سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 95 adalah menjawab persoalan niat hendak menceraikan isteri, aqiqah dan korban, perbuatan onani, mandi hadas besar dan konsep qada' dan qadar.
Jawapan :
Semata-mata terlintas di dalam hati untuk menceraikan isteri, hukumnya tidaklah jatuh talak. Talak yang disepakati di kalangan ulama jatuh dan berkuatkuasa ialah talak dengan lafaz yang sarih iaitu satu lafaz yang terang menunjukkan maksud talak dan tidak ada bukti menunjukkan ia bermaksud lain daripada itu.
Oleh kerana talak tidak gugur, maka tidak timbul soal rujuk kembali. Sebagai seorang suami hendaklah dielakkan dari berkeinginan demikian kerana ia merupakan satu perasaan yang dibenci oleh Rasulullah SAW. Kalau hendak marah kepada isteri sekalipun, janganlah gunakan lintasan ingin mentalakkannya, sebaliknya perbanyakkanlah istighfar.
Rumahtangga dalam Islam memerlukan banyak kesabaran. Susah payah dan sakit demam ketika mengharunginya adalah ragam hidup orang yang berumahtangga. Orang yang paling baik di kalangan umat Islam ialah yang paling lembut terhadap keluarga sendiri.
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Orang mukmin yang sempurna imannya adalah yang paling baik budi pekertinya dan lemah lembut dengan keluarganya,dan sebaik-baik kamu ialah yang baik kepada isterinya" (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
757. Soalan : Saya ingin membuat pertanyaan berkenaan dengan aqiqah dan korban:- Di antara ibadah korban dan aqiqah, yang mana patut didahulukan?
Jawapan :
Mengikut hadis yg sahih waktu yg paling afdhal untuk aqiqah adalah ketika umur bayi 7 hari, berikan nama, cukur rambut dan sembelih kambing jika anak lelaki 2 ekor dan anak perempuan 1 ekor. Ulama sepakat mengatakan bahawa waktu aqiqah yang afdhal bagi anak yang baru lahir ialah pada hari ketujuh kelahirannya , tetapi mereka berselisih pendapat tentang bilakah berakhirnya waktu aqiqah bagi anak yang tidak diaqiqahkan selepas berlalunya hari ketujuh.
Imam Malik mengatakan bahawa , waktu aqiqah akan luput setelah berlalunya hari ke tujuh kelahiran.Maka jika disembelih binatang selepas daripada hari ketujuh , ianya tidak dikira , kerana menyembelih binatang selepas daripada waktunya , seperti tidak sah menyembelih binatang korban selepas hari-hari tasyrik. [ Hasyiah ad-Dusuki : 2/126 ]
Manakala bagi ulama-ulama dari kalangan mazhab Hanafi , Syafi’ie dan Hambali serta satu pendapat Malik dari riwayat Ibn Wahb mengatakan bahawa dibolehkan menyembelih binatang untuk aqiqah selepas daripada hari ketujuh iaitu pada minggu ke dua dan ketiga.Berdalilkan kepada hadis Rasulullah SAW daripada Buraidah r.a :
"Aqiqah itu disembeih (binatang padanya) pada hari ketujuh , empat belas dan dua puluh satu." (Hadis Riwayat al-Baihaqi) [ Raudhatu al-Tolibin : 3/229 , Al-Muhalla : 7/523 , Hasyiah ad-Dusuki : 2/126 ]
Maksud daripada hadis di atas ialah aqiqah boleh dilakukan pada hari ke empat belas selepas kelahiran dan juga pada hari ke dua puluh satu selepas kelahiran.
Walaubagaimana pun ulama juga berselisih pendapat tentang adakah dibolehkan melakukan akikah selepas daripada hari ke 21 iaitu minggu ke tiga kelahiran.
Ulama Syafi’ie dan Hambali mengatakan bahwa boleh dilakukan aqiqah pada hari ke 28 dan 35 selepas kelahiran [ Al-Majmu’ : 8/431 ]
Manakala pendapat lain dari kalangan ulama Hambali juga ada menyebutkan bahawa aqiqah boleh dilakukan pada bila-bila masa walaupun sehingga atau setelah usia baligh. [ Al-Mughni : 11/122 ]
Asy-Syaikh Dr.Walid Khalid Al-Rabi’ mengatakan : Pendapat yang paling tepat ialah pendapat sebahagian ulama Hambali yang mengatakan bahawa aqiqah itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sehinggalah ia mencapai usia baligh. Ini kerana hadis yang menyuruh di aqiqahkan bayi yang baru lahir itu pada hari ketujuh bukanlah bermaksud wajib dilakukan pada hari ke tujuh sahaja.Bahkan ia adalah suatu perkara yang di sunatkan sahaja.Iaitu , sunnah dilakukan pada hari ke tujuh , tetapi boleh di lakukan pada hari-hari lain dan bila-bila masa.
[ Ahkam al-At’imah fi al-fiqhi al-Islami , Dirasah Muqaranah , Bab al-Aqiqah , ms; 221 ]
Berdasarkan hadis Nabi SAW aqiqah yg disunatkan hanyalah hari ke 7, 14 dan 21 sahaja. Yang membolehkan selepas 3 waktu yg dijelaskan adalah pendapat ulama. Oleh itu jika seorang itu belum aqiqah dan umurnya melebihi umur baligh maka dia lebih afdhal berkorban semasa di Hari Raya Korban atau Hari Tasyrik jika dia berkemampuan. Wallahu a'lam
758. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan hukum seseorang lelaki suka melakukan onani atau melancap kerana tidak tahan dengan desakan nafsu syahwat tapi untuk pengetahuan dalam proses berhenti melakukan onani?
Jawapan :
Kadang-kadang darah pemuda bergelora, kemudian dia menggunakan tangannya untuk mengeluarkan mani supaya alat kelaminnya itu menjadi tenang dan darahnya yang bergelora itu menurun. Cara semacam ini sekarang dikenal dengan nama onani (bahasa Arabnya: istimta' atau adatus sirriyah).
Kebanyakan para ulama mengharamkan perbuatan tersebut, di antaranya Imam Malik. Beliau memakai dalil ayat yang berbunyi:
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas." (Surah Al-Mukminun ayat 5-7)
Sedang orang yang onani adalah melepaskan syahwatnya itu bukan pada tempatnya.
Rasulullah SAW memberi nasihat terhadap pemuda yang tidak mampu berkahwin, iaitu kiranya dia memperbanyak puasa, dimana puasa itu dapat mendidik beribadah, mengajar bersabar dan menguatkan kedekatan untuk bertakwa dan keyakinan terhadap diri sendiri dengan muraqabah kepada Allah kepada setiap jiwa seorang mukmin. Untuk itu Rasuluilah SAW bersabda yang bermaksud :
"Hai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu sudah ada kemampuan, maka kahwinlah sebab dia itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan; tetapi barangsiapa tidak mampu, maka hendaknya ia berpuasa, sebab puasa itu baginya merupakan pelindung." (Hadis Riwayat Bukhari)
Islam menyediakan kaedah yang paling praktikal untuk berhenti onani iaitu dengan cara bernikah jika beliau benar-benar mampu dari segi kewangan,sekiranya tidak mampu hendaklah ia berpuasa atau melakukan kerja-kerja sosial agar ia tidak terlalu menumpukan kepada syahwat. Kurangkan memakan makanan yang mengandungi daging merah seperti lembu,kambing, biri-biri dan kerbau.sentiasa amalkan zikir kepada Allah.
Sekiranya kaedah ini diikuti sepenuhnya maka sedikit demi sedikit penyakit ketagih onani ini akan dapat dikurangkan seterusnya kembali kepada keadaan normal dan bertaubatlah kepada Allah SWT. Wallahu a’lam.
759. Soalan : Saya seorang perempuan berumur awal 20an dan telah berkahwin. Saya ingin bertanya, semasa saya berjimak dengan suami, dan sebelum mandi hadas saya datang haid. Selepas darah haid kering dalam masa seminggu . Apabila saya hendak mandi hadas adakah perlu saya niat dua kali iaitu pertama niat kerana berhadas besar (selepas jimak) dan kedua niat untuk hadas besar (kerana haid)?
Jawapan :
Kedatangan haid dan nifas, jimak (melakukan persetubuhan) dan keluar mani adalah perkara-perkara yang menyebabkan hadas besar. Hadas besar dihilangkan dengan mandi. Oleh demikian, memadai dengan kita meniatkan di dalam hati ketika mandi; “Sahaja aku mandi untuk menghilangkan hadas besar kerana Allah Taala” sama ada mandi kerana haid, kerana nifas, kerana jimak atau kerana keluar mani. Selain itu, menurut ulama, harus juga meniatkan “Sahaja aku melakukan mandi yang diwajibkan kerana Allah Taala”
Niat mandi wajib dihadirkan di permulaan mandi iaitu ketika mula-mula menjirus air ke mana-mana bahagian badan. Wallahu a’lam.
760. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan konsep qada' dan qadar menurut Ahli Sunah Wal Jamaah?
Jawapan :
Qada' bermaksud pelaksanaan. Adapun qadar bermaksud sukatan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan kunci-kunci semua yang ghaib ada pada-Nya, tidak ada yang mengetahui selain Dia. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut." (Surah al-Anaam ayat 59).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa.
Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa."
(Hadis Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi).
Salman radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak qada' itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)
Doa itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah SWT. Mereka yang berdoa perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah SWT tidak akan mempersia-siakan mereka.
Rasulullah SAW. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)
Segala perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah SWT melalui ilmu-ilmu-Nya. Hanya ianya terlindung dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya yang lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa berusaha dan taat kepadaNya kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti.
Antara bentuk ketaatan adalah dengan berdoa kepada Allah SWT. Dengan berdoalah seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat atau memerlukan kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan
orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah al-Baqarah ayat 186)
1.Menisbahkan kepada Allah SWT di atas segala yang berlaku di dunia ini.
2.Beriman bahawa hanya Allah SWT yang memiliki kuasa mutlak menentukan urusan
di dunia ini.
3.Menyedarkan bahawa manusia itu lemah dan perlu kepada bantuan Allah SWT.
4.Hikmah qada' dan qadar disembunyikan dari pengetahuan hamba adalah supaya seseorang hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya.
Sebagai umat Islam yang beriman adalah kita diwajibkan mempercayai dan mengimani qada' dan qadar. Segala yang berlaku adalah dari Allah SWT semuanya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa akan tetapi Allah SWT jualah yang Maha Berkuasa yang menuntukan segala sesuatu itu.
No comments:
Post a Comment