Soalan Ke Enam Puluh Enam : Suami adalah ketua keluarga yang akan memimpin dan mendidik isteri dan anak-anak. Bolehkan ustaz jelaskan apakah ciri-ciri suami yang soleh dan bertakwa, supaya bakal isteri dapat menjadikan sebagai ukuran sebelum menerima lamaran seorang bakal suaminya?
Jawapan :
Setiap wanita solehah berkeinginan dan berhajat memiliki seorang suami yang soleh dan bertanggungjawab. Suami yang soleh bukan saja akan menjadi suami pilihannya ketika di dunia tetapi suami yang soleh dan berakhlak Islam akan menjadi suami pilihannya ketika di syurga nanti.
Terdapat 10 ciri-ciri suami soleh dan bertakwa akan menjadi pilihan wanita solehah.
Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :
1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
2. Mempunyai ilmu pengetahuan agama.
3. Bekerja menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
4. Mempunyai sifat berjuang mencapai kecemerlangan dalam hidup.
5. Sentiasa membersihkan dirinya daripada sebarang kemungkaran dan bertaubat kepada Allah SWT.
6. Selalu memperbanyakan amalan sunat.
7. Tidak takut kepada cercaan orang yang suka mencela.
8. Mengetahui dan faham serta mengamalkan segala kewajipannya dengan baik.
9. Bersifat lapang dada, penyantun dan pemaaf.
10. Jika ia berkahwin, dia dapat melayan isteri dengan baik kerana sebaik-baik suami adalah suami yang paling baik terhadap isterinya.
Huraiannya :
1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Sifat yang paling penting untuk menjadi seorang lelaki yang soleh dan bertakwa adalah mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya.
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan barang siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah; iaitu nabi-nabi, para shiddiqin, syuhada dan orang-orang yang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.” (Surah an-Nisaa ayat 69)
2. Mempunyai ilmu pengetahuan agama.
Hal ini kerana Islam mengajar yang ilmu itu tidak dapat berdiri dengan sendiri. Tertegaknya ilmu sehingga ia membawa kebaikan ialah dengan adanya sokongan iman. Dan kerana dua benda inilah, Allah mengangkat darjat seseorang. Sesungguhnya ilmu tanpa iman adalah sia-sia dan tiada gunanya di sisi Allah S.W.T
Firman Allah SWT maksudnya : "Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: 'Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang- orang yang sabar".(Surah al-Qasas ayat 80)
Firman Allah SWT dalam surah Al-Fathir, ayat 28 yang bermaksud : " Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah ahli-ahli ilmu (ulama) "
Diriwayatkan oleh AtTabrani daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesorang yg berilmu adalah lebih sukar bagi syaitan menipunya berbanding seribu orang abid (ahli ibadah)"
3. Bekerja menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Seorang mukmin yang beristiqamah dengan Islam akan sentiasa memikul tugas amar makruf dan nahi mungkar .
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Hendaklah terdapat antara kamu segolongan yang menyeru dengan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Itulah golongan yang berjaya." (Surah Ali-Imran, ayat 104)
Kewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar sebagai tugas dakwah juga disebut dalam hadis yang bermaksud: "Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)
4. Mempunyai sifat berjuang mencapai kecemerlangan dalam hidup.
Salah satu sifat orang mukmin adalah sentiasa mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT di muka bumi dan sentiasa berjihad di jalan-Nya.
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu, yang telah percaya dengan Allah dan rasul-rasul dan yang tidak ada pada mereka itu keadaan ragu dan mereka berjuang dengan menggunakan harta-harta dan diri mereka di jalan Allah, merekalah orang-orang yang benar.” (Surah al-Hujurat ayat 15)
5. Sentiasa membersihkan dirinya daripada sebarang kemungkaran dan bertaubat kepada Allah SWT.
Allah SWT. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Semua anak Adam (manusia) itu sering membuat kesalahan (dosa) dan sebaik-baik manusia yang membuat kesalahan (dosa) itu ialah orang-orang yang bertaubat." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali"(Hadis Riwayat Muslim).
6. Selalu dan memperbanyakan amalan-amalan sunat.
Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis Qudsi: “Hendaklah kamu lakukan sebanyak-banyaknya amalan-amalan yang sunat sehingga Aku jatuh cinta dan sayang kepadamu.”
Tidak pernah tinggal 7 amalan-amalan sunah Rasulullah SAW iaitu solat berjemaah, beristighfar, solat duha, berwuduk, bersedekah, solat tahajud, dan membaca al-Quran
7. Tidak takut kepada cercaan orang yang suka mencela.
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini."
(Surah Al-Furqaan, ayat 63).
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila Allah SWT menghimpunkan makhluk-Nya di hari kiamat, penyeru pada hari itu menyeru: "Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan". Baginda bersabda: "Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat." Kemudian mereka ditanya: "Apakah keistimewaan kamu?" Mereka menjawab: "Apabila kami di zalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut". Lalu dikatakan kepada mereka: "Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang-orang yang beramal".
8. Mengetahui dan faham serta mengamalkan segala kewajipannya dengan baik.
Orang mukmin akan memahami Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna dan seterusnya mengamalkan nya di dalam kehidupan sebagai individu muslim-mukmin, dalam keluarganya dan seterusnya masyarakat.
Allah S.W.T. berfirman maksudnya :“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan dari bisik-bisik mereka, kecuali siapa yang menyuruh bersedekah, kebaikan, atau mendamaikan antara manusia. Dan barangsiapa yang melakukan hal itu dengan mencari reda Allah, maka Kami akan memberikannya pahala yang besar.” (Surah an-Nisa ayat 114)
9. Bersifat lapang dada, penyantun dan pemaaf.
Sifat mahmudah adalah sifat berlapang dada , penyantun dan pemaaf.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:"Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah SAW sesungguhnya aku mempunyai kerabat. Aku jalin tali silaturrahim kepada mereka, tetapi mereka memutuskan aku. Aku berbuat baik kepada mereka, tapi mereka berbuat buruk kepadaku. Aku bersikap santun terhadap mereka, tetapi mereka menganiayaku. Maka Rasulullah SAW bersabda: 'Jika engkau adalah sebagaimana yang engkau katakan, maka seolah-olah engkau memberi makan mereka dan Allah SWT akan selalu memberikan pembelaanNYA kepada engkau atas mereka, selama mana engkau berada dalam keadaan demikian." (Hadis Riwayat Muslim: 2558: Al-Birru wa As-silah)
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah SWT akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual,membeli dan menagih hutang" (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.)
10. Jika ia berkahwin, dia dapat melayan isteri dengan baik kerana sebaik-baik suami adalah suami yang paling baik terhadap isterinya.
Allah berfirman (Surah Ar-Rum : 21), yang bermaksud;
"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantara mu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
Dari Abdullah Ibn Mas'ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati".
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Sekiranya kalian mempunyai 10 ciri-ciri mulia dan cemerlang yang dinyatakan di atas maka kalian adalah calun lelaki yang paling layak dan menjadi idaman wanita solehah. Kalian bukan saja akan menjadi suami dan bapa yang soleh tetapi kalian juga adalah mukmin muttaqin yang akan menjadi hamba-Nya yang di kasihi di dunia ini dan akan mendapat ganjaran yang besar di hari akhirat nanti. Oleh itu marilah sama-sama kita berusaha meningkatkan iman dan takwa kita dan berjihad dijalan-Nya dengan hati yang penuh ikhlas semata-mata mencari keredaan-Nya.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment