سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT :
وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِنْ قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِنْ مِتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ (34)
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ (35)
Maksudnya : "Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia pun sebelum kamu (Muhammad), maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal? Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan".
(Surah al-Anbiya' ( 21) ayat 34-35)
Asbabun Nuzul Surah al-Anbiya' Ayat 34 - 35 :
Ibnu Juraij r.a. menerangkan, bahawa kedua-dua ayat ini di turunkan berkenaan dengan ucapan Rasulullah SAW, ketika mengetahui khabar tentang kematian dirinya, "Ya Allah, siapakah yang akan membela umatku ini." (Hadis Riwayat Ibnu Mundzir. Lihat Qurthubi : 6/4436)
Huraiannya :
Firman Allah SWT :
وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ مِنْ قَبْلِكَ الْخُلْدَ أَفَإِنْ مِتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ (34)
Maksudnya : "Kami tidak menjadikan hidup abadi bagi seorang manusia pun sebelum kamu (Muhammad), maka jikalau kamu mati, apakah mereka akan kekal?"
(Surah al-Anbiya' ( 21) ayat 34)
Kaum musyrikin menginginkan agar Nabi Muhammad SAW segera meninggal dunia, maka dalam ayat ini Allah SWT. menegaskan bahawa Muhammad SAW sebagai manusia adalah sama halnya dengan manusia lainnya, iaitu bahawa ia tidak akan kekal hidup di dunia ini. Dan memang Allah SWT. belum pernah memberikan kehidupan duniawi yang kekal kepada siapapun sebelum lahirnya Nabi Muhammad SAW. Walaupun ia adalah Nabi dan Rasul-Nya, namun ia pasti akan meninggalkan dunia fana ini apabila ajalnya sudah datang. Dan mereka pun demikian pula, tidak akan kekal di dunia ini selama-lamanya. Inilah salah satu segi dari keadilan Allah SWT. terhadap semua makhluk-Nya, dan merupakan Sunah-Nya yang berlaku sepanjang masa.
Dalam ayat lain Allah SWT. berfirman:
وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل
Maksudnya : "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul." (Surah Ali-Imran (3) ayat 144)
Maka ayat ini menyatakan lebih tegas, bahawa Nabi Muhammad SAW akan meninggalkan dunia yang fana ini, sebagaimana halnya Rasul-rasul yang telah ada sebelumnya. Akan tetapi, walau pun ia suatu ketika meninggal dunia, namun agama Islam yang telah dikembangkannya akan tetap ada dan semakin berkembang, kerana Allah SWT. telah memberikan jaminan untuk kemenangannya. Sebab itu anggapan yang tidak betul, apabila kaum musyrikin mengharapkan bahawa dengan wafatnya Nabi Muhammad maka agama Islam akan terhenti perkembangannya, dan dakwah lslamiah tidak akan berkembang lagi. Kenyataan sejarah kemudian menunjukkan, bahawa setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW. dakwah Islamiah berjalan terus sehingga agama Islam berkembang jauh melampaui batas-batas jazirah Arab, baik ke Timur, Utara, mahu pun ke Barat dan Selatan.
Firman Allah SWT :
Maksudnya : "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan".(Surah al-Anbiya' ( 21) ayat 35)
Dalam ayat ini Allah menyatakan lebih tegas lagi, bahawa setiap makhluk-Nya yang hidup atau bernyawa pasti akan merasakan mati. Tidak satupun yang kekal, kecuali Dia sendiri, dalam hubungan ini, Allah SWT. berfirman dalam ayat yang lain:
كل شيء هالك إلا وجهه
Maksudnya : "Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah". (Surah al-Qashash ayat 88)
Selanjutnya dalam ayat ini juga Allah SWT menjelaskan cubaan yang ditimpakan Allah SWT kepada manusia tidak hanya berupa hal-hal yang buruk, atau musibah yang tidak disenangi, bahkan juga ujian tersebut dapat pula berupa kebaikan atau keuntungan. Apabila ujian atau cubaan itu berupa musibah, maka tujuannya adalah untuk menguji sikap dan keimanan manusia, apakah ia sabar dan tawakal dalam menerima cubaan itu. Dan apabila cubaan itu berupa suatu kebaikan, maka tujuannya adalah untuk menguji sikap mental manusia, apakah ia mahu bersyukur atas segala rahmat yang dilimpahkan AllahSWT kepadanya.
Jika seseorang bersikap sabar dan tawakal dalam menerima cubaan atau musibah, serta bersyukur kepada-Nya dalam menerima suatu kebaikan dan keuntungan, maka dia adalah termasuk orang yang memperoleh kemenangan dan iman yang kuat serta mendapat keredaan-Nya. Sebaliknya, bila keluh kesah dan rosak imannya dalam menerima cubaan Allah SWT, atau lupa daratan ketika menerima rahmat-Nya sehingga ia tidak bersyukur kepada-Nya, maka orang tersebut adalah termasuk golongan manusia yang rugi dan jauh dari mendapat keredhaan Allah SWT. Inilah yang dimaksudkan dalam firman-Nya pada ayat lain:
إن الإنسان خلق هلوعا إذا مسه الشر جزوعا وإذا مسه الخير منوعا إلا المصلين
Maksudnya : "Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah; dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengerjakan salat. (Surah al-Ma'arij: 19-22)
Pada akhir ayat ini Allah SWT. menegaskan, bahawa bagaimanapun juga tingkah laku manusia dalam menghadapi cubaan atau dalam menerima rahmat-Nya, namun akhirnya segala persoalan kembali kepada-Nya juga. Dialah yang memberikan balasan, baik pahala maupun seksa, atau memberikan ampunan kepada siapa yang dikehendaki-Nya
“(Makna ayat 35 Surah an-Anbiya') iaitu: "Kami menguji kamu (wahai manusia), terkadang dengan bencana dan terkadang dengan kesenangan, agar Kami melihat siapa yang bersyukur dan siapa yang ingkar, serta siapa yang bersabar dan siapa yang berputus asa” (Tafsîr Ibnu Katsîr (5/342- cet Dâru Thayyibah).
Sebagai hamba Allah Ta'ala, semua manusia dalam kehidupan di dunia ini tidak akan luput dari berbagai macam cubaan, baik berupa kesusahan mahu pun kesenangan. Hal itu merupakan sunnatullah yang berlaku bagi setiap insan, yang beriman mahu pun yang kafir.
Sahabat yang dikasihi,
Hidup di dunia ini adalah merupakan cubaan daripada Allah SWT. Dunia ini adalah tempat bercucuk tanam nanti di akhiratlah tempat memetik hasilnya.
Nabi SAW. bersabda yang bermaksud, "Dunia adalah tanaman untuk hari akhirat."
Berdasarkan hadis Nabi SAW di atas ertinya kehidupan di dunia ini adalah sementara dan perlu kepada persiapan untuk menghadapi kehidupan yang kekal abadi di hari akhirat.
Walau pun hidup di dunia singkat berbanding kehidupan akhirat, tetapi ianya sangat penting kerana ia adalah penentu samaada kita bahagia atau celaka di hari akhirat nanti.
Untuk bahagia di hari akhirat, kita mesti melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan ketika hidup di dunia. Samalah seperti jika kita ingin memetik buah yang lebat, manis dan segar, maka pokok yang kita tanam perlu subur dan sihat. Mana mungkin, pokok yang layu, kering dan tidak sihat menghasilkan buah yang baik.
Begitulah hubungan kehidupan dunia dengan akhirat. Orang yang memikirkan kehidupan di hari akhirat ialah orang yang paling kuat berusaha, beribadah dan membuat kebajikan ketika hidup di dunia.
Jadikanlah dunia ini medan untuk beramal. Hidup di dunia hanya sekali sahaja. Ahli hukama ada berkata, " Dunia adalah tempat beramal tiada balasan, dan akhirat adalah tempat balasan tiada amal. Oleh itu beramallah kamu di tempat yang tiada balasan semoga kamu berbahagia di tempat yang tiada amal."
No comments:
Post a Comment