Saturday, June 1, 2013

Soal Jawab Agama Siri 20 (Masaalah Remaja, Hukum Bernazar, Hukum Bersumpah, Solat Witir Dan Lain-lain Lagi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

.بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Agama Siri 20 menjawab persoalan mengenai masaalah remaja, hukum bernazar, hukum bersumpah, solat Witir, hukum bunuh diri, hukum faraid, pengawal peribadi, jampi dan rukyah, riba dan berkhitan bagi wanita.

381. Soalan : Mengapa remaja zaman sekarang banyak melakukan perbuatan yang berdosa dan berani meninggalkan perintah Allah SWT?


Pertama : Remaja tidak di didik dengan sempurna asas iman dan akidah tauhid. Kesan daripasa tertinggalnya asas penting menyebabkan mereka tidak memiliki kesedaran rohaniah yang meyakini bahawa Allah SWT itu Maha Perkasa dan Maha Mengetahui. Konsep berTuhan hanya sekadar percaya. Percaya yang tidak ditunjangi oleh ilmu boleh berubah-ubah dan kadang-kadang berada dalam kesamaran. Kesamaran boleh menyebabkan remaja ragu-ragu. Ragu-ragu dalam keyakinan dan pendirian boleh menyebabkan perlanggaran perintah Allah SWT dan meninggalkan suruhan-Nya. Perlanggaran dalam amal dan perbuatan boleh menyebabkan dosa.

Kedua : Remaja tidak dititipkan ilmu-ilmu yang berguna dan bermanfaat dan tidak mempunyai kesempatan yang berkesan untuk melalui proses tarbiah dan hadir dalam persekitaran yang membantu ke arah pembentukan akhlak yang baik. Akibatnya remaja tidak memiliki perasaan peka nilai. Ia menyebabkan remaja tidak menjadikan nilai-nilai murni sebagai jalan hidup keremajaan sebaliknya menjadikan naluri dan nafsu sebagai jalur memenuhi niat dan hajat

Kesilapan yang dilakukan oleh remaja tidak bermakna itulah akhirnya hidup. Dalam sejarah sahabat-sahabat Nabi SAW baik di Mekah mahupun di Madinah, ramai yang melakukan pelbagai dosa kecil dan besar tetapi apabila keinsafan timbul, hidayah diberikan dan kembali kepada diri yang fitrah bertukar menjadi pejuang-pejuang di barisan depan Islam. Saidina Omar, sebagai contoh, pada zaman jahiliahnya melakukan pembunuhan anak perempuan tetapi bila mendengar ayat-ayat Allah digemakan, timbul keinsafan yang amat mendalam untuk kembali kepada fitrah. Dan apabila menerima akidah tauhid, beliau menjadi benteng utama perjuangan Islam yang amat digeruni oleh musuh.

382. Soalan : Dalam hidup saya, pernah beberapa kali saya bernazar untuk melakukan sesuatu apabila beroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Bolehkah ustaz jelaskan, apakah hukum sumpah dan nazar yang sebenarnya?
 

Pada asalnya, hukum bersumpah adalah makruh. Namun, ia boleh berubah menjadi sunat bahkan wajib apabila ada hajat yang mendesak seperti membela hak di mahkamah dan lain-lain.

Haram : apabila bersumpah untuk melakukan perkara yang haram, atau meninggalkan yang wajib atau bersumpah dusta ke atas sesuatu.

Wajib : apabila tiada jalan selain bersumpah untuk memberi pengajaran kepada orang yang zalim dan untuk menegakkan kebenaran.


Sunat : sekiranya bersumpah itu menjadi wasilah ke atas orang-orang yang mendengar, dan menjadi penyebab mereka membenarkan sesuatu peringatan dan sebagai nasihat ke atas mereka.

Harus : sekiranya bersumpah untuk melakukan perkara ketaatan, serta menjauhi perkara maksiat, atau untuk mendorong melakukan ke arah kebenaran atau untuk memberi peringatan.

Adapun bernazar adalah satu bentuk ibadah dalam mazhab Syafie.  Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Imran bin Hushain r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh melaksanakan nazar dalam perkara maksiat, dan tidak juga dalam perkara yang tidak dimiliki oleh seorang hamba.”

Dan menurut hadis riwayat Ibnu Hujr: “Tidak boleh bernazar dalam perkara maksiat kepada Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)

383.Soalan : Ustaz, saya ada seorang kawan yang selalu bersumpah dengan nama Allah untuk membuktikan bahawa dia tidak berbohong kepada saya. Apakah hukumnya perbuatan tersebut?
 

Tidak dapat disangkal lagi bahawa banyak bersumpah akan mengakibatkan boleh mempersendakan terhadap kedudukan Rabb, Asma` dan Sifat-Nya, sebab  orang yang bersumpah ini telah mengagungkan-Nya terhadap urusannya tersebut. Maka, bilamana dia berdusta, itu ertinya dia telah mempersendakan Asma` Allah dan tidak lagi memuliakan-Nya. Tentunya, hal ini menafikan kesempurnaan tauhid.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

مَنْ كَانَ حَالِفًا فَلْيَحْلِفْ بِاللَّهِ أَوْ لِيَصْمُتْ.

Maksudnya : "Sesiapa yang ingin bersumpah, maka bersumpahlah atas nama Allah atau (jika tidak) maka diamlah." (Hadis Sahih Riwayat Bukhari  dalam Shahihnya, hadis no: 2679 (Kitab al-Syahadat, Bab bagaimana cara bersumpah).

Jika seseorang bersumpah dengan sesuatu selain Allah, nama-nama Allah atau sifat-sifat Allah, sumpahnya bukan sahaja tidak sah tetapi dia telah menyekutukan Allah. Ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampuni oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala jika orang itu tidak bertaubat. Hadis berikut menjadi rujukan:

سَمِعَ ابْنُ عُمَرَ رَجُلاً يَحْلِفُ: لاَ وَالْكَعْبَةِ! فَقَالَ لَهُ ابْنُ عُمَرَ: إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ أَشْرَكَ.
 

Ibn ‘Umar (radhiallahu 'anhuma) mendengar seorang lelaki bersumpah: “Tidak, demi Ka’bah!” Lalu Ibn ‘Umar berkata kepadanya: “Aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: “Sesiapa yang bersumpah dengan selain Allah, maka dia telah berbuat syirik.”(Hadis Sahih Riwayat Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albbani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3251.)

Demikian pula terdapat ancaman terhadap perbuatan banyak bersumpah tersebut, seperti sabda baginda SAW maksudnya : “Tiga orang yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat, Allah tidak akan melihat mereka tidak juga mensucikan mereka dan bagi mereka adzab yang pedih.” Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda demikian tiga kali. Abu Dzarr berkata, “Merugi sekali, siapa mereka wahai Rasulullah ?” Baginda bersabda, “Musbil (orang yang memakai kain melebihi mata kakinya), dan orang yang selalu mengungkit pemberiannya, dan orang yang melariskan dagangannya dengan sumpah palsu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Maka orang yang ingin bersumpah hendaklah menyebut “Wallahi”, “Billahi” atau “Tallahi” yang semuanya bermaksud “Demi Allah.”

·   Sumpah dengan salah satu dari nama-nama Allah.
·   Sumpah dengan salah satu sifat Allah.

Jika seseorang bersumpah dengan sesuatu selain Allah, nama-nama Allah atau sifat-sifat Allah, sumpahnya bukan sahaja tidak sah tetapi dia telah menyekutukan Allah. Ini adalah dosa syirik yang tidak akan diampuni oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala jika orang itu tidak bertaubat.

384.Setiap kali saya bernazar, saya pasti sisipkan kalimat “insyaAllah” kerana bimbang nazar saya itu tidak dapat saya tunaikan.  Adakah bernazar dengan menyebut “Insya-Allah” tidak dikira nazar?

Tidak dinafikan ramai ulama berpendapat bahawa apabila nazar dengan menyebut “Insya-Allah” tidak dikira sebagai nazar. Maka tidak wajib di tunaikannya dan tiada kafarah jika melanggarnya. Namun ada juga pendapat bahawa hukum kes nazar sebegini bergantung kepada tujuan lafaz “Insya-Allah” itu dituturkan.

Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang bersumpah dengan berkata “Insya-Allah” maka tiada kafarah ke atasnya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Namun kalau memang benar-benar berniat nazar tetapi mengucapkan “Insya-Allah” kerana sudah terbiasa menyebutnya maka ia tetap dikira nazar.

Sumpah dengan ucapan insya-Allah, sumpah ini tidak sah berdasarkan hadis berikut: “Sesiapa yang bersumpah lalu dia membuat pengecualian (dengan menyebut insya-Allah), maka jika dia menghendaki dia boleh menarik balik (sumpahnya itu) dan jika dia menghendaki dia boleh mengabaikan (sumpahnya itu) kerana ia bukanlah satu pelanggaran sumpah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

385.Soalan : Apabila seseorang itu bernazar, maka wajib baginya untuk melaksanakannya. Walau bagaimanapun, ada juga orang yang terlebih dahulu meninggal dunia sebelum sempat dia memenuhi nazarnya. Adakah nazar itu menjadi batal atau perlu ditunaikan oleh waris?

Semua nazar itu mestilah ditunaikan oleh wali atau para warisnya yang ada. Diriwayatkan bahawa seoarang wanita bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ibuku telah meninggal dunia, namun dia meniggal dunia sebelum sempat memenuhi nazar puasanya” Rasulullah SAW menjawab “hendaklah walinya melakukan puasa tersebut.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

386. Soalan : Apakah yang dimaksudkan dengan nazar dan saya pernah bernazar untuk berpuasa suatu ketika dahulu, namun akibat terlalu sibuk dengan urusan kerja, saya terlupa bilangan hari puasa yang telah saya nazarkan.  Apakah yang perlu saya lakukan agar saya dapat menebus semula nazar saya itu?

Nazar maksudnya, anda mewajibkan atas diri sendiri untuk melakukan sesuatu ibadah untuk Allah SWT yang asal hukumnya tidak wajib. (Mughni muhtaj, jld:4,hlm:354).

Sesuatu nazar yang berbentuk ibadah yang asalnya sunat akan menjadi wajib dengan bernazar untuk melakukannya. Contohnya, anda bernazar untuk puasa hari Isnin dan hari Khamis selama sebulan jika mendapat kerja. Sedangkan hukum asal Isnin dan Khamis adalah sunat, namun dengan bernazar berubah menjadi wajib apabila apa yang anda hajatkan berhasil.

Nas al-Quran yang bermaksud: "Kemudian, hendaklah mereka menghilangkan kotoran (yang ada dibadan) mereka, menyempurnakan nazar-nazar mereka dan melakukan tawaf sekeliling rumah tua (Baitullah) (Surah al-Hajj ayat 29).

Berdasarkan kepada ayat ini jelaslah bahawa menunaikan atau menebus nazar adalah wajib.

Firman Allah SWT maksudnya : "Mereka memenuhi nazar dan takut akan sesuatu hari yang azabnya merata di mana-mana." (Surah al-Insan ayat 7)

Apabila seseorang itu telah bernazar maka wajib ke atasnya melaksanakannya tanpa bertangguh apabila hajatnya dikabulkan oleh Allah SWT. Maka nazar adalah hutangnya kepada Allah SWT yang telah berjanji menunaikan sesuatu ibadat seperti mana yang dinazarkan. Maka pada dasarnya janji itu wajib ditepati tanpa bertangguh bila mampu berbuat demikian.

Adapun amalan yang perlu dilakukan oleh seseorang berpandukan suruhan Allah SWT dalam al-Quran apabila gagal menunaikan nazarnya kepada Allah SWT, firman-Nya yang bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.(Surah al-Maidah ayat 89).

Maka berpandukan kepada ayat di atas jelas bahawa kafarah (penebus) bagi nazar adalah seperti berikut:

1- Memberi makan 10 orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluarga kamu.

2- Memberi pakaian kepada 10 orang miskin

3- Memerdekakan seorang hamba

4- Mereka yang tidak mampu melakukan ketiga-tiga perkara di atas bolehlah berpuasa selama tiga hari.

Adapun makan kepada sepuluh orang daripada makanan yang biasa kita makan atau makanan biasa sesebuah keluarga. Kebiasaannya memberi orang makan mestilah hidangannya sempurna, misalnya di negara kita sesuatu hidangan mesti dilengkapi dengan nasi, lauk dan sayur. Maksudnya hidangan yang lengkap dan mengenyangkan.

Jika tidak mampu memberi makan orang miskin maka sediakan pula 10 pakaian kepada orang miskin. Jika masih tidak mampu maka memerdekakan seorang hamba (di zaman kita hamba sudah tidak ada lagi) jika tidak dapat memerdekakan hamba maka jatuh cara ke empat pula iaitu berpuasa 3 hari. Tidak boleh terus berpuasa 3 hari tanpa dicuba dahulu syarat pertama, kedua dan ketiga.

Justeru, setiap ibadah yang dilakukan kepada Allah SWT mestilah ikhlas dan jujur. Apa sahaja amalan yang dilakukan mestilah dibuat dengan sebaik mungkin dengan harapan ia diterima Allah SWT, jangan melakukan sesuatu ibadat seperti ” melepaskan batuk di tangga”, natijahnya Allah SWT tidak akan terima.

Oleh yang demikian, bagi mereka yang bernazar hendaklah menunaikan nazar mereka dan bagi mereka yang terlepas pandang atau terlupa maka hendaklah ditebus nazar itu dengan melakukan salah satu dari kaffarah yang dinyatakan dalam surah al-Maidah ayat 89 di atas.

390. Soalan : Bolehkah makan daripada perkara yang dinazarkan?

Tidak boleh makan daripada perkara yang dinazarkan kerana nazar telah menjadi hak orang lain seperti yang dinazaarkan. Contoh bernazar untuk membuat kenduri di masjid maka orang yang bernazar serahkan sepenuhnya urusan kenduri kepada Jawatankuasa masjid dengan memberikan semua perbelanjaan untuk kenduri tersebut.

391.Saya berasa sangsi sama ada boleh atau tidak sekiranya saya melakukan puasa sunat terlebih dahulu, sedangkan pada ketika itu saya telah bernazar untuk berpuasa. Adakah saya perlu mendahulukan puasa nazar sebelum berpuasa sunat?
 

Utamakanlah puasa wajib terlebih dahulu (puasa nazar) daripada melakukan puasa sunat misalnya puasa hari Isnin dan Khamis kecuali puasa sunat tertentu yang akan terlepas waktunya jika tidak dilakukan (seperti Puasa Hari Arafah, Puasa Asyura dan puasa 6 hari bulan Syahwal) kerana puasa nazar boleh dilakukan bila-bila masa sedangkan puasa sunat khusus waktu tertentu tidak boleh dilakukan pada waktu biasa yang lain.

387.Soalan : Adakah muntah bayi dikira najis?

Air kencing dan muntah bayi lelaki dikira najis. Muntah bayi Hukumnya najis mutawassitah. Kena basuh seperti najis pertengahan yang lain iaitu hilang ketiga-tiga benda rasa, bau dan warna. Akan tetapi dimaafkan kepada ibu yang menyusu apabila terkena payudaranya.Tidak perlu kepada penyucian seperti biasa kerana ianya menjadi rukhsah kepada ibu.

388. Soalan : Salah satu cara untuk mempertingkatkan amalan kita sebagai seorang muslim adalah dengan melakukan solat-solat sunat. Satu daripadanya adalah solat Witir. Apakah hukum sebenar bagi solat Witir kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya?

Menurut Imam Abu Hanifah solat Witir adalah wajib tetapi dalam Mazhab Shafie solat Witir adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat di tuntut.

Solat Sunat Witir merupakan sunat muakkad yang amat penting dan digalakkan melakukannya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa melakukan solat Witir dan solat sunat Fajar, baik ketika baginda bermukim ataupun ketika bermusafir.
 

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah SWT. menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu solat Witir.”  (Hadis Riwayat al-Tirmidzi dan al-Hakim)

389. Soalan : Baru-baru ini, berlaku kejadian orang membunuh diri di kawasan tempat tinggal saya dan pelakunya adalah beragama Islam. Sebelum ini saya belum pernah menyaksikan pengurusan jenazah orang yang mati bunuh diri. Hal tersebut membuat saya tertanya-tanya, Bagaimanakah cara yang sepatutnya bagi menguruskan jenazah tersebut?

Dari Jabir bin Samarah (dia berkata): Sesungguhnya Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah diberitahukan bahwasanya ada seorang laki-laki telah membunuh dirinya, maka baginda bersabda :“Kalau begitu, saya tidak akan mensolatkannya.”
(Hadis Shahih. Telah dikeluarkan oleh Ahmad (5/87, 91, 92, 102, &; 107), Muslim (no:978), Abu Dawud (no:3185), Tirmidziy (no:1068), Ibnu Majah (no:1526) dan Abdullah bin Ahmad di musnad bapaknya (5/94, 96 & 97) dan yang selain mereka.

Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa bunuh diri dengan besi maka di neraka Jahanam nanti besi itu selalu mendatanginya, ia menusuk-nusuknya keperutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka Jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung maka dineraka Jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya." (Hadis Riwayat Muslim no. 109)

Disebut dalam kitab-kitab fiqah, pengurusan jenazah orang bunuh diri tidak digalakkan dilakukan beramai-ramai. Mayat itu tetap wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan, dan dikebumikan. Nabi dan para sahabat besar tidak akan datang menziarahi mayat-mayat yang membunuh diri seperti ini. Hanya beberapa orang sahaja yang terlibat sekadar untuk menunaikan tuntutan fardu kifayah.

390. Soalan : Seorang lelaki meninggal dunia dengan meninggalkan seorang isteri dan 4 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan.( 2 orang anak lelaki daripada isterinya yang pertama dan 2 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan dengan isterinya kedua). Ibu dan bapa simati telah lama meninggal dunia. Harta peninggalan simati berjumlah RM 5000.00, si mati juga mempunyai anak tiri perempuan seorang bersama isterinya yang pertama. Bagaimana cara pembahagian mengikut hukum faraid?
 

Nisbah kepada si mati, maka anak -anaknya adalah sama, sama ada daripada isteri pertama atau yang kedua, dan yang dikira sebagai anaknya itu ialah anak kandung hasil daripada perkahwinan yang sah. Dalam hal ini tidak termasuk anak tiri perempuan (anak perempuan daripada isterinya yang pertama).

Yang membezakan mereka hanyalah daripada lelaki dan perempuan dalam pandangan ilmu faraid, di mana pihak lelaki mendapat kadar dua bahagian daripada bahagian perempuan. Dalam kes seperti ini si isteri mendapat 1/8 daripada harta peninggalan suamiya. Jadi mengikut hukum faraid harta berkenaan tidak boleh dibahagi-bahagikan kepada anak tiri perempuan daripada isteri pertama si mati. Pembahagian harta waris yang berjumlah RM 5,000.00  itu adalah seperti berikut:

Seorang isteri mendapat -1/8, 4 orang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan(termasuk anak-anak daripada isteri pertama dan kedua) akan mendapat bahagian daripada baki selepas ditolak bahagian isteri simati. ('ashabah).

Pengertian 'ashabah ialah: "Baki daripada yang 1/8 mereka bahagi-bahagikan bersama dengan mengambil kira bahawa bahagian seorang lelaki sama seperti bahagian dua orang perempuan, ia disebut di dalam al-Quran dengan perkataan: للذكر مثل حظ الأنثيين
 

Huraiannya :

Hartanya : RM 5,000.00
Isteri mendapat 1/8 bahagian : RM 625.00
Baki : RM 5000.00 - 625.00 = RM 4375.00
RM 4375 dibahagi kepada 10 bahagian = RM 437.00
2 orang anak perempuan = RM 437.50 x 2 orang = RM 875.00
4 orang anak lelaki = RM 875.00 x 4 orang = RM 3,500.00

391. Soalan : Seorang lelaki meninggal dunia tidak meninggalkan anak, yang ditinggalkan adalah  seorang isteri, ibu kandung dan 3 adik perempuan dan 1  adik lelaki. Harta yang ditinggalkan adalah berjumlah rm 100,000.00. Bagaimanakah cara pembahagian mengikut hukum faraid?
Dalam hukum faraid jika seorang lelaki meninggal dunia maka harta pusaka dibahagikan kepada bahagian : isteri akan mendapat 1/4 bahagian, ibu akan mendapat 1/6 bahagian, adik perempuan dan adik lelaki akan mendapat 1/3 bahagian (adik lelaki dan perempuan dibahagikan sama banyak)

Huraiannya :

Hartanya : RM 100,000.00
Isteri mendapat 1/4 bahagian = RM 25,000.00
Ibu mendapat 1/6 bahagian =  RM 33,333.33
Adik perempuan (3 org) dan lelaki (1org) mendapat 1/3 bahagian = RM 41,666.67
Pembahagian untuk adik-adik perempuan dan lelaki dibahagikan sama banyak oleh itu
RM 41,666.67 dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu RM 10,416.66 (bahagian setiap orang).

392. Soalan : Saya ingin bertanya tentang pembahagiaan harta pusaka. Si mati mempunyai harta bernilai RM 100,000.00 beliau mempunyai 2 orang isteri. Isteri pertama tidak mempunyai zuriat kandung dan dia telah mengambil 2 orang anak angkat yang ber "bin" serta ber "binti" kan si mati. Manakala isteri kedua si mati mempunyai 5 orang anak kandung lelaki. Mengikut hukum faraid, isteri akan mendapat bahagian tersendiri, tetapi masalahnya isteri kedua merupakan warga asing yang hanya mempunyai visa dan tidak mempunyai mykad. Adakah isteri kedua si mati boleh menuntut harta peninggalan suaminya mengikut bahagian yang telah ditetapkan mengikut faraid? Dan adakah anak-anak angkat yang ber "bin/binti" si mati boleh menerima harta peningalan si mati? Adakah isteri pertama boleh menuntut harta sepencarian dari harta peninggalan suami? Sekian, saya dahului dengan ribuan terima kasih.
 

1) Harta sepencarian layak diperolehi oleh isteri melihat kepada sejauhmana sumbangannya terhadap harta perolehan suami. Dalam hal ini tidak ada beza antara isteri pertama dan isteri kedua. Jika isteri pertama berhak menuntut harta sepencarian, maka isteri kedua juga berhak menuntutnya, namun hendaklah dibuktikan sumbangan dan peranan masing-masing. Biasanya, proses tuntutan harta sepencarian dibuat melalui Mahkamah Syariah.

2) Anak angkat tidak berhak memperolehi harta peninggalan si mati kecuali jika si mati ada meninggalkan wasiat untuk mereka sebelum ia mati (wasiat tersebut tidak boleh melebihi 1/3 bahagian). Anak angkat tidak boleh dimasukkan ke dalam senarai ahli-ahli waris kerana ia bercanggah dengan ketetapan syariat. Sekalipun ia berbin atau berbintikan kepada si mati, namun dari segi syarak ia tetap bukan anak kandung dan tidak berhak mewarisi harta si mati. Malah perbuatan membin atau membintikan seseorang kepada bukan bapanya merupakan dosa besar dalam Islam. Di dalam surah al-Ahzab, Allah berfirman yang bermaksud : “..Dan Dia juga (yakni Allah) tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja...." (Surah al-Ahzab ayat 4).

Dia berfirman lagi; "....Panggil lah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri. Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah..." 

(Surah ai-Ahzab ayat 5).

3) Orang yang telah disenaraikan oleh syarak sebagai ahli waris tidak ada sesiapapun boleh menafikan haknya untuk mewarisi harta si mati. Walaupun isteri kedua simati warga asing, kedudukan beliau sebagai isteri si mati tetap diiktiraf oleh syarak kerana syarak tidak menilai berdasarkan jenis bangsa atau tempat tinggal, tetapi menilai berdasarkan hak dan hukum. Oleh demikian, bahagian untuk isteri iaitu 1/8 hendaklah dibahagi sama-rata oleh kedua-dua isteri si mati. Baki daripada harta simati hendaklah dibahagikan kepada 5 orang anak simati. 5 anak lelaki simati akan mendapat pembahagian sama banyak setelah ditolak 1/8 untuk isteri-isterinya.

Huraiannya :

Harta si mati  : RM 100,000.00
Isteri mendapat  1/8 bahagian : RM 12500.00 (setiap isteri mendapat bahagian RM 6250.00)
Baki wang tersebut dibahagikan kepada anak-anak lelaki :
RM100,000.00 - RM 12,500.00 = RM 87,500.00
RM 87500.00 akan dibahagikan sama banyak dengan 5 orang anak lelaki.
Oleh itu setiap anak lelaki mendapat  RM 17,500.00

393. Soalan : Pada zaman moden kini, sudah banyak orang Islam yang berpangkat tinggi menggunakan khidmat pegawai peribadi lantaran kesibukannya menggalas tanggungjawab yang besar dalam syarikatnya. Apakah hukum menggunakan khidmat pegawai peribadi menurut Islam?

Islam mengharuskan khidmat pegawai peribadi kerana ia termasuk dalam lingkungan usaha ikhtiar untuk menyelamatkan  diri dari sebarang bencana. Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, Siti Aishah pernah menceritakan bahawa pada suatu malam baginda terjaga kerana tidak dapat tidur. Baginda bersabda: “Alangkah elok sekiranya ada lelaki soleh dari kalangan sahabatku yang dapat menjagaku pada malam ini”.

Tiba-tiba terdengar bunyi suara senjata dari luar rumah. Rasulullah S.A.W. bertanya: “Siapakah diluar sana?” lelaki tersebut menjawab: “Aku adalah Sa’ad Ibn Abi Waqqas. Aku datang untuk menjaga keselamatan tuan.”

Selepas itu Rasulullah tidur sehingga kedengaran bunyi dengkurnya.

394. Soalan : Sejak dahulu lagi kita telah didedahkan dengan seni perubatan tradisional yang menggunakan berbagai-bagai kaedah tertentu. Ada yang menggunakan ayat suci al-Quran, juga ada yang menggunakan jampi serapah. Persoalannya, bolehkah seseorang yang menghidapi penyakit ganjil berubat dengan kaedah jampi?

Menjampi atau rukyah hukumnya harus untuk setiap penyakit. Ulama bersepakat kebolehannya sekiranya memenuhi tiga syarat berikut:

1. Dengan kalam Allah atau nama dan sifat-sifatNya.

2. Dengan bahasa Arab atau dengan bahasa lainnya yang diketahui maknanya.

3. Meyakini bahawa rukyah itu sendiri tidak memiliki pengaruh melainkan dengan takdir Allah.

395. Soalan : Saya mempunyai seorang rakan mualaf dan sering membantunya dalam hal-hal agama. Dia pernah memberitahu saya bahawa ibunya tidak merestuinya untuk menukar agama. Dari sudut Islam, derhakakah seseorang itu jika dia memeluk Islam tanpa restu Ibu bapanya?

Soal iman ialah satu perkara yang akan menentukan masa depan seseorang di akhirar nanti. Seseorang tidak dikira derhaka dalam soal memilih Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika keduanya (ibubapamu) memaksa supaya engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu (tuhan) yang tidak engkau ketahui, maka janganlah engkau ikut keduanya.” (Surah Luqman ayat 15)

396. Soalan : Apakah jenis-jenis riba yang haram dan minta penjelasan.


Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipunggut) jika kamu orang beriman. Jika kamu tidak melaksanakannya, maka umumkanlah perang dari Allah dan Rasul-Nya.." (Surah Al-Baqarah ayat 278-279 )

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam posisi peperangan dengan Allah SWT dan Rasul-Nya. 


Jenis-jenis Riba :

1. Riba Nasi'ah

Menurut Qatadah, riba al-nasi'ah adalah riba kaum jahiliyyah dimana seorang menjual sesuatu hingga tempoh waktu tertentu. Apabila tempoh waktu itu tamat sedangkan pembelinya belum mampu melunasi pembayarannya maka harganya dinaikkan dan tempohya dilanjutkan lagi.

Mujahid mengatakan bahawa pada zaman jahiliyyah ada orang yang mempunyai hutang kepada orang lain, lalu yang berhutang berkata kepada pemberi hutang, "Hutang saya akan saya bayar "sekian (lebih)" dengan syarat anda melanjutkan tempohnya kepada saya". Lalu orang itu melanjutkan waktunya.

2. Riba Fadhl

Riba ini terjadi apabila seseorang menjual sesuatu dengan sejenisnya dengan tambahan, seperti menjual emas dengan emas, mata wang dirham dengan dirham, gandum dengan gandum dan seterusnya.

Abu Said Al-Khudari berkata, "Rasulullah bersabda : "Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, korma dengan korma dan garam dengan garam dipertukarkan dengan sama, segenggam dengan segenggam. Siapa yang manambah atau minta tambah maka ia telah malakukan riba, baik yang meminta maupun yang memberi, dalam hal itu sama saja. Hadis Riwayat Al-Syaikhan.

Dari Abu Said Al-Khudari, katanya, "Bilal datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa kurma kualitas Barni. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya, "Dari mana kurma itu ?". Ia menjawab , "Kami punya kurma yang buruk lalu kami tukar beli dua liter dengan satu liter". Maka Rasulullah bersabda: "Masya Allah, itu juga adalah perbuatan riba. Jangan kau lakukan. Jika kamu mahu membeli, juallah dahulu kurmamu itu kemudian kamu beli kurma yang kamu inginkan". (Muttafaq 'alaih)

397. Soalan : Adakah wang hasil riba boleh digunakan untuk mengerjakan fardu haji dan apakah jenis seksaan di akhirat bagi sesiapa yang memakan riba ketika di dunia?

Berkata Ibnu Abbas r.a : “ Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya.” (Al-Jami’ li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 3/362 ; Az-Zawajir ‘An ‘Iqtiraf al-Kabair , ibid, 1/224).

Oleh itu berhati-hatilah kita dalam pembelian rumah dan kereta supaya tidak terlibat dengan sistem riba. Jika sudah terambil cara konvensional maka perlulah ditukarkan kepada pinjaman cara Islam samaada cara mudharabah atau yang lain-lain.

Pada hari kiamat, orang yang menggamalkan riba akan dibangkitkan dalam keadaan terhuyung hayang kerana Allah Subahanahu Wata'ala telah memberatkan dan membesarkan perut mereka akibat memakan benda yang haram di dunia. Oleh itu, mereka tidak dapat berdiri tetap melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan.

Perkara ini telah dijelaskan dalam firman Allah Subahanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 275 maksudnya : "Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung hayang kerana sentuhan syaitan itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berjual beli itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba..."

398. Soalan : Siapakah yang terlibat dengan riba?
 

Hadis yang diriwayatkan dari Jabir : Rasulullah SAW melaknat seorang yang mengambil riba, seorang yang memberikan (membayar) riba , seorang yang mencatatkan (merekodkan) transaksi tersebut dan dua orang saksi yang terlibat. Baginda bersabda : Mereka semuanya sama bersalah".(Hadis Riwayatr Muslim).

Pemakan Riba itu ada 4 golongan :

1. Mengambil riba

2 . Memberi riba.

3 . Menjadi penulis/pencatat

4. Saksi kepada transaksi riba.

Satu kenyataan yang sama oleh baginda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifa . Nabi SAW melaknat wanita yang membuat tatu dan seorang yang ditatu , dan seorang yang menggunakan riba dan seseorang yang memberikannya. Dan baginda melarang mengambil harga anjing dan wang yang diperolehi dari pelacuran (perzinaan) dan melaknat pembuat-pembuat gambar." (Hadis Riwayat Bukhari)

Nabi Muhammad telah mengishtiharkan bahawa di sana ada 70 jenis atau bentuk riba :
 

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) : "Riba mempunyai 70 bahagian, yang paling ringan (dosanya) adalah bersamaan dengan seorang lelaki mengahwini ibunya sendiri (yang mana ini adalah bahasa yang lembut yang digunakan nabi dalam menggambarkan perzinaan/kelakuan kelamin antara seorang lelaki dan ibunya sendiri). (Hadis Riwayat  Ibn Majah)

399. Soalan : Apakah hukum khitan bagi perempuan? Ada yang berpendapat ia nya tidak wajib, namun ada yang mengatakan ia wajib mengikut mazhab syafie. Terima kasih.

Untuk menjawab soalan ini para fuqaha berbeza pendapat mengenai hukum mengkhatan / khitan. Oleh itu terdapat tiga versi pendapat, sebagaimana dihuraikan oleh Syaikh Muhammad Mukhtar Asy-Syinqithi dalam kitabnya Ahkamul Jirahah Ath-Thibbiyah wa Al-Atsar al-Mutarabbatu ‘Alaiha, ms. 161-162. Ringkasnya seperti berikut :

Pertama, khitan hukumnya wajib atas lelaki dan perempuan


Ini pendapat ulama Syafi’iyah, Hanabilah, dan sebagian Malikiyah. (Imam Nawawi, Al-Majmu’, 1/300; Ibnu Muflih, Al-Mubdi’, 1/103; Ibnu Juzzai, Al-Qawanin Al-Fiqhiyah, ms.167)

Kedua, khitan hukumnya sunnah (tidak wajib) atas lelaki dan juga perempuan. 


Ini pendapat ulama Hanafiyah, Imam Malik, Imam Ahmad dalam satu riwayat, dan Imam Syaukani. (Imam Sarakhsi, Al-Mabsuth, 1/156; Ibnu Juzzai, Al-Qawanin Al-Fiqhiyah, ms.167; Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 1/85; Imam Syaukani, Nailul Authar, 1/294)

Ketiga, khitan wajib atas lelaki, tapi sunnah (tidak wajib) atas perempuan. 


Ini pendapat Imam Ahmad dalam riwayat lain, sebahagian ulama Malikiyah dan ulama Zhahiriyah. (Ibnu Muflih, Al-Mubdi’, 1/104; An-Nafrawi, Al-Fawakih Ad-Dawani, 1/461, Ibnu Hazm, Al-Muhalla, 2/217).

Mengenai pensyariatan khitan perempuan, dalilnya antara lain, Nabi SAW pernah bersabda kepada para perempuan Anshar, “Hai para perempuan Anshar…hendaklah kamu berkhitan dan janganlah kamu berlebihan dalam memotong.” (Hadis Riwayat Al-Bazzar. Hadis sahih. Syaikh Al-Albani, Silsilah Ash-Shahihah, 2/221)

Nabi SAW juga pernah bersabda kepada perempuan tukang khitan, “Jika kamu mengkhitan [perempuan], maka hendaklah kamu sisakan dan janganlah kamu berlebihan dalam memotong.” (Hadis Riwayat Abu Dawud. Hadis sahih. Syaikh Al-Albani, Silsilah Ash-Shahihah, 2/344).

400. Soalan : Tumpang tanya ustaz, solat hajat sebaik-baiknya dibuat masa mana?

Rasulullah SAW. pernah ditanya: Doa yang manakah yang paling didengar (diterima)? Jawab baginda: (Doa) akhir malam dan setelah solat wajib.
(Hadis Sahih Riwayat At-Tarmizi)

Doa pada sepertiga akhir malam sangat makbul. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “Allah (Yang Maha Suci Lagi Agung) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam. Dia berfirman: “Barangsiapa mendoa kepada-Ku, akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Kuberi dia. Siapa yang minta ampun, akan Kuampuni dia.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Solat hajat yg paling afdal adalah adalah waktu mustajab doa iaitu sepertiga akhir malam (waktunya dari jam 4.00 pagi-5.30 pagi) selepas solat hajat banyakkan beristighfar dan berdoa kepada Allah SWT dengan doa yang sungguh-sungguh jika boleh hingga menitiskan air mata penyesalan di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan.



No comments: