Monday, March 16, 2015

Rezeki Untuk Orang Bertakwa

Bismillahirahmanirrahim.

Firman Allah SWT yang bermsksud : "Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikanNya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya." (Surah At-Talaq ayat 2-3)

Takwa adalah merupakan kriteria atau ukuran sesaorang yang paling hampir dengan Allah SWT. Sesiapa saja dikalangan hamba-hamba Allah yang paling tinggi takwanya maka dia adalah orang yang paling mulia disisi Allah SWT. Orang yang bertakwa adalah orang mukmin yang cukup berhati-hati didalam menjalani kehidupan didunia ini, amat takut kalau-kalau dia terjerumus didalam kehidupan yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Ia bukan saja telah meninggalkan yang haram dan melaksanakan yang wajib tetapi ia telah meninggalkan perkara-perkara syubhah dan makruh. Dalam amalan ibadahnya diperbanyakkan amalan-amalan sunat dalam rangka merapatkan lagi hubungan dengan Allah SWT.,malahan semua yang harus pula di niatkan kerana Allah supaya ianya menjadi ibadah.

Allah SWT. akan membantu orang-orang yang bertakwa, segala kesusahannya, kemiskinannya dan apa-apa saja permasaalaan hidup yang dihadapinya, akan terbentang luas jalan keluar diberikan oleh Allah SWT. Bukan setakat ini saja, malahan Allah SWT. akan memberikan rezeki yang tiada disangka-sangka samaada rezeki datang dari langit, bumi, lautan, malahan yang jauh didekatkan, yang sedikit diperbanyakkan dan yang banyak dipermudahkan.

Rezeki yang dikurniakan ini datang dalam berbagai bentuk iaitu :

1.Berbentuk Taufik dan Hidayah (nikmat iman)

2.Berbentuk kesihatan (di jauhi penyakit hati dan fizikal)

3.Berbentuk keuntungan dalam perniagaan.(bermuamalah cara Islam)

4.Berbentuk kebahagiaan rumah tangga (mendapat isteri solehah dan anak-anak yang soleh dan solehah)

5.Berbentuk kasih sayang (ukuwah Islamiyyah dalam jemaah)

6.Berbentuk buah-buahan (yang Allah kurniakan kepada Maryam {ibu Nabi Isa a.s.} )

7.Berbentuk makanan (yang Allah kurniakan kepada Siti Fatimah r.h puteri Nabi SAW)

8.Berbentuk wang ringgit dan sebagainya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :
"Jika sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, pasti Allah akan memberi rezeki kepadamu, seperti Dia memberi rezeki kepada burung-burung yang terbang di pagi hari dengan tembolok kosong dan waktu pulang kesarangnya pada waktu petang, temboloknya sudah penuh." (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Orang-orang yang tidak bertawakal ialah mereka yang tidak yakin dengan jaminan rezeki daripada Allah SWT. dan mereka akan mendapat balasan yang buruk di akhirat nanti.

Diceritakan bahawa ada seorang pencuri kain kafan yang ingin bertaubat. Ia datang ke hadapan Abu Yazid Al-Bustami. Maka Abu Yazid bertanya kepada orang itu :
"Syukur engkau telah bertaubat, tetapi apakah sebabnya engkau ingin bertaubat?"

Ia menjawab, "Lebih kurang seribu kuburan telah aku gali, semua muka mereka itu berpaling dari arah kiblat, hanya ada dua mayat yang tetap mukanya menghadap kiblat."

Maka Abu Yazid berkata, " Kasihan mereka! Kerana ragu-ragu tentang rezeki sehingga menyebabkan muka mereka berpaling dari arah kiblat."

Oleh itu, sebagai orang yang beriman, menjadi kewajipan kita menyerahkan diri kepada Allah terhadap segala keperluan hidup diatas muka bumi ini. Kerana Allah telah menjamin rezeki hamba-hamba-Nya. Rezeki yang dikurniakan Allah bukanlah untuk bermewah-mewah atau menunjuk-nunjuk, melainkan semua ini untuk bekalan dalam beribadah dan supaya hati kita menjadi tenang. Sebab, kadangkala kemiskinan itu mengganggu fikiran dalam beribadah kepada Allah.

Tawakal atau berserah diri dalam perkara rezeki, bukanlah bererti penyerahan diri secara lahiriah dengan hanya duduk berpangku tangan tanpa bekerja. Yang dimaksudkan disini ialah kita harus yakin dengan sepenuhnya bahawa Allah telah menjamin rezeki bagi segala makhluk yang telah diciptakan-Nya. Untuk mendapat jaminan tersebut, manusia mestilah berusha dan berikhtiar untuk mendapatkannya, melainkan orang-orang tertentu diberi kelebihan oleh Allah SWT.

Dalam persoalan tawakal ini, kita juga harus beringat agar tidak melakukan syirik kepada Allah. Contohnya, apabila kita memperolehi sesuatu setelah berusaha dan bertawakkal, kita melihat ia diperolehi kerana usaha atau kebijaksanaan diri kita , merasa bangga diri dan sombong. Yakinilah bahawa dengan izin Allahlah berlakunya sesuatu perkara.

Kesimpulannya, dalam usaha mencari rezeki di atas dunia ini, jangan sampai menjauhkan kita daripada beribadah dan mangingati Allah SWT. Oleh itu, kita perlu bertawakal kepada Allah SWT dengan hakikat tawakal yang sebenarnya. Kita mesti berusaha dan berikhtiar tetapi meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. Kalau dapat apa yang kita inginkan, bersyukurlah. Kalau sebaliknya, bersabarlah dan berbaik sangka dengan Allah. Yang penting, kita mesti tahu meletakkan kepentingan antara dunia dan akhirat. Jangan gadaikan akhirat dengan habuan dunia yang sementara ini.

Berusaha dan berikhtiarlah, kerana ia sunnatullah. Tetapi ingat, ia tidak akan dapat mengatasi takdir Allah.

No comments: