Sunday, November 3, 2013

Soal Jawab Agama Siri 109 (Hukum Doktor Lelaki Merawat Wanita, Panduan Menyampaikan Ilmu, Waktu Amal Di Angkat Dan Penghuni Syurga Dan Neraka)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,  
Soal Jawab Agama Siri 109 adalah membicarakan persoalan hukum doktor lelaki merawat wanita dan garis panduan rawatan yang perlu diberikan, panduan menyampaikan ilmu, waktu-waktu amal di angkat dan siapa penghuni syurga dan neraka.

826. Soalan : Apakah hukumnya pesakit wanita di rawat oleh doktor lelaki?

Jawapan :

Dewasa ini, ramai orang memerlukan doktor, disebabkan berbagai faktor yang diambil kira. Di tambah lagi manusia semakin ramai, dunia semakin maju dan canggih. Kemungkinan untuk terkena kepada penyakit adalah amat tinggi.

Faktor-faktornya amat banyak seperti makanan yang banyak kandungan bahan kimia, udara yang tidak elok untuk pernafasan, kesan-kesan asap rokok, kenderaan, kilang, penularan wabak-wabak penyakit yang pelik dan berbagai lagi faktor yang membolehkan seseorang itu terdedah dan terkena kepada penyakit.

Pendek kata, semua manusia di dunia hari ini berhajat kepada doktor untuk membuat rawatan atau sebagainya. Oleh itu, jika ramai yang sakit, sudah pasti permintaan terhadap doktor amat tinggi.

Maka hal ini telah menjadi masalah kepada kaum perempuan yang ingin mengambil rawatan dengan doktor lelaki, kerana doktor wanita tidak mencukupi. Begitu juga sebaliknya. Apabila pesakit lelaki meminta rawatan daripada doktor perempuan, kerana terhadnya doktor lelaki di tempat-tempat yang tertentu.

Oleh sebab masalah ini amat penting, kerana ia melibatkan diri dan kesihatan insan. Maka syariat ada memberi kelonggaran yang luas dalam perkara ini.

Para ulama telah sepakat bahawa boleh bagi doktor untuk melihat tempat sakit perempuan. Misalnya, perempuan sakit di bahagian perut, maka doktor hanya boleh merawat dan melihat di kawasan perut sahaja, selain daripada itu, haram bagi doktor untuk melihatnya.

Terdapat tiga dalil yang mengharuskan doktor lelaki merawat pesakit wanita.

Pertama : Para ulama telah sandarkan perkara ini kepada hadis Nabi SAW, tatkala Ummu Salamah meminta izin kepada Nabi SAW untuk rawatan bekam. Maka Nabi SAW menyuruh Abu Toibah merawatnya.

Nabi SAW berkata,

أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحِجَامَةِ ، فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجِمَهَا

Maksudnya: “Bahawa Ummu Salamah telah meminta izin kepada Nabi SAW untuk rawatan bekam, maka Nabi SAW menyuruh Abu Toibah merawatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2206)

Maka berdasarkan hadis sahih ini, para ulama telah memberi hukum bahawa boleh bagi perempuan yang sudah atau belum baligh, dirawat oleh doktor lelaki yang bukan mahram. Namun para ulama ada meletakkan garis-garis panduan semasa melakukan rawatan, yang mana jika panduan itu tidak dilaksanakan, maka akan jatuh kepada hukum haram.

Kedua  : Adalah berdasarkan dalil daripada ijmak iaitu kesepakatan semua para ulama tanpa terkecuali. Semua para ulama tidak ada yang terkecuali mengharuskan bagi wanita ajnabi yang sudah baligh dirawat oleh doktor lelaki. Namun, dalam rawatan tersebut, para ulama ada menggariskan beberapa panduan penting yang mesti dipatuhi.

Ketiga : Dalam keadan darurat,  iaitu hukum asal bagi melihat perempuan ajnabi ialah wajah dan tapak tangan. Namun apabila terjadinya keadaan yang darurat seperti sakit, maka lelaki atau doktor lelaki boleh merawatnya jika ada kemampuan untuk merawat. Hukum haram akan bertukar menjadi harus apabila dalam keadaan yang benar-benar darurat.(Badaae’ as-Sonaae’, 6/2962)

Selain itu, apabila hanya dibenarkan untuk melihat kawasan yang sakit. Sudah pasti tidak akan terasa syahwat apabila melihat kawasan yang sakit tersebut. Maka tidak menjadi masalah untuk doktor lelaki melihat kawasan yang sakit sahaja, tanpa melihat kawasan yang tidak sakit.(Aun al-Bari, 4/375)

827. Soalan : Apakah garis panduan seseorang wanita di haruskan untuk di rawat oleh doktor lelaki yang bukan mahramnya?

Jawapan :

Antara panduan-panduannya yang mesti dipatuhi ketika sesi rawatan ialah:

1) Ketika melakukan sesi rawatan dengan doktor lelaki, perempuan tersebut mestilah ditemani oleh mahramnya, atau suaminya, atau perempuan yang boleh dipercayai seperti sahabat karib misalnya.

Jika perempuan tersebut hadiri seorang diri sahaja. Maka tidak boleh lakukan rawatan, kecuali jika dalam keadaan terlalu darurat. Contohnya seorang perempuan ditikam di bahagian perut, pada waktu itu tidak ada sesiapa. Maka boleh doktor lelaki terus memberi rawatan di bahagian-bahagian yang berkaitan sahaja.

Perkara ini amat penting untuk kita jadikan panduan. Hal ini kerana, banyak kita mendengar di media-media massa bahawa ramai doktor mengambil kesempatan terhadap pesakit wanita. Jika kita dengar di luar negara seperti negara China, kita akan dengar ramai pesakit-pesakit wanita dirogol ketika sesi rawatan.

Justeru, untuk mengelak atau jauhkan daripada perkara-perkara yang sebegini. Langkah-langkah awal perlu diambil iaitu seperti membawa mahram iaitu seperti ibu bapa, abang, adik atau kakak, atau membawa suami, atau membawa perempuan yang dipercayai. Maruah dan kemaluan amat penting untuk dijaga sebaiknya.

2) Disyaratkan juga bahawa tiada doktor perempuan yang setaraf dengan ilmu doktor lelaki yang merawat. Hal ini jika terdapat doktor perempuan di tempat rawatan tersebut, mungkin doktor perempuan itu bukan daripada bidang bedah. Sedangkan doktor lelaki pakar dalam bidang bedah, maka rawatan itu perlu diberi kepada doktor lelaki.

Hal ini kerana, pada hari ini, doktor ada bahagian-bahagian kepakarannya tertentu. Mungkin di tempat tersebut ada doktor lelaki dan perempuan. Oleh itu, untuk tidak salah faham, pesakit perempuan tersebut perlu dirawat berdasarkan bidang doktor. Jika ada doktor lelaki yang boleh merawat, sedangkan doktor perempuan ada, tapi bukan bidangnya. Maka yang perlu merawat pesakit perempuan tersebut adalah doktor lelaki.

Namun, jika ada seorang doktor perempuan yang pakar bedah dan seorang lagi doktor lelaki yang pakar bedah, maka diutamakan doktor perempuan. Tidak perlu lagi kepada doktor lelaki tersebut. Sekiranya rawatan itu memerlukan dua orang doktor, maka kedua-dua doktor tadi boleh merawat pesakit perempuan tersebut.

3) Mengutamakan Doktor yang Muslim daripada doktor yang bukan Muslim, kerana hukum asal bagi keringanan ini hanyalah dibenarkan pada doktor Muslim sahaja. Namun, jika tiada doktor Muslim, maka tidak mengapa pergi kepada doktor yang bukan Muslim.(Mughni al-Muhtaj, 3/133, al-Mughni, 7/26)

4) Diwajibkan merawat hanya pada tempat yang sakit atau kawasan yang berkenaan sahaja. Misalnya, jika pesakit perempuan sakit di bahagian betis kaki, maka doktor lelaki itu hanya boleh melihat dan merawat di kawasan itu sahaja. Selain daripada itu adalah tidak dibenarkan.

Ini sebenarnya, sesuai dengan kaedah usul yang telah diberikan oleh para ulama apabila menghadapi keadaan yang sukar dan darurat iaitu,

الضرورة يقدر بقدرها

Maksudnya: “Darurat diambil sekadar keperluan sahaja.”

الضرورة تبيح المحظورات

Maksudnya: “Darurat mengharuskan yang haram.”

Justeru, menggunakan atau manfaatkan perkara yang haram melebihi kadar keperluan di kala waktu darurat adalah berdosa. Begitulah juga di dalam perubatan Islam, ketika waktu darurat dan kecemasan boleh digunakan ubat-ubat dan cara-cara yang haram, tetapi sekadar keperluannya sahaja.

Contoh keadaan darurat yang lain, semasa az-Zubair sahabat Nabi SAW sakit kulit dan gatal-gatal, maka Nabi SAW membenarkan beliau memakai pakaian sutera, sedangkan hukum asal bagi lelaki memakai sutera adalah haram.

Ketika ketiadaan langsung makanan, yang hanya ada daging khinzir, jika tidak makan boleh membawa maut. Maka dia boleh makan daging tersebut sekadar keperluan asas sahaja, tidaklah boleh makan sampai kenyang. Memadai memakan sekadar boleh meneruskan kehidupan. Maka begitu juga dalam hal ini, hukum lelaki melihat aurat perempuan adalah haram pada asalnya, kecuali ketika darurat sahaja.

Kata Imam Nawawi, “Perlu diketahui bahawa hukum asal bagi lelaki melihat perempuan ajnabi adalah muka dan kedua tapak tangan, itu sekadar hajat sahaja.  Jika melihat lebih daripada anggota tersebut, hajatnya juga bertambah, memang benar-benar perlu dilihat kawasan aurat tersebut. Namun, jika lihat pada bawah daripada pusat dan atas daripada lutut, maka amat memerlukan keadaan yang benar-benar darurat.” (Kifayah al-Akhyar, hlm. 47)

Namun mestilah diambil perhatian yang serius, bahawa kita tidak boleh bermudah-mudah sahaja menggunakan benda ataupun cara yang haram darurat (kecemasan) sebelum berikhtiar dan berusaha mencari yang halal dengan bersungguh-sungguh. Maka dalam hal ini, perlu juga berusaha mencari doktor-doktor perempuan yang boleh merawat penyakit yang dialami.

828. Soalan : Saya ingin bertanya sejauh manakah ukuran yang sebenar bagi seseorang itu yang dikatakan tidak berilmu, maka tidak boleh berdakwah dan ada sebilangan masyarakat mengatakan nya haram kerana standard yang diletakkan oleh Rasulullah SAW sangat jelas. dalam hadis baginda yang bermaksud, "Sampaikan la dari ku walau sepotong ayat". Minta ustaz menjelaskannya.

Jawapan :

Ramai orang yang salah faham dalam memahami hadis:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya : "Sampaikanlah dariku (yakni dari Rasulullah Sallallåhu ‘Alayhi Wasallam) walau hanya satu ayat ” (Hadis Riwayat Al-Bukhari 3/1275 no 3274)

Demikian pula dengan hadis:

لِيَبْلُغِ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ

Maksudnya : "Hendaknya yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir…” (Muttafaqun ‘alaih)

Sebelum menyampaikan kita harus memperhatikan :

1. Ilmu yang disampaikan haruslah sahih, yang berasal dari al-Quran dan as-Sunah yang sahih, bukan hadis-hadis Dhaif atau Maudu’.

2. Ilmu yang disampaikan harus disampaikan dengan kefahaman yang benar. Kerana boleh jadi ilmu tersebut walaupun sahih, tapi ternyata kita tidak memahaminya seperti yang diinginkan Allah dan Rasu-Nya.

3. Ilmu yang disampaikan hendaknya disertai penguasaan yang baik; yang kita harus benar-benar memahami Ilmu tersebut. Dengan penguasaan yang baik ini, kita bebas dari segala kekeliruan / kesalah fahaman terhadapnya. Penguasaan yang baik juga akan menjadikan kita berdiri diatas penjelasan yang terang, jelas dan keyakinan (tanpa keragu-raguan dan kekeliruan). Kita pun mengetahui jawaban-jawaban syubuhat yang berkaitan dengan hal tersebut, sehingga jika ada yang mendebat dengan syubuhat tersebut, maka kita dapat menjawabnya. Sehingga semoga kita dapat menjadi sebab hidayah kepada orang yang kita sampaikan

4. Tidak lupa dan yang tidak kurang pentingnya, kita pun mengetahui maslahat dan mudharat dari penyampaian ilmu ini.

Kita perlu sampaikan apa yang kita faham dengan penyampaian yang baik dan berusaha untuk meningkatkan ilmu dan kefahaman kita supaya fokus dakwah kita mengenai sasarannya dan mendatangkan natijah yang baik dan positif. Walau bagimana pun jika kita masih kurang berilmu kita masih boleh menyampaikan dakwah setakat kemampuan kita, yang mudah dan jelas tentang asas ilmu Islam maka sampaikanlah. Contohnya kepada anak-anak kita atau kanak-kanak untuk mengajar adab sopan, akhlak Islam, dan menyuruh meninggalkan kemugkaran. Ini juga termasuk di dalam menyampaikan apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.


Daripada Abu Said al Khudri r.a. katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda (maksudnya) : "Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman (Hadis sahih riwayat Muslim)

829. Soalan : Boleh tak ustaz jelaskan waktu bila amal-amal kita di angkat untuk di persembahkan kepada Allah SWT?

Jawapan :


Terdapat beberapa waktu amal-amal kita akan di angkat dan di bawa oleh para malaikat dua kali sehari iaitu setiap hari iaitu sepas waktu Subuh dan Asar, setiap minggu dua kali iaitu pada hari Isnin dan Khamis dan setiap tahun sekali sahaja iaitu pada bulan Syaaban.

Pertama : Amalan diangkat / dibentang 2 kali setiap hari :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَ
ئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ ".

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya :  "Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba-hamba-Nya :

'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hamba-Ku itu?'

Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.'"
(Hadis Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. )

Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.

Kedua : Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا " .

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : "Amalan-amalan manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."
(Hadis Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) 

Rugilah sesiapa yang memutuskan silaturahim dan sedang bermusuhan sesama muslim.

Ketiga : Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. 

عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟ قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.

Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'

Jawab Rasulullah SAW "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa."
(Kitab Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) -Hadis Hasan.

830. Soalan :  Saya ada mendengar ceramah seorang ustaz menjelaskan bahawa di syurga ramai yang menjadi penghuninya adalah orang miskin dan ramai yang menjadi penghuni neraka adalah orang yang sombong dan kaum wanita. Bolehkan ustaz huraikan kenapa orang miskin ramai masuk syurga dan kenapa ramai orang sombong dan wanita yang masuk neraka?

Jawapan :

Daripada Harithah bin Wahab r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidakkah aku akan memberitahu kamu tentang ahli-ahli syurga? Iaitu orang-orang yang lemah dan dipandang hina (oleh manusia), kalau dia bersumpah kepada Allah nescaya Allah mengabulkan sumpahnya, tidakkah aku akan memberitahu kamu tentang ahli-ahli neraka? Iaitu setiap orang yang kasar perangai atau bersikap kasar, angkuh dan sombong”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Daripada Usamah r.a. daripada Nabi SAW sabdanya, “Aku berdiri dimuka pintu syurga lalu (kelihatan) kebanyakan orang yang masuk kedalamnya ialah orang-orang yang miskin, sedangkan orang-orang kaya ditahan, manakala ahli-ahli neraka pula disuruh bawa ke dalam neraka. Ketika aku berdiri dipintu neraka pula (kelihatan) kebanyakan yang masuk ke dalam ialah orang-orang perempuan”. (Hadis Riwayat Muslim)

Huraiannya :

Berdasarkan dua hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa gambaran sifat-sifat diantara ahli syurga dan ahli neraka dapat dikenali semasa didunia lagi. Umat Islam yang mendapat kemenangan di hari akhirat hingga berjaya memasuki syurga Allah SWT kebanyakkannya adalah daripada golongan yang lemah , miskin dan yang dipandang hina oleh manusia semasa didunia.

Kenapakah golongan lemah dan dipandang hina oleh manusia dan miskin harta mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT hingga di masukkan-Nya ke syurga?

Kebiasaannya orang lemah, hina dan miskin hati mereka tidak tamak kepada harta dunia, hidup bersederhana makan dan minum apa yang ada dan sentiasa bersifat qana'ah. Sentiasa cukup apa yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan bersyukur dan menjauhkan diri daripada hasad dengki, iri hati dan ingin pujian dan sanjungan. Tidak ada apa yang perlu dikejarkan untuk mencari kemewahan, kemegahan dan kesombongan di dunia ini kerana hidup di dunia adalah persingahan sementara sedangkan akhirat adalah destinasi utama yang akan dituju dan tempat yang kekal abadi untuk selama-lamanya. 

Orang-orang miskin sekalipun mereka dhaif tetapi sekiranya mereka bersabar dengan kesusahan yang mereka hadapi serta membuat amalan-amalan soleh nescaya mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Jika di pereksa dan di hisab setiap harta yang dimiliki dan yang dibelanjakan hanya sedikit dan di pereksa dengan mudah.

Berbeza dengan sifat orang kaya dan mereka yang ada kedudukan dalam masyarakat kerana dengan kekayaan dan kemewahan hidup dan sentiasa disanjung seseorang boleh menjadi lupa diri , bersifat kasar perangai, ego, angkuh dan sombong. Orang kaya lebih cenderung untuk melakukan perkara yang haram seperti memberi rasuah untuk mendapatkan projek, penipuan dalam peniagaan untuk mendapat untung lebih dan mengambil riba sebagai modal perniagaan. Orang kaya dan mereka yang ada kedudukan dalam masyarakat yang berperangai seperti ini akan tersekat di pintu syurga dan akan di giring keneraka kerana kesombongannya , bersifat kasar , bengis dan melakukan perkara-perkara yang haram. Harta mereka juga tidak terlepas daripada pemereksaan yang teliti daripada mereka perolehi harta tersebut dan dan kemanakah mereka telah belanjakan?

Dalam hadis di atas juga ada menceritakan bahawa golongan yang ramai memasuki neraka adalah kaum wanita. Kenapa kaum wanita ramai di neraka? Wanita yang menjadi ahli neraka adalah mereka yang derhaka kepada Allah SWT, tidak menunaikan hak Allah SWT dan hak manusia seperti nusyuz dan menafikan budi baik suaminya dan tidak menjaga aurat ketika keluar rumah.

Allah SWT tidak memandang kepada rupa paras dan harta kekayaan seseorang kerana nilai mulia di sisi Allah SWT adalah berdasarkan nilai takwa  walaupun dia miskin, rupa paras buruk, dihina dan lemah dalam masyarakat. Antara ciri-ciri orang yang mulia disisi Allah SWT ialah mereka yang diperkenankan doanya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa dan tubuh kamu dan tidak pada harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu"
(Hadis Riwayat Muslim).

Islam tidak menghalang seseorang menjadi kaya asalkan cara usaha yang dilakukan tidak bertentangan dengan syariat Islam. Sekiranya seseorang menjadi kaya maka banyak tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan seperti membayar zakat, bersedekah dan infak hartanya di jalan Allah SWT . Orang kaya juga perlu merendahkan dirinya, tidak bengis dan tidak bersikap kasar dan tidak sombong kepada orang miskin kerana kesombongan itu akan menjerumuskannya ke neraka kerana sifat sombong sangat di murkai oleh Allah SWT.

Kaum wanita pula untuk menjauhkan diri daripada di masukkan ke dalam neraka maka perlulah taat kepada suami, menjaga kehormatan diri dengan menutup aurat yang sempurna dan banyakkan memberikan sedekah dan memberika ilmu yang bermanfaat kepada anak-anak dan masyarakat Islam.


No comments: