Wednesday, May 1, 2013

Soal Jawab Agama Siri 8 (Membuka Aib, Derhaka Kepada Ibu bapa, Berkhalwat, Kedekut, Membaca Al-Quran, Mandi Hadas Besar, Membela Anjing dan Fidyah Puasa)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Siri 7 membincangkan mengenai persoalan dosa membuka aib, derhaka kepada ibu, berkhalwat, tanggungjawab suami, sifat kedekut, kelebihan membaca al-Quran, bapa angkat, aurat ketika solat, mandi hadas besar, membela anjing, tidak bayar gaji, membunuh serangga dan fidyah puasa.

141.Soalan: Seorang kawan saya sering mengejek rakannya yang lain atas kesilapan maksiat yang dilakukan semasa muda dahulu. Dia sering mengungkit ungkit kisah lama. Apakah hukumnya dia berbuat demikian?

Jika Allah SWT telah menutup aib seorang hamba-Nya yang telah melakukan maksiat selama 40 tahun dan mengampunkan dosa-dosanya ketika mana dia bertaubat kenapakah kita tidak boleh menutup aib saudara-saudara kita ? Walaupun maksiat yang pernah dilakukan semasa mudanya. Kenapakan kita suka sangat mendedahkan aib orang lain walaupun kita mengetahui mendedahkan aib adalah satu dosa besar yang sangat dibenci oleh Allah SWT. Mungkin orang yang memiliki aib itu telah bertaubat kepada Allah SWT tetapi kita masih seronok mengaibkannya.

Allah SWT tidak suka kita membuka aib orang lain di dunia ini kerana sesiapa yang suka membuka aib orang lain maka Dia akan mendedahkan aibnya samaada ketika di dunia maupun ketika di hari akhirat nanti. Sekiranya kita menutup aib orang lain maka Allah SWT akan menutup aib kita di hari akhirat nanti. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Orang yang menutupi aib orang lain di dunia, Allah akan menutupi (aib) nya pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim)

142.Soalan: Saya pernah melakukan satu keaiban (dosa besar) semasa belajar di kolej dahulu. Adakah perlu saya menceritakan kisah tersebut kepada ibu bapa saya kerana saya merasa bersalah di atas dosa yang telah saya lakukan?

Sekiranya kita sendiri melakukan kesalahan atau maksiat (dosa besar) maka ianya adalah satu aib yang wajib ditutup, sembunyikanlah dan jangan menceritakannya pada orang lain walaupun kepada ibu bapa sendiri atau pun sahabat yang kita percayai. 


Menceritakan kepada orang lain juga merupakan suatu perkara yang dosa. Apatah lagi jika ia membuat diri ini menjadi popular kerana kesalahan itu. Perbuatan tersebut akan menjadikan Allah SWT murka dan penghalang pintu menuju rahmat Allah SWT.

Allah SWT memberikan ancaman-Nya kepada sesiapa yang melakukan maksiat secara sembunyi-sembunyi dan Dia telah menutupnya tetapi dia secara terang-terangan pula menceritakan maksiat tersebut kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Semua umatku (yang bersalah) pasti dimaafkan, kecuali orang-orang yang menceritakan ( kesalahannya kepada masyarakat tanpa perasaan bersalah). Orang yang menceritakan kesalahannya adalah orang yang melakukan satu perbuatan (dosa) di malam hari, kemudian masuk pagi hari dan Allah menutupi kesalahannya. Namun kemudian dia bercerita kepada orang lain, ‘Wahai Fulan, aku telah melakukan ini dan itu tadi malam.’ Allah menutupi perbuatannya itu dan dia membuka tutup itu di pagi hari.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

143.Soalan: Saya sering mendengar jiran saya memarahi ibunya dengan kuat sehingga didengari dari rumah saya. Apakah hukum jika kita menderhaka kepada ibu kita?
Anak derhaka tidak akan mencium bau syurga dan haram baginya untuk memasuki syurga Allah SWT. Dalam al-Quran Allah SWT memerintahkan orang beriman agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah al-Luqman ayat 14)

Nabi SAW pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.” (Hadis Riwayat Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2654)

144. Saya mempunyai empat orang kawan yang bertanggungjawab menyelesaikan satu projek ilmiah. Semalam hanya saya dan kawan lelaki yang boleh datang membincangkannya. Kami berbincang di bilik perbincangan. Datang dua pegawai keselamatan mengatakan kami berkhalwat sedangkan kami tidak berbuat demikian. Apakah hukum bagi mereka kerana mereka tidak cukup empat saksi untuk mendakwa kami?

Islam cukup menjaga akhlak dan pergaulan di antara lelaki dan wanita. Haram seorang lelaki dan wanita duduk berdua-duaan walau pun dengan niat yang baik untuk berbincang dan menyelesaikan urusan projek pembelajaran. Sepatutnya saudari berdua tidak meneruskan perbincangan tersebut di tempat yang tertutup kerana di khuatiri akan menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Tuduhan kedua-dua pengawal keselamatan ada asasnya kerana mereka bertanggungjawab untuk mengelakkan perkara sumbang berlaku di dalam kampus. Tuduhan terhadap khalwat tidak perlu kepada 4 orang saksi kerana hanya tuduhan zina memerlukan 4 orang saksi. Mereka berdua sudah cukup bukti untuk mensabitkan saudari berdua di atas tuduhan khalwat dan dalam Islam mereka yang sabit kesalahan khalwat akan dikenakan takzir bukannya hudud. Untuk mengelakkan perkara ini berulang lagi saya menasihatkan saudari dan rakan lelaki saudari jangan lagi mengadakan perbincangan di tempat yang tertutup pastikan terdapat ramai rakan-rakan yang lain sebelum memulakan perbincangan.

Dalam al-Quran Allah SWT menyeru kepada orang-orang beriman jangan menghampiri zina. Firman Allah SWT maksudnya : “Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)” (Surah al-Israa' (17) ayat  32)

145.Soalan: Saya dan suami baru berkahwin. Apakah peranan suami dalam mendidik isteri setelah berkahwin? Adakah cukup menyuruh mentaati dan membuat kerja kerja rumah sahaja?

Di antara peranan suami kepada isterinya bahawa dia bertanggungjawab untuk mendidik isterinya supaya berakhlak Islam di dalam kehidupan harian. Suami juga bertanggungjawab untuk mentarbiah dan memberi nasihat yang baik kepada anak-anak, ibu-bapa, rakan-rakan, jiran tetangga serta masyarakat. Ajarkan isteri ilmu fardu ain iaitu meragkumi ilmu tauhid, feqah dan tasauf. Jika suami kurang berkemampuan untuk mengajarkannya ajak isteri ke masjid atau surau untuk memperlajarinya dengan guru-guru yang pakar dan berilmu.

Suami perlu memberitahu isteri tentang adab-adab sebagai seorang isteri perlu bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakannya. Juga tentang akhlak semasa bersama anak-anak iaitu berbual dengan mereka dengan bahasa yang baik dan jangan suka memaki-hamun mereka dengan bahasa yang kesat. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu itu mengandungi doa ; jika tercetus dari mulut ibu kata-kata yang tidak elok maka di khuatiri akhlak anak seperti apa yang diucapkannya.

Ajarkan juga isteri supaya menghormati dan beradap sopan ketika berhadapan dengan ibu-bapa dan mertuanya. Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain. Sentiasa memberi nasihat kepada isteri jika ia suka mengumpat, berleter atau memfitnah jiran tetangganya.

Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain. Selalu ingatkan isteri supaya banyak bersabar dalam menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah S.W.T. Ajarkannya batas-batas aurat dan batas-batas pergaulan seorang wanita. Pastikan auratnya terkawal ketika keluar rumah dan pergaulan dengan sanak saudara, sahabat-sahabat perempuan, dan ketika berhadapan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Dan juga pastikan  isteri tidak keluar rumah tanpa izin daripada suami.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan." (Surah at-Tahrim ayat 6)

146.Soalan: Saya sering merasa malas dan letih untuk melakukan sesuatu. Adakah saya tergolong dalam kalangan yang rugi?

Kalau boleh jauhilah sifat malas kerana ia adalah sifat syaitan. Kita sentiasalah  berdoa kepada Allah SWT semoga diberi-Nya kesihatan diri kita sehingga memiliki tubuh badan yang sihat dan rajin bekerja dan berusaha. Jika badan kita lemah (sakit) dan tidak sihat bagaimana kita hendak berusaha mencari rezeki atau berjihad dan berdakwah dijalan Allah SWT?

Dalam hadis Nabi SAW ada menyatakan yang bermaksud : “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah." (Hadis Riwayat Muslim).

Ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan kesihatan, kekuatan tubuh badan dan membenci sikap malas dan berpeluk tubuh saja tanpa berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Maka apabila telah dilaksanakan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.” (Surah al-Jumu’ah ayat 10)

147.Soalan: Majikan saya seorang yang bakhil dan berkira. Dia pernah berkata kalau tidak kedekut dia tidak akan jadi kaya. Apakah pandangan Islam terhadap sifat kedekut ini?

Sifat bakhil (kedekut) pula adalah sifat mazmumah yang amat dibenci oleh Allah SWT. Sifat ini adalah sifat ahli neraka. Bakhil adalah sifat yang tercela kerana sifat ini terlahir dari godaan syaitan. Bakhil dijadikan oleh syaitan sebagai jalan untuk menuju jalan ke neraka. Definisi bakhil adalah perbuatan seorang hamba untuk menahan harta yang ada pada kepemilikannya tanpa menunaikan hak dan kewajiban yang sepatutnya di tunaikan dengan harta tersebut. Dalil yang melarang dari perbuatan bakhil di antaranya adalah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا هِيَ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالشُّحُّ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ»

Maksudnya : “Dari sahabat Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu  beliau berkata, Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasalam telah bersabda, ‘Jauhillah tujuh kehancuran yang dapat menimpa kalian.’ Lalu (shahabat) bertanya, ‘Apakah itu wahai Rasulullah?’ Lalu baginda menjawab, ‘Menyekutukan Allah, kikir (bakhil), membunuh jiwa yang diharamkan Allah, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh zina wanita mukminat yang suci.” (Hadis Riwayat an-Nasai)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, "Maafkanlah kesalahan orang yang murah hati (dermawan).Sesungguhnya Allah melihat tangannya jika dia terjatuh.Seorang pemurah hati dekat kepada Allah, dekat kepada manusia dan dekat kepada syurga.Seorang yang bodoh tapi murah hati (dermawan) lebih di sukai Allah daripada seorang alim (tekun beribadah) tapi bakhil."  (Hadis Rawahul at Tabrani)

Sifat bakhil serta sayangkan harta untuk dibelanjakan ke jalan kebajikan bagi membantu orang yang susah adalah sifat yang tercela. Dengan adanya sifat-sifat tersebut dalam diri sendiri segala urusan akan tergendala malah masyarakat akan lemah dan mundur serta mudah dikalahkan oleh musuh, dengan itu masyarakat akan jadi huruhara . Dengan sebab itu ianya perlu dikikis dan dihapuskan dari dalam diri setiap muslim dengan sedaya upaya yang boleh.

148.Soalan: Apakah kebaikan jika saya sering membaca al-Quran? Adakah amalan ini akan memberi syafaat kepada saya ketika berada di alam barzakh dan hari akhirat ?
Terdapat banyak kebaikan yang akan dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap muslim yang sentiasa membaca al-Quran.

Kebaikan-kebaikan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah SWT telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Kedua : Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah SWT.. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh memberikan syafaat di hari akhirat kelak.

Ketiga : Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa

Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: ”Perumpamaan mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”

Keempat: Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwuduk) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

Al-Quran juga akan memberi syafaat kepada pembacanya ketika berada di alam barzakh dan hari akhirat.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu bahwa Nabi SAW bersabda:
“Sesungguhnya terdapat sebuah surat dalam Al-Quran yang mengandung 30 ayat, surat ini akan memberikan syafaat kepada seseorang sampai ia dimaafkan. Surat itu adalah surat تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ.” ((Hadis Riwayat Tirmidzi no. 2891, Abu Daud no. 1400, Ibnu Majah no. 3786, dan Ahmad 2/299).) (Penilaian hadis Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa At Tirmidzi dalam Al Jaami’ Ash Shohih Sunan At Tirmidzi mengatakan bahwa hadis tersebut hasan.)

Menjadi saksi di hadapan Allah SWT dan sebagai pembela kepada si pembaca al-Quran :

Dari Nawwas bin Sam’an r.a katanya, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda “Dibawa di hari kiamat nanti Al-Quran dan ahlinya, yang beramal dengannya di dunia. Mendahuluinya oleh Suratul Baqarah dan Ali-Imran, kedua-duanya berhujah membela tuannya”.(Hadis Riwayat Muslim)

Kedua ibu bapa diberi kemuliaan oleh Allah SWT pada hari kiamat :

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, (maka) kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari pengadilan yang sinarannya lebih terang daripada cahaya matahari sekiranya matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini.”
(Hadis Riwayat Abu Daud  dan  Ahmad)

Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya:“Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada hari akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

149.Soalan: Saya sering membeli belah lebih lebih lagi bila jualan murah diadakan. Apakah hukumnya jika saya berbuat demikian?

Dalam menjalani bahtera kehidupan, Islam memberi garis panduan yang cukup sempurna bagi manusia mencapai puncak kesejahteraan. Hidup menurut ukuran Islam ialah menikmati kesejahteraan di dunia dan di akhirat nanti. Demi merealisasikan harapan yang murni itu, setiap orang Islam haruslah mengamalkan sifat kesederhanaan dalam segenap segi kehidupannya. Sifat ini dipraktikkan Nabi Muhammad SAW dan juga sahabat baginda, sehingga mereka muncul di permukaan sebagai insan yang sewajarnya diteladani, yang cemerlang dan dirahmati Allah.

Kalau kita menyusuri perjalanan hidup Rasulullah, sejak kecil sehinggalah saat wafatnya, ternyata baginda tidak pernah mengecapi hidup mewah. Dalam segenap sudut kehidupan baginda, sama ada cara berpakaian, perhiasan, dalam soal makanan dan sebagainya, berada di paksi kesederhanaan. Padahal baginda memang mampu untuk hidup bermewah. Namun keimanan yang jitu di dada baginda justeru mengalahkan segala-galanya.

Sesungguhnya sifat ini adalah pakaian peribadi orang yang beriman sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman!” (Hadis Riwayat Abu Daud)

150.Soalan: Saya akan menikah tidak lama lagi, tetapi saya ada sedikit masalah. Ibu bapa kandung saya telah menyerahkan saya untuk dijaga orang lain sejak saya bayi dan sekarang saya masih tinggal dengan keluarga angkat saya. Masalahnya adalah, dalam surat beranak dan IC saya berbintikan bapa angkat . Jika saya menikah nanti, adakah saya diwalikan hakim kerana wali saya ghaib, dan adakah saya menggunakan nama bapa kandung saya nanti?

Bapa angkat tidak boleh menjadi wali nikah kerana bapa angkat bukan mahram dan tidak sah menjadi wali. Jika saudari ingin bernikah dan bapa kandung saudari atau wali yang lain tidak dapat dikesan maka saudari boleh menggunakan wali hakim. Wali hakim akan sebut nama bapa sebenar semasa akad nikah. Mengenai nama bapa angkat di dalam I.C dan surat nikah itu hanya urusan keperluan keduniaan saja. Urusan yang bersangkut paut dengan nikah dan harta pusaka perlu menggunakan waris atau bapa sebenar. Jika bapa angkat saudari meninggal dunia walau pun bintinya kepada simati tetapi saudarai tidak ada hak waris untuk pembahagian harta secara faraid. Saudari boleh mendapatkan harta jika bapa angkat ada meninggalkan wasiat atau pemberian harta secara hibah semasa bapa angkat masih hidup.

151.Soalan: Adakah aurat bawah dagu untuk perempuan kerana ada yang mengatakan bawah dagu adalah aurat dan wajib ditutup ketika solat dan menunaikan umrah atau haji?

Dagu wanita tidak termasuk di dalam aurat. Tetapi di bahagian bawah dagu wanita adalah TERMASUK AURAT yang wajib ditutup. Ini kerana bahagian tersebut tidak termasuk dari batas-batas wajah yang boleh dibuka. al-Syirazi berkata:Maksudnya: “Dan wajah itu apa yang ada diantara tempat tumbuh rambut kepala hingga ke dagu dan hujung kedua-dua rahang, secara panjang. Lebarnya pula dari telinga hingga ke telingan satu lagi.”

Kata al-Nawawi di dalam al-Majmu’ ketika memberi komentar kepada perkataan al-Syirazi ini yang bermaksud: “Yang disebut oleh penulis (al-Syirazi) tentang batas wajah, ianya benar seperti pandangan al-Ashab, dan telah dinyatakan perkara ini oleh al-Syafie r.h di dalam kitabnya al-Umm.” Aurat wanita di dalam solat dan di luar solat adalah sama wajib ditutup kecuali muka dan kedua tapak tangan.

152.Soalan: Apakah hukumnya jika seorang ibu menggalakkan anak daranya keluar malam dengan lelaki dan balik lewat malam dan kalau yang duduk serumah dengannya berdiam diri kerana takut menimbulkan perbalahan serta takut menderhaka pada si ibu?

ibu yang membiarkan anak gadisnya melakukan maksiat secara terang-terangan keluar dengan lelaki yang bukan mahramnya adalah berdosa besar. Sesiapa yang tinggal serumah dengan mereka wajib menegurnya dengan baik dan tidak dikira derhaka menegur ibunya yang tidak bertanggungjawab dan ingkar perintah Allah SWT. Sepatutnya sebagai seorang ibu berusaha menyelamatkan anak-anaknya daripada masuk neraka tetapi dia rela dirinya dan anaknya kejurang kebinasaan dan mengundang kemurkaan Allah SWT.

153.Soalan:  Ustaz, macam mana nak dapat dekatkan silaturahim antara anak dan bapa. Jika bapa nya tak ambil berat tentang anaknya dan tidak kisahkan tentang anaknya dan ada banyak pekara terjadi yang anaknya tersinggung terhadap bapanya.(Situasi ini makin teruk semenjak ibu dan bapa nya berpisah).
Dalam Islam anak wajib menghormati dan mengasihi kedua ibu bapanya, tidak dibenarkan derhaka dan menyakiti hati mereka. Besar dosa anak derhaka sehingga Nabi SAW menyatakan anak derhaka tidak mencium bau syurga.

Kenapa ibu bapa bersikap demikian? Mungkin ada beberapa keadaan si anak telah melakukan sifat biadab dan menyinggung hati kedua ibu bapanya. Setiap ibu bapa tidak akan bersikap dingin dengan anak-anak sekiranya anak mereka tidak melakukan sesuatu yang menyinggung perasaan hati mereka. Anak-anak sekarang kurang adabnya bila berhadapan dengan kedua ibu bapa. Ini kerana terbawa-bawa dengan cerita dalam filem atau drama yang bersikap kasar dan kurang ajar dengan ibu bapa mereka.

JIka ibu bapa berpisah si anak tidak boleh bersikap berat sebelah, kerana urusan ibu bapa adalah urusan mereka dan si anak kena berlaku adil kepada kedua-duanya. Ziarah kedua-duanya jika si anak derhaka salah satu di antara mereka dia akan menjadi anak derhaka. Perlu ada sifat hormat anak kepada kedua-dua ibu bapa. Jangan putuskan silaturahim kerana jika silaturahim diputuskan berdasarkan hadis Nabi SAW tidak akan masuk syurga sesiapa yang memutuskan silaturahim. Fikirkan cara-cara yang terbaik untuk hubungkan semula silaturahim yang telah terputus. Keberkatan hidup anak adalah bergantung kepada keredaan kedua ibu bapa mereka. Jika si anak rasa dia betul dan ibu bapa mereka salah , si anak tetap tidak boleh memutuskan silaturahim, dan jangan marah kepada kedua ibu bapa mereka, perlu ingat siapa yang melahirkannya dan siapa yang membesarkan si anak dari kecil hingga dewasa, dan sekolahkannya hingga berjaya dalam hidup.

154.Soalan:  Adakah  rezeki kita akan disekat jika kita sering mengeluh mengenai perniagaan kita yang semakin kurang mendapat sambutan walaupun kita melakukan Solat Duha setiap hari ?

Sifat orang mukmin adalah bersyukur jika dikurniakan rezeki dan nikmat oleh Alah SWT, samaada kurniaan anak baru, keuntungan perniagaan, lulus peperaksaan, naik gaji dan sebagainya dan dia juga bersabar jika diuji dengan kerugiaan perniagaan, kematian insan yang disayangi, kebakaran, kemalangan dan sebagainya. Kedua-duanya diberi pahala oleh Allah SWT. Jika kita mengeluh tanda kita tidak reda dengan qadak dan qadar maka perbuatan ini dimurkai oleh Allah SWT.

Dalam Surah Al-Baqarah, Allah SWT mengaitkan setiap apa yang manusia sangka baik, mungkin buruk manakala apa yang disangka buruk, adalah baik untuknya seperti firmanNya yang bermaksud :  “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 216)

Di antara rahasia ayat ini bahwa ayat ini menghendaki seorang hamba untuk menyerahkan urusan kepada Zat yang mengetahui akibat segala perkara serta reda dengan apa yang Dia pilihkan dan takdirkan untuknya, kerana dia mengharapkan daripada Allah SWT akibat-akibat yang baik.

Solat Duha adalah tanda kita mengamalkan sunah Rasulullah SAW dan solat mohon rezeki dan amalan soleh kita kepada Allah SWT. Teruskan berdoa dan memohon dipermudahkan urusan kehidupan dan perniagaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar ayat 53)

Kesimpulan daripada ayat di atas adalah :

1. Orang yang beriman tidak sepatutnya mempunyai sifat putus asa terhadap rahmat dan ampunan Allah, walaupun mereka telah banyak melakukan dosa, kerana rahmat Allah Maha Luas dan Allah berjanji akan mengampuni segala dosa.

2. Agar rahmat dan ampunan Allah diperolehi dengan sempurna, maka kita mestilah melakukan dua syarat yang telah ditetapkan oleh Allah iaitu: Taubat Nasuha dan mengikut sebaik-baik apa yang telah diturunkan-Nya iaitu Al-Quran dan Al-Hadis.

3. Allah menyuruh kita melakukan dua perkara di atas agar kita kelak pada hari pembalasan tidak menyesal di atas kelalaian kita ketika di dunia.

4. Penyesalan utama manusia pada hari pembalasan nanti ialah kerana sikap mereka yang suka mendustakan ayat-ayat Allah (keterangan-keteranganNya) yang dibawa oleh Rasul-Nya. Mereka sombong dan suka memperolok-olokkan agama Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.

155.Soalan: Kalau pada waktu pagi kita keluar mani dan selepas itu kita terus mandi wajib tetapi selepas seketika apabila kencing didapati air mani keluar bersama dengan air kencing tersebut.Perlukah kita mandi wajib semula?
 

Syarat mandi wajib adalah keluar air mani daripada kemaluan lelaki atau wanita samaada melalui jimak atau mimpi yang mengairahkan. Cara mandi wajib yang sempurna sebelum menjiruskan air ke anggota badan pastikan tidak ada sisi-sisi air mani melekat dikemaluan .

Pastikan basuh dahulu kemaluan semuga tidak ada najis atau saki baki air mani, barulah jiruskan air dan niat mandi hadas besar.

Ketika mandi wajib cara-caranya adalah seperti berikut:

1. Berniat,
2. Menghilangkan najis yang melekat di badan
3. Menyampaikan air ke seluruh badan (ke semua kulit dan rambut).

Cara-cara mandi wajib termasuk perkara-perkara sunat ialah:
1. Membaca ‘Bismillah’ ketika akan mandib.
2. Mengambil wudhuk sebelumnya sebagaimana amalan Nabi SAW
3. Melalukan tangan di atas seluruh badan (menggosok-gosok) bagi menghilangkan kotoran yang melekat.
4. Mendahulukan membasuh yang sebelah kanan dari sebelah kiri
5. Menutup aurat di tempat yang tersembunyi seperti dalam bilik mandi. Jika keluar lagi air mani bersama-sama air kencing lebih baik adalah mandi sekali lagi kerana dikhuatiri itu adalah air mani yang baru. Kerana jika kita berhadas besar maka solat kita tidak sah

156.Soalan: Pada mulanya keluarga saya hanya memberi makan kepada anjing-anjing  yang kelaparan yang berkeliaran di kejiranan kami tetapi lama kelamaan anjing-anjing ini menjadi jinak dan terus tinggal di bawah rumah kami dan secara tidak langsung menganggap kami sebagai tuannya.  Apa hukumnya memelihara anjing bagi orang Islam?

Dalam mazhab Syafie hukum memelihara anjing adalah haram. Anjing adalah najis keseluruhannya, sama ada kecil atau besar adalah najis, berdasarkan adanya perintah mencuci bejana yang dijilatnya sebanyak tujuh kali. Bahkan, menurut pendapat Imam al-Syafie tentang najisnya anjing ini termasuk najis mughallazah (najis berat).

Sebab mencuci bejana yang kena najis tersebut sampai tujuh kali dan air pertama hendaklah dicampuri dengan debu tanah dan dibilas dengan 6 kali basuhan. Ini adalah pendapat mazhab al-Syafie dan Hanbali yang amat ketat dalam persoalan anjing. Pendapat ini diikuti umumnya kaum muslimin di Malaysia dan yang bermazhab al-Syafie.

Terdapat dua dalil yang menjadi hujah bagi pendapat pertama ini. Dalil Pertama berdasarkan kaedah qiyas. Menurut mereka anjing dan babi serta yang lahir daripada keduanya adalah najis, termasuk keringatnya.

Suruhan Rasulullah SAW untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing adalah dalil bagi menunjukkan najisnya lidah, air liur dan mulut anjing.Memandangkan lidah dan mulut adalah anggota utama di mana tanpa lidah dan mulut haiwan tersebut akan mati kerana tidak boleh mendapatkan makanan dan minuman. Jika lidah dan mulut dikategorikan sebagai najis, maka sudah tentu lain-lain anggotanya adalah najis juga.

Selain itu, air liur anjing terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika peluh yang keluar daripada mulut (air liur) adalah najis, maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya adalah najis juga.Imam An-Nawawi menyebut di dalam Al-Minhaj: "Yang disebut najis itu adalah setiap cecair yang memabukkan, anjing babi dan apa-apa yang lahir daripada keduanya…" (Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini:1/110).

Kata al-Qardhawi, hukum membela anjing sebagai binatang kesayangan (hobi) adalah haram, yakni diharamkan oleh Rasulullah SAW. Dalilnya: Daripada Sufyan bin Abu Zuhair, bahawa Nabi SAW bersabda :"Barang siapa memelihara anjing bukan untuk menjaga ladang atau ternak, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dan semua ahli hadis yang lain).Inilah juga pendapat majoriti mazhab Syafie, Hanbali, Maliki dan Zahiri (al-Majmuu', IX/234)

Daripada Abdullah bin Umar dia berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya." (Hadis Riwayat Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940).

157.Soalan: Apakah hukumnya kalau majikan tidak membayar gaji kerja lebih masa pekerja.
Majikan yang tidak membayar gaji lebih masa pekerjanya adalah berdosa. Hendaklah ada keadilan antara majikan dan pekerja di mana gaji yang diberi hendaklah setimpal dengan kerja serta tanggungjawab yang dipikul oleh pekerja tersebut bahkan kalau perlu sebelum keringatnya kering kerana Rasulullah SAW. pernah bersabda yang bermaksud: "Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) orang yang menjadi tanggungjawabnya.”

Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tiga orang yang Aku musuhi pada hari kiamat nanti adalah orang yang telah memberi kerana Aku lalu berkhianat dan orang yang membeli barang pilihan lalu dia makan lebihan harganya serta orang yang mengupah pekerja kemudian pekerja tersebut menunaikan akadnya sedangkan upahnya tidak diberikan” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam al-Quran terdapak kisah mengenai dibolehkan mendapat upah kerana bekerja kepada seseorang majikan. Dalam Surah al-Kahfi ayat 77 menceritakan perihal upah: "Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu dia membinanya. Nabi Musa berkata: Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya.”

Ayat ini menunjukkan harus mengambil upah di atas pembinaan tembok berkenaan iaitu satu kerja yang telah dibuat. Ulama Islam telah sepakat bahawa upah daripada kerja wujud dalam perundangan Islam. Ini disebabkan manusia diciptakan Allah SWT mempunyai kelebihan dan kepandaian yang berbeza-beza. Tetapi larangan keras daripada Allah SWT apabila majikan mengabaikan pembayaran gaji pekerjanya

158.Soalan: Berdosakah saya bila kita membunuh serangga-serangga dalam rumah?
Apabila binatang-binatang melata ini menyakiti, boleh membunuhnya. Tetapi bukan dengan cara membakar, namun dengan berbagai cara membinasakan lainnya, kerana sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Lima macam binatang fasik yang boleh dibunuh di tanah halal dan di tanah haram; ular, burung gagak hitam pekat, tikus, anjing gila, dan burung elang.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dalam jaza’ ash-Shaid (1829) dan Muslim dalam al-Hajj (67–1198)

Pada kata ‘al-hayyah/ular’, Nabi Muhammad SAW mengabarkan tentang gangguannya dan ia adalah binatang-binatang fasik, maksudnya mengganggu atau menyakiti dan mengizinkan membunuhnya. Demikian pula binatang melata sejenisnya, apabila mengganggu, boleh dibunuh di tanah halal dan haram. Seperti semut, lipas, jangkrik, nyamuk dan binatang sejenisnya yang mengganggu. Cicak juga binatang yg disunatkan membunuhnya.

159.Soalan: Bagaimana hukumnya jika seseorang bekerja di bank syariah? Apakah sama dengan bank konvensional atau tidak?
 

Bekerja di bank syariah tidak sama dengan bekerja di bank konvensional kerana bank Islam tidak menggunakan sistem riba sedangkan bank konvensional menggunakan riba.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman.” ( Surah Al-Baqarah ayat 278).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya." ( Surah Al-Baqarah ayat 279)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Allah melaknat pemakan riba, pembayarnya, penulisnya dan dua orang saksinya." (Hadis Riwayat Daraqutni daripada Abdullah bin Handullah).

Bekerja dibank sistem konvesional akan terlibat secara langsung atau tidak samaada dalam 4 jenis pekerjaan seperti hadis di atas samaada pemakan riba (gaji hasil riba), pembayarnya (sebagai casher), penulisnya (pengurus, penyelia atau kerani) dan saksi (peguamnya dan sebagainya). Oleh itu carilah kerja ditempat yg halal lagi di berkati Allah SWT kerana masih bekerja ditempat yang jelas haramnya.

Di haruskan bekerja di Bank Islam, Bank Muamalah dan bank-bank yang mempunyai jawatankuasa syariah. Jawatankuasa syariah akan menentukan halal atau pun tidak pelaburannya atau perjalanan pengurusannya bank. Ingat jual beli yg halal tidak sama dengan riba, sistem muamalah Islam tidak sama dengan sistem konvensional. Mereka yang kata sama sebenarnya mereka jahil tentang muamalah cara Islam. Jika orang Islam masih mengambil sistem konvesional sedangkan sekarang ini tidak ada darurat lagi maka mereka akan mendapat dosa besar kerana jelas merestui sistem riba.

160.Soalan: Apabila seseorang itu telah meninggal dunia,adakah wajib bagi ahli keluarganya membayar fidyah bagi pihak simati dan bagaimanakah cara untuk membayarnya. Saya pernah terdengar pendapat bahawa tidak wajib untuk membayar fidyah jika si mati itu koma selama beberapa hari. Adakah pendapat ini benar?
Menurut istilah fiqh, fidyah merupakan satu cara untuk menggantikan puasa Ramadan yang tertinggal disebabkan keuzuran yang diterima oleh syarak atau tidak. Oleh itu, tiada amalan fidyah dilakukan kerana meninggalkan kefardhuan yang lain seperti meninggalkan solat dan sebagainya. Mereka yang diberi kelonggaran meninggalkan puasa namun wajib membayar fidyah atau melakukan qada adalah seperti berikut;

1. Orang yang musafir dan tiada keupayaan tenaga dalam musafirnya kecuali dengan berbuka puasa. Hukumnya harus berbuka tetapi wajib menggantikan puasa tersebut.

2. Orang yang uzur kerana disebabkan sakit tua dan tidak mempunyai keupayaan untuk berpuasa. Hukumnya diharuskan berbuka dan wajib membayar fidyah.

3. Ibu yang menyusu dan dibimbangi tentang kesihatannya atau anak tersebut. Hukum harus berbuka tetapi wajib menggantikannya serta fidyah. Namun ada pendapat yang mewajibkan ganti puasa sahaja tanpa fidyah..

4. Orang yang sakit dan dinasihatkan oleh doktor perubatan atau pakar bahawa beliau tidak perlu berpuasa dan jika berpuasa boleh mendatangkan kemudharatan atau bertambah teruk sakitnya seperti gestrik dan sebagainya. Harus berbuka dan wajib menggantikan puasa sahaja.

5. Wanita yang hamil dan dinasihatkan oleh doktor supaya tidak berpuasa, kerana dikuatiri dirinya menjadi lemah dan akan membahayakan kandungannya, maka wanita itu tidak wajib berpuasa namun wajib ke atasnya qadha dan fidyah. Waris simati wajib membayar fidyah puasa untuk simati kerana simati telah berhutang dengan Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya: "Diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 184)

Bersambung...

No comments: