Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 24 menjawab persoalan iddah, cerai talak 3, perkahwinan muhallil (cina buta) dan fasakh.
416. Soalan : Apakah yang dimaksudkan iddah dan huraikan kebaikan iddah yang ditetapkan oleh syariat Islam?
Seorang wanita yang diceraikan atau kematian suami hendaklah beriddah.
Maksud Iddah
ialah satu jangkamasa tertentu yang wajib dilalui oleh seorang wanita yang baru diceraikan oleh suaminya ataupun kematian suaminya.
Tujuan
beriddah ialah untuk memastikan rahim perempuan itu kosong dari
sebarang kandungan. Ia juga dapat memberikan ruang masa bagi suami rujuk
semula kepada bekas isterinya. Bagi wanita yang kematian suami pula,
tempoh iddah dianggap sebagai tempoh berkabung bagi menunjukkan
kesedihan ke atas pemergian suaminya.
Iddah sebenarnya mempunyai
hikmah yang besar kepada wanita dan lelaki. Walaupun dalam tempoh
iddah ini, wanita dilarang berkahwin lain dan dia juga dikenakan
beberapa peraturan lain, iddah sebenarnya memberikan manfaat kepada
kedua-dua belah pihak.
Lelaki yang ingin berkahwin dengan seorang wanita yang baru bercerai atau kematian suami, jika si wanita
tadi tidak beriddah, tidakkah nanti jika wanita itu tiba-tiba
didapati hamil akan menimbulkan keraguan tentang siapakah ayah ‘hakiki’ bagi bayi yang dikandungkan itu?
Bagi wanita yang kematian suami pula, iddah merupakan satu penghormatan
kepada isteri untuk menzahirkan kesedihan dan dukacita atas pemergian
suami tercinta. Tempoh tertentu yang diberikan untuk wanita berihat menenangkan fikirannya ini pula dapat membantunya agar tidak berterusan berada
dalam kesedihan. Cukuplah tempoh yang ditentukan oleh Allah SWT.
Selepas habis tempoh itu, hendaklah dia bertawakal kepada Allah dan
meneruskan hidupnya dengan kesabaran. Jika ada jodoh dia boleh memulakan hidup dengan suami yang baru.
417. Soalan : Berapa lamakah tempoh iddah yang perlu dilalui oleh wanita yang diceraikan atau kerana kematian suami?
Pertama : Iddah talak atau iddah cerai secara fasakh.
1. Jika bercerai di dalam suci. maka selesai Iddah apabila datang haid yang ketiga.
2. Jika bercerai di dalam haid selesai iddah apabila datang haid yang keempat termasuk haid semasa cerai.
Kedua : Iddah wanita hamil.
Iddah wanita hamil berakhir apabila melahirkan anak samaada hidup atau mati ,sudah sempurna atau masih gumpalan daging (mengikut doktor gumpalan daging tersebut adalah bakal janin) dan jika hanya gumpalan darah maka iddahnya belum berakhir.
Ketiga : Iddah kanak-kanak perempuan dan wanita menopause.
Iddahnya adalah 3 bulan ( 3 bulan qamariyah, iaitu sebanyak 90 hari.) dari tarikh cerai..
Jika wanita itu tidak datang haid kerana menyusu ,nifas dan berpenyakit atau kerana sesuatu sebab yang tidak diketahui maka dia hendaklah menunggu hingga umur menopause ,selepas itu menunggu hingga 3 bulan
Keempat : Iddah kematian suami.
1. Jika isteri tidak mengandung maka tempoh iddah 4 bulan 10 hari.(130 hari)
2. Jika isteri mengandung selesai iddah apabila melahirkan anak itu samaada hidup atau mati atau gugur seketul daging yang berupa manusia walaupun kurang jelas seperti biasa dan mengikut pakar itulah kandungan yang sebenar.
3. Sekiranya suami meninggal dunia ketika isteri masih di dalam iddah talak rajie dan dalam keadaan mengandung selesai iddahnya apabila melahirkan seluruh janin yang dinisbahkan kepada suami yang mati.
4. Sekiranya suami meninggal dan isteri didalam iddah rajie dan tidak mengandung maka tempoh iddahnya 4 bulan 10 hari (130 hari)
Kelima: Iddah sebelum hubungan kelamin.
1. Jika isteri diceraikan sebelum hubungan kelamin dengan suaminya maka tiada iddah.
2. Jika suami mati sebelum hubungan kelamin tempoh iddahnya adalah 4 bulan 10 hari dan berhak mewarisi pusaka suaminya.
418. Soalan : Jika seorang wanita diceraikan oleh suaminya dengan talak 3. maka suaminya tidak boleh merujuk kembali kepada isterinya. Bagaimanakan caranya suami tersebut boleh berkahwin semula dengan bekas isterinya?
Firman Allah SWT maksudnya : "Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis iddahnya), maka mereka berdua suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula), jika mereka kuat menyangkakan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya." (Surah al-Baqarah ayat 230)
Asbabun Nuzul Surah al-Baqarah ayat 230 .
Diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir yang bersumber dari Muqatil bin Hibban: Bahawa turunnya ayat ini berkenaaan dengan pengaduan ‘Aisyah binti Abdurrahman bin ‘Atik kepada Rasulullah SAW bahawa ia telah ditalak oleh suaminya yang kedua (Abdurrahman bin Zubair Al-Quradzi) dan akan kembali kepada suaminya yang pertama (Rifa’ah bin Wahab bin ‘Atik) yang telah mentalak “bain” kepadanya. ‘Aisyah berkata: “Abdurrahman bin Zubair telah mentalak saya sebelum menggauli (jimak). Apakah saya boleh kembali kepada suami saya yang pertama?” Nabi menjawab: “Tidak, kecuali kamu telah digauli (dijimak) suamimu yang kedua”.
Kejadian ini membenarkan seorang suami yang telah mentalak “bain” isterinya, mengawini kembali isterinya itu setelah isterinya itu digauli dan dicerai oleh suaminya yang kedua.
Berdasarkan ayat di atas ulama feqah sepakat , sekiranya si suami menceraikan isterinya dengan talak 3, si suami itu tidak boleh merujuk kembali kepada bekas isterinya melainkan bekas isterinya itu berkahwin dengan suami yang baru melalui perkahwinan yang di ikhtiraf syariat, sah dan bertujuan kekal bukan perkahwinan yang dirancang (perkahwinan muhalil atau perkahwinan cina buta). Dan berdasarkan hadis di atas perkahwinan dengan suami ke dua itu hendaklah berlaku dukhul iaitu jimak.
Jika berlaku penceraian dengan suami kedua (penceraian yang tidak dirancang) setelah habis iddah maka bolehlah bekas suaminya yang pertama dulu mengawini semula dengan akad nikah dan mahar yang baru. Dan suami pertama akan kembali memiliki tiga talak sekaligus memadamkan talak yang lalu.
419. Soalan : Adakah cara perkahwinan muhallil (cina buta) sah di sisi Islam?
Ada pun perkahwinan muhallil (cina buta) yakni perkahwinan yang dirancang agar bekas isterinya yang diceraikan dengan talak 3 boleh kembali kepada bekas suaminya yang pertama setelah berlaku penceraian dengan suami kedua, perkahwinan seperti ini adalah haram, batil dan tidak sah. Jika berlaku juga perkahwinan dengan bekas suami pertama dengan cara ini, maka perkahwinan itu tidak sah dan ia di anggap sebagai perbuatan zina ini berdasarkan hadis Nabi SAW.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Mahukah kamu jika aku beritahu siapakah orang yang paling keji dan hina? "
Para sahabat menjawab,"Ya, ya."
Rasulullah SAW bersabda, "Ia adalah muhallil (lelaki yang mengawini seorang perempuan yang telah di ceraikan talak 3 dengan tujuan menghalalkannya semula kepada bekas suaminya selepas ia menceraikan). Allah melaknat muhallil dan al-Muhallal lahu (suami yang menjatuhkan talak 3 kemudiannya ingin merujuk semula bekas isterinya melalui perkahwinan muhallil."
Saidina Umar al-Khattab r.a. berkata," Tidak dibawa kepadaku muhallil atau muhallal lahu melainkan akan aku rejam keduanya." Abdullah bin Umar (anak Saidina Umar) ketika itu menerangkan maksud ayahnya menjawab kedua-duanya penzina.
420. Soalan : Saya telah berkahwin selama 2 tahun. Selama masa tersebut suami saya sering memukul dan mendera saya kerana sifatnya yang panas baran dan cemburu walau pun saya tidak melakukan kesalahan yang besar. Saya sudah tidak tahan untuk hidup bersama-sama dengannya. Bolehkan saya memohon fasakh atas alasan sering dipukul dan di dera oleh suami.?
Fasakh ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang
diharuskan oleh Hukum Syarak.
Sebelum puan memohon untuk fasakh di pejabat agama puan perlulah membawa bahan bukti bahawa puan sering dipukul dan di dera oleh suami. Caranya adalah puan pergi membuat pemereksaan doktor di klinik atau hospital dan mendapat surat pengesahan daripada doktor yang membuat pemereksaan. Selepas itu puan perlu membuat laporan polis. Kedua-dua bahan bukti ini penting apabila di adakan perbicaraan di Mahkamah Syariah.
Cara Melakukan Fasakh :
1. Jika isteri mempunyai sebab yang megharuskan fasakh
2. Membuat aduan kepada pihak kadi supaya membatalkan perkahwinan mereka. Jika dapat dibuktikan pengaduan yang diberikan adalah betul, pihak kadi boleh mengambil tindakan membatalkannya.
3. Pembatalan perkahwinan dengan cara fasakh tidak boleh dirujuk kembali melainkan dengan akad nikah yang baru.
Untuk makluman puan terdapat beberapa sebab seorang isteri boleh memohon fasakh di Mahkamah Syariah.
Di antara perkara-perkara yang
mengharuskan fasakh ialah apabila suami :
1. Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
2. Tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
3. Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.
4. Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun.
5. Telah mati pucuk.
6. Telah gila selama tempoh 2 tahun.
7. Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit
8. Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
9. Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
10. Memaksa isteri hidup secara lucah.
11. Melupuskan harta isteri.
12. Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
13. Tidak berlaku adil kepad isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
14. Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin.
15. Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
1 comment:
Ustaz,saya nak tya...andainya suami terlanjur cakap...kalau nak cerai sangat,cerailah...bila berbincang, dia sebenarnya tidak bermaksud untuk bercerai.ketika itu,dia dalam keadaan marah..persoalannya,ape status hubungan kami? Kami masih sebumbung
Post a Comment