Saturday, October 19, 2013

Soal Jawab Agama Siri 101 (Hukum Arak, Air Mustakmal, Pinjaman Bank Untuk Majlis Perkahwinan, Solat Jamak Dan Ukhwah Islamiah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 101 adalah membicarakan persoalan hukum terlibat dengan arak, air mustakmal boleh digunakan untuk berwuduk, pinjaman dengan bank untuk belanja perkahwinan, solat jamak ketika bukan musafir dan ciri-ciri untuk melahirkan ukhwan Islamiah.

786. Soalan :  Saya sering di tugaskn membuat pengiring rapat kepada vip . Apabila di tugaskn membawa vip yang non muslim mereka ini kadang kala memesan dan meminum minuman keras . Apa kah hukum saya yang menjalankn mengiringi vip seperti ini ? Setahu saya mereka yang menjual, membawa, menuang dan lain-lain lagi semuanya dapat 'saham' yang sama . Adakah saya turut termasuk dalam golongan tersebut ? Mohon penjelasan ustaz?

Jawapan :

Berkerja mengiring VIP tak salah tetapi bersyubahat dengan perkara haram tidak dibenarkan kerana memang terdapat hadis yg sahih mereka yg termasuk 10 golongan bersangkut paut dengan arak akan mendapat dosa yg sama. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. ” (Surah Al-Maaidah: Ayat 90)

Allah SWT Melaknat Sepuluh Golongan Yang Terlibat Dengan Arak :

” Diriwayatkan daripada Anas r.a bahawa rasulallah s.a.w telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak:

1. orang yang memerah arak

2. orang yang diminta arak diperah untuknya

3. orang yang meminumnya

4. orang yang membawanya

5. orang yang meminta dibawa arak kepadanya

6. orang yang memberi minum arak kepada orang lain

7. orang yang menjual arak

8. orang yang mendapat hasil daripada arak

9. orang yang membeli arak

10. orang yang meminta dibelikan arak untuknya “

(Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)

Huraian Hadis :

i) Arak yang juga disebut “khamar” dalam bahasa Arab bermaksud minuman yang memabukkan. Ia menjadi minuman kemegahan bagi orang-orang fasik, kafir dan munafik. Di dalam Islam hukum meminumnya adalah haram.

ii) Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa arak itu adalah ibu segala kejahatan. Ini terbukti di mana hasil kajian mendapati bahawa arak sebenarnya boleh merosakkan fizikal dan mental manusia di mana dari segi ilmu perubatan arak itu boleh memberi kemudharatan pada tubuh badan manusia seperti menyebabkan penyakit lemah jantung, barah mulut, tengkuk, kerongkong, penyakit saraf dan penyakit hati.

iii) Manakala dari aspek mental pula al-Quran sendiri ada menyebut bahawa arak itu akan mendedahkan gejala yang tidak baik kepada individu, masyarakat dan negara di mana seseorang yang meminum arak pasti akan mengalami gangguan minda, hilang pertimbangan dan kesedaran diri menyebabkan ia akan melakukan sesuatu perkara buruk yang tidak pernah dilakukan ketika dia berkeadaan waras. Inilah puncanya berlaku permusuhan dan kebencian serta terjadinya penyakit sosial seperti gejala seks bebas, pembunuhan dan kemalangan jalanraya.

iv) Sesungguhnya tujuan utama Islam mengharamkan pengambilan arak adalah untuk menjaga keperibadian manusia daripada perkara-perkara yang merosakkan selain daripada kesan arak itu sendiri yang boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah. Bahkan para fuqaha mengatakan bahawa jenayah arak ini sebenarnya samalah seperti kesalahan mencuri dan berzina di mana hukuman yang bersabit dengan arak ini adalah sebat antara 40 hingga 80 kali.

v) Larangan arak selain daripada yang disebutkan di dalam hadis di atas juga berlaku pada larangan menghadiri majlis di mana arak disediakan untuk para tetamu. Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjauhi arak daripada kehidupan mereka dan bersama membenteras gejala tidak sihat ini daripada terus menular di dalam masyarakat

 Jika saudara tidak boleh elakkan dalam melakukan perkara yg haram maka lebih baik mencari bidang kerja yg lain kerana rezeki Allah SWT ada dimana-mana dan yakin dan bertawakallah bahawa Dia akan menolong para hamba-Nya yg berusaha mencari rezeki yg halal. Rezeki daripada sumber yg haram atau syubahat tidak akan mendatangkan keberkatan dalam kehidupan . Muka bumi ini luas dan carilah kurniaan Allah di mana-mana saja kerana kehidupan kita bukan saja di dunia tetapi kehidupan kita yang kekal abadi adalah di akhirat.

787. Soalan : Adakah air mustakmal boleh digunakan untuk mengambil wuduk? Adakah air titisan daripada tangan kita apabil terjatuh ke dalam air mutlak dalam satu baldi (tidak sampai dua kolah) boleh menjadikan air tersebut air mustakmal? 

Jawapan :


Nabi SAW tidak mengharamkan penggunaan air mustakmal untuk berwuduk.

Terdapat beberapa riwayat yang sabit daripada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bahawa air mustakmal itu adalah suci dan boleh digunakan untuk berwuduk.

Telah diriwayatkan dari Humran (hamba abdi ‘Uthman), bahawasanya dia melihat ‘Uthman bin Affan minta dibawakan sebuah bejana, lalu menuangkan air dari bejana itu ke telapak tangannya dan mencuci keduanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam tempat wuduk itu (bejana) lalu berkumur-kumur seraya memasukkan air ke hidung serta mengeluarkannya. Setelah itu dia membasuh mukanya tiga kali…Kemudian dia (‘Uthman bin Affan) berkata: “Aku melihat Rasulullah berwuduk sebagaimana wuduk ku ini…” 
(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari no: 164.)

Dari hadis ini jelas kita melihat bahawa ‘Uthman al-Affan radhiallahu 'anh telah mencelup tangannya ke dalam sebuah bejana berisi air dan terus menggunakan air tersebut untuk membasuh anggota wuduk yang lain. Sekiranya air mustakmal itu tidak suci untuk berwuduk pasti dia akan menyuruh Humran untuk menggantikan air di dalam bejana tersebut kerana ianya tidak sah lagi untuk digunakan untuk berwuduk. Lantas ‘Uthman radhiallahu 'anh mensabitkan perbuatannya kepada ajaran Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Rubaiyi’ binti Mu’awwidz mengkhabarkan bahawa dia melihat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berwuduk. Katanya: “Baginda menyapukan kepalanya dengan air yang tersisa dari kedua belah tangannya.” (Hadis Riwayat Imam Abu Dawud no: 110).

Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam membasuh kepalanya dengan lebihan air yang ada ditangannya tanpa mengambil sumber air yang baru. Jika air mustakmal itu tidak menyucikan tentu baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam akan mengambil air yang baru untuk menyapu kepalanya.

Dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Aku pernah mandi janabah bersama Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari satu bejana dan tangan kami bergiliran memasuki bejana itu. - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 261).

Ukuran jumlah air dalam bejana ini diterangkan oleh ‘Aisyah radhiallahu 'anha melalui sebuah riwayat lagi.

Daripada ‘Aisyah dia berkata: Aku mandi bersama Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari satu bejana dari sebuah bejana yang disebut al-Faraq. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 250).

Ulama berbeza pendapat tentang ukuran al-Faraq. Ada yang menyatakan ianya 16 rithil atau 3 sha’ (lebih kurang 6.5kg atau 8.25 liter) air dan lain-lain. Apa pun jua ukuran tersebut ianya tetap kurang dari ukuran dua kolah. Apa yang jelas bagi kita Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah mandi wajib bersama ‘Aisyah dan mereka berdua telah mencelupkan tangan mereka ke dalam bejana atau al-Faraq tersebut tanpa menggantikannya dengan air yang baru. Ini menunjukkan air mustakmal tetap suci untuk digunakan untuk bersuci.

Apa yang dapat kita simpulkan dari riwayat-riwayat di atas adalah air mustakmal itu suci lagi menyucikan tanpa timbulnya keraguan. Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

"Hukumnya (air mustakmal) suci lagi menyucikan sebagaimana halnya air mutlak tanpa berbeza sedikitpun. Hal itu adalah disebabkan asalnya yang suci, sedangkan tidak dijumpai satu alasan pun yang mengeluarkannya dari kesucian itu. - Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Jilid 1, ms. 36"

788. Soalan : Apakah hukumnya menggunakan wang pinjaman bank untuk di gunakan dalam majlis perkahwinan kerana wang hantaran dan belanja jamuan perkahwinan terlalu mahal sekarang ini.Minta penjelasan ustaz.

Jawapan :

Pasangan yang ingin berkahwin dengan membuat pinjaman bank untuk perbelanjaan perkahwinan mereka kurang keberkatannya, kerana duit dari hasil hutang, sedikit sebanyak akan tersangkut dengan riba bank, apabila wang perkahwinan bukan dari sumber titik peluh sendiri, maka kurang rasa kesusahan dan kenikmatannya apabila memiliki seorang isteri. Biar susah mengumpulkan duit untuk berkahwin, apabila dapat isteri dengan titik peluh empat kederat sendiri, kita akan rasa satu kepuasa dan kenikmatannya, kerana isteri yang diidamkan selama ini dapat dengan penat lelah sendiri.

Sebenarnya boleh buat pinjaman bank untuk perbelanjaan kahwin tetapi pastikan pinjaman tersebut dibuat cara Islam bukannya pinjaman secara konvesional (riba) jika tidak berkemampuan setelah berusaha, memang duit yang dikumpulkan tidak mencukupi juga, kerana gaji bulanan sangat kecil. Maka bolehlah untuk buat pinjaman perbelanjaan kahwinnya. Elakkan tunggakkan hutang kahwin tidak berbayar, kerana dikuatiri perkahwinannya tidak berkat dan menghadapi masalah dihari akan datang nanti. Perbelanjaan kahwin ini biarlah dari sumber rezeki yang halal dan berkat, kerana hal ini mempengaruhi perkahwinan dan zuriatnya. Apabila rezeki yang halal digunakan sebagai perbelanjaan kahwinnya, maka Allah akan menurunkan keberkatan kepadanya dan keluarganya, Allah SWT akan sentiasa memelihara keluarganya dari perkara-perkara maksiat dan dosa.

Kenduri kahwin yang berlebihan akan berlakunya pembaziran dan kelalaian dan jauh dari apa yang dikehendaki oleh syariat Islam. Masyarakat sekarang berbangga dengan dirinya apabila melaksanakan kenduri besar, kenduri yang hebat, ada lagu, ada DJ, ada persandingan, ada persembahan silat dan banyak lagi. Cuba fikir, sebenarnya kenduri kahwin ini hendak mencari keberkatan atau hendak mencari kemegahan? Jika hendak mencari keberkatan, biarlah kenduri itu dihiasi dengan perkara-perkara yang berlandaskan dengan syarak Islam. Jangan adakan persandingan, jika adapun biarlah bersanding dihadapan keluarga sahaja atau ditempat yang tertutup, bukan untuk ditunjukkan kepada tetamu yang datang. Pakaian penganting mestilah menutup aurat dan tidak bersalaman dengan bukan muhrim, kerana perkara yang haram tetap haram dan perkara yang halal tetap halal. Jangan memasang lagu-lagu yang laqa (lalai) atau berunsurkan cinta dunia, lagu Hindustan, lagu melayu dan sebagainya, kerana malaikat tidak datang ke kenduri yang memasang lagu-lagu lalai untuk memberikan rahmat. Boleh untuk berlagu, tetapi biarlah lagu-lagu nasyid, selawat dan bacaan Al-Quran. Firman Allah yang bermaksud :

"Janganlah kamu bertabarruj (menunjuk) seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab : 33).

Carilah keberkatan dalam perkahwinan kita semua, kerana keberkatan itulah yang akan membuatkan perkahwinan kita kekal bahagia, biarlah perkahwinan berlandaskan kepada syariat Islam, alam berumahtangga memerlukan orang yang menghayati Islam untuk membimbing keluarganya kearah yang dikehendaki oleh Islam. Keluarga bahagia ini mestilah berlandaskan Islam dalam semua amalan rumahtangga mereka.

789. Soalan : Saya pernah terbaca satu artikel..boleh di jamak solat Zuhur dan Asar walaupun bukan musafir...tapi dalam keadaan yang merumitkan kita untuk solat pada waktu..( jem di highway ). tapi tidak boleh di qasar kecuali musafir. Mohon ustaz beri pencerahan masalah ini.

Jawapan :

Nabi SAW pernah solat jamak bukan kerana musafir, tetapi baginda tidak kerap melakukannya hanya sekali sekali sekala saja, menunaikan solat Jamak ia didasarkan kepada hadis yang dilaporkan oleh Ibnu Abbas r.a,

صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا سَفَرٍ


Maksudnya: Rasulullah SAW telah menunaikan Solat Jamak Zohor dan Asar serta Maghrib dan Isyak bukan dalam situasi takut (di medan perang dan lain-lain) dan tidak juga di dalam musafir.

Tatkala Ibnu Abbas ditanya alasan Rasulullah SAW melakukan demikian, Ibnu Abbas menjawab, “Dia tidak mahu ada seorang pun dari kalangan ummatnya yang merasa susah”.

Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Ibn Mas’ud menambah dalam laporannya,
Aku (Rasulullah) berbuat demikian supaya umatku tidak berada didalam kesulitan.

Zahir hadis di atas menunjukkan Rasulullah SAW pernah melakukan solat jamak selain dalam musafir dan keadaan takut. Zahir hadis juga menunjukkan solat dijamak sahaja tanpa diqasarkan. 

Jika solat boleh dijamakkan walaupun mempunyai sebab yang kecil, maka keharusan menjamakkan solat semasa sakit kuat adalah lebih utama.

Ibnu Qudamah al-Hanbali menjelaskan tentang hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

“Maksudnya: Kami telah sepakat bahawa jamak dua solat tidak dibolehkan tanpa ada suatu halangan.”
Pendapat Ibnu Qudamah adalah relevan dikaitkan dengan keharusan solat jamak bagi pesakit sebagaimana yang dijelaskan dibawah ini. Situasi yang dihadapi oleh pesakit merupakan halangan yang diiktiraf syarak. Oleh sebab itu mereka juga diharuskan menjamakkan dua solat bila mengalami sakit berat. 

Ulama yang mengharuskan pesakit solat jamak ialah mazhab Maliki dan mazhab Hanbali.

Imam Ahmad menafsirkan hadis Ibnu Abbas sebagai rukhsah bagi pesakit . Imam Ahmad juga memberi alasan lojik yakni jika musafir dibenarkan solat jamak, maka keadaan pesakit adalah lebih berat dari musafir. Oleh sebab itu keperluan mereka kepada solat jamak adalah lebih besar. Apa yang berbeza ialah pesakit hanya boleh menjamakkan dua waktu solat tanpa memendekkannya.

Pandangan ini sesuai dengan kaedah fikah yang berbunyi,

اَلْمُشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْرُ

Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan.

Maksudnya dalam konteks pesakit berusaha menunaikan solat, kesukaran yang dihadapi mengharuskan mereka menunaikan solat jamak. Tambahan pula Nabi SAW pernah menunaikan solat jamak selain waktu musafir dan selain dalam keadaan takut. Pengertian yang terkandung dalam hadis tersebut agak umum serta tidak diperincikan kepada masalah tertentu sahaja, maka harus beramal dengan hadis tersebut dalam masalah ini.

Contoh situasi pesakit yang dibenarkan solat jamak ialah;

1. Pesakit yang merasa sukar untuk bangun membersihkan diri serta bersuci setiap kali masuk waktu solat.

2. Pesakit yang bimbang tidak sedarkan diri sebelum masuk waktu solat berikutnya.

3. Pesakit yang mengetahui akan dibedah dalam tempoh dua waktu solat yang boleh dijamakkan, maka hendaklah ditunaikan solat Jamak Taqdim. Solat tidak boleh dilewatkan sehingga habis waktunya. Ini berlaku bagi pembedahan pada waktu Zohor dan Asar. 

4. Jika waktu pembedahan berlanjutan hingga Magrhrib dan Isyak, pesakit diharuskan melakukan solat Jamak Takhir bagi waktu Maghrib dan Isyak.

5. Pesakit yang tidak mampu membersihkan diri dan bersuci serta terpaksa dibantu oleh orang lain. Contoh pesakit angin ahmar.

Melalui keterangan di atas, boleh difahami jika seseorang itu hanya demam selsema, sakit bisul, pening kepala dan lain-lain sakit yang ringan, mereka tidak layak mengambil rukhsah solat Jamak. Selain daripada sakit ulama menyatakan jika kita terperangkap dengan jam dijalan raya dibolehkan atau ada pepereksaan yg tak boleh keluar untuk solat.

Solat jamak yg di bolehkan selain daripada musafir adalah kita lihat keperluan yg terdesak ianya tidak boleh dijadikan sebagai kebiasan kerana setiap waktu solat yg 5 waktu ada waktu-waktu yg ditetapkan waktunya.

790. Soalan : Islam menggalakkan umatnya saling berkasih sayanag dan membina ukhwah Islamiah. Bolehkan ustaz jelaskan apakah ciri-ciri yang boleh melahirkan kasih sayang dan membina ukhwah Islamiah?

Jawapan :

Terdapat banyak jalan untuk mengukuhkan ikatan ukhuwah, dan sekiranya umat Islam berpegang dengannya dan melaksanakan di dalam kehidupan mereka nescaya akan bertambah kuatlah persaudaraan sesama kita.

Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :

1. Nyatakan rasa kasihmu pada saudaramu.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Jika seseorang itu kasih akan saudaranya, beritahulah kepadanya." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi).

2. Minta supaya saudaramu mendoakanmu sebelum berpisah.

Saidina Umar al-Khattab r.a berkata, "Saya minta izin kepada baginda SAW  untuk mengerjakan umrah." Baginda SAW membenarkan dan berpesan, "Jangan lupa bila berdoa untuk kami bersama." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi)

3. Bermanis muka ketika bertemu.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Janganlah kamu memandang hina terhadap kebaikan walaupun kecil, walaupun bermanis muka ketika bertemu dengan kawan-kawan."

4. Segeralah bersalam apabila bertemu.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Tiadalah dua orang Islam yang bertemu lalu bersalaman melainkan dosa mereka akan diampunkan sebelum berpisah."

5. Selalu menziarahi saudaranya dari masa kesemasa (satu tempuh yang tidak terlalu kerap dan tidak terlalu jarang).

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud, "Siapa yang mengunjungi orang sakit atau menziarahi saudara seagama dengannya menyerulah penyeru (malaikat), engkau baik, perjalanan engkau juga baik dan engkau akan menduduki rumah di syurga."

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW. bersabda yang bermaksud, "Ziarahilah saudaramu untuk menambahkan kasih sayang."

6. Memberi ucapan tahniah kepada saudaranya dan menyukakan hatinya.

"Siapa yang menemui saudaranya dengan apa-apa yang menyukakan, nescaya Allah Azzawajalla akan menyukakannya pada hari kiamat."

7. Memberi hadiah kepada saudaranya ketika-ketika yang munasabah.

Sabda Nabi SAW  yang bermaksud, "Hendaklah kamu memberi hadiah, ia boleh membangkitkan kasih sayang dan menghapuskan rasa dendam di hati."
(Hadis Riwayat Dailami dari Anas)

8.Laksanakan tanggungjawab persaudaraan dengan sempurna.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW  bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).


No comments: