Thursday, October 24, 2013

Soal Jawab Agama Siri 104 (Bertaubat, Berdoa Sambil Menangis, Hukum Berubat Dengan Bomoh Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 104 adalah membicarakan persoalan bertaubat, berdoa sambil menangis, hukum berubat dengan bomoh, kedudukan kanak-kanak kaum musyrikin yang mati sebelum baligh dan pemilih pasangan perlu utamakan agamanya.

801. Soalan : Apabila seseorang telah melakukan zina dan dia telah menyesal di atas perbuatannya dahulu. Bagaimanakah caranya jika dia hendak bertaubat kepada Allah SWT? Adakah taubatnya diterima oleh Allah SWT?

Jawapan :

Apabila seorang hamba Allah SWT telah melakukan dosa besar seperti berzina maka jalan untuk membersihkan diri adalah dengan melakukan taubat nasuha iaitu taubat yang sebenar-benar taubat. Terdapat enam syarat taubat itu akan diterima oleh Allah SWT iaitu :

1. Ikhlas ingin bertaubat;

2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi;

3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan;

4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya; 

5. Dikerjakan sebelum ajal tiba dan

6. Perlu mencari suasana yg baik dan rakan-rakan yang soleh supaya perbuatan dosa tersebut tidak di ulanginya lagi dan meninggalkan rakan-rakan yang lama yang telah menjerumuskan dia kelembah maksiat.

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidak sempurna. 

Firman Allah SWT maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'Taubat Nasuha' (taubat yang sebenar), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".(Surah At-Tahrim ayat lapan (8)

Daripada Anas bin Malik r.a katanya : "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah telah berfirman : 'Wahai anak Adam! Sesungguhnya sebagaimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi.' 'Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu.' 'Wahai anak Adam! Jika kamu datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi. Kemudian kamu menemui Aku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyengutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula'." (Hadis Riwayat Tarmizi)


Tentang dorongan dan anjuran untuk bertaubat, al-Quran berbicara yang maksudnya : "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah al- Baqarah ayat 222).

802. Soalan :   Airmata orang yang benar-benar bertakwa dan airmata orang biasa ada bezanya bila mereka menangis dalam doa. Sejauh mana benarnya ustaz. Kenapa berbeza? Apakah hikmah yang akan kita perolehi di akhirat apabila kita berdoa dengan mengalirkan air mata?

Jawapan :

Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu Naim)

Berdasarkan hadis di atas 3 mata yang akan mendapat rahmat Allah S.W.T dihari akhirat yang mana ketika itu ramai mata-mata yang menangis penyesalan :

1. Mata yang dipejamkan dari segala yang haram.

2. Mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah.

3. Mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah.

Orang mukmin yang bertakwa akan banyak menangis kerana hatinya lembut dan cukup sensitif dan rasa takut kepada Allah. Dia rasa sedih mengenangkan dosa-dosanya yang telah dia lakukan ketika orang sedang tidur atau ketika dia berseorangan.Dari Saidina Khalid bin Al-Walid radiallahu’anhu telah berkata : Telah datang seorang Arab desa kepada Rasulullah SAW. yang mana dia menyatakan tujuannya : "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kedatanganku ini adalah untuk bertanya kepada engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat". Maka baginda SAW telah berkata kepadanya : "Tanyalah apa yang engkau kehendak."

Dia berkata : "Siapa yang terselamat daripada dosa?"

Baginda S.A.W menjawab : "Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan."

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefarduan yang telah difardukan oleh Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Tangisan dapat memadamkan api neraka. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Bahawa tidak akan masuk neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."

Di dalam kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seseorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka, maka salah satu daripada rambut-rambut matanya pun berkata : "Wahai Tuhanku ! Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda : 'Sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah , maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka', dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."


Akhirnya Allah S.W.T. mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka, dengan berkata sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibrail a.s. mengumumkan : "Telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut"

803. Soalan : Apakah hukum seseorang berubat melalui bomoh dengan menggunakan jampi-serapah, tangkal dan ilmu sihir (ilmu hitam)?

Jawapan :

Hukum berubat melalui bomoh yang mengamalkan ilmu sihir adalah haram. Rasulullah SAW melarang umatnya berjumpa bomoh untuk mengubati penyakit yang dihadapi terutama apabila bomoh tersebut melakukan amalan-amalan syirik. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).

Secara umumnya, jampi-jampian adalah syirik berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: "Sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan permainan sihir adalah syirik. (Hadis Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3530) 

Marilah kita membaca keseluruhan hadis ini, di dalamnya ada beberapa pengajaran yang menarik.

Zainab (isteri kepada Abdullah ibn Mas’ud, seorang sahabat Nabi yang berilmu) menceritakan: Seorang wanita tua menemui kami hendak menjampi (kami) dari penyakit demam. Kami memiliki kerusi (bangku) yang panjang kakinya (dan wanita tua itu menjampiku sambil aku duduk atau baring di atasnya). 

Lazimnya apabila Abdullah hendak masuk (ke dalam rumah) maka dia akan (terlebih dahulu) berdehem dan bersuara (yakni memberi salam). Satu hari dia masuk dan ketika wanita tua itu mendengar suaranya, maka dia bersembunyi. Kemudian Abdullah datang dan duduk di sampingku serta membelaiku. Ternyata dia menyentuh suatu jahitan benang, maka dia bertanya: “Apa ini?” Aku menjawab: “Tangkal yang di dalamnya terdapat jampi-jampiku untuk mengubati penyakit demam.” 

Abdullah lalu menariknya dengan keras, memutuskannya dan membuangnya seraya berkata: “Sungguh keluarga Abdullah tidak memerlukan lagi serba mencukupi daripada amalan syirik. Saya mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda, "Sesungguhnya jampi-jampian, tangkal dan permainan sihir adalah syirik.”

Aku (Zainab) seterusnya berkata: “Pada satu hari aku keluar lalu seorang lelaki memandangku sehingga mataku selalu berair. Jika mataku di jampi maka air mata akan berhenti, namun jika tidak di jampi maka ia akan selalu berair.”

Abdullah berkata: “Itu adalah (tipu daya) syaitan, jika kamu mentaati syaitan (dengan mengamalkan jampi-jampian) maka syaitan akan meninggalkanmu (yakni tidak lagi mengganggu dengan mata yang berair). Akan tetapi jika kamu mengingkari syaitan (dengan mengingkari jampi-jampian) maka ia akan menusuk matamu dengan jari-jarinya (sehingga selalu berair. Demikianlah tipu daya syaitan agar kamu sentiasa mengamalkan jampi-jampian). 

Sekiranya kamu melakukan apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam maka itu tentu lebih baik bagimu dan lebih layak mendapatkan kesembuhan. Iaitu kamu membasuh kedua matamu dengan air sambil membaca doa:

"Hilangkanlah (penyakit ini), wahai Rabb manusia. Sembuhkanlah kerana Engkaulah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang kesan sampingan.” (Hadis Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3521/3530)

Perhatikan bagaimana kelembutan Abdullah ibn Mas’ud sebagai seorang suami yang apabila balik ke rumah, akan duduk bersama isterinya dan membelai-belainya. Akan tetapi apabila mendapati isterinya melakukan satu amalan syirik, beliau serta merta bertegas dan memusnahkannya. Tidak ada kelapangan atau toleransi dalam urusan tauhid dan syirik. Abdullah kemudian menerangkan hukum jampi-jampian, tangkal dan syirik berdasarkan tunjuk ajar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.


Zainab cuba membela dirinya dengan menerangkan bahawa jampi-jampian itu sebenarnya ada memberi manfaat. Pembelaan Zainab menunjukkan dalam Islam, suami dan isteri boleh berbicara dan bertukar-tukar pandangan. Abdullah membetulkan bahawa semua itu sebenarnya hanyalah tipu daya syaitan. Kemudian Abdullah mengajar doa kesembuhan yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

804. Soalan : Ustaz saya ingin bertanya : Bagaimana kedudukan kanak-kanak kaum musyrikin yang meninggal dunia sebelum baligh?

Jawapan :

Dalam sebuah hadis yang panjang, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menerangkan kepada para sahabat mimpi yang baginda alami di mana dua orang malaikat membawanya melalui pelbagai suasana dan keadaan manusia. Salah satu suasana tersebut ialah sebuah taman yang amat indah (syurga), di dalamnya terdapat Nabi Ibrahim ‘alaihis salam yang dikelilingi oleh sangat ramai kanak-kanak yang meninggal dunia dalam keadaan fitrah (Islam). 

Lalu salah seorang daripada para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kanak-kanak kaum musyrikin?” Rasulullah menjawab: “Dan juga kanak-kanak kaum musyrikin (berada dalam taman tersebut bersama Nabi Ibrahim).” [Ringkasan hadis yang panjang, Shahih al-Bukhari, no: 6525/7047]


Berdasarkan hadis sahih di atas, jelas bahawa kanak-kanak kaum musyrikin (bukan Islam) yang meninggal dunia sebelum baligh akan dimasukkan ke dalam syurga bersama kanak-kanak kaum muslimin. Ini kerana kanak-kanak yang belum baligh tidak menanggung apa-apa tanggungjawab agama, maka mereka dikecualikan daripada sebarang dosa atau azab neraka. Demikianlah salah satu daripada sekian banyak kemurahan Allah Subhanahu WaTa'ala yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada para hamba-Nya.

805. Soalan : Dalam rangka memilih calon pasangan hidup, adakah Islam hanya menekankan faktor agama? Bagaimana dengan faktor kecantikan dan paras rupa? 

Jawapan:


Faktor kecantikan dan paras rupa memang turut ditekankan oleh Islam. Ini terbukti melalui beberapa hadis di mana Rasulullah SAW menyuruh seseorang itu melihat terlebih dahulu perempuan yang akan dilamarnya, sama ada menepati citarasa hatinya atau tidak. Salah satu hadis yang dimaksudkan ialah: “Apabila salah seorang dari kalian melamar wanita, maka selagi dia boleh melihat apa yang dapat mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah ia.” (Hadis Shahih Sunan Abu Daud, no: 2082)

Hanya, faktor agama adalah lebih utama kerana seseorang yang memiliki ilmu dan penghayatan agama yang baik, ia akan terserlah melalui akhlak dan pembawaan dirinya. Inilah akhirnya yang akan membawa kecantikan yang sejati.

Betapa banyak orang yang wajahnya cantik tetapi akhlak serta pembawaan dirinya amat tidak cantik. Betapa banyak orang yang wajahnya cantik pada saat muda, tetapi mulai pudar dengan bertambahnya umur. Berbeza dengan orang yang memiliki akhlak dan pembawaan diri yang baik, ia menghiasi dan terus menghiasi tuan punya diri tanpa mengenal warna kulit dan peredaran umur.

Kesimpulannya, faktor agama dan kecantikan memang diberi perhatian oleh Islam. Namun faktor agama terletak di atas faktor kecantikan.



No comments: