.بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup
sebagai seorang mukmin sentiasa dipertanggungjawabkan dengan tugas dan
amanah yang besar. Selain diamanahkan menjadi seorang suami dan ayah
untuk membimbing keluarganya, dia juga bertanggungjawab untuk memimpin
umat ini semoga tugas sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini dapat di
jalankan dengan sempurna.
Tugas
untuk memimpin umat ini bergerak di dalam Jemaah Islam di panggil
sebagai daie dan murabbi. Tugas sebagai daie dan murabbi bukanlah tugas
yang mudah dan boleh dibuat sambil lewa kerana kerana kesilapan kita
memimpin umat Islam dan berlaku penyelewengan akan mengakibatkan Islam
di fitnah dan menyebabkan orang akan lari daripada ajaran Islam maka
kita akan menanggung dosanya.
Tugas
untuk mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran adalah
tugas yang amat mulia kerana tugas ini adalah tugas para rasul yang
diutus oleh Allah S.W.T. Islam tidak akan tersebar luas apabila tugas
amar makruf nahi mungkar ini tidak dilaksanakan dan gejala kerosakan dan
kefasadan akan tersebar luas dan semakin parah bila umat Islam hanya
mementingkan diri sendiri dan tidak mahu pikul bersama tugas yang mulia
ini. Pasti bala Allah S.W.T akan turun ditempat itu jika tidak ada
usaha-usha yang berterusan mencegah kemungkaran dan mengajak kepada
kebaikan.
Ketahuilah,
bahawasanya amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar
(mencegah melakukan kejahatan) adalah puncak tertinggi dalam agama. Ia
merupakan suatu soal yang amat penting sekali, yang kerananya Allah
S.W.T. telah mengutuskan para Nabi sekalian.
Andaikata
tugas ini dilengahkan dan segala jentera amar makruf dan nahi mungkar
itu dicuaikan, sama ada dalam ilmu pengetahuan mahupun amalan, tentulah
kesesatan bermaharajalela dan kejahilan terus akan melanda setiap orang,
dan ketika itu negara akan menjadi rosak binasa manakala rakyatnya
menjadi kacau bilau.
Tugas
menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, iaitu menyuruh membuat
kebaikan dan melarang dari membuat kejahatan menjadi wajib, di kaji dari
beberapa ayat al-Quran al-Karim seperti berikut:
Allah
S.W.T. berfirman maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu
segolongan umat yang menyeru (manusia) kepada kebajikan menyuruh kepada
yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang yang
beruntung." (Surah Ali-Imran ayat 104)
Ayat
yang tersebut di atas jelas sekali menunjukkan kewajiban hukum amar
makruf dan nahi munkar. Sebab perkataan ' waltakun 'yang bermaksud
hendaklah ada, ini adalah suatu perintah, dan zahir sekali perintah itu
menunjukkan kewajiban perkara yang disuruh. Kemudian dalam ayat itu
diterangkan pula perkataan beruntung yang mana pencapaian tingkat itu
bergantung dengan melakukan perintah yang wajib tadi. Perhatikanlah
firmanNya: 'Wa Ulaika Humul Muflihuun' yang maksudnya: Merekalah orang
yang beruntung. Ternyata padanya bahwa tugas itu merupakan wajib fardu
Kifayah, bukannya fardu ‘Ain, yang mana bila sesuatu ummat atau golongan
menjalankan perintah atau tugas itu, maka gugurlah kefarduannya ke atas
manusia yang lain.
Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud :
“Dan
orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi
pemimpin kepada setengah yang lain; mereka menyuruh mengerjakan yang
baik dan melarang dari mengerjakan yang jahat dan mereka mendirikan
sembahyang.” (Surah at-Taubah: 71)
Allah
S.W.T. telah mensifatkan orang-orang yang beriman itu sebagai
orang-orang yang menyuruh mengerjakan kebaikan, maka dengan itu sesiapa
yang meninggalkan tugas menyuruh membuat yang baik itu terkeluarlah ia
daripada golongan orang-orang yang disifatkan oelh Allah Ta’ala dalam
ayat tersebut sebagai orang yang beriman:
Berfirman Allah lagi maksudnya :
"Telah
dilaknat orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa
putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu
melampau batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melakukan tindakan
mencegah mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu
mereka perbuat itu." (Surah al-Maaidah ayat 78-79)
Ayat
tersebut merupakan kemuncak ancaman dan kemurkaan dari Allah S.W.T.
kerana yang menyebabkan mereka ditimpa laknat itu ialah kerana mereka
meninggalkan nahi mungkar; iaitu mencegah orang dari melakukan
kejahatan.
Allah S.W.T. berfirman lagi maksudnya : “Kamu
sekalian adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk kepentingan
manusia, kamu menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan.”
(Surah ali-Imran ayat 110)
Ayat
tersebut menunjukkan bahwa tugas amar makruf dan nahi mungkar itu
paling utama sekali kerana Allah telah memberi kepujian kepada orang
yang menjalankan tugas ini, sebagai sebaik-baik ummat di atas muka bumi
ini.
Allah
S.W.T. berfirman yang maksudnya : “Dan tolong-menolong kamu atas
kebajikan dan takwa dan janganlah kamu tolong-menolong atas dosa dan
permusuhan.” (Surah al-Maidah ayat 2)
Perintah
ini adalah suatu kemestian dan maksud tolong-menolong itu ialah
mengajak melakukannya dan mempermudahkan jalan kepada melakukan
kebajikan serta menutup jalan-jalan yang boleh menyampaikannya kepada
kejahatan, dan permusuhan sekadar kemampuan.
Adapun
terdapat riwayat daripada hadis yang memberitakan tentang amar makruf
dan nahi munkar ialah apa yang diriwayatkan dari Abu Bakar as-Siddiq
r.a. dari Rasulullah S.A.W. sabdanya maksudnya :
“Tiada
ada suatu kaum pun yang melakukan maksiat-maksiat, sedang dalam
kalangan kaum itu ada orang yang mampu mencegah mereka dari perbuatannya
itu tetapi ia tiada berbuat, tiadakah ia merasa bimbang bahwa Allah
hampir-hampir akan menimpakan seksaNya atas mereka sekalian.”
Dalam
dalil-dalil yang tersebut di atas, nyatalah bahwa tugas amar makruf dan
nahi mungkar itu menjadi seperkara yang wajib, dan kewajibannya pula
tiada terluput sama sekali, selagi ada kemampuan untuk melaksanakannya,
kecuali jika sudah ada orang lain yang memenuhi tugas itu.
Sahabat yang dimuliakan,
Orang
mukimin yang dipilih menjadi para daie atau pendakwah hendaklah
menjalankan tugas menyuruh berbuat baik dan melarang dari berbuat jahat
mempunyai tiga tata-cara atau adab yang penting menghiasi akhlaknya.
Perkara tersebut adalah seperti berikut :
(1) Berilmu
(2) Warak
(3) Berbudi pekerti baik
Berilmu
maksudnya: Patutlah ia mengetahui letak duduknya perkara-perkara yang
hendak disuruh atau dilarang, supaya ia tiada terkeluar dari had dan
batasan syariat Islam.
Warak
maksudnya: Mencegah seseorang dari melakukan kemungkaran itu saja, dan
jangan ia sekali-kali melampaui batas yang diizinkan oleh syariat dalam
tugas ini, disebabkan oleh tujuan-tujuan yang lain. Hendaklah
kata-katanya itu masuk akal, dapat diterima oleh orang itu. Kalau tidak
tentulah ia akan dijadikan bahan ejekan dalam menjalankan tugas menyuruh
atau melarang ini. Kelak orang itu akan menunjukkan sikap berani
terhadapnya.
Adapun
berbudi pekerti baik pula, seberapa boleh biarlah ia bersikap
lemah-lembut dan berbalas kasihan kepada sesiapa pun, sebab ia merupakan
pokok bab ini dan tujuan asalnya. Berilmu dan berwarak saja tidak
mencukupi, kerana bila kemarahan menguasai diri tiada memadailah untuk
menahannya hanya dengan berilmu dan berwarak semata-mata, melainkan jika
ada pada tabiat kita sifat berbudi pekerti baik yang akan melenyapkan
perasaan marah dan tidak sabar itu.
Dengan
terkumpulnya ketiga-tiga sifat ini pada diri seseorang maka akan
sempurnalah maksud untuk membimbing dan terkiralah ia salah satu cara
mendekatkan diri kepada Allah. Dengan itu sajalah akan tertolaknya
kemungkaran, dan tanpanya tentu sekali kemungkaran itu tidak dapat
dihapuskan.
Sekali
peristiwa pernah Khalifah al-Makmun diberi nasihat oleh seorang dan
orang itu menggunakan ucapan-ucapan yang kasar dan keras. Maka berkata
Khalifah al-Makmun kepadanya : "Wahai manusia! Berkata lunaklah!
Sebenarnya Allah telah mengutus orang lebih mulia daripadamu kepada
orang yang lebih hina dariku. Dalam menggalakkan hakikat lemah-lembut
dan lunak kata-kata, Allah telah berfirman:
“Maka
katalah (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun dengan kata-kata yang
lemah-lembut semoga ia akan ingat atau takut.” (Surah Taha ayat 44)
Orang
yang mahu membimbing orang lain, patutlah ia meniru sikap lunak dan
lemah-lembut kerana para Anbia sentiasa mengunakan pendekatan yang lemah
lembut untuk mengajak manusia beriman kepada Allah S.W.T. dan
meninggalkan kemugkaran yang dilakukannya.
Sahabat yang dihormati,
Untuk
menjadi para daie atau pendakwah bukan semestinya kita perlu memiliki
ilmu yang tinggi seperti para ulama, tetapi sebenarnya kita semua adalah
para pendakwah kerana Nabi S.A.W ada bersabda maksudnya : "Sampaikanlah
daripadaku satu ayat." Oleh itu kita wajib sampaikan Islam ini kepada
isteri, anak-anak, jira tetangga, kawan-kawan pejabat, saudara mara ,
sahabat handai dan sesiapa saja orang yang kita kenal atau pun tidak.
Jika
ada kenalan kita orang yang bukan Islam perlu juga kita sampaikan
tentang kebaikan Islam semoga terbuka pintu hatinya untuk menerima
Islam. Kalau ada bahan-bahan tarbiah yang ringkas mengenai kebaikan
Islam hulurkanlah kepada mereka supaya mereka dapat membacanya dan cuba
mendekati dengan ajaran Islam.
Biasakanlah
diri kita memberi nasihat yang baik dan cegahlah kemungkaran yang kita
lihat berlaku dihadapan mata. Jika kita sampaikan dakwah atau ilmu Islam
ini kepada mereka dan mereka amalkan ilmu tersebut kita akan mendapat
ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T. Sekiranya mereka tak
terima atau tidak amalkan kita tetap mendapat pahala kerana kita telah
berusaha memberi nasihat yang baik . Ingatlah hidayah itu milik Allah
S.W.T. dan Dia akan beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Dalam
suatu hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Tolongilah saudara
kamu samada dia menzalimi atau di zalimi." Lalu seorang lelaki bertanya
: "Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia di zalimi. Apa pula
pendapatmu jika dia yang menzalimi, bagaimana aku menolongnya?" Lalu
Rasulullah S.A.W. menjawab: "Engkau hendaklah menegahnya daripada
melakukan kezaliman itu, maka itulah cara menolongnya". (Hadis sohih
riwayat Imam Bukhari daripada Anas. Sila lihat Nuzhatul Muttaqin, Syarah
Riyadus Solihin, jilid 1, m/s 206. )
Berpandukan
hadis ini, maka kita diseru supaya sentiasa menolong, samada orang yang
menzalimi atapun yang di zalimi dengan syarat pertolongan itu akan
membawa kepada maslahah ataupun kebaikan kepada kita, agama dan juga
kepada saudara seagama kita. Maka cara menolong orang yang di zalimi
adalah dengan menyekatnya daripada melakukan kezaliman tersebut atau pun
menasihatkannya dengan baik. Dan perlu kita faham bahawa kezaliman
adalah setiap perkara yang dianggap dosa dan mungkar oleh agama.
Hubungan
kekuatan iman dalam kalbu mukmin terukur pada sejauh mana kemauan dan
kemampuannya dalam amar makruf nahi mungkar. Sabda Nabi S.A.W maksudnya :
“Barangsiapa
melihat kemungkaran, harus mengubahnya dengan tangannya, jika tidak
mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan
hatinya. Dan itu adalah selemah lemah iman”. (Hadis Riwayat Muslim)
Sahabat yang dikasihi,
Oleh
itu marilah kita besama-sama memikul tugas amar makruf nahi mungkar dan
sentiasa istiqamah dengan tugas ini kerana di hari akhirat pasti kita
akan ditanya oleh Allah S.W.T. adakah kita telah melaksanakan tugas ini
dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh?. Jika jawapannya kita telah
melaksanakan ketika di dunia maka kita akan terselamat daripada azab
yang pedih kerana satu kesalahan besar jika kita tinggalkan suruhan
Allah S.W.T. ini, dan amalan-amalan kita yang lain akan dihitung dengan
cara yang mudah kerana pahala menjalankan tugas ini lebih berat daripada
amalan sunat kita.
No comments:
Post a Comment