Friday, September 27, 2013

Sifat Sombong Dan Tidak Menghormati Orang Tua Adalah Sifat Yang Di Benci Allah SWT.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Sekarang ini kita di dedahkan di dalam media sosial bagaimana sikap seorang wanita muda yang kurang sopan dan biadap. Memiliki akhlak yang bukan ciri-ciri wanita muslimah, dengan perasaan ego dan sombong sanggaup maki hamun, menghina dan menendang seorang tua yang menjalankan tugas sebagai pengawal keselamatan. Inilah hasil dan natijah daripada tidak mendapat pendidikan agama yang baik dan sempurna dan jauh daripada akhlak Islam. Manusia yang sukar untuk merasai rendah diri dan menghormati orang lain adalah satu keperibadian yang buruk dan dibenci oleh Allah SWT.

Dari Ibnu ‘Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Bukanlah dari kalangan pengikut kami, yang tidak berkasih sayang kepada yang kecil dikalangan kami, yang tidak menghormati yang tua dikalangan kami, yang tidak menyuruh akan kebaikan, yang tidak melarang dari kejahatan. (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jika hidup mementingkan kebendaan, mabuk dunia, bermegah dengan kekayaan, tidak mahu menutup aurat dan tidak menghormati orang tua maka di mana kita hendak meletakkan nilai wanita seperti ini untuk menjadi contoh kepada wanita yang bukan muslim? 

Kadangkala timbul persoalan di mana tanggungjawab sebagai seorang suami tidak mampu mendisplinkan isterinya sehingga sanggaup melakukan perbuatan yang biadab , kasar dan memalukan umat Islam seluruh dunia. Umat Islam sepatutnya merasa malu jika dilihat oleh orang-orang bukan Islam bagaimanan akhlak dan keperibadian seorang muslim itu tidak dapat di jadikan contoh untuk diikuti oleh orang bukan Islam. 

Jika sikap seperti ini dipertuntunkan bagaimana kita hendak menarik orang bukan Islam mencontohi akhlak dan keperibadian kita sebagai seorang muslim?. Mereka (orang bukan Islam), walaupun mereka tidak belajar atau memiliki ilmu agama Islam tetapi mereka masih mempunyai sifat peri kemanusiaan dan tahu untuk menghormati orang lain yang sedang menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya. Jika perkara sekecil ini tidak ada sikap tolak ansur, timbang rasa, berbudi bahasa maka di mana kita hendak jawab di hadapan Allah SWT nanti di hari akhirat?

Ini seiring dengan sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: "Allah Ta'ala berfirman (di dalam Hadis Qudsi) : Kesombongan adalah selendangKu dan kebesaran adalah sarungKu. Maka barang siapa menyamai-Ku salah satu dari keduanya, maka pasti Kulemparkan ia ke dalam Jahannam dan tidak akan Kupedulikan lagi." 

Apabila kita meneliti maksud hadis Qudsi ini, ia dengan jelas menyatakan bahawa kesombongan dan kebesaran itu hanya milik Allah SWT. semata-mata, tetapi bagaimanakah perasaan ini masih boleh timbul di dalam hati manusia? 

Sebenarnya, perasaan sombong atau takabbur boleh berlaku apabila timbulnya suatu pandangan terhadap orang lain dengan pandangan yang kecil dan hina. Seorang akan mejadi sombong kerana dia atau suaminya seorang yang terkenal dipuji dan disanjung oleh masyarakat kerana kehebatannya. Apalah ada pada orang miskin yang bekeja sebagai pengawal keselamatan yang tidak ada harta, tidak terkenal, gaji kecil dan  tidak berpelajaran. Orang yang memandang hina orang lain kerana kedudukan duniawi hakikat sebenarnya dia lebih hina dan rendah di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW.:

إن الله لا ينظرُ إلى أجسامكم، ولا إلى صوركم، ولكن ينظرُ إلى قلوبكم وأعمالكم

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk dan rupa kamu, tetapi Allah memandang kepada hati dan amalan kamu.”(Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu.” Seorang sahabat bertanya: Sesungguhnya ada orang yang suka pakaian dan kasutnya cantik. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan suka kepada keindahan. Sombong itu adalah menolak yang haq dan menghina orang lain.” (Hadis riwayat Muslim.)

Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang yang zalim dan sombong akan dihimpun pada hari kiamat dalam rupa semut. Manusia menginjak-injak mereka kerana kehinaan diri mereka di hadapan Allah Azza Wa Jalla.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Perkara-perkara yang biasanya menjadi bahan kesombongan atau ketakabburan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Kitab Ihya Ulumuddin (tulisan Imam Al-Ghazali) ada tujuh perkara, iaitu ilmu pengetahuan, amalan dan peribadatan, keturunan, keindahan dan kelebihan pada bentuk fizikal, harta kekayaan, kekuatan fizikal dan kuasa atau pengaruh. 

Kesombongan atau takabbur merupakan suatu perasaan yang apabila ia timbul dan tidak dikendalikan dengan baik dan penuh keinsafan, akan menjadikan pemiliknya amat kerugian. 

Ini kerana sikap ini mampu menjadi penghalang bagi seseorang untuk ditempatkan di dalam syurga, disebabkan sifat ini menjadi pemisah antara seseorang dengan akhlak dan budi pekerti kaum mukmin keseluruhannya. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, takabbur atau sombong adalah rasa tinggi diri berbanding dengan orang lain. Seseorang yang memiliki sifat ini sudah pasti tidak mempunyai perasaan menyayangi saudara muslim yang lain sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri.

Orang yang sombong juga tidak akan dapat meninggalkan perasaan dendam, memberi nasihat kepada saudara muslim yang lain secara jujur atau ikhlas dan tidak dapat melaksanakan budi pekerti yang baik.

Sifat sombong atau takabbur juga sebenarnya menyebabkan seseorang itu awal-awal lagi akan disisihkan oleh Allah SWT di dunia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud; "Akan Aku palingkan daripada tanda-tanda (kekuasaan-Ku) orang-orang yang menyombongkan diri di bumi tanpa alasan yang benar." (Surah Al-A'raf ayat 146)

Kesombongan itu berlaku apabila pandangan tersebut beriringan dengan anggapan orang yang dipandangnya itu lebih kecil, serba kekurangan atau kurang berharga berbanding dengan dirinya. Ketakabburan berlaku apabila pandangannya itu tidak disertakan dengan kesyukurannya kepada Allah SWT. kerana memberi kelebihan tersebut. 

Sahabat yang dikasihi,
Sesiapa yang telah melakukan kesalahan dan dosa maka mohonlah ampun kepada Allah SWT dengan bertaubat kepada-Nya dan meminta ampun kepada orang yang telah kita zalimi dengan maki hamun dan menghinanya. Ingatlah hidup di dunia hanya sementara saja di akhiratlah kehidupan yang kekal abadi. Jika kita tidak mahu menjadi muflis di akhirat maka di dunia inilah tempat kita kembali kepangkal jalan sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penerima taubat hamba-hamba-Nya yang bertaubat..



No comments: