Friday, August 30, 2013

Soal Jawab Agama Siri 76 (Kebaikan undang-undang jenayah Islam, Jenis-jenis Hukum Jenayah Islam Dan Lain-lain)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم  


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah, 

Soal Jawab Agama Siri 76 adalah menjelaskan persoalan kebaikan undang-undang jenayah Islam, jenis-jenis hukum jenayah Islam, Maqasid Syariah, Islam sesuai dalam masyarakat majmuk dan bidadari syurga.


666. Soalan : Peranan undang-undang jenayah Islam adalah untuk mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Bolehkan ustaz jelaskan  kenapa undang-undang jenayah Islam ini perlu dilaksanakan di dalam masyarakat dan negara? Dan apakah kebaikan hukuman jenayah Islam apabila ianya dilaksanakan?

Jawapan :


Pertama undang-undang jenayah Islam wajib dilaksanakan kerana Allah SWT  memerintahkan agar melaksanakannya di dalam kehidupan manusia.
 

Firman Allah SWT maksudnya : "Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki? (Hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang meyakini." (Surah al-Maidah(5) ayat 50)

Jika di kaji dengan teliti terdapat 4 perkara kenapa perlu dilaksanakan undang-undang jenayah Islam. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Untuk mematuhi segala perintah Allah SWT yang terdapat di dalam al-Quran nul karim dan mematuhi sunnah dan hadis Nabi SAW dalam bab hukum jenayah.

2. Undang-undang jenayah Islam menjatuhkan hukuman secara adil dan saksama. Misalnya orang yang membunuh dihukum bunuh balas. Ini menyebabkan warisnya berpuas hati dan hilang perasaan dendam.

3. Hukuman jenayah Islam yang kemas dan tegas menyebabkan penjenayah dan orang ramai takut dan gerun untuk mengulangi jenayah. Akhirnya kehidupan masyarakat aman dan sejahtera.

4. Hukuman jenayah Islam men­gandungi unsur-unsur pendidikan kepada penjenayah dan orang ramai. Hukuman yang dikenakan mendorong seseorang penjenayah bertaubat dan menyesali kesalahan yang dilakukannya. Dengan ini jenayah akan berkurangan dalam masyarakat.

Terdapat 3 jenis hukum jenayah Islam iaitu terdiri daripada Hukum Hudud, Qisas dan Takzir . Kebaikan-kebaikan hukuman tersebut adalah seperti berikut  :
1. Untuk melindung masyarakat daripada bahaya jenayah dan mencegah sebelum ia berlaku.

2. Untuk memperbaiki penjenayah dan membetulkan penyelewengan. Ini dapat dilihat daripada kesan yang ditinggalkan oleh hukuman ke atas penjenayah yang memberi pengajaran, memperbaiki dan menghalang seseorang daripada melakukan jenayah.

3. Untuk membersih dosa penjenayah dan menyelamatkannya daripada azab akhirat.

667. Soalan : Hukum jenayah Islam terdiri daripada Hukum Hudud, Qisas dan Takzir. Bolehkan ustaz huraikan ketiga-tiga jenis hukum tersebut secara ringkas?

Jawapan :


Hukum-hukum jenayah Islam terbahagi kepada tiga :

Pertama :  Hukum Hudud

Kedua :  Hukum Qisas

Ketiga : Hukum Takzir

Huraiannya :

Pertama Hukum Hudud :

Dari segi istilah hudud ditakrifkan sebagai keseksaan yang telah ditetapkan oleh nas-nas Al-Quran dan As Sunnah yang wajib dilaksanakan sebagai hak Allah SWT kadar hukumannya tidak boleh dipinda sama ada dikurang atau ditambah.

Firman Allah SWT maksudnya : “Itulah hukum-hukum yang telah ditentukan. Oleh itu janganlah kamu mencabulnya, dan sesiapa yang mencabuli hukum-hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”(Surah al-Baqarah ayat 229)

Terdapat 7 jenis kesalahan jenayah hudud iaitu :

1. Melakukan zina

2. Menuduh zina

3. Meminum arak

4. Mencuri.

5. Merompak.

6. Riddah (Murtad)

7. Penderhakaan.

Jenis-jenis jenayah hudud dan hukumannya (tujuh perkara):

1. Zina iaitu persetubuhan haram tanpa nikah yang sah antara lelaki dengan perempuan.

Hukuman : Bagi penzina yang belum berkahwin hukumannya ialah sebat 100 kali dan dibuang negeri  selama setahun.

Bagi penzina yang telah berkahwin hendaklah direjam sehingga mati.

2. Qazaf (menuduh zina)  iaitu melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang yang baik dan tidak membawa 4 orang saksi yang adil.

Hukuman : Sebat 80 kali

3. Minum arak iaitu meminum minuman yang memabukkan boleh menghilangkan kewarasan akal.

Hukuman : Sebat 40 kali

4. Mencuri iaitu mengambil harta orang lain secara senyap atau sembunyi.

Hukuman : Potong tangan

5. Merompak iaitu mengambil harta orang lain dengan menggunakan kekerasan, paksaan, ugutan dan ancaman.

Hukuman : Sekiranya membunuh hendaklah dibunuh sekiranya hanya merompak sahaja hendaklah dipotong  tangan dan kakinya secara bersilang iaitu tangan kanan dan kaki kiri dan seterusnya kaki kanan dan tangan kiri bagi kesalahan seterusnya. Sekiranya hanya menganggu ketenteraman awam hendaklah dipenjara

6. Riddah (murtad) iaitu keluar seseorang Islam itu dan agama Islam sama ada dengan perbuatan dan perkataan.

Hukuman : Bunuh ( setelah diberi tempoh bertaubat selama 3 hari @ 3kali) Semua jenayah hudud yang telah sabit kesalahannya wajib dikenakan hukuman hudud tanpa sebarang pengurangan @ pindahan kepada hukuman yang lain seperti  penjara @  wang.

7. Penderhakaan kepada kerajaan Islam yang sah.

Kedua Hukum Qisas.

Dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas A1-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW. kerana kesalahan­-kesalahan yang melibatkan hak individu.

Jenis jenayah Qisas iaitu kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman Qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mencederakan mata, hidung dan telinga.

Hukuman terhadap kesalahan Qisas;

Mengikut hukum Qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya” (Surah al-Maidah ayat 45)

Diat adalah denda yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas.

Kadar diat adalah dikira mengikut bilangan  unta iaitu harta yang paling bernilai ketika itu. Kadar penuh diat ialah 100 ekor unta.

Diat adalah denda untuk jenayah membunuh.(jumlah diat boleh dinilai dengan harga unta masa kini)

Ketiga : Hukum Takzir

Dan segi istilah ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya di dalam Al-Quran dan Hadis atau hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaannya, tetapi tidak cukup syarat bagi mengenakan keseksaan itu.

Kesalahan-kesalahan yang termasuk di bawah kategori Takzir;

1. Kesalahan-kesalahan hudud atau qisas yang tidak cukup bukti untuk dikenakan hukuman hudud atau qisas.

2. Kesalahan-kesalahan khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab dan sebagainya.

3. Perbuatan-perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam seperti mengumpat, menipu, berjudi, rasuah, mengedar dan penyalahgunaan dadah.

Hukuman bagi kesalahan Takzir.

 1. Menasihati orang yang melakukan kesalahan kecil bagi pertama kali agar ia tidak mengulangi lagi pada masa akan datang.

2. Teguran rasmi yang dilakukan oleh hakim dengan mengeluarkan ucapan-ucapan atau melakukan sesuatu tindakan tertentu agar orang yang melakukan kesalahan akan berusaha untuk memperbaiki dirinya.

3. Mengancam orang yang bersalah agar tidak mengulangi kesalahannya di atas sebab takut dikenakan hukuman.

4. Hukuman pemulauan dikenakan kepada pesalah agar ia berasa tersempit sekiranya ia berterusan atau mengulangi kesalahannya lantaran tidak dapat bermuamalat dengan orang lain dalam masyarakat.

5. Membuat pengisytiharan kepada umum terhadap kesalahan penjenayah. Dengannya penjenayah berasa tertekan dan malu yang amat sangat.

6. Hukuman Takzir dengan denda berbentuk kewangan dan merampas harta yang dimiliki oieh penjenayah.

7. Mengenakan hukuman penjara dalam tempoh tertentu mengikut pertimbangan realiti semasa.

8. Mengenakan hukuman sebat kepada penjenayah dengan jumlah sebatan yang tertentu mengikut reaiiti

Hukuman ini dikenakan supaya penjenayah berasa tertekan, mengalami kesusahan dan tersisih akibat   dipisahkan dari kaum keluarga dan sahabat handai.

668. Soalan :  Bolehkan di jelaskan apakah yang dimaksudkan Maqasid Syariah? Dan perkara-perkara yang termasuk di dalam Maqasid Syariah?

Jawapan :


Maqasid syariah adalah tujuan-tujuan yang dikehendaki oleh Allah SWT dalam setiap hukum atau sebahagian besar daripadanya.  Sesungguhnya Allah SWT apabila mensyariatkan hukum, sebenarnya adalah bertujuan untuk  memelihara kemaslahatan manusia dengan membuka ruang-ruang manfaat kepada mereka dan mengangkat kemudaratan.

Maqasid syariah secara umumnya adalah rantaian lima prinsip Islam yang asas iaitu :

1. Menjaga dan memelihara agama.

2. Menjaga dan memelihara jiwa.

3. Menjaga dan memelihara akal.

4. Menjaga dan memelihara keturunan dan

5. Menjaga dan memelihara harta.

669. Soalan : Apakah hukumnya jika seseorang berkata hukum hudud tidak sesuai dengan masyarakat majmuk dan jika kita laksanakan menyebabkan Islam dipandang rendah oleh orang bukan Islam?

Jawapan :


Orang yang mengatakan bahawa hukum hudud tidak sesuai dengan masyarakat majmuk adalah orang yang menafikan kekuasaan Allah SWT sebagai pencipta undang-undang dan perkataan ini boleh merosakkan akidah. Sedangkan perlaksanaan undang-undang Islam di Madinah ketika itu adalah terdiri daripada berbagai bangsa dan agama dan masyakat mereka ketika itu adalah masyarakat majmuk. Jika kita amalkan undang-undang Islam agama lain tidak akan di aniaya atau di zalimi. Hukum hudud adalah untuk umat Islam sahaja dan agama lain boleh memilih samaada mengambil undang-undang Islam atau pun undang-undang agama mereka sendiri.

670. Soalan : Di dalam al-Quran Allah SWT ada menjelaskan bahawa kecantikan bidadari -bidadari syurga yang di sediakan oleh Allah SWT untuk lelaki yang bertakwa. Minta ustaz tolong huraikan sedikit berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW?

Jawapan :


Gambaran bidadari dalam Hadis Ath-Thabarany menuturkan, dari Ummu Salamah radhiallahuanha, dia berkata, “Saya berkata,”Wahai Rasulullah, jelaskanlah kepadaku firman Allah tentang bidadari-bidadari yang bermata jeli”.”

Baginda menjawab,”Bidadari yang kulitnya putih, matanya jeli dan lebar, rambutnya berkilau seperti sayap burung nasar.”

Saya berkata lagi,”Wahai Rasulullah, jelaskan kepadaku tentang firman Allah, “˜Laksana mutiara yang tersimpan baik.”(Surah Al-Waqi'ah ayat 23)

Baginda menjawab,”Kebeningannya seperti kebeningan mutiara di kedalaman lautan, tidak pernah tersentuh tangan manusia.”

Saya berkata lagi,”Wahai Rasulullah, jelaskan kepadaku firman Allah, “˜Di dalam syurga-syurga ada bidadari-bidadari yang baik-baik lagi cantik-cantik.” (Surah Ar-Rahmaan ayat 70)

Baginda menjawab,”Akhlaknya baik dan wajahnya cantik jeli.”

Saya berkata lagi,”Jelaskan padaku firman Allah, “seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik.” (Surah Ash-Shaaffaat ayat 49)

Baginda menjawab,”Kelembutannya seperti kelembutan kulit yang ada di bagian dalam telur dan terlindung kulit bagian luar, atau yang biasa disebut putih telur.”

Saya berkata lagi, “Wahai Rasulullah, jelaskan padaku firman Allah, “˜Penuh cinta lagi sebaya umurnya.” (Surah Al-Waaqi'ah ayat 37)

Baginda menjawab,”Mereka adalah wanita-wanita yang meninggal pada usia lanjut, dalam keadaan rabun dan beruban. Itulah yang dijadikan Allah tatkala mereka sudah tahu, lalu Dia menjadikan mereka sebagai wanita-wanita gadis, penuh cinta, bergairah, mengasihi dan umurnya sebaya.” ................(hingga akhir hadis).

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : "Setiap lelaki yang masuk syurga akan diberi 72 bidadari; tidak peduli pada umur berapa dia mati, ketika dia masuk syurga dia akan menjadi seorang berumur 30 tahun dan tidak akan tambah tua. Lelaki di syurga akan diberi keperkasaan yang sama dengan keperkasaan seratus orang lelaki." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Firman Allah SWT maksudnya : "Sungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam syurga dan kenikmatan, mereka bersuka ria dengan apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka; dan Tuhan mereka memelihara mereka dari azab neraka. (Dikatakan kepada mereka): "Makan dan minumlah dengan enak sebagai balasan dari apa yang telah kamu kerjakan", mereka bertelekan di atas dipan-dipan berderetan dan Kami kawinkan mereka dengan bidadari-bidadari yang cantik bermata jeli." (Surah ar-Rahman ayat 70-77)

No comments: