skip to main |
skip to sidebar
Soal Jawab Agama Siri 88 (Akad Nikah, Cara-cara Rujuk, Isteri Aktif di Laman Sosial, Suami Cemburu Dan Bantuan Untuk Saudara Baru)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 88 adalah menjawab persoalan mengenai mengadakan majlis akad nikah, cara-cara rujuk, isteri aktif dalam laman sosial, cemburu dalam Islam dan bantuan untuk saudara baru.
726. Soalan : Saya dan pasangan dijangka akan melangsungkan perkahwinan pada 14 Disember 2013 bersamaan 14 Safar 1435. Terdapat sesetengah pendapat menyatakan bulan Safar tidak elok dibuat majlis pernikahan. Disini, saya ingin bertanya
adakah benar pendapat yang menyatakan bahawa bulan Safar tidak sesuai di buat majlis pernikahan dan perkahwinan? Adakah ada di nyatakan di dalam Al-Quran atau hadis hari dan masa yang sesuai untuk majlis akad nikah dan perkahwinan?
Besarlah harapan saya sekiranya ustaz sudi menghurai permasalahan ini.
Jawapan :
Al-Quran dan Sunnah tidak pernah menyatakan secara khusus hari-hari yang tidak harus seseorang itu melakukan sebarang perbuatan seperti nikah kawin. Malahan Rasulullah telah bersabda yang maksudnya : “Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya), tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk), tidak ada kesialan (malang) kerana burung hantu, dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan Safar.” (Hadis Riwayat Bukhari , Muslim, Abu Daud, dan Ahmad )
Rasulullah SAW bersabda; “Beranggapan sial termasuk kesyirikan (baginda menyebutnya tiga kali).” Lalu baginda bersabda, “Tidak ada di antara kita yang selamat dari beranggapan sial. Menghilangkan anggapan sial tersebut adalah dengan bertawakal.” (HR. Abu Dawud)
Menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa terhadap sesuatu perkara seperti kedudukan bintang, waktu atau masa yang tertentu, gerakan binatang dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu itu ditetapkan oleh Allah SWT tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya.
Firman Allah SWT maksudnya : “Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-A’raaf (7) ayat 131)
Oleh itu bagi sesiapa yang membuat sesuatu keputusan berdasarkan tathayyur (ramalan buruk kerana sesuatu), maka dia telah terjebak dalam lembah kesyirikkan.
Daripada ‘Abdullah ibnu ‘Umar r.a dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ
Maksudnya : “Sesiapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayrah (ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah berbuat syirik.” (Hadis Riwayat Ahmad, no: 6748)
Daripada ‘Abdullah Ibnu Mas’ud bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
مِنَّا إِلاَّ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ثَلاَثًا وَمَا.
Maksudnya : “Al-Thiyarah (menyandarkan keburukan kepada sesuatu) itu syirik, al-Thiyarah itu syirik tiga kali. Dan tidak ada seoarang pun dari kita, kecuali (telah terjadi dalam dirinya pengaruh al-Thiyarah tersebut) akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no: 3411)
Dengan ini sebarang kerja bolehlah dilakukan pada waktu yang sesuai berpandukan pandangan dan kelapangan manusia itu sendiri. Dalam Islam semua hari adalah sesuai untuk majlis perkahwinan. Walau bagaimanapun ada baiknya tidak dilakukan majlis tersebut dalam bulan Ramadan kerana setiap orang Islam berusaha merebut fadhilat Ramadan atau hari-hari yang hampir ke Ramadan, kerana dikhuatiri akan berlaku perbuatan salah laku yang menyebabkan kifarah seperti bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadan. Apa yang penting, kita memohon kepada Allah S.W.T. agar perkahwinan itu berpanjangan hingga ke akhir hayat, hidup aman daman dengan mendapat zuriat soleh dan solehah disamping restu daripada kedua ibu bapa anda. Wallahu a'alam
727. Soalan : Bolehkah seorang suami menyetubuhi isterinya pada masa iddah untuk merujuknya?
Jawapan :
Jika seorang suami mentalak isterinya dengan talak satu atau talak dua maka secara otomatik si isteri masuk dalam masa iddah. Si isteri menjalani masa iddah di rumah suaminya, si isteri tetap tinggal bersamanya kerana ia masih berstatus isteri dalam perlindungan suami.
Dalam mazhab Syafie berpendapat bahawa si suami wajib rujuk sebelum menyetubuhi isterinya. Iaitu dengan mengucapkan kalimat rujuk. Misalnya dengan mengatakan: "Saya rujuk kepadamu, Saya kembali kepada si Fulanah Binti Fulana dengan disaksikan dua orang saksi dari kalangan kaum muslimin.
Mazhab Syafie menolak rujuk melalui perlakuan tanpa lafaz secara total, sama ada persetubuhan, mahupun permulaannya sebagaimana pandangan mazhab Hanafi . Mazhab Syafie berfatwa sebarang persetubuhan pada waktu ‘iddah tanpa lafaz rujuk yang jelas terlebih dahulu adalah haram.
Imam As-Syafie berkata :-
"Ruju mestilah dengan percakapan ( lafaz) dan bukannya dengan jimak dan lainnya, kerana tiada rujuk tanpa lafaz, maka tidak sah rujuk bagi seorang lelaki kepada wanita sehinggalah dia melafazkannya, sebagaimana tiada nikah dan talaq yang dibuat tanpa lafaz, maka jika si lelaki melafazkannya (rujuk) semasa iddah barulah sah rujuknya" (Al-Umm)
Dengan pernyataannya itu berakhirlah masa iddah, setelah itu ia boleh menyetubuhi isterinya bila saja ia mahu. Inilah cara yang paling selamat jika ia berhasrat menyetubuhi isterinya yang berada dalam masa iddah. Adapun jika talaknya itu talak tiga, maka si isteri tidak boleh tinggal bersamanya. Si isteri harus keluar dari rumahnya dan tidak halal baginya hingga si isteri menikahi lelaki lain. Dan bila suami baru kepada bekas isterinya itu menceraikannya barulah ia boleh kembali kepada bekas isterinya dahulu dengan menjalani akad nikah semula. Wallahu a'lam.
728. Soalan : Saya seorang suami. Saya amat berbesar hati sekiranya ustaz dapat
memberikan saya jawapan dan penjelasan. Sekiranya seorang isteri mempunyai akaun jaringan sosial seperti
facebook, yahoo messenger, email peribadi dan seumpamanya, patutkah
seorang isteri tersebut memberikan akses kepada akaun akaun tersebut
kepada suaminya agar dapat berkongsi sama melihat kandungan, rakan,
gamabr, nota, korespondences yang terdapat di dalamnya?
Jawapan :
Wajib suami menjaga ahli keluarga (isteri dan anak-anak) dari perkara
yang boleh memabawa mereka kepada dosa yang akhirnya membawa ke neraka.
Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah diri kamu dan
ahli keluarga kamu dari api neraka” (Surah at-Tahrim, ayat 6).
Di antara
yang dipesan oleh Rasululllah SAW ialah berhati-hati dalam memilih kawan
sebagaimana sabda baginda ; “Seseorang itu berada di atas agama
kawannya, maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa dia
berkawan” (Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah. Menurut
at-Tirmizi; hadis ini hasan).
Facebook adalah jaringan kawan-kawan dan
kenalan, maka suami mempunyai hak untuk memantau dengan siapa isteri dan
anak-anaknya berhubungan demi membolehkannya melaksanakan kehendak ayat
dan hadis tadi.
729. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan adakah salah jika seorang suami meminta seorang isteri memberitahu suaminya
sekiranya si isteri ada menerima panggilan atau tawaran dari lelaki lain
untuk menjadi sahabat atau rakan dari jaringan social atau email. Sekiranya si isteri tidak bersetuju dengan nasihat dan pandangan suami
atas perkara-perkara diatas, apakah yang patut dilakukan oleh si suami? Adakah seorang suami itu bersikap terlalu cemburu kepada isterinya sekiranya si suami berpandangan sedemikian?
Jawapan :
Tidak salah jika si suami ingin meminta isteri memberitahu suaminya jika si isteri menerima panggilan telefon, mendapat sms atau e-mail kerana hak suami menjaga dan mengawal pergaulan isterinya. Sikap cemburu suami jika berasas, itu adalah tanda iman. Namun cemburu
tanpa berasas, itu adalah tanda penyakit hati. Sabda Nabi Sallallahu
‘Alaihi Wasallam-; “Cemburu ada dua; satunya disukai Allah dan satu lagi
dibenci Allah. Cemburu jika berpunca dari keraguan/kegusaran, ia
disukai Allah. Namun jika tidak datang dari sebarang keraguan, ia
dibenci Allah” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Thabrani dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin
‘Amir. Menurut as-Suyuti; hadis ini soleh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier,
hadis no. 5783).
Menurut ulama maksud cermburu tanpa keraguan ialah
cemburu buta, yang timbul dalam hati tanpa sebarang sebab iaitu
semata-mata buruk sangka dari suami terhadap isteri atau dari isteri
terhadap suami (Faidhul-Qadier).
Di dalam hadis, Rasulullah
SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga lelaki yang dayus” (Hadis Riwayat at-Tayalisi dari ‘Ammar).
Maksud dayus ialah; lelaki yang hilang
perasaan cemburu terhadap nilai dirinya di mana ia tidak kesah siapa
lelaki yang bersama dengan isteri atau anak perempuannya, dengan siapa
mereka keluar dan ia tidak mengambil berat akhlak dan tingkah laku
mereka (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah).
Sabda Nabi SAW yang maksudnya : “Tiga
manusia akan diharamkan Allah dari syurga;
1. Orang yang ketagih arak
2. Orang yang menderhakai dua ibu-bapanya
3. Lelaki yang dayus, iaitu yang berdiam diri atau menyetujui perbuatan zina yang di kalangan ahli keluarganya. (Hadis Riwayat Ahmad dari Ibnu ‘Umar. Hadis Soheh. Al-Jami’ as-Saghier, no. 3503). Wallahu a'lam.
730. Soalan : Kawan sekerja saya seorang perempuan berbangsa Cina dia telah memeluk agama Islam baru-baru ini setelah hampir setahun saya berdakwah kepadanya menjelaskan tentang kebaikan ajaran Islam. Alhamdulillah dengan hidayah dan taufik daripada Allah SWT dia telah menerima Islam dengan hati terbuka. Soalan saya bagaimana harus saya lakukan supaya beliau menjadi seorang muslim yang baik dan terus mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupannya?
Jawapan :
Tahniah saya ucapkan kepada puan kerana atas usaha puan Allah SWT memberikan hidayah dan taufik-Nya kepada kawan puan tadi sehingga dia memeluk agama Islam. Besar ganjaran pahala yang akan puan terima di akhirat nanti. Terdapat dua hadis mengenai pahala atau kebaikan mengajak orang bukan Islam kepada Islam.
1. Daripada Sahl bin Sa’d radhiyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullaah Sallallaahu ‘Alaihi Wa sallaam pernah bersabda: “Maka demi Allah, sekiranya Allah memberi hidayah kepada seorang sahaja (kerana dakwah) melalui diri mu, (itu) adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu memiliki unta-unta merah.”(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Pada zaman Rasulullaah Sallallaahu ‘Alaihi Wasallaam, binatang
peliharaan merupakan harta yang besar nilainya, terutama unta. Unta
Merah adalah jenis unta yang terbaik dan termahal kerana badannya yang
tinggi besar. Jadi, untuk mendekatkan pemahaman para sahabat baginda,
mengenai harta yang mahal , maka digunakan contoh yang paling mudah dan
terdekat dengan mereka iaitu unta merah.
2. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Barang siapa menyeru kepada
petunjuk (Islam) maka ia akan mendapat pahala seperti pahala yang
diperoleh oleh orang-orang yang mengikutinya, tidak berkurang sedikit
pun.” (Hadis Riwayat Muslim).
Perlu diingat bahawa sekiranya seseorang memasuki Islam dan beriman
kepada Allah SWT kerana usaha-usahanya, maka pahala orang tersebut dan
pahala keturunannya yang beriman sehingga kehari kiamat akan diperoleh
oleh orang yang berdakwah tadi tanpa dikurangkan walaupun sedikit.
Umpama air sungai yang mengalir tanpa henti-henti.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesiapa yang melakukan satu kebaikan,
dan kebaikan itu diikuti oleh orang lain maka ia dapat ganjaran terhadap
apa yang dia lakukan dan ganjaran terhadap apa yang dilakukan oleh
orang lain tanpa ada sebarang kekurangan. Manakala sesiapa yang
melakukan keburukan dan keburukan itu diikuti oleh orang lain maka ia
mendapat ganjaran terhadap apa yang dia buat dan ganjaran terhadap apa
yang dilakukan oleh orang lain tanpa sebarang kekurangan. ” (Hadis
Riwayat Tirmizi)
Untuk menjadikan kawan puan istiqamah dengan agama Islam yang baru di anutinya maka puan perlulah melakukan beberapa perkara :
1. Tolong pantau pengajian ilmu fardu ain yang diikutinya samaada melalui Perkim, Jabatan Agama Islam, JAKIM, Persatuan Cina Muslim, Hidayah Centre atau Outreach ABIM . Badan kerajaan dan NGO ini ada menyediakan kelas-kelas asas fardu ain untuk saudara baru.
2. Bantu keperluan untuk dirinya jika dia memerlukan seperti nasihat, kaunseling dan bantuan kewangan kerana biasanya saudara baru akan dipulaukan oleh keluarganya jika mereka mengetahuinya. Dengan adanya tempat mengadu dan bergantung ketika susah akan menyebabkan jiwanya yang masih baru menerima Islam akan istiqamah dengan Islam.
3. Berikan buku-buku yang asas mengenai Islam seperti buku tulisan Sayyid Abul Ala al- Maulana Maududi (Toward Understanding Islam dan Asas-asa Islam,). Ustaz Fathi Yakan : Apa Ertinya Saya Memeluk Islam dan buku-buku yang asas bab akidah , ibadah dan fikrah Islam.
4. Seseorang Saudara Baru yang didaftarkan adalah layak untuk menerima bantuan sagu hati yang ditetapkan oleh Majlis atau Jabatan Agama Islam seperti berikut :
(a) Sagu hati memeluk Islam
(b) Berkhatan
(c) Kelengkapan Ibadah
(d) Urusan pengebumian
5. Namun Saudara Baru juga boleh memohon untuk mendapatkan bantuan yang ditetapkan oleh Majlis atau Jabatan Agama Islam seperti :
(a) Bantuan sara hidup
(b) Bantuan tempat tinggal
(c) Bantuan perubatan
(d) Bantuan perkahwinan
(e) Bantuan bagi apa-apa pendidikan atau pengajian yang difikirkan perlu oleh Majlis atau Jabatan
6. Puan jadikan dia sebagai adik angkat dan bawa berjumpa keluarga puan supaya dia merasai kemesraan dalam kehidupan keluarga orang Islam.
No comments:
Post a Comment