 'Allahumma barik lana fihi wa ath ighmna khairan minhu',  maksudnya: "Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada makanan ini dan kurniakanlah kepada kami makanan yang lebih baik daripadanya."

 279.Soalan: Apakah akibat yang akan diterima oleh seseorang yang bakhil terhadap harta tidak mahu membayar zakat dan sedekah?

Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a secara marfu’ yang bermaksud: “Sesiapa yang diberi harta oleh Allah SWT kemudian dia tidak mengeluarkan zakatnya, seekor ular jantan yang besar yang mempunyai dua buah sepit dijadikan untuknya. Ular itu menjad kalungnya pada hari kiamat, kemudia membawanya dengan kedua dua rahangnya (dua tulang yang menonjol di bawah dua telinga), seraya berkata, Aku hartamu, Aku harta simpananmu.” Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat 180 daripada surah Ali Imran yang difirmankan oleh Allah SWT:

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. bahkan ia adalah buruk bagi mereka. mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?" (Surah Ali-Imran, ayat 180)

280. Soalan.Apakah perkara yang perlu ada untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat?

 
Sabda Rasulullah SAW  yang bermaksud :“Ada empat perkara yang apabila diberikan kepada sesaorang sesungguhnya ia telah memperolehi kebaikan dunia dan akhirat.Iaitu :

1. Hati yang sentiasa bersyukur

2. Lisan yang sentiasa berzikir

3.Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah, dan

4.Isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda (suami)nya.”
 



No comments: