Amalan solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat Tahajjud. Ini sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ. وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ.
Maksudnya: Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud). - (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Shiyam, no: 1163.)
Tahajjud terbentuk dari kata dasar hajjada yang bererti tidur dan tahajjada bererti berjaga. Maka kata tahajjadtu bermaksud saya telah membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya.
Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani rahimahullah:
Imam al-Thabari berkata: “Tahajjud adalah berjaga setelah tidur terlebih dahulu.”… Ibnu Faris berkata: “Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat di malam hari.” Sedangkan al-Kurra’ menyatakan: “Tahajjud adalah solat malam secara khusus.” – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 203.
Oleh itu solat Tahajjud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam iaitu setelah mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun begitu waktu yang paling utama untuk dilaksanakan solat Tahajjud itu adalah sepertiga malam yang terakhir (iaitu dari pukul 3.00 pagi sehingga masuk waktu subuh). Solat sunat Tahajjud ini kebiasaannya digandingkan dengan solat sunat Witir sebagai penutupnya.
Dalil disyariatkan solat Tahajjud ini adalah sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا
Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "solat Tahajjud" padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. - (Surah al-Israa’ (17) ayat 79)
Di dalam kitab al-Majaz oleh Abu Ubaidah disebutkan: “Firman-Nya “kerjakanlah solat Tahajjud padanya” bermaksud berjagalah pada malam hari untuk melakukan solat.” – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202.
Dalil solat Tahajjud lebih utama dilakukan pada sepertiga malam terakhir disandarkan kepada sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ.
يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ.
Maksudnya: Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkannya; siapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya; siapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunnya. - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1145).
Selanjutnya Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam juga bersabda:
أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الرَّبُّ مِنْ الْعَبْدِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ الآخِرِ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ
أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَذْكُرُ اللَّهَ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ فَكُنْ.
Maksudnya: Saat yang paling dekat di antara Allah dan hamba-Nya adalah pada tengah malam terakhir, apabila kamu boleh menjadi sebahagian daripada mereka yang mengingati Allah pada saat itu maka lakukanlah. – (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Da’waat, no: 3503.)
Ternyata ibadah yang di dalamnya terdapat doa-doa, zikir-zikir, permintaan-permintaan dan permohonan ampun adalah solat. Maka selayaknya solat yang paling utama setelah solat fardu ini dilaksanakan pada sepertiga malam yang akhir.
JUMLAH RAKAAT SOLAT TAHAJJUD
Secara umumnya solat Tahajjud ini boleh dilakukan dengan dua rakaat-dua rakaat dan ianya tidak mempunyai batasan jumlah rakaat yang maksimum. Malah ianya juga boleh dilaksanakan dengan hanya satu rakaat solat sunat witir.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu’ anhuma, dia berkata:
إِنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ صَلاَةُ اللَّيْلِ.
قَالَ: مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خِفْتَ الصُّبْحَ فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ.
Maksudnya: :Sesungguhnya seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah solat malam? Baginda bersabda: Dua-dua (rakaat), apabila engkau khuatir (masuk waktu subuh), maka laksanakan solat witir satu rakaat." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1137.)
Namun begitu jumlah rakaat yang paling utama adalah dengan tidak melebihkannya dari sebelas atau tiga belas rakaat kerana jumlah ini adalah sebagaimana yang kebiasaannya dikerjakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي بِاللَّيْلِ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُوتِرُ مِنْهَا بِوَاحِدَةٍ.
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam solat malam pada waktu setelah selesai Isyak sampai terbit fajar sebanyak sebelas rakaat dengan salam setiap selesai dua rakaat, lalu berwitir dengan satu rakaat." - (Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 736.)
Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْهَا الْوِتْرُ وَرَكْعَتَا الْفَجْرِ.
Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam biasa solat pada malam hari tiga belas rakaat termasuk witir, dan dua rakaat solat fajar (sunat Qabliyah Subuh). - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1140).
Abu Salamah radhiallahu’ anh pernah bertanya kepada ‘Aishah radhiallahu’ anha tentang solat malam Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada bulan Ramadan. Maka ‘Aishah menjawab:
مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً
يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ. ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ.
ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا.
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak menambah pada bulan Ramadan dan tidak pula pada bulan-bulan lainnya, melebihi sebelas rakaat; baginda solat empat rakaat, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat empat rakaat lagi, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat tiga rakaat (witir). - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1147.)
Hadis di atas ini menunjukkan bahawa solat Tahajjud ini juga boleh dikerjakan secara empat rakaat-empat rakaat. Ianya boleh dikerjakan sebagaimana tatacara solat fardu yang empat rakaat iaitu dengan dua tahiyyat serta satu salam
Sekiranya Nab SAW mengerjakan solat Tahajjud dengan tidak melebihkannya dari sebelas atau tiga belas rakaat, adakah diperbolehkan bagi kita semua mengerjakannya dengan jumlah rakaat yang mengatasi jumlah rakaat yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam? Menurut Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim:
Majoriti ulamak –baik daripada kalangan salaf mahupun khalaf- justeru berpendapat diperbolehkan untuk menambah bilangan rakaat Qiyam al-Lail melebihi sebelas rakaat walaupun mereka tetap menyatakan bilangan sebelas rakaat adalah bilangan yang disunnahkan. Al-Qadhi Iyadh berkata:
Tidak ada perbezaan di kalangan para ulamak bahawa tidak ada batasan yang dilarang, baik untuk menambah atau mengurangkan dalam masalah ini (jumlah bilangan rakaat Qiyam al-lail). Solat adalah satu bentuk ketaatan yang setiap kali bertambah jumlah bilangannya, maka pahalanya pun bertambah. Isu yang menjadi perselisihan adalah hal yang berkenaan dengan perbuatan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan apa yang telah baginda pilih untuk dirinya. Wallahu a’lam.
Ibnu ‘Abdul Barr dalam kitab al-Tamhid berkata:
Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan umat Islam bahawa tidak ada batasan tertentu untuk solat malam. Solat ini adalah salah satu perbuatan sunnah dan kebajikan, sesiapapun boleh melakukannya sedikit dan boleh memperbanyakannya.
Aku (iaitu Syaikh Kamal) katakan: Hal ini menunjukkan bahawa pendapat inilah yang kuat. - Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 653.
TATACARA RINGKAS MENGERJAKAN SOLAT TAHAJJUD
A) Tatacara Solat Tahajjud Dua Rakaat
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Tahajjud
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment