Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Sahabat yang dirahmati Allah,
Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Salah seorang ahli ibadah pada zaman Bani Israil selalu beribadah kepada Allah di rumah ibadah selama 60 tahun.
Suatu ketika, hujan turun dengan lebatnya sehingga bumi menjadi subur menghijau. Kemudian, ahli ibadah itu keluar dari rumah ibadahnya sambil berbisik, 'Sekiranya aku turun dari tempatku ini dan memperbanyakkan mengucap zikir tentulah kebaikanku berubah.'
Lalu ia turun dari penempatannya dengan membawa satu atau dua keping roti. Ketika ia berjalan-jalan, tiba-tiba ia bertemu dengan seorang perempuan. Lalu ia mula-mula berbual-bual dengan perempuan tersebut. Akibat terlalu asyik berbual dengan perempuan itu, ahli ibadah tadi diperdaya oleh syaitan menyebabkannya tertidur lalu berzina dengannya.
Lelaki ahli ibadah itu akhirnya telah pengsan. Kemudian apabila sedar daripada pengsan itu ia terjun ke tasik berdekatan untuk mandi. Pada masa itu datang seorang peminta sedekah yang melarat, meminta daripadanya sebahagian daripada bekalannya itu. Ahli ibadah itu menghulurkan kepadanya roti yang di bawanya. Kemudian lelaki ahli ibadah itu pun dicabut nyawanya oleh Allah s.w.t.
Pahala amal ibadah yang dikerjakan selama 60 tahun itu ditimbang dengan dosa perbuatan zinanya, ternyata dosa zinanya lebih berat. Kemudian satu atau dua keping roti yang diberikan kepada peminta sedekah telah ditimbang dengan amal kebaikan lelaki ahli ibadah tersebut. Hasilnya menyebabkan berat amalan kebaikannya bertambah, maka dosa lelaki tersebut diampuni Allah."
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)
Sahabat yang dimuliakan,
Betapa besarnya dosa berzina sehinggakan pahala beribadah selama 60 tahun tidak mampu hendak mengatasi beratnya dosa zina. Mujurlah ahli ibadah tersebut sempat bersedekah dengan beberapa keping roti yang dia bawa untuk orang miskin yang kelaparan, maka pahala sedekahnya dapat membantu menjadikan pahala kebaikannya (lebih berat timbangannya) mengatasi dosa yang dia lakukan.
Pengajaran yang boleh diambil :
1.Umat sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w dibolehkan mengasingkan diri daripada masyarakat dan tidak mengadakan hubungan suami isteri bertujuan untuk ibadah.
2.Syaitan kadangkala berusaha menyesatkan manusia dengan memberi nasihat untuk berbuat kebaikan pada tempat yang tidak sepatutnya.
3.Digalakkan menjauhi bergaul dengan perempuan yang bukan mahram, dibimbangi ia akan dijerat oleh syaitan.
4.Melakukan zina merupakan dosa besar, (sehinggakan beribadah sepenuhnya selama 60 tahun tak dapat mengatasi beratnya dosa zina tersebut seperti kisah diatas)
5.Amalan sedekah adalah amat dituntut oleh Islam, dan akan diberi pahala yang besar oleh Allah SWT .kepada sesiapa dikalangan hamba-hamba-Nya yang melaksanakannya dengan ikhlas.
No comments:
Post a Comment