بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Di dalam Surah al-Furqan ayat 63-77, Allah SWT menyatakan 15 sifat-sifat Ibadur Rahman (hamba Allah) yang mendapat kemuliaan dan keredaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
Ayat 63 Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih (Ibadur Rahman) itu adalah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina) mereka mengucapkan "salam". (QS. 25:63)
Ayat 64 Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka.,(QS. 25:64)
Ayat 65 Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, jauhkan azab Jahannam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal".(QS. 25:65)
Ayat 66 Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.(QS. 25:66)
Ayat 67 Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.(QS. 25:67)
Ayat 68 Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sembahan lain dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barangsiapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya),(QS. 25:68)
Ayat 69 (Yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina,(QS. 25:69)
Asbabun Nuzul ayat 68 - 69.
Ibnu Masud r.a berkata, "Kedua-dua ayat ini diturunkan berkenaan denganku yang suatu ketika bertanya kepada Rasulullah SAW tentang dosa yang paling besar. Baginda menjawab,"Menyekutukan Allah, padahal Dialah yang menciptakanmu." Aku bertanya hal yang sama lagi. Rasulullah SAW menjawab, "Membunuh anakmu kerana kamu takut miskin". Aku bertanya lagi. Baginda pun menjawab, "Berzina dengan tetanggamu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ayat 70 kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka mereka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(QS. 25:70)
Ayat 71 Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya.(QS. 25:71)
Ayat 72 Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.(QS. 25:72)
Ayat 73 Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.(QS. 25:73)
Ayat 74 Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa." (QS. 25:74)
Ayat 75 Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya,(QS. 25:75)
Ayat 76 mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.(QS. 25:76)
Ayat 77 Katakanlah (kepada orang-orang musyrik):` Tuhanku tidak mengindahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadat kepada-Nya), padahal kamu sungguh telah mendustakan-Nya?, Kerana itu kelak (azab) pasti (menimpamu) (QS. 25:77)
Berdasarkan ayat-ayat di atas terdapat 15 sifat-sifat Ibadur Rahman (hamba Allah) yang dikasihi oleh Allah SWT.
Sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Berjalan dimuka bumi dengan rendah hati.
Kedua : Bila disapa oleh orang yang jahil akan dibalas dengan ucapan salam (sejahtera) kepada mereka.
Ketiga : Pada waktu malam sentiasa melaksanakan solat tahajud.
Keempat : Sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya dijauhi seksaan Neraka Jahanam.
Kelima : Sentiasa membelanjakan hartanya dengan berhati-hati tidak membazir dan tidak kikir.
Keenam : Tidak mempersekutukan Allah SWT dengan makhluk-Nya iaitu menjauhkan diri daripada perbuatan syirik.
Ketujuh : Tidak membunuh manusia melainkan apa yang dibenarkan oleh syarak.
Kelapan : Tidak melakukan perbuatan berzina.
Kesembilan : Sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.
Kesepuluh : Sentiasa mengerjakan amal soleh.
Kesebelas : Tidak menjadi saksi palsu
Kedua belas : Bila bertemu orang yang suka membuat perbuatan tidak berfaedah, tidak dilayainya untuk menjaga kehormatan diri.
Ketiga belas : Sentiasa menerima peringatan dan arahan Allah SWT dengan hati yang terbuka tanpa ragu-ragu.
Keempat belas : Sentiasa berdoa supaya dikurniakan isteri dan anak-anak yang menyenangkan hati.
Kelima belas : Sentiasa berdoa supaya menjadi pemimpin untuk kepada orang-orang yang bertakwa.
Sahabat yang dikasihi,
Apakah balasan Allah SWT kepada Ibadur Raman yang memiliki 15 sifat-sifat di atas?
Menerusi ayat 75 Surah al-Furqan, Allah SWT menjanjikan balasan syurga dan memberikan martabat yang tinggi kerana kesabaran mereka melakukan ketaatan kepada Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya dan berakhlak dengan akhlak yang mulia semasa hidup di dunia.
Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang bermaksud : "Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan. Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera.”(Surah al-Insan ayat 10-12)
Oleh itu marilah sama-sama kita mendidik diri kita supaya melayakkan diri kita menjadi Ibadur Rahman (hamba Allah) yang dimuliakan dan mampu memenuhi 15 sifat-sifat seperti yang tersebut diatas. Sentiasalah kita berdoa dan istiqamah di atas jalan Islam hingga mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment