Saturday, September 28, 2013

Soal Jawab Agama Siri 91 (Wanita Bersalin, Umur Perkahwinan, Lafaz Ta'liq Cerai, Wali Nikah Dan Kelebihan Bulan Zulhijjah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 91 adalah menjawab persoalan wanita bersalin, umur perkahwinan, lafaz ta'liq cerai, wali nikah dan kelebihan bulan Zulhijjah.

741. Soalan : Apakah hukum wanita muslim bersalin di sambut kelahirannya oleh doktor lelaki sedangkan terdapat ramai doktor wanita?

Jawapan : 

Dalam kes isteri bersalin perlu dilihat secara menyeluruh keadaan seseorang individu tersebut. Jika suami berkemampuan menyediakan tempat bersalin di hospital / klinik bersalin swasta yang menyediakan doktor wanita semasa menyambut kelahiran bayi maka wajib suami menyediakannya, kerana ketika ini sudah tidak ada darurat lagi. Kita berkeyakinan bahawa aurat isteri kita terjamin daripada dilihat oleh doktor lelaki semasa bersalin nanti.

Jika sekiranya seorang suami tidak mampu menyediakan tempat bersalin swasta dan terpaksa pergi ke hospital kerajaan kerana kos rawatannya murah dan suami tidak boleh membuat pilihan untuk memilih doktor wanita maka ketika ini hukumnya harus. Biasanya hospital mempunyai  doktor yang bertugas samaada doktor wanita atau doktor lelaki yang bertugas secara bergilir-gilir. Sekiranya semasa wanita muslim tersebut bersalin dan tidak ada doktor lain melainkan dokor lelaki yang bertugas dan persalinan ini memerlukan khidmat doktor pakar sakit puan maka diharuskan menggunakannya.

Seperti biasa, al-ḍarūrāt tubīḥ al-maḥẓūrāt (perkara-perkara darurat mengharuskan perkara-perkara haram). 

Tetapi, keharusan ini mestilah dengan dua syarat berikut:

Pertama, persalinan tersebut memerlukan bantuannya.

Kedua, tidak ada perempuan yang dapat menggantikan tempat lelaki tersebut.

Syarat pertama memberi maksud, wanita tidak boleh bersalin dengan lelaki sekiranya persalinan tersebut tidak memerlukan campur tangannya sama ada kerana pertolongan daripada wanita-wanita lain sudah memadai atau wanita bersalin boleh bersalin sendiri.  Ini bermakna, sekiranya seorang wanita masuk ke dalam bilik bersalin dan setelah diperiksa oleh jururawat, didapati peratusan untuk berjaya melahirkan kandungan tanpa memerlukan bantuan doktor lelaki itu tinggi, maka ia tidak dibenarkan masuk. Kesimpulannya, selagi tidak diperlukan, lelaki tidak dibenarkan terlibat.

Syarat kedua pula bererti, kewujudan mana-mana perempuan yang dapat membantu proses persalinan tanpa bantuan lelaki sudah menggugurkan hukum harus tadi. Hal ini disebabkan apabila asal sudah wujud maka pengganti seakan-akan tidak wujud. Dalam kes ini, asal iaitu perempuan yang berkenaan sudah ada maka pengganti iaitu lelaki yang berkenaan dikira tidak ada. Sama seperti bertayamum dengan tanah sedangkan air ada dan mampu digunakan, hukumnya tidak harus dan tidak sah. Wallahu a'lam.

742. Soalan : Saya ingin bertanya adakah Islam meletakkan sekufu umur perkahwinan di antara lelaki dan wanita?. Sekiranya seorang wanita berusia 30 an adakah boleh lelaki yang berumur 50 an menjadi suaminya walau pun jarak umur 20 tahun di antara mereka, tetapi lelaki tersebut seorang yang berilmu dan bertakwa?

Jawapan :

Islam meletakkan sekufu  di antara lelaki dan wanita untuk berkahwin adalah darisegi akhlak , berilmu agama dan bertakwa. Jika seorang wanita menutup aurat dan solehah maka dia layak menjadi isteri kepada lelaki yang bertakwa lagi soleh walau pun mungkin perbezaan umur mereka hingga 20 tahun.

Islam menetapkan bahawa perkahwinan dan pemilihan calon isteri dan suami itu hendaklah pada agama dan akhlak.

Firman Allah SWT maksudnya : “Maka kahwinilah akan kamu dari perempuan itu yang baik bagi kamu” (Surah An-Nisa ayat 3).

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa telah bersabda baginda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam : “ Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan” (Hadis Hasan Riwayat Tirmidzi no 1084).

Islam tidak menetapkan persoalan umur sebagai ukuran dalam pernikahan dan sepatutnya hal ini jelas bagi lelaki dan perempuan bahawa yang dipentingkan ialah agama.

Firman Allah SWT maksudnya : “ Allah mengehendaki kesenangan kepada kamu dan tidak mengingini kesusahan menimpa kamu” (Surah al-Baqarah ayat 185).

Bagi seorang muslim dalam mencari pasangan maka hendaklah melihat kepada agama sebagaimana pesan baginda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam : “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, kerana agamanya maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beruntung” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim).

Di dalam hadis yang lain di riwayatkan oleh Abu Daud dari hadis Ma’qil ibn Yasar r.a mengenai pertanyaan seorang lelaki kepada Rasulullah SAW meminta pandangan untuk menikahi seorang perempuan yang cantik, dan berkedudukan tetapi tidak mampu beranak maka dilarang oleh baginda dan disuruh supaya menikahi wanita yang dapat melahirkan anak dan tidak mandul.

Demikian juga baginda bersabda : “Dunia itu ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah” (Hadis Sahih, Riwayat Muslim no. 3628).

Lelaki yang berumur sedikit tetapi berpengelaman dalam hidup, mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, beriman dan bertakwa, berilmu Agama lebih baik daripada lelaki yang sebaya umur tetapi tidak berilmu  dan tidak mampu hendak mendidik isterinya kejalan yang diredhai Allah SWT. Ramai berlaku penceraian sekarang ini kerana wanita tersalah pilih mencari lelaki yang segak (handsome), berpakain kemas, berkereta mewah, suka bersosial tetapi jarang menjejakkan kakinya kemasjid. Akibatnya si suami mudah mendapatkan "girl friend baru"  yang lebih cantik dan bergaya dan meninggalkan si isteri berseorangan di rumah.

Dalam sirah sahabat-sahabat Rasulullah SAW ada mengangkau usia 40 an dan 50 an tetapi mengawini wanita yang berusia 20 an dan 30 an perbezaan umur tidak pernah menjadi penghalang di dalam perkahwinan sahabat-shabata Rasulullah SAW samaada perkahwinan kali pertama atau pun berpoligami.

Yang paling penting perkahwinan adalah jalan menuju takwa dan melahirkan kehidupan  sakinah mawaddah wa rahmah dan melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan kedua ibu bapanya nanti ketika berada di alam barzakh.

Firman Allah SWT maksudnya “Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu di dalam mengerjakan kebaikan dan takwa” (Surah Al-Maidah  ayat 2).

743. Soalan : Seorang kawan saya pernah bergaduh dengan isterinya melarang pergi kerumah abang si isteri bernama Roslan, "Kalau awak pergi kerumah abang awak Roslan selepas ini,aku cerai kau dengan talak 1".........Tapi selepas berbincang dan berbaik semula,si suami akhirnya membenarkan isterinya datang kerumah abangnya yang bernama Roslan.
Boleh tak ustaz terangkan apakah lafaz yang dikeluarkan boleh diterima pakai? Jika lafaz tersebut sah,apakah yang patut dilakukan oleh kedua pasangan tersebut? Sekian , terima kash..diharap ustaz dapat membantu.

Jawapan :

Apa yang rakan saudara buat adalah lafas ta'liq cerai..ini bermakna apabila ia menyebut demikian, si isteri tidak dibenarkan sekali-kali untuk melanggarnya atau talaq akan jatuh secara pasti.

Adapun dalam konteks "setelah berbincang semula dengan suami, dan suami benarkan pulak”

Majoriti ( Jumhur) para ulama Islam silam ( termasuk ulama dari 4 mazhab) dan kini menyebut bahawa lafaz ta'liq tidak boleh di batalkan lagi apabila telah diucapkan, niat si suami juga tidak perlukan untuk dipastikan dalam konteks lafaz yang sebegini terang dan jelas ( kecuali beberapa pandangan seperti Syeikhul Islam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim yang menyebut kecuali jika lafaz ta'liq tadi diniatkan oleh suami sebagai lafaz sumpah untuk menunjukkan tegahan yang amat amat serius dan bukan untuk menceraikan jika ia melanggarnya. Bagaimanapun pengecualian ini sukar untuk dibayangkan berlaku di suasana Malaysia kerana ia adalah suasana orang Arab sahaja yang sememangnya kerap bermain dengan sumpah seperti ini)

Kecuali terdapat satu pandangan dalam mazhab Hanbali yang MENGHARUSKAN pembatalan talaq ta'liq sebagaimana di sebuat dalam kitab al-Furu' oleh Ibn Mufleh.

Hasilnya, menurut pandangan 4 mazhab ; apabila si isteri keluar rumah pergi kerumah abangnya yang bernama Roslan walaupun dengan izin suami, talaq 1 tetap akan jatuh.

Dalam hal di Malaysia, Mahkamah Syariah di Malaysia juga mengambil pandangan majoriti Mazhab. Iaitu talaq Ta'liq TIDAK BOLEH DI TARIK BALIK. Wallahu a'lam.

744. Soalan : Soalan saya adalah seperti berikut :

1. Bolehkah berkahwin tanpa diberitahu terlebih dahulu kepada wali bagi pengantin wanita?

2. Terdapat pelajar yang berkahwin tanpa pengetahuan wali mereka,dan perkahwinan mereka dirahsiakan hingga ke suatu masa. Adakah sah perkahwinan mereka?

3. Sekiranya wali masih hidup,dan kedua ibu bapa bagi pengantin lelaki dan wanita tidak membenarkan berkahwin kerana usia yang masih muda. Adakah mereka masih boleh berkahwin dan bagaimana caranya?

Jawapan :

Ketiga-tiga soalan adalah merujuk kepada permasalahan nikah tanpa wali.

Jumhur ulama berpendapat : Tidak sah akad nikah tanpa wali. Ini ialah pandangan yang dinukilkan daripada Saidina Ali, Saidina Umar, Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Mas’ud, Abu Hurairah, Aishah, Hasan al-Basri, Ibn al-Musayyab, Ibn Shubrumah, Ibn Abi Laila, al-Atarah, Imam Ahmad, Shafie dan lain-lain. [RUJUK al-Majmuk : 16/149].

Dalilnya jelas sabda Nabi SAW :

لا نكاح إلا بولي

Maksudnya : “Tiada nikah (tidak sah) kecuali dengan wali” (Hadis Riwayat Abu Daud 1785, 5/478)

Perkahwinan adalah amanah Allah SWT Untuk menyempurnakan amanah Allah SWT  itu ia memerlukan lima rukun iaitu:

1. Calon suami

2. Calon isteri

3. Wali

4. Dua orang saksi

5. Sighah ijab qabul

Jika kekurangan salah satu rukun itu maka perkahwinan itu tidak sah. Salah satu isu penting yang sering timbul dan menjadi bahan perbualan dalam masyarakat kita ialah bidang kuasa wali. Terdapat kes-kes seperti kahwin lari, akad nikah dua kali, kahwin paksa, bapa tidak membenarkan anaknya berkahwin dengan pemuda pilihan anak, bapa angkat bertindak sebagai wali kepada anak angkatnya dan sebagainya, di mana semuanya berkisar mengenai bidang kuasa wali. Persoalan yang timbul ialah apakah bidang kuasa wali yang sebenarnya untuk menyempurna dan memuliakan amanah Allah SWT itu.?

Pengertian Wali Dan Tertibnya

Wali bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan. Wali ini merupakan salah satu rukun dalam perkahwinan. Dalil-dalil yang menunjukkan amat mustahaknya wali ialah:

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Janganlah kamu menghalang mereka berkahwin kembali dengan bekas suami mereka apabila telah terdapat kerelaan antara mereka dengan cara yang makruf."
( Surah al-Baqarah ayat 232)

Dari hadis Nabi SAW maksudnya : "Dari Abi Musa r.a. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali." (Hadis Riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa’i)

Oleh kerana wali merupakan salah satu syarat sah nikah maka bukan semua orang boleh menjadi wali. Syarat-syarat sah menjadi wali ialah:

1. Islam

2. Baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun).

3. Berakal - Orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali.

4. Lelaki - Orang perempuan tidak sah menjadi wali.

5. Adil

6. Merdeka

Manakala orang buta atau bisu pula adalah diharuskan menjadi wali kerana ia boleh menimbang dan memikirkan mengenai soal kufu dan hal-hal kepentingan kepada wanita, selagi ia boleh memahami isyarat serta tulisan dan ia memenuhi syarat-syarat sah menjadi wali.

Susunan Wali :

Susunan wali mengikut tertib adalah :

1. Bapa kandung```

2. Datuk sebelah bapa ke atas

3. Saudara lelaki seibu-sebapa

4. Saudara lelaki sebapa

5. Anak saudara lelaki seibu-sebapa

6. Anak saudara lelaki sebapa

7. Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa

8. Bapa saudara sebelah bapa sebapa

9. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah

10. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah

11. Bapa saudara seibu-sebapa

12. Bapa saudara bapa sebapa

13. Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa

14. Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah

15. Bapa saudara datuk seibu-sebapa

16. Bapa saudara datuk sebapa

17. Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah

18. Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah

19. Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan).

20. Sekalian asabah kepada seorang muktiq

21. Raja/Sultan.

Sekiranya wali pertama tidak ada, hendaklah diambil wali yang kedua dan jika wali kedua tidak ada hendaklah diambil wali ketiga dan begitulah seterusnya. 

Mengikut tertib wali, bapa hendaklah menjadi wali bagi semua perkahwinan anaknya. Dan jika bapa tidak ada kerana meninggal dunia maka hak wali berpindah kepada datuk pengantin perempuan itu; dan jika datuk juga meninggal dunia maka hak wali itu berpindah kepada saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya. 

Sekiranya pengantin perempuan itu tidak mempunyai wali maka ia akan dinikahkan secara wali hakim. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Maka Sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali." (Hadis Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud).


Wallahu a'lam.

745. Soalan : Bolehkan ustaz terangkan apakah kelebihan bulan Zulhijjah di sisi Islam?

Jawapan :



Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW maksudnya  : "Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Hadis Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman :

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

Maksudnya : "Demi Fajar dan hari-hari (malam-malam) yang sepuluh" (Surah al-Fajr  ayat 1).

Majoriti ulama menyatakan malam sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).

Perlukan difahami di dalam lafaz bahasa arab, malam juga membawa maksud siang dalam konteks tertentu, demikian juga sebaliknya. Malah Imam Ibn Abbas sendiri menafsirkan perkataan malam itu dengan katanya 

وعن ابن عباس أيضا أنه النهار كله ، وعبر عنه بالفجر ; لأنه أوله

Ertinya: dari Ibn Abbas juga beliau berkata : itu termasuk siang seluruhnya, dan itu jelas dari perkataan fajar yang dimulakan, dan siang terlebih dahulu. (Tafsir Al-Qurtubi)

Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadis lain maksudnya :  "Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Hari Riwayat Al-Bukhari).

Amalan-amalan Utama :

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

1. Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Surah al-Hajj  ayat  28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama juga.

2. Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah : "Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Hari Riwayat Muslim).

Hadis Nabi SAW :

فقد روي عن أبي قتادة الأنصاري – رضي الله عنه – أن رسول الله – صلى الله عليه وسلم – سئل عن صوم يوم عرفة فقال: يُكفِّر السنة الماضية والباقية
[رواه مسلم؛ الحديث رقم 2747، ص 477]

Telah diriwayatkan daripada Abi Qatadah al-Ansari r.a. sesungguhnya Rasulullah SAW  telah ditanya tentang Puasa Hari ‘Arafah, lalu Baginda bersabda: “Ia menghapuskan (dosa) tahun yang lalu dan tahun yang selepasnya.” (Hadis Riwayat Muslim; hadist no. 2747, muka surat 47)

3. Melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadis yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

5. Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali k.wj. menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

6. Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب


Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketakwaan hati" (Surah al-Hajj ayat 32)

Sebuah hadis menyebut  :

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" (Hadis Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )






No comments: