Apa yang lazim diajarkan di dalam kitab-kitab atau kelas-kelas pengajian Fardu ‘Ain di Malaysia ialah wujud perbezaan dalam sifat solat lelaki dan perempuan.
Umpamanya bagi perempuan apabila mengangkat tangan ketika Takbir hendaklah merapatkan tangan dan ketiaknya. Sedangkan bagi lelaki hendaklah merenggangkan tangan dari ketiaknya. Ketika sujud pula kaum perempuan hendaklah merapatkan pahanya kepada perutnya serta tangannya pula dirapatkan kepada rusuk. Sedangkan bagi lelaki dijauhkan pahanya dari perut serta tangannya direnggangkan dari rusuk kiri dan kanan.
Sepanjang kajian tidak wujud hadis yang sahih menunjukkan ada perbezaan antara tatacara solat lelaki dan perempuan kerana seluruh umat Islam hanya wajib mencontohi tatacara solat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Menurut al-Albani rahimahullah [Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, ms. 239.]
Tidak terdapat keterangan dari sunah yang menerangkan adanya cara-cara khusus untuk perempuan yang berbeza dengan cara yang berlaku untuk lelaki. Bahkan sabda Nabi Salallahu 'Alaihi Wasallam: Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631.]
Berlaku secara umum dan mencakupi kaum perempuan. Ibrahim al-Nakha’i menyatakan:
تَفْعَلُ الْمَرأَةِ فِي الصَّلاَةِ كَمَا يَفْعَلُ الرَّجُلُ.
Dalam solat, wanita mengerjakannya sama dengan cara yang dilakukan oleh lelaki.[Hadis Riwayat ini disebut oleh al-Albani dalam Sifat Shalat Nabi (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh 1996), ms. 189 dan beliau menyandarkannya kepada Ibn Abi Syaibah (1/75/2) dan mensahihkan sanadnya. Akan tetapi semakan saya kepada kitab al-Musannaf, hadis no. 2788 oleh Ibn Abi Syaibah mendapati lafaz yang ada di dalamnya ialah:
تَقْعُدُ الْمَرْأَةُ فِي الصَّلاَةِ كَمَا يَقْعُدُ الرَّجُلُ.
Kaum wanita duduk dalam solat sebagaimana duduknya kaum lelaki. [ Ummu al-Darda’ merupakan seorang tabi’iyyah (mereka yang tidak sempat berjumpa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam tetapi hanya berjumpa dengan para sahabat radhiallahu 'anhum). Beliau merupakan isteri kepada Abu al-Darda’ radhiallahu 'anh seorang sahabat Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Ummu al-Darda’ terkenal sebagai seorang perempuan yang ahli fiqh.]
al-Albani rahimahullah juga telah membawa sebuah riwayat dari al-Bukhari dalam kitabnya al-Tarikh al-Saghir, mukasurat 95 dari Ummu al-Darda’[4] berbunyi:
أَََنَهَا كَانَتْ تَجْلِسُ فِي صَلاَتِهَا جِلْسَةَ الرَّجُلِ, وَكَانَتْ فَقِيْهَةً.
Sesungguhnya (Ummu Darda’) dalam solat, duduk seperti cara duduk lelaki,
padahal beliau seorang perempuan yang ahli fiqh.
Selanjutnya kita akan membicarakan kedua-dua tatacara solat yang dikatakan terdapat perbezaan antara lelaki dan perempuan iaitu cara mengangkat takbir dan sujud. Dalam membahaskan hal ini penulis mengambil kesempatan untuk mendedahkan secara ringkas kepada para pembaca beberapa gerakan dalam solat yang sahih datangnya dari Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam.
Tatacara Takbir Dalam Solat
Berkaitan dengan tatacara mengangkat takbir al-Syafi’i rahimahullah dalam kitabnya al-Umm telah meriwayatkan hadis berikut:
عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ وَإِذَا كَبَّرَ لِلرُّكُوعِ
وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنْ الرُّكُوعِ رَفَعَهُمَا كَذَلِكَ أَيْضًا
وَقَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ
وَكَانَ لاَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي السُّجُودِ.
Dari Salim bin Abdullah, dari bapanya bahawa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam biasa mengangkat kedua tangannya sejajar dengan kedua bahunya apabila (takbir) membuka (memulai) solat, dan apabila takbir rukuk.
Apabila mengangkat kepala dari rukuk, baginda juga mengangkat kedua tangannya seperti itu sambil mengucapkan ‘Sami’Allahu liman hamidah rabbana walakal hamdu’ dan baginda tidak melakukan demikian saat sujud.[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 735.]
Menurut al-Syafi’i rahimahullah: Dengan (hadis) inilah kami mengatakan, maka kami menyuruh setiap orang yang mengerjakan solat, baik dia imam atau makmum atau solat sendiri-sendiri, lelaki atau perempuan, bahawa mengangkat dua tangannya apabila memulai solat (ketika takbiratul ihram), apabila takbir untuk rukuk dan apabila mengangkat kepala dari rukuk. Adalah kesemua tiga golongan yang disebutkan tadi mengangkat tangannya setentang dengan bahu.[Al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 248.]
Jelas al-Syafi’i rahimahullah sendiri tidak membezakan tatacara mengangkat takbir dalam solat antara lelaki dan perempuan. Oleh itu ketika melakukan takbir dalam solat maka hendaklah diangkat kedua-dua tangan dengan membuka jari-jari lurus ke atas dengan tidak menggenggamnya sejajar dengan bahu. Adakalanya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam mengangkat tangannya ketika takbir setentang dengan hujung kedua telinga sebagaimana yang diperjelaskan oleh Malik bin al-Huwairith radhiallahu’anh:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
كَانَ إِذَا كَبَّرَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا أُذُنَيْهِ بِهِمَا فُرُوعَ أُذُنَيْهِ.
Sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam apabila bertakbir (dalam solat) diangkat kedua tangannya sehingga sejajar dengan hujung kedua telinganya.[Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 391.]
Walaubagaimanapun al-Syafi’i rahimahullah lebih cenderung kepada mensejajarkan tangan dengan bahu.[Silalah rujuk kitab beliau bertajuk al-Umm (Kitab Induk), Bab Mengangkat Dua Tangan Pada Takbir Dalam Shalat, jld.1, ms. 248.]
Disyari’atkan juga untuk mengangkat tangan ketika berdiri dari rakaat kedua setelah membaca tasyahhud awal:
عَنْ نَافِعٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ إِذَا دَخَلَ فِي الصَلاَةِ كَبَّرَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ
وَإِذَا رَكَعَ رَفَعَ يَدَيْهِ وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَفَعَ يَدَيْهِ
وَإِذَا قَامَ مِنْ الرَّكْعَتَيْنِ رَفَعَ يَدَيْهِ وَرَفَعَ
ذَلِكَ ابْنُ عُمَرَ إِلَى نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Dari Nafi’ bahawa Ibnu ‘Umar apabila masuk dalam (memulai) solat,
dia bertakbir dan mengangkat kedua tangannya, apabila rukuk dia mengangkat kedua tangannya, apabila mengucapkan ‘Sami’Allahu liman hamidah’ dia mengangkat kedua tangannya, dan apabila berdiri dari rakaat kedua dia mengangkat kedua tangannya. Ibnu ‘Umar menisbatkan hal itu kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 739.]
Tatacara Sujud Dalam Solat
Berkenaan dengan tatacara sujud pula al-Syafi’i rahimahullah berkata:
Saya menyukai bagi orang yang sujud, bahawa dia bertakhwiyah. Takhwiyah itu adalah mengangkat (menjarakkan) dadanya dari kedua pahanya. Dan bahawa dia merenggangkan dua sikunya dan dua lengannya dari dua lambungnya (rusuknya). Sehingga apabila tidak ada padanya yang menutup bahagian bawah dua bahunya, nescaya terlihatlah warna dua ketiaknya. Tidak dia mempertemukan kedua-dua lututnya. Dia merenggangkan kedua-dua kakinya [Disyari’atkan juga untuk merapatkan kedua tumit kakinya (tetapi tetap merenggangkan kedua lutut) ketika bersujud sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Thahawi, Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim.Sila rujuk Sifat Shalat Nabi oleh Muhammad Nashiruddin al-Albani, ms. 174.]
Dia meninggikan punggungnya dan tidak membengkukkannya (iaitu meluruskan bahagian belakang)
Perhatikan sekali lagi bahawa al-Syafi’i tidak membezakan tatacara sujud antara lelaki dan wanita. Seterusnya mari kita lihat beberapa hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam berkaitan dengan tatacara sujud yang mencakupi kaum lelaki dan perempuan.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَالِكٍ ابْنِ بُحَيْنَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
كَانَ إِذَا صَلَّى فَرَجَ بَيْنَ يَدَيْهِ حَتَّى يَبْدُوَ بَيَاضُ إِبْطَيْهِ.
Dari ‘Abdullah bin Malik bin Buhainah bahawasanya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam apabila bersolat, baginda merenggangkan antara kedua tangannya hingga nampak warna putih ketiaknya.[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 807.]
Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah “merenggangkan antara kedua tangannya” bermaksud bermaksud: “Menjauhkan tangan dari sisi badan (rusuk) yang ada di dekatnya.”[ Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld. 4, ms. 624.]
Beliau melanjutkan bahawa jarak ukuran jauhnya renggangan tersebut adalah sekiranya anak kambing yang kecil melalui dicelah renggangan tersebut nescaya ia boleh melepasinya.
Di samping itu hendaklah kita juga mengangkat lengan serta siku kita ketika sujud dan membiarkan hanya kedua tapak tangan yang terletak di tanah. Nabi shalallahu 'alaihi wasallam menyamakan orang yang meletakkan keseluruhan siku, lengan serta tapak tangan ke tanah seperti sujudnya binatang buas. ‘Aishah radhiallahu’anha berkata:
وَيَنْهَى أَنْ يَفْتَرِشَ الرَّجُلُ ذِرَاعَيْهِ افْتِرَاشَ السَّبُعِ.
Dan (baginda shalallahu 'alaihi wasallam) melarang seseorang (dalam sujud) membentang kedua lengannya seperti binatang buas.[Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 498.]
Al-Barra’ radhiallahu’anh juga telah berkata:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
إِذَا سَجَدْتَ فَضَعْ كَفَّيْكَ وَارْفَعْ مِرْفَقَيْكَ.
Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Apabila engkau sujud, maka letakkanlah kedua telapak tanganmu serta angkat kedua sikumu.”[Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 494.]
Hendaklah ketika sujud tujuh anggota badan mengenai tanah, lantai atau sejadah yang digunakan untuk bersolat. Tujuh anggota badan tersebut adalah:
Dahi dan hidung yang dikira sebagai satu anggota.
Dua telapak tangan.
Dua lutut.
Dua hujung jari-jari di kedua kaki.
Ini sebagaimana diperjelaskan oleh Ibnu ‘Abbas radhiallahu’anh:
قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ
وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ.
Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Aku diperintahkan untuk sujud menggunakan (di atas) tujuh tulang; di atas dahi[18] (dan baginda mengisyaratkan pada hidungnya), dua tangan, dua lutut dan hujung jari-jari kedua kaki.”[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 812.]
Kewajipan Thuma’ninah Ketika Sujud
Seperkara lagi yang sering diabaikan ketika bersujud (termasuk ketika rukuk, i’tidal dan duduk antara dua sujud) adalah thuma’ninah. Thuma’ninah adalah tidak melakukan gerakan dalam solat ketika rukuk, i’tidal, sujud dan duduk antara dua sujud sehingga dapat berada dalam posisi tersebut secara sempurna, tenang dan tidak tergesa-gesa. Setengah ulama’ memberi batas waktu yang diperlukan untuk thuma’ninah adalah seperti tiga kali membaca ‘subhaana rabbiyal azhiim’ ketika rukuk dan sujud dan tidak sah sekiranya kurang dari itu. Namun sebahagian ulama’ lagi berpendapat bahawa thuma’ninah adalah menyempurnakan posisi badan sesuai dengan sunnah Rasul shalallahu 'alaihi wasallam dalam gerakan ketika rukuk, i’tidal, sujud dan duduk antara dua sujud dalam keadaan yang tenang.
[Sila rujuk perbahasan Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah dalam Fathul Baari, jld.4, ms. 582.]
Penulis berpendapat thuma’ninah sebenarnya adalah gabungan kedua-dua pendapat di atas. Wallahu’alam. Dalil disyari’atkan thuma’ninah adalah hadis dari Abu Hurairah radhiallahu’anh, dia berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَدَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى
ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَرَدَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْهِ السَّلاَمَ
فَقَالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ.
فَصَلَّى ثُمَّ جَاءَ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
فَقَالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ثَلاَثًا.
فَقَالَ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ فَمَا أُحْسِنُ غَيْرَهُ فَعَلِّمْنِي.
قَالَ: إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَلاَةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ
ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا
ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا ثُمَّ اسْجُدْ
حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا.
Bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam masuk masjid dan masuk pula seorang lelaki lalu melakukan solat. Kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Namun Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tidak membalas salamnya lalu bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat.”
Maka dia pun solat sekali lagi. Kemudian dia datang lagi dan memberi salam kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam, maka baginda bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat (dan ini berulang sehingga tiga kali).”
Lelaki itu berkata: “Demi zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat melakukan yang lebih baik dari itu, maka ajarkanlah aku.”
Baginda shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Apabila engkau berdiri untuk solat maka takbirlah, kemudian bacalah yang mudah bagimu dari al-Qur’an.
Kemudian rukuklah hingga engkau tenang (thuma’ninah) dalam rukuk,
kemudian bangkitlah (i’tidal) hingga engkau tegak (lurus) berdiri.
Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thuma’ninah) dalam sujud,
lalu bangkitlah hingga engkau tenang (thuma’ninah) dalam duduk (duduk antara dua sujud). Kemudian sujudlah hingga engkau tenang (thuma’ninah) dalam sujud. Lakukan demikian dalam semua solatmu.”[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 793.]
Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah:
“Hadis dalam bab ini (Imam al-Bukhari menamakan bab ini ‘Perintah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam Kepada Orang Yang Tidak Menyempurnakan Rukuk Agar Mengulangi Solatnya’) dijadikan dalil bahawa thuma’ninah pada rukun-rukun solat adalah wajib hukumnya, dan ini adalah pendapat jumhur (majoriti) ulama’.”[Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld. 4, ms. 582.]
Oleh itu wajib bagi seluruh umat Islam memerhatikan kesempurnaan thuma’ninah ketika sujud dalam solat dengan melakukannya secara tenang dan sesuai dengan gerakan yang diajar sendiri oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam melalui hadis baginda yang sahih sebagaimana yang telah penulis bentangkan di atas.
Demikianlah beberapa contoh pergerakan dalam solat yang Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam anjurkan secara umum kepada semua umatnya tanpa membezakan kaum lelaki mahupun perempuan. Pendapat yang paling benar dalam hal ini adalah tidak ada perbezaan dalam gerakan ketika solat antara lelaki dan perempuan. Penulis juga ingin tekankan kepentingan menjaga thuma’ninah dalam solat.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment