Sunday, October 20, 2013

Soal Jawab Agama Siri 102 (Hukum Darah Di Daging, Nikah Wanita Mengandung, Menuduh Seorang Kafir, Sujud Syukur dan Sujud Tilawah Dan Aurat Wanita)

  
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 102 adalah membicarakan persoalan memakan darah yang melekat di daging, hukum nikah wanita yang sedang mengandung anak luar nikah, hukum menuduh seorang muslim itu kafir, perbezaan sujud syukur dan sujud tilawah dan batas-batas aurat wanita.

791. Soalan : Ustaz bagaimana hukum darah dalam makanan daging seperti ayam terkadang kita lihat dibagian luar tulangnya itu terdapat darah yang sudah menghitam kerana dimasak, namun banyak dari kita yang tidak tahu bahwa itu adalah darah lantas memakannya. Begitu pula daging lembu ketika dimasak seperti rendang terkeluar sedikit darahnya daripada daging tersebut. Apakah hukumnya memakan darah tersebut.

Jawapan :


Ulama sepakat bahwa darah hukumnya haram, tidak boleh dimakan Allah SWT berfirman :

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah ayat 173)

Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa darah hukumnya haram tanpa ada keterangan darah yang bagaimanakah yang statusnya haram itu. Kata semacam ini dalam istilah usul fiqh disebut kata mutlak.

Keterangan lebih spesifik lagi, Allah SWT sebutkan di surat Al-An’am:

قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Katakanlah: “Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang memancar atau daging babi  kerana sesungguhnya semua itu kotor  atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-An’am ayat 145)

Pada ayat kedua ini, Allah SWT memberikan keterangan tambahan bahawa darah yang haram itu adalah darah yang memancar. Keterangan tambahan “darah yang memancar” dalam istilah usul disebut muqayyad.

Dari dua ayat ini, para ulama memahami ayat mutlak kepada ayat muqayad, maksudnya darah yang diharamkan pada surat Al-Baqarah di atas, difahami sebagai darah yang memancar dan bukan semua darah, sebagaimana yang disebutkan dalam surat Al-An’am.

Diriwayatkan bahwa Aisyah mengatakan,

لولا أنّ الله قال أو دماً مسفوحاً لتتبّع الناس ما في العروق

Maksudnya : “Andai Allah tidak berfirman, ‘darah yang memancar’ tentu orang-orang akan mencari-cari darah yang menyelip di daging.” (Rawa’iul Bayan, 1:164)

Hal yang sama juga dinyatakan Ikrimah, murid Ibnu Abbas,

لولا هذه الآية لتتبع الناس ما في العُرُوق، كما تتبعه اليهود

“Andaikan bukan ayat ini, tentu kaum muslimin akan mencari-cari darah yang ada di daging, sebagaimana yang dilakukan orang Yahudi.” (Tafsir Ibn Kasir, 3:352)

Imam Qatadah juga mengatakan,

حرم من الدماء ما كان مسفوحًا، فأما لحم خالطه دم فلا بأس به

“Darah yang diharamkan adalah darah yang mengalir, adapun daging yang di sela-selanya terselip darah, tidak haram.” (Tafsir Ibn Kasir, 3:352)

Keterangan di atas menunjukkan bahwa para sahabat sepakat, darah yang melekat di daging tidak haram.

Catatan:

Apa itu darah yang memancar?
Syaikh Ibnu Utsaimin menjelaskan, “Darah yang memancar adalah darah yang keluar dari binatang sebelum dia mati.” (Asy-Syarhul Mumti’, 15:8)

792. Soalan : Apakah hukumnya seseorang wanita yang sedang mengandung anak luar nikah bernikah dengan lelaki yang berzina dengannya sehingga menjadikan dia mengandung anak tersebut. Atau wanita tersebut bernikah  dengan lelaki lain . Adakah nikah mereka sah atau perlu wanita tersebut melahirkan anak terlebih dahulu dan baru mereka dibenarkan berkahwin?

Jawapan :

Bagaimanapun dalam kes ‘iddah bagi individu yang telah mengandung akibat zina dan hukum si wanita ini berkahwin dengan lelaki samaada pasangan zinanya atau lelaki lain bagi menutup malunya dengan segera atau apa jua sebab lain.

Ulama berbeza pandangan dalam hal ini.

Mazhab Maliki, Syafie dan At-Thawry berpendapat bahawa tiada hukum ‘IDDAH bagi wanita berzina. Menurut aliran mazhab ini, perbuatan berdosa dan haram seperti zina tidak akan diiktiraf, Hasilnya, tiada hukum boleh terbina di atas sesuatu yang tidak sah seperti zina. (Rawdah at-Tolibin, 7/113 ; Bidayatul Mujtahid, ibn Rusyd, 2/21)

Pandangan ini juga diriwayatkan telah dipegang sebelumnya oleh beberapa sahabat Nabi SAW yang utama seperti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a , Umar Al-Khattab r.a dan Ali Bin Abi Talib r.a.

Ia berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a :

Ertinya : "..Penzina (muhsan) tidak lagi layak kepada sesuatu kecuali rejaman batu sehingga mati"

Dan juga sebuah lagi dalil iaitu :

لا يحرم الحرام الحلال , إنما يحرم ما كان من نكاح

Ertinya : "Sesungguhnya perbuatan yang haram tidak akan mengharamkan yang halal ( iaitu perhubungan hasil zina tidak akan membawa sebarang kesan kepada hubungan semendaan ), sesungguhnya hanya akan menjadi haram kerana persemendaan jika dari nikah yang sah"  (Hadis Riwayat Ibn Majah, Al-Bayhaqi : As-Sayuti : Dhoif)


Hasil dari dalil-dalil itu, jelas bahawa zina yang haram tidak membawa sebarang hukum ‘iddah, hanya nikah yang sah terdapat ‘iddah. Justeru, perkahwinan penzina wanita yang sedang mengandung itu dengan pasangannya adalah sah menurut mazhab Maliki, mazhab Syafie dan Mazhab At-Thawry dan juga disepakati oleh Imam Abu Hanifah.

Lagi Displin Khas :

Bagaimanapun, jika wanita penzina melakukan zina dengan ramai lelaki sehingga ia tidak pasti yang berada di dalam kandungannya adalah dari lelaki tertentu. Pernikahannya itu masih sah menurut seluruh mazhab yang telah disebutkan di atas tetapi dengan SYARAT : MEREKA TIDAK BOLEH BERSETUBUH SEHINGGALAH SI WANITA ITU TELAH BERSALIN!. Jika mereka bersetubuh, maka berdosalah mereka walaupun perkahwinan telah sah.

Ia berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya :

"Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain ( iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain)" (Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi : Hadis Hasan)

Sekiranya wanita itu berkahwin dengan satu-satunya lelaki dan pasti pula ia adalah benih lelaki tersebut. Di ketika itu, ia dibenarkan untuk bersama selepas pernikahan dan pernikahan itu juga sah. Sekiranya wanita tersebut bernikah dengan lelaki lain yang bukan lelaki yang terlibat dalam perzinaan tersebut maka nikahnya sah tetapi beliau tidak boleh melakukan persetubuhan sehingga anak tersebut di lahirkan. Wallahua'lam.

Kesimpulan :

Bagi saya jawapan yang lebih utuh dalam keadaan masyarakat yang amat bermasalah hari ini adalah sah pernikahan dengan syarat si pasangan bertaubat dan jika wanita itu berkahwin dengan pasangan yang bukannya pemilik benih kandungannya, wajiblah ia menjauhi wanita itu sehinggalah ia bersalin.Jika dia yang berzina dengan wanita tersebut nikahnya sah dan dia boleh bersama wanita tersebut. Walaupun sudah bernikah anak tersebut tetap bukan anaknya yang sah dan tidak boleh di bin atau bintikan ke ata namanya. Wallahu a'lam.

793. Soalan : Apakah hukumnya apabila seseorang muslim membuat tuduhan kafir kepada seorang muslim yang lain tanpa membawa bukti yang jelas di atas kekafirannya? Dakwaan itu hanya berbentuk tuduhan kerana perbezaan pendapat mengenai tafsiran ayat-ayat mutasyabihat atau hilafiah dalam bab feqah.

Jawapan :

Sebagai seorang muslim kita tidak boleh terlalu cepat mengkafirkan seorang muslim yang lain jika terdapat perbezaan pendapat di dalam bab ayat mutasyabihat, atau perbezaan hilafiah dalam bab feqah kerana menghukum itu satu perkara yang berat jika tidak cukup bukti kekafiran seseorang. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Jika seseorang berkata kepada saudaranya, "Wahai kafir!" Maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya."(Hadis Riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah r.a)

1. Seseorang yang zahirnya muslim hendaklah dianggap kekal atas keislamannya sehingga terbukti secara yakin bahawa telah terbatal akidahnya. Ini atas kaedah syarak ‘Perkara yang yakin tidak boleh dihilangkan oleh syak’. Dalam ertikata lain, syak tidak boleh menghapuskan yakin. Oleh kerana pada keyakinan asal kita seseorang itu muslim, maka dia dianggap muslim dan tidak boleh keislamannya dibatalkan disebabkan hanya sesuatu perkara yang tidak pasti atau syak.

2. Menuduh orang lain dengan tuduhan kafir atau sesat adalah dosa yang besar. Jika kita tahu bahawa seseorang tidak kafir atau sesat atau fasik, tetapi kita sengaja menuduh imannya yang sah itu sebagai kafir atau sesat, atau menuduh dirinya yang tidak fasik itu sebagai fasik, maka tuduhan itu kembali kepada yang menuduh. 

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

3. Namun begitu, kita juga hendaklah sedar, di sana ada batas-batas iman dan kufur. Ini seperti sesiapa yang dengan jelas tanpa sebarang andaian lagi menghina Allah dan Rasul-Nya, maka dia terkeluar dari Islam. Demikian juga jika dia menentang secara jelas tanpa sebarang andaian lagi apa yang ditetapkan oleh Allah dengan jelasnya seperti pegharaman arak, judi, zina dan seumpamanya. Sesiapa yang menghalalkan perkara-perkara tersebut atau menentang pengharaman perkara-perkara tersebut dari segi hukum agama, dalam keadaan sedar dan faham maka dia terkeluar dari Islam.

4. Namun, kita hendaklah berhati-hati apabila menghukum seseorang dengan hukuman murtad atau kufur atau sesat atau seumpamanya. Ini kerana, hukuman umum tidak sama dengan hukuman khusus. Hukum umum menghina hukum Islam yang jelas seperti azan membawa murtad, tetapi individu tertentu yang menghina tidak boleh terus dihukum murtad. Hendaklah dilihat keadaannya, maksud ucapannya, kefahamannya dan berbagai latar yang lain. Mungkin dia tidak bermaksud, mungkin dia tersasul, mungkin dia jahil dan seumpamanya. 

5. Maka, tidak boleh dikafirkan seseorang melainkan setengah berlakunya iqamah al-Hujjah iaitu penegakan hujah atau dalil. Setelah didapati dia melanggar batasan Iman dan Islam, hendaklah dijelaskan hakikat ilmu yang sebenarnya dan ditegakkan dalil-dalil yang kukuh kepadanya sehingga dia jelas. Selepas itu, jika dia masih berdegil, dan perkataan atau perbuatan tidak boleh ditafsirkan lagi melainkan membawa kekufuran barulah hukum tersebut boleh dijatuhkan kepadanya. 

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:

“Hendaklah diberikan perhatian pada apa yang telah diputuskan oleh para ulama muhaqqiqun (penganalisa) mengenai kewajipan membezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (kafir mengkafir sesama muslim). Ini bermaksud, sebagai contoh, kita mengatakan golongan komunis kafir, para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak atau sesiapa yang menyatakan begini atau menyeru kepada ini, maka dia kafir. Ini semua termasuk hukuman pada jenis.

Adapun berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan peribadi seseorang yang dituduh dengan sesuatu, wajib mengambil masa untuk membuat kepastian dan kesabitan tentang hakikat sebenar pendiriannya. Hal ini dilakukan dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujah, tiada lagi unsur syubhat (keraguan) dan tiada lagi keuzuran untuknya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pernah menyebut bahawa perkataan juga boleh menyebabkan kekufuran. Secara umum, orang yang mengucapkannya dihukum kafir. Dengan berkata, sesiapa yang mengucap sekian (sesuatu ucapan yang membawa kepada kufur), maka dia kafir. Tetapi, individu yang mengucapkannya tidak dikafirkan sehingga dibuktikan kekufurannya”. (Al-Qaradawi, Zahirah al-Ghulu fi al-Takfir, ms: 26-27).

6. Kita hendaklah warak dalam masalah ini. Jangan terpengaruh dengan golongan yang fanatik yang suka menghukum orang lain dengan hukuman kafir dan sesat atas kepentingan tertentu

794. Soalan : Apakah perbezaan di antara sujud syukur dan sujud tilawah? Bolehkan ustaz jelaskan.

Jawapan :

Sujud syukur adalah sujud yang dilakukan secara sepontan, kita sujud kepada Allah SWT ketika mendapat berita yang mengembirakan atau mendapat nikmat tanda syukur kepada Allah SWT. 

Adapun cara mengerjakan sujud syukur itu tidak berbeza  sepertimana sujud  tatkala solat. Hanya syarat-syarat yang diwajibkan dalam mengerjakan solat, seperti harus mempunyai wuduk (air sembahyang), menghadap kiblat, pakaian yang bersih daripada najis dan lain-lain, itu semua adalah tidak disyaratkan didalam sujud syukur.

Juga tidak disyaratkahn untuk dilakukan ditempat-tempat tertentu seperti masjid/surau, tetapi dibolehkan dilakukan disetiap tempat, asalkan  tidak ditempat-tempat yang kotor, seperti tandas dan lain-lain. Boleh ianya dilakukan di tepi jalan, di pasar, di kebun, di kilang, di tepi pantai, di dalam kereta dan sebagainya.


Dalam pada itu, tidak ada bacaan-bacaan yang khusus pada waktu melakukan sujud syukur itu. Menurut penjelasan Jumhur ulama, cara melakukannya ialah dengan mengucapkan takbir lebih dahulu, kemudian sujud, sesudah itu bagkit dari sujud dan terus memberi salam. Ada juga sebahagian ulama yang  berpendapat bahawa  sujud syuklur tidak perlu dimulakan dengan takbir dan disudahkan dengan salam, tetapi ianya cukup dengan bersujud sahaja, kemudian bangikit dan duduk kembali. 

Dari Abu Bakrah: Apabila Rasulullah SAW. menemukan sesuatu yang menggembirakan baginda atau disampaikannya kepada baginda sesuatu berita sukacita, maka baginda melakukan sujud  syukur sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT. (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi).

Sujud Tilawah ialah sujud bacaan.Disunatkan sujud bagi yang membaca ayat-ayat Sajdah.

Firman Allah SWT maksudnya : "...dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah pertunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahmaan, mereka segera sujud serta menangis. (Surah Maryam ayat 58)
  
Daripada Abu Hurairah,telah berkata Nabi SAW maksudnya :  "Apabila manusia membaca ayat sajdah, kemudian ia sujud, menghindarkan syaitan dan menangis ia serta berkata: 'Hai celaka! Anak Adam (manusia) disuruh sujud, lantas ia sujud, maka baginya syurga dan aku disuruh sujud juga , tetapi aku enggan (tidak mahu), maka bagi aku neraka."
(Hadis Riwayat Muslim)


Bacaan Sujud Sajadah (Tilawah)


سجد وجهي للذي خلقه وشق سمعه وبصره بحوله وقوته فتبارك الله أحسن الخالقين

"sajada wajhiya lillazii kholaqohuu wa syaqqa sam'ahuu wa basorahuu bihaulihii wa quwwatihii fatabaarokallahu ahsanul kholiqiin".

Maksudnya : "Aku sujudkan wajahku ini kepada yang menciptanya dan membentuk rupanya dan yang membuka pendengarannya dan penglihatannya. Maha suci Allah sebaik-baik Pencipta."

Syarat-syarat sujud Tilawah(di luar sembahyang)

1. Suci daripada Hadas dan najis
2. Menghadap Kiblat
3. Menutup aurat


Apabila orang yang membaca ayat-ayat Sajdah sujud, maka mereka yang mendengar atau makmum hendaklah sujud, tetapi apabila yang membaca tidak sujud yang mendengar tidak pula disunatkan sujud.

795. Soalan : Ramai wanita memakai tudung tetapi pemakaiannya tidak sempurna seperti nipis, kecil dan jarang. Bolehkan ustaz jelaskan apakah jenis-jenis kesalahan wanita yang memakai tudung tetapi tidak memenuhi spesifikasi yang sebenar menurut  ajaran Islam?

Jawapan :

Salah satu perkara wajib yang di perintakkan  oleh Allah SWT kepada  para hamba-Nya adalah menutup aurat. Kewajipan menutup aurat tidak ada bezanya dengan kewajipan menunaikan solat, puasa, zakat dan haji. Di dalam al-Quran surah a-Nur ayat 31 dan surah al-Ahzab ayat 59 jelas menyatakan kewajipan menutup aurat untuk wanita muslim yang telah sampai akil baligh.

Ramai wanita muslim hari ini tidak mengambil berat dengan memakai pakaian menutup aurat dengan sempurna. Ramai di antara mereka lebih suka dan terpengaruh dengan ciri-ciri pakaian yang berfesyen semasa terutama fesyen yang datangnya daripada barat.

Perbincangan lebih lanjut mengenai aurat wanita perlulah di jelaskan di sisi beberapa kesilapan wanita tentang aurat supaya kita dapat mencari kesilapan tersebut dan dapat di perbaikinya.

Terdapat beberapa kesilapan wanita  tentang aurat :

Pertama : Wanita menganggap aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

Kedua : Bertudung tetapi ber' T-Shirt' berlengan pendik.

Ketiga : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

Keempat : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.

Kelima : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

Keenam : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

Ketujuh : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

Kelapan : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

Kesembilan : Kesalahan bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.

Kesepuluh : Memakai baju kurung tetapi dipergelangan tangan tidak dipinkan hingga menampakkan kulit lengan.

Kesemua jenis berpakaian yang disebut di atas adalah diharamkan secara sepakat seluruh ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mukminah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.

Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat itu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. 


Firman Allah SWT yang bermaksud :"Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir"(Surah an-Nur ayat 31)




No comments: